Perut berangin boleh disebabkan oleh menelan udara atau penguraian makanan dalam saluran usus anda. Akibatnya anda akan sentiasa berasa ingin sendawa, kentut atau kembung perut. Terdapat makanan tertentu yang boleh menyebabkan perut berangin.
Sekiranya anda sering mengalami perut berangin, sedikit perubahan terhadap pemakanan (diet) anda boleh membantu. Harus diingat juga, tidak semua badan manusia mempunyai tindak balas yang sama. Justeru itu, anda harus mengenal pasti makanan mana yang badan anda paling banyak bertindak balas.
Berikut adalah makanan-makanan yang menyebabkan perut berangin:
1. Kacang
Kacang adalah makanan yang paling kerap menyebabkan perut berangin. Hal ini demikian kerana kacang mengandungi gula kompleks yang dikenali sebagai rafinosa. [1] Gula kompleks ini sukar untuk dihadamkan di dalam usus kecil.
Oleh itu, rafinosa akan melalui usus kecil ke usus besar tanpa dihadamkan. Di usus besar pula, rafinosa ini akan difermentasi oleh bakteria baik dalam usus besar. Proses ini menghasilkan gas seperti hidrogen, karbon dioksida dan metana.
2. Produk Tenusu
Susu dan produk tenusu yang lain juga boleh menyebabkan perut berangin. Susu dan produk tenusu mengandungi gula yang dikenali sebagai laktosa.
Bagi sesetengah orang, badan mereka tidak menghasilkan enzim laktase yang mencukupi untuk mencernakan laktosa. Keadaan ini dikenali sebagai tak tolerans laktosa. Akibatnya, ia menyebabkan gejala atau simptom-simptom seperti perut berangin.
Sekiranya anda mempunyai masalah tak tolerans laktosa ini, menggantikan susu atau produk tenusu dengan produk alternatif seperti susu badam atau susu soya boleh mengatasi masalah perut berangin.
Antara produk tenusu yang turut mengandungi laktosa adalah:
3. Minuman Berkarbonat
Minuman berkarbonat atau minuman bergas juga boleh menyebabkan perut berangin. Minuman jenis ini boleh menambah jumlah udara yang anda telan dengan ketara.
Apabila udara memasuki saluran pencernaan, ia perlu keluar. Oleh sebab itu, anda kerap untuk sendawa atau kentut. Beralih kepada air kosong, jus atau minuman tidak berkarbonat boleh mengatasi masalah perut berangin.
4. Tepung Gandum atau Oat
Mungkin ramai yang tidak menyangka makanan seperti tepung gandum atau oat boleh menyebabkan perut berangin.
Tepung gandum dan oat mengandungi serat, kanji dan rafinosa. Bahan-bahan ini akan menghasilkan gas apabila diuraikan oleh bakteria di dalam usus besar.
Jika anda mempunyai masalah dengan makanan ini, pilihlah nasi sebagai penganti kerana nasi tidak menyebabkan gas atau angin.
5. Buah-buahan Tertentu
Makanan yang boleh menyebabkan perut berangin yang seterusnya adalah buah-buahan. Terdapat sesetengah buah-buahan yang boleh menyebabkan angin.
Buah-buahan ini tinggi dengan gula semula jadi seperti fruktosa dan sorbitol (gula alkohol). Fruktosa dan sorbitol sukar untuk dicernakan. Ia menyebabkan penghasilan gas apabila bakteria dalam usus besar menguraikannya.
Antara buah-buahan tersebut adalah:
- Epal
- Aprikot
- Pic
- Pir
- Ceri
- Plum
- Prun
Kesan buah ini mungkin lebih terasa apabila anda memakan buah-buahan ini pada jumlah yang banyak. Apabila anda makan lebih daripada badan anda boleh hadam, badan akan menguraikan lebihan fruktosa dan sorbitol melalui fermentasi. Proses ini menyebabkan angin atau gas.
6. Sayur-sayuran (Jenis Cruciferous)
Walaupun sayur-sayuran adalah sumber makanan yang menyihatkan. Tetapi, terdapat beberapa jenis sayur-sayuran jenis Cruciferous boleh menyebabkan perut berangin.
Hal ini demikian kerana usus kecil tidak dapat mencernakan serat dalam sayur-sayuran ini sepenuhnya. Ia kemudiannya akan diuraikan oleh bakteria baik dalam usus besar. Namun, proses ini menyebabkan terhasilnya gas yang boleh menyebabkan perut berangin.
Antara sayur-sayuran Cruciferous tersebut adalah:
- Kubis
- Kubis bunga
- Brokoli
- Asparagus
Anda boleh mengurangkan jumlah gas yang dihasilkan dengan memakannya pada hidangan yang kecil.
7. Pemanis Bebas Gula
Lazimnya, anda boleh menjumpai pemanis bebas gula atau gula alkohol ini di dalam minuman atau makanan yang dilabelkan sebagai “bebas gula” atau “diet”.
Xilitol, manitol, sorbitol dan eritritol adalah gula alkohol semula jadi yang ditambah ke dalam makanan atau minuman bagi menggantikan gula pasir (gula putih).
Apabila bakteria menguraikan gula-gula ini dalam usus besar, ia menghasilkan gas.
8. Bawang
Bawang turut mengandungi fruktosa yang boleh menghasilkan gas apabila bakteria menguraikannya di dalam usus besar.
Memakan bawang terlalu banyak mungkin menyebabkan perut anda berangin.
9. Gula-gula Getah
Mengunyah gula-gula getah boleh menyebabkan anda menelan banyak udara yang akhirnya terperangkap di usus anda.
Tambahan daripada itu juga, gula-gula getah kebanyakannya mengandungi gula alkohol yang turut boleh menyebabkan gas di dalam usus besar.
10. Makanan Diproses
Sesetengah makanan diproses juga boleh menyebabkan perut berangin. Makanan diproses selalunya mengandungi pelbagai bahan atau ramuan. Ia termasuklah fruktosa dan laktosa.
Gabungan antara fruktosa dan laktosa boleh meningkatkan penghasilan gas dalam usus anda.
Rumusan
Sesetengah makanan yang menyebabkan gas atau perut berangin turut berkhasiat kepada kesihatan badan anda.
Oleh sebab itu, menyingkirkan makanan ini terus dari diet harian anda bukanlah satu langkah yang bijak. Sebaliknya, anda boleh cuba memakan makanan tersebut pada jumlah yang kecil dan memerhatikan tindak balas yang berlaku.
Sesetengah makanan pula mungkin boleh dielakkan pengambilannya tanpa menjejaskan keperluan nutrien harian anda.