Bukan sahaja lelaki, wanita juga boleh berdepan masalah lemah tenaga batin. Bagaimana untuk mengatasinya? Ketahui senarai makanan yang boleh membantu menguatkan tenaga batin wanita dalam artikel ini.
Sebenarnya tiada satu peraturan tetap yang boleh menyatakan betul atau salah berkenaan kemahuan seksual bagi seorang wanita. Malah, tiada satu ketetapan pun mengenai seberapa kerap seseorang itu harus melakukan hubungan intim.
Banyak faktor yang boleh mempengaruhi dorongan nafsu seseorang wanita. Termasuklah akibat masalah hormon hinggalah tekanan ditempat kerja.
Antara bentuk lemah tenaga batin atau disfungsi seksual bagi wanita ialah: [1]
- Hilang kemahuan seksual
- Kurang rangsangan seksual atau sukar terangsang
- Sukar untuk mencapai orgasma atau klimaks walaupun mendapat rangsangan mencukupi
- Rasa sakit semasa berlakunya sentuhan faraj atau rangsangan seksual
Berikut adalah 6 makanan atau herba yang boleh membantu menguatkan tenaga batin wanita.
1. Saffron
Saffron ialah herba yang diperolehi daripada bunga Crocus sativus.
Herba ini mempunyai banyak kegunaan termasuklah boleh membantu merangsang dan meningkatkan nafsu.
Satu kajian telah dijalankan terhadap 38 orang wanita yang mengalami masalah disfungsi seksual akibat ubat antidepresi. Pesakit diberikan 30mg saffron setiap hari selama 4 minggu.
Hasil kajian mendapati pesakit yang menerima saffron menunjukkan penambah baikan dari segi rangsangan dan pelinciran. [2]
Di samping itu juga, analisis terhadap 5 kajian lain turut mendapati saffron berkesan untuk membantu menambah baik disfungsi seksual dalam kalangan wanita dan lelaki.[3]
2. Ginseng
Selain itu, ginseng juga adalah makanan herba yang turut boleh membantu menguatkan tenaga batin bagi wanita.
Kajian selama 20 minggu yang dijalankan terhadap 32 orang wanita menopaus mendapati ginseng merah boleh membantu meningkatkan kemahuan seksual dalam kalangan mereka yang mengambil ginseng ini. [4]
Kajian lain turut mendapati ekstrak ginseng merah boleh membantu memulihkan fungsi seksual seperti kemahuan, rangsangan, orgasma dan kepuasan dalam kalangan wanita pramenopaus yang mengalami masalah disfungsi seksual. [5]
Walau bagaimanapun, ginseng merah mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit kepala atau sakit perut kepada sesetengah orang.
3. Halba
Halba adalah herba biasa digunakan dalam makanan. Sebenarnya, herba ini turut mempunyai khasiat terhadap tenaga batin wanita.
Halba mengandungi sebatian yang digunakan oleh badan untuk menghasilkan hormon estrogen iaitu hormon seksual wanita. [6]
Kajian yang dijalankan terhadap 80 orang wanita sihat mendapati halba boleh meningkatkan kemahuan dan ransangan seksual dalam kalangan wanita.
Halba ini juga meningkatkan hormon estrogen dan testosteron bebas dalam kumpulan yang menerima ekstrak halba. [7]
4. Tribulus Terrestris
Tribulus Terrestris ialah tumbuhan herba yang akar dan buahnya digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan Ayurveda.
Tribulus ini telah digunakan sejak dahulu lagi untuk meningkatkan prestasi atlet dan ahli bina badan. Tumbuhan ini juga didapati turut mempunyai manfaat kepada mereka yang mempunyai masalah seksual dan kesuburan.
Kajian yang dijalankan terhadap 67 orang wanita yang mengalami masalah lemah tenaga batin mendapati kumpulan yang menerima Tribulus terrestris ini menunjukkan peningkatan terhadap kemahuan, rangsangan, pelinciran, kepuasan seksual dan mengurangkan kesakitan. [8]
Keberkesanan Tribulus terrestris ini turut diuji terhadap wanita yang mengalami kecelaruan keinginan seks hipoaktif.
Kajian terhadap 40 orang wanita yang mengalami kecelaruan ini mendapati Tribulus berkesan mengurangkan simptom-simptom berkaitan kecelaruan keinginan seks hipoaktif ini. [9]
5. Ginkgo Biloba
Ginkgo biloba adalah tumbuhan purba yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina.
Ginkgo biloba dikatakan boleh merangsang nafsu pemakannya dengan meningkatkan aliran darah dan mengendurkan salur darah.
Kajian yang dijalankan terhadap 99 orang wanita yang mengalami lemah tenaga batin mendapati ekstrak Ginkgo biloba mempunyai kesan yang kecil tetapi ketara terhadap rangsangan seksual wanita-wanita ini.
Walau bagaimanapun, pengambilan ekstrak Ginkgo pada jangka masa yang panjang tidak menunjukkan peningkatan rangsangan seksual melebihi ubat. [10]
Terdapat juga kajian yang mendapati tiada kesan penambah baikan yang ketara bagi pengambilan ekstrak Ginkgo berbanding pengambilan ubat terhadap masalah seksual dalam kalangan lelaki dan wanita.[11]
Ginkgo biloba mungkin boleh merangsang nafsu pemakannya, namun kajian menunjukkan keputusan yang tidak konsisten.
6. Kacip Fatimah
Kacip Fatimah adalah tumbuhan herba yang popular bagi masyarakat di negara ini.
Kacip Fatimah dipercayai boleh membantu mengawal selia kitaran darah dan membekalkan tenaga buat wanita.
Tumbuhan herba ini juga digunakan dalam perubatan tradisional untuk meningkatkan nafsu wanita.
Namun tiada kajian yang khusus dijalankan terhadap Kacip Fatimah akan peranannya dalam mengatasi masalah lemah tenaga batin atau kemahuan seksual.
Terdapat kajian yang mendapati Kacip Fatimah mempunyai kesan afrodisiak seperti Tongkat Ali. [12]
Afrodisiak ialah istilah yang diberikan terhadap ubat atau agen yang boleh merangsang nafsu dan keupayaan untuk melakukan hubungan intim.
Cara Lain Yang Boleh Menguatkan Tenaga Batin Wanita
Selain penjagaan makanan, terdapat faktor atau cara lain yang boleh dilakukan untuk menguatkan tenaga batin wanita.
Antaranya ialah:
a) Tidur yang cukup
Tidur yang cukup juga penting untuk kesihatan seksual.
Terdapat kajian yang mengaitkan tidur yang panjang dengan kemahuan seksual yang lebih tinggi pada keesokkan harinya.
b) Kurangkan stres atau tekanan
Tekanan atau stres boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan termasuklah kepada tenaga batin.
Terdapat kajian yang mendapati stres di tempat kerja boleh menyebabkan masalah seksual dalam kalangan wanita.
c) Bersenam
Bersenam atau kekal aktif boleh membantu menguatkan tenaga batin anda.
Terdapat kajian yang menunjukkan senaman boleh meningkatkan kemahuan seksual dan keterangsangan dalam kalangan wanita yang menghidap PCOS.
Rumusan
Masalah lemah tenaga batin bukan boleh terjadi kepada lelaki sahaja. Bahkan, wanita juga boleh mengalami masalah lemah tenaga batin dan hilang kemahuan seksual.
Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini dan salah satu daripadanya ialah melalui pemakanan makanan yang boleh menguatkan tenaga batin bagi wanita tersebut.
Dapatkan nasihat doktor atau pakar sakit puan jika anda mengalami masalah lemah tenaga batin atau hilang kemahuan seksual.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2018). Female sexual dysfunction. Mayo Clinic [diakses pada 9 Disember 2020].
- Kashani, L., et al. (2013). Saffron for treatment of fluoxetine-induced sexual dysfunction in women: randomized double-blind placebo-controlled study. Human psychopharmacology.
- Ranjbar, H., & Ashrafizaveh, A. (2019). Effects of saffron (Crocus sativus) on sexual dysfunction among men and women: A systematic review and meta-analysis. Avicenna journal of phytomedicine.
- Oh, K. J., et al. (2010). Effects of Korean red ginseng on sexual arousal in menopausal women: placebo-controlled, double-blind crossover clinical study. The journal of sexual medicine.
- Chung, H. S., et al. (2015). The Effect of Korean Red Ginseng on Sexual Function in Premenopausal Women: Placebo-Controlled, Double-Blind, Crossover Clinical Trial. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Sreeja, S., et al. (2010). In vitro estrogenic activities of fenugreek Trigonella foenum graecum seeds. The Indian journal of medical research.
- Rao, A., et al. (2015). Influence of a Specialized Trigonella foenum-graecum Seed Extract (Libifem), on Testosterone, Estradiol and Sexual Function in Healthy Menstruating Women, a Randomised Placebo Controlled Study. Phytotherapy research.
- Akhtari, E., et al. (2014). Tribulus terrestris for treatment of sexual dysfunction in women: randomized double-blind placebo – controlled study. Daru : journal of Faculty of Pharmacy, Tehran University of Medical Sciences.
- Vale, F., et al. (2018). Efficacy of Tribulus Terrestris for the treatment of premenopausal women with hypoactive sexual desire disorder: a randomized double-blinded, placebo-controlled trial. Gynecological endocrinology.
- Meston, C. M., et al. (2008). Short- and long-term effects of Ginkgo biloba extract on sexual dysfunction in women. Archives of sexual behavior.
- Wheatley D. (2004). Triple-blind, placebo-controlled trial of Ginkgo biloba in sexual dysfunction due to antidepressant drugs. Human psychopharmacology.
- Osman, Asiah et al. (2007). Determination of bioactive peptide (4.3 KDA) as an aphrodisiac marker in six Malaysian plants. Journal of Tropical Forest Science.