Membekalkan badan anda dengan makanan tertentu boleh menguatkan sistem imun badan dan juga menambah darah putih. Jika anda merancang untuk mencari makanan untuk menambah darah putih dan meningkatkan keimunan badan, makanan-makanan yang disenaraikan ini perlu ada dalam diet harian anda.
Sesetengah orang boleh mengalami bilangan sel darah putih yang rendah atau turut dikenali sebagai leukopenia. Bilangan sel darah putih yang rendah ini boleh berlaku disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan atau kekurangan vitamin dan mineral tertentu.
Rawatan kanser seperti kemoterapi juga boleh menyebabkan bilangan sel darah putih menjadi rendah. Namun, bagi kebanyakan pesakit, mereka boleh memulihkan bilangan sel darah putih dengan lebih cepat.
Tiada jalan ringkas yang boleh menguatkan sistem imun badan anda melainkan anda mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil makanan-makanan yang boleh membantu meningkatkan keimunan badan termasuklah yang boleh menambah sel-sel darah putih dan melawan keradangan.
Sel darah putih adalah bahagian penting sistem imun yang melawan bakteria dan virus serta bekerja untuk melambatkan atau menghentikan penyakit yang boleh disebabkan oleh kuman ini.
Meningkatkan bilangan sel-sel darah putih adalah penting bagi mereka yang mengalami kekurangannya.
Berikut adalah makanan-makanan yang boleh membantu menambah darah putih dan menguatkan keimunan badan.
1. Jambu Batu
Jambu batu adalah buah-buahan tempatan yang tinggi dengan vitamin C. Malah, kandungan vitamin C dalam buah jambu batu adalah lebih tinggi daripada oren.
Vitamin C boleh membantu meningkatkan penghasilan sel-sel darah putih, yang seterusnya membantu melawan jangkitan. [1]
Oleh sebab badan tidak menghasilkan atau menyimpan vitamin C, maka anda perlu mendapatkan vitamin C setiap hari melalui makanan. Jumlah vitamin C yang disarankan setiap hari adalah sebanyak:
- 70 mg untuk lelaki
- 70 mg untuk wanita
2. Ikan Berlemak
Ikan berlemak adalah sumber yang baik untuk mendapatkan lemak sihat seperti DHA dan EPA atau turut dikenali sebagai asid lemak Omega-3.
Asid lemak Omega-3 juga memainkan peranan penting terhadap sistem imun badan dengan meningkatkan bilangan sel-sel darah putih dan melambatkan kematian sel-sel darah putih. [2]
Anda boleh mendapatkan asid lemak Omega-3 daripada ikan-ikan berikut:
- Ikan salmon
- Ikan tuna/tongkol
- Ikan mackerel
- Ikan sardin
- Ikan kembung
- Ikan tenggiri
3. Daging Merah dan Poultri
Daging merah dan poultri (daging ayam dan itik) adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein yang berkualiti tinggi.
Bagi pesakit kanser, protein yang berkualiti tinggi adalah penting kerana badan memerlukan asid amino daripada protein yang dimakan untuk menghasilkan sel-sel darah putih yang baru.
Selain itu, daging merah dan poultri ini juga merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan mineral zink. Mineral zink juga memainkan peranan penting terhadap sistem imun termasuklah fungsi sel-sel darah putih. [3]
4. Kekacang
Kekacang seperti kacang badam, kacang hazel atau kacang pistasio adalah antara contoh kekacang yang boleh membantu menambah darah putih dan menguatkan sistem imun badan.
Kacang-kacang ini kaya dengan kandungan vitamin E. Seperti vitamin C, vitamin E juga bertindak sebagai antioksidan dan menguatkan sistem imun.
Kajian menunjukkan vitamin E boleh menambah baik tindak balas sistem imun. Manakala, kekurangan vitamin E dilaporkan boleh mengurangkan penghasilan antibodi dan menjejaskan bilangan sel darah putih. [4]
5. Bawang Putih
Bawang putih yang selalu digunakan dalam masakan juga boleh membantu menambah sel-sel darah putih dan menguatkan sistem imun badan.
Khasiat bawang putih ini ada dilaporkan dalam satu kajian yang melibatkan haiwan. Kajian tersebut mendapati bawang putih dan minyak bawang putih boleh meningkatkan bilangan sel-sel darah putih sebanyak 140-148%. [5]
6. Yogurt
Anda juga boleh menambah yogurt dalam diet harian anda sekiranya anda ingin menambah sel-sel darah putih dan menguatkan sistem imun.
Jika anda memilih yogurt, pastikan yogurt yang dibeli itu mengandungi kultur hidup atau probiotik seperti Lactobacillus bulgaricus, Streptococcus thermophiles atau Bifidobacteria.
Kajian menunjukkan pengambilan probiotik boleh membantu mengurangkan jangkitan dan tempoh jangkitan. [6]
Selain itu, yogurt juga boleh menjadi sumber protein yang baik untuk badan kerana ia boleh digunakan oleh tubuh untuk membuat sel-sel darah putih.
7. Halia
Halia juga merupakan makanan yang baik untuk menambah sel-sel darah putih dan mengurangkan keradangan.
Halia mempunyai khasiat yang pelbagai termasuklah membantu mengatasi masalah berkaitan ketidakhadaman, sembelit, ulser, sakit sendi, loya, muntah, penyakit kardiovaskular dan lain-lain lagi.
Dalam konteks sistem imun badan, terdapat kajian yang mendedahkan bahawa ekstrak halia boleh meningkatkan paras antibodi, IgM dalam kalangan mereka yang tidak merokok. [7]
Antibodi jenis ini adalah antibodi yang menjadi barisan hadapan dalam melindungi badan anda daripada jangkitan. Peningkatan paras antibodi ini juga bermakna berlaku peningkatan paras sel-sel darah putih dalam badan anda.
8. Makanan Laut
Makanan laut seperti tiram, kepah atau kerang adalah sumber yang baik untuk mendapatkan mineral zink.
Mineral zink adalah nutrien penting yang membantu meningkatkan fungsi sistem imun. Kekurangan mineral zink boleh menjejaskan pertumbuhan dan fungsi sel-sel darah putih. [8]
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan mineral zink daripada makanan seperti kekacang, biji-bijian, daging dan hati lembu.
9. Ikan Bilis
Ikan bilis adalah makanan yang baik untuk menambah darah putih kerana kandungan protein dan selenium yang tinggi.
Selenium turut mempunyai peranan penting terhadap fungsi sistem imun terutamanya kepada fungsi sel-sel darah putih yang dikenali sebagai neutrofil dan limfosit.
Terdapat kajian yang mendapati pengambilan selenium boleh mengurangkan kes-kes neutropenia iaitu kekurangan sel-sel darah putih (neutrofil) dalam kalangan pesakit kanser.
Tambahan daripada itu juga, pengambilan selenium boleh meningkatkan paras antibodi dalam kalangan pesakit yang mempunyai tumor.
Walau bagaimanapun, pengambilan selenium ini mengurangkan paras antibodi (IgG dan IgA) dalam kalangan pesakit leukemia dan limfoma. [9]
10. Telur
Telur adalah salah satu makanan yang mengandungi banyak nutrien-nutrien penting yang bermanfaat kepada kesihatan badan termasuklah sistem imun.
Telur adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein yang berkualiti tinggi. Pengambilan telur boleh membekalkan sumber protein yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan sel-sel darah putih.
Tambahan itu, protein telur juga didapati mempunyai kesan terhadap pengawalan keimunan dan antimikrob. [10]
Meskipun begitu, sekiranya anda mempunyai bilangan darah putih yang rendah, pastikan memasak telur dengan sempurna sebelum memakannya. Elakkan memakan telur mentah atau separuh masak bagi mengelakkan jangkitan.
Rumusan
Bilangan sel-sel darah putih yang rendah atau leukopenia boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor. Keadaan ini meningkatkan risiko untuk seseorang itu terkena jangkitan.
10 makanan yang dinyatakan di atas boleh membantu menambah darah putih dan meningkatkan kekuatan sistem imun badan.
Justeru itu, pastikan anda menambah makanan-makanan tersebut dalam senarai barangan runcit anda!
Rujukan
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Svahn, S. L. et al. (2019). Dietary Polyunsaturated Fatty Acids Promote Neutrophil Accumulation in the Spleen by Altering Chemotaxis and Delaying Cell Death. Infection and immunity.
- Shankar, A. H., & Prasad, A. S. (1998). Zinc and immune function: the biological basis of altered resistance to infection. The American journal of clinical nutrition.
- Lewis, E. D. et al. (2019). Regulatory role of vitamin E in the immune system and inflammation. IUBMB life.
- Han, W. et al. (2019). The potential agents from food for preventing leukopenia induced by benzene: garlic preparations. Toxicology mechanisms and methods.
- Haywood, B. A. et al. (2014). Probiotic supplementation reduces the duration and incidence of infections but not severity in elite rugby union players. Journal of science and medicine in sport.
- Mahassni, S. H. & Bukhari, O. A. (2019). Beneficial effects of an aqueous ginger extract on the immune system cells and antibodies, hematology, and thyroid hormones in male smokers and non-smokers. Journal of Nutrition & Intermediary Metabolism.
- Prasad A. S. (2008). Zinc in human health: effect of zinc on immune cells. Molecular medicine.
- Rocha, K. C. et al. (2016). Impact of Selenium Supplementation in Neutropenia and Immunoglobulin Production in Childhood Cancer Patients. Journal of medicinal food.
- Batiha, G. E. et al. (2021). Dairy-Derived and Egg White Proteins in Enhancing Immune System Against COVID-19. Frontiers in nutrition.