Probiotik ialah mikroorganisma yang mempunyai khasiat kesihatan kepada mereka yang mengambilnya. Probiotik ini boleh didapati dalam sesetengah makanan. Terdapat kira-kira 10 makanan yang kaya dengan probiotik yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang sedang mencari sumber probiotik.
Probiotik biasanya terdiri daripada pelbagai bakteria atau yis. Bakteria baik seperti Lactobacillus dan Bifidobacterium adalah kumpulan bakteria yang biasanya dikelaskan sebagai probiotik. Selain itu, yis seperti Saccharomyces boulardii juga turut dikelaskan sebagai probiotik.
Probiotik mempunyai banyak fungsi atau kesan terhadap kesihatan tubuh badan dan probiotik yang berbeza mungkin mempunyai kesan yang berbeza. Antara kegunaan probiotik adalah untuk merawat penyakit seperti:
- Ekzema
- Alahan makanan
- Menguatkan sistem imun
- Membuang kesan antibiotik
- Merawat keradangan dalam usus
- Jangkitan yis pada faraj
- Jangkitan salur kencing
- Sindrom usus rengsa
- Cirit-birit
- Mencegah kanser kolon (usus)
Berikut adalah makanan yang kaya dengan probiotik yang boleh didapati di negara ini atau negara luar.
1. Yogurt
Yogurt atau minuman yogurt adalah antara sumber yang terbaik untuk mendapatkan probiotik.
Yogut terhasil daripada proses penapaian susu dengan bakteria baik seperti bakteria asid laktik dan bifidobakteria.
Yogurt mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan badan terutamanya dalam mengawal selia sistem pencernaan dengan mengurangkan angin (gas), cirit-birit, sembelit dan kembung perut.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa yogurt boleh mencegah kesan daripada antibiotik dalam kalangan kanak-kanak. [1]
Terdapat juga kajian yang mendapati yogurt boleh menambah baik masalah penghadaman dan kesihatan usus dalam kalangan orang dewasa. [2]
Beberapa perkara yang harus diingat bahawa yogurt yang dijual dipasaran tidak semuanya memiliki probiotik hidup. Oleh itu, semasa membeli yogurt pastikan anda melihat bahawa yogurt tersebut mengandungi kultur hidup atau aktif.
2. Tempe
Tempe atau tempeh adalah produk makanan tradisional berasaskan soya yang berasal dari Indonesia. Tempe ialah kacang soya yang telah dimasak dan difermentasi secara terkawal menggunakan kultur pemula seperti Rhizofus sp.
Tempe kini boleh didapati di banyak tempat di seluruh dunia. Tempe turut dihasilkan secara tempatan di Malaysia dan digunakan dalam pelbagai masakan.
Selain mempunyai kebaikan probiotik, tempe juga didapati mempunyai potensi dalam melindungi sel-sel saraf daripada kerosakan. [3]
Di samping itu juga, tempe juga adalah makanan yang tinggi dengan kandungan protein yang boleh menggantikan daging kerana memiliki kesemua 9 asid amino perlu.
3. Jeruk Timun Batang
Jeruk timun batang adalah makanan yang turut kaya dengan probiotik. Jeruk ini dihasilkan dengan merendam timun batang ke dalam larutan air bercampur dengan garam.
Rendaman timun batang ini diperam (ditapai) menggunakan bakteria asid laktik yang wujud secara semulajadi dalam makanan ini. Ini membuatkan jeruk timun batang ini masam.
Walau bagaimanapun harus diingat jika jeruk ini dihasilkan menggunakan cuka, maka jeruk ini tidak mengandungi probiotik hidup.
Selain mempunyai khasiat untuk sistem penghadaman, jeruk timun batang ini juga turut mengandungi vitamin K yang membantu dalam pembekuan darah (membantu penyembuhan luka).
4. Kefir
Kefir ialah minuman yang dihasilkan melalui gabungan susu dan bijirin kefir yang telah ditapai. Kefir ialah minuman yang berasal dari Rusia dan Turki.
Proses penapaian menjadikan kefir ini tinggi dengan probiotik dan rendah dengan laktosa. Ini menjadikan kefir ini sesuai untuk mereka yang tak tolerans laktosa.
Selain kaya dengan probiotik, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa kefir turut mempunyai ciri-ciri antikanser. [4]
5. Kimchi
Kimchi ialah makanan Korea yang dihasilkan daripada penapaian kubis dan dicampur dengan pelbagai perisa lain seperti serbuk cili merah, bawang putih, bawang besar, halia dan garam.
Selain kubis, kimchi juga boleh dihasilkan daripada jenis sayur-sayuran yang lain.
Kimchi mengandungi bakteria asid laktik yang tersendiri yang dikenali sebagai Lactobacillus kimchii serta bakteria asid laktik yang lain. [5]
Kimchi mempunyai banyak khasiat. Antaranya adalah seperti:
- Antikanser
- Antiobesiti
- Boleh mencegah sembelit
- Menyihatkan usus
- Mengurangkan kolesterol
6. Kombucha atau Cendawan Mekah
Kombucha atau cendawan mekah adalah minuman yang dihasilkan melalui penapaian teh hitam atau teh hijau dangan koloni bakteria atau yis baik.
Minuman ini pada awalnya popular dalam kalangan penduduk di Asia dan kini boleh didapati di banyak tempat diseluruh dunia.
Minuman cendawan mekah atau alga mekah ini dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Khasiat minuman ini mungkin disumbang oleh kandungan probiotiknya.
7. Tapai
Terdapat dua jenis tapai yang popular di Malaysia iaitu tapai pulut atau tapai ubi. Tapai ini dihasilkan dengan mencampurkan beras pulut atau ubi kayu dengan ragi.
Kemudian, campuran ini akan diperam atau ditapai selama 1 atau 2 malam.
Kajian menunjukkan tapai (tapai ubi) ini mengandungi bakteria asid laktik seperti Lactobacillus casei (L. casei) iaitu bakteria baik yang turut dikategorikan sebagai probiotik. [6]
8. Tempoyak
Tempoyak ialah durian yang telah melalui proses penapaian atau fermentasi. Tempoyak ini dihasilkan dengan mencampurkan isi durian dengan sedikit garam dan disimpan pada suhu bilik selama 3 atau 5 hari.
Tempoyak biasanya dimakan dengan dimasukkan dalam masakan seperti gulai tempoyak atau dijadikan sambal tempoyak.
Kajian menunjukkan tempoyak turut mengandungi bakteria asid laktik seperti Lactobacillus casei (L.casei) yang merupakan probiotik. [6]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati tempoyak mengandungi bakteria asid laktik dari strain Lactobacillus plantarum yang turut mempunyai ciri-ciri probiotik. [7]
9. Susu Mentega
Susu mentega adalah minuman tenusu yang telah melalui proses penapaian. Terdapat 2 jenis susu mentega iaitu tradisional dan kultur.
Susu mentega tradisional ini ialah cecair lebihan daripada proses pembuatan mentega. Hanya susu mentega tradisional ini dikatakan mempunyai probotik.
Walau bagaimanapun, kini terdapat juga susu mentega kultur yang mengandungi probiotik. Susu mentega kultur ini dihasilkan dengan cara penapaian susu skim atau susu lemak rendah dengan kultur yang mengandungi bakteria asid laktik seperti Lactococcus lactis atau Lactobacillus bulgaricus.
10. Sesetengah Keju
Sesetengah keju juga turut mengandungi probiotik.
Bakteria baik biasanya boleh hidup dalam sesetengah jenis keju seperti keju mozzarella, cheddar, Gouda dan keju cottage. [8, 9]
Walau bagaimanapun, pengguna harus memastikan produk keju yang dibeli tersebut ada melabelkan mengandungi kultur hidup atau aktif.
Rumusan
Makanan yang kaya dengan probiotik ini sangat bermanfaat kepada kesihatan kita. Probiotik mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia terutamanya untuk sistem penghadaman.
Selain 10 makanan yang dinyatakan di sini, terdapat banyak lagi makanan lain yang turut mengandungi probiotik.
Selain itu juga, probiotik juga boleh didapati dalam bentuk suplemen.
Rujukan
- Fox, M. J. et al. (2015). Can probiotic yogurt prevent diarrhoea in children on antibiotics? A double-blind, randomised, placebo-controlled study. BMJ open.
- Guyonnet, D. et al. (2009). Fermented milk containing Bifidobacterium lactis DN-173 010 improves gastrointestinal well-being and digestive symptoms in women reporting minor digestive symptoms: a randomised, double-blind, parallel, controlled study. The British journal of nutrition.
- Hwang, J. H. et al. (2019). Neuroprotective effect of tempeh against lipopolysaccharide-induced damage in BV-2 microglial cells. Nutritional neuroscience.
- Sharifi, M. et al. (2017). Kefir: a powerful probiotics with anticancer properties. Medical oncology.
- Yoon, J. H. et al. (2000). Lactobacillus kimchii sp. nov., a new species from kimchi. International journal of systematic and evolutionary microbiology.
- Mohd Adnan, A. F., & Tan, I. K. (2007). Isolation of lactic acid bacteria from Malaysian foods and assessment of the isolates for industrial potential. Bioresource technology.
- Ahmad, A. et al. (2018). Probiotic potentials of Lactobacillus plantarum isolated from fermented durian (Tempoyak), a Malaysian traditional condiment. Food science & nutrition.
- Ganesan, B. et al. (2014). Probiotic bacteria survive in Cheddar cheese and modify populations of other lactic acid bacteria. Journal of applied microbiology.
- Ortakci, F. et al. (2012). Survival of microencapsulated probiotic Lactobacillus paracasei LBC-1e during manufacture of Mozzarella cheese and simulated gastric digestion. Journal of dairy science.