Mengapa perlu mengehadkan pengambilan makanan diproses ultra? Kenapa makanan diproses ultra tidak baik untuk anda? Apakah perbezaan makanan diproses ultra dengan makanan diproses lain?
Persoalan-persoalan ini mungkin bermain di fikiran anda sekiranya anda terbaca mengenai saranan untuk mengelakkan atau mengehadkan makanan-makanan seperti ini oleh badan kesihatan atau doktor anda.
Bagi merungkai persoalan-persoalan tersebut, kami senaraikan penjelasan lanjut mengenai makanan diproses ultra dan senarai contoh makanan tersebut.

Apa itu Makanan Diproses Ultra?
Makanan diproses ultra adalah makanan yang mengandungi bahan tiruan seperti pengawet, pewarna, pemanis, perisa, pemekat, pengemulsi dan bahan tambahan lain bagi meningkatkan kesedapan dan jangka hayat makanan tersebut.
Makanan jenis ini kebanyakannya dibuat daripada bahan yang diekstrak daripada makanan lain seperti lemak, kanji, gula tambahan dan lemak terhidrogenasi.
Ini menjadikan makanan tersebut turut tinggi dengan lemak, gula tambahan dan garam.
Perbezaan Antara Makanan Diproses dan Makanan Diproses Ultra
Mengikut definisinya, makanan diproses adalah makanan yang telah diubah daripada bentuk asalnya. International Food Information Council mentakrifkan pemprosesan sebagai “sebarang perubahan yang disengajakan dalam makanan yang berlaku sebelum ia sedia untuk dimakan.”
Pemanasan, pempasteuran, pengetinan dan pengeringan semuanya dianggap sebagai bentuk pemprosesan.
Tetapi teknik penyediaan dan pengawetan asas pastinya tidak menjadikan makanan berkhasiat (seperti bijirin penuh dan sayur-sayuran beku) menjadi “remeh (junk)”.
Hanya kerana sesuatu telah melalui pemprosesan tidak bermakna ia tidak sihat untuk dimakan.
Menurut pengelasan NOVA yang diperkenalkan oleh kumpulan penyelidik Brazil, makanan diproses ialah produk mudah yang dihasilkan dengan menambah gula, minyak, garam atau ramuan kulinari yang diproses ke dalam makanan tidak diproses. [1]
Kebanyakan makanan diproses mempunyai 2 atau 3 ramuan. Proses-proses termasuk pelbagai kaedah pengawetan atau memasak dan dalam kes roti dan keju, penapaian bukan alkohol.
Makanan diproses ultra pula adalah makanan daripada formulasi industri yang lazimnya mengandungi 5 atau lebih ramuan. [1]
Makanan tidak diproses hanyalah mewakili sebahagian kecil atau bahkan tidak terdapat dalam produk diproses ultra.
Kenapa Makanan Diproses Ultra Tidak Baik untuk Anda?
Pengambilan makanan diproses ultra dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan.
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan bahawa peningkatan pengambilan makanan yang diproses ultra boleh meningkatkan risiko kepada penyakit atau masalah kesihatan berikut:
- Kanser [2]
- Penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung [3]
- Diabetes [4]
- Berat badan berlebihan atau obesiti [5]
Senarai Makanan Diproses Ultra
Berikut adalah contoh senarai makanan diproses ultra yang mudah didapati di pasaran:
- Mi segera
- Nuget ayam
- Burger
- Hotdog/sosej
- Kerepek atau keropok
- Kentang goreng berperisa
- Bijirin sarapan yang manis
- Roti putih
- Biskut berperisa tiruan
- Minuman berkarbonat
- Minuman tenaga
- Aiskrim
- Bar tenaga
- Kek
- Pastri
- Sup segera
- Marjerin
- Coklat
- Gula-gula
- Sos segera
- Piza segera
- Pasta segera
- Alkohol
Alternatif Kepada Makanan Diproses Ultra
Memahami bagaimana sesuatu makanan disediakan boleh menjadi langkah yang berguna dalam meminimumkan pengambilan makanan jenis ini.
Rajin membaca label ramuan (bahan-bahan) juga boleh membantu anda memilih produk dengan bahan yang lebih sedikit.
Memasak dirumah adalah salah satu cara untuk mengurangkan pengambilan makanan yang diproses ultra.
Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, mendapatkan makanan lengkap yang tidak diproses bukanlah mudah, sama ada ia melibatkan isu kemampuan, ketersediaan atau ketercapaian.
Namun, anda mungkin boleh membuat perubahan kecil untuk mengubah suai jumlah makanan diproses ultra dalam diet anda.
Rujukan
- Monteiro, C. A. et al. (2016). NOVA. The star shines bright. Food classification. Public health. World Nutrition.
- Kliemann, N. et al. (2022). Ultra-processed foods and cancer risk: from global food systems to individual exposures and mechanisms. British journal of cancer.
- Srour, B. et al. (2019). Ultra-processed food intake and risk of cardiovascular disease: prospective cohort study (NutriNet-Santé). BMJ.
- Srour, B. et al. (2020). Ultraprocessed Food Consumption and Risk of Type 2 Diabetes Among Participants of the NutriNet-Santé Prospective Cohort. JAMA internal medicine.
- Beslay, M. et al. (2020). Ultra-processed food intake in association with BMI change and risk of overweight and obesity: A prospective analysis of the French NutriNet-Santé cohort. PLoS medicine.