Sekiranya anda sedang merancang untuk mengandung atau sedang berusaha untuk mengandung, pemakanan boleh membantu meningkatkan tahap kesuburan anda. Artikel ini menyenaraikan makanan yang baik untuk kesuburan wanita yang merancang untuk mengandung atau hamil.
Secara umumnya, pemakanan yang sihat dan seimbang adalah kunci utama kepada kesihatan secara keseluruhan serta kesuburan. Ia tidak tertakluk kepada wanita sahaja, malah lelaki juga perlu menjaga pemakanan mereka.
Harus diingat juga, pemilihan makanan juga tidak dapat mengatasi atau mengubati masalah-masalah kesuburan yang berkaitan dengan penyakit atau keadaan perubatan tertentu. Sebaliknya, anda perlu mendapatkan rawatan yang tepat daripada ahli profesional kesihatan (doktor).

Bagi anda yang ingin meningkatkan kesuburan, berikut adalah makanan-makanan yang baik untuk kesuburan wanita yang boleh disertakan dalam diet harian anda.
1. Kacang Ginjal
Kacang ginjal adalah legum yang kaya dengan kandungan protein, serat dan folat di samping vitamin dan mineral yang lain.
Menariknya, kajian melaporkan bahawa pengambilan protein daripada tumbuhan berbanding protein daripada haiwan boleh meningkatkan kesuburan. [1]
Di samping itu juga, kandungan folat yang tinggi dalam kacang ginjal juga bermanfaat kepada wanita yang merancang untuk hamil kerana boleh mencegah daripada kecacatan tiub saraf bagi anak dalam kandungan.
2. Pisang
Pisang adalah buah yang padat dengan pelbagai nutrien.
Sebiji pisang yang bersaiz sederhana boleh memenuhi keperluan 6% keperluan folat harian, 31% keperluan vitamin B6 harian serta vitamin dan mineral yang lain.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa wanita yang tidak subur didapati mempunyai paras vitamin B6 yang rendah berbanding wanita yang subur. [2]
3. Ikan Berlemak
Ikan berlemak adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein dan asid lemak Omega-3 (minyak ikan).
Asid lemak Omega-3 didapati boleh meningkatkan kadar kehamilan bagi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes yang menjalani rawatan IVF. [3]
Walau bagaimanapun, ikan berlemak bersaiz besar dari laut seperti ikan yu, ikan tenggiri atau ikan tuna adalah tinggi dengan paras merkuri.
Oleh itu, pilihlah ikan berlemak yang rendah paras merkuri seperti:
- Ikan sardin
- Ikan siakap
- Ikan kembung
- Ikan bilis
- Ikan bawal
4. Ikan Salmon
Makanan untuk kesuburan wanita yang seterusnya adalah ikan salmon.
Ikan salmon adalah makanan yang baik untuk mendapatkan vitamin D. Selain daripada cahaya matahari, vitamin D juga boleh diperolehi melalui makanan seperti ikan salmon atau produk makanan yang diperkaya dengan vitamin D.
Vitamin D juga didapati mempunyai peranan terhadap kesuburan wanita. Wanita yang mempunyai pengambilan vitamin D yang rendah daripada jumlah yang disarankan mungkin mengalami kesukaran untuk hamil.
Kekurangan vitamin D juga turut dikaitkan dengan keadaan kesihatan seperti PCOS (polycystic ovary syndrome) dan boleh menjejaskan hasil rawatan kesuburan seperti IVF. [4]
5. Limau Gedang
Buah limau gedang dan buah-buahan sitrus yang lain merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C dan nutrien yang lain.
Istimewanya juga, buah sitrus seperti limau gedang turut mengandungi sebatian yang dikenali sebagai polyamines putrescine. Maklumat-maklumat kajian terkini menunjukkan sebatian ini mempunyai potensi dalam meningkatkan kesuburan. [5]
6. Tiram
Makanan laut seperti tiram juga turut baik untuk kesuburan wanita.
Tiram tinggi dengan kandungan vitamin B12, zink, selenium dan zat besi. Mikronutrien ini mempunyai peranan penting terhadap kesuburan wanita.
Kajian melaporkan bahawa wanita yang tidak subur mempunyai paras vitamin B12 yang rendah atau kekurangan vitamin B12. [6]
Terdapat juga kajian yang mendapati kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan keguguran janin dan pada jangka masa panjang boleh menyebabkan ketidaksuburan. [7]
7. Kuning Telur
Telur atau kuning telur juga merupakan makanan yang berkhasiat dan baik untuk kesuburan.
Telur boleh membekalkan nutrien-nutrien seperti protein, kalsium, zat besi, vitamin B6, folat dan vitamin B12. Sesetengah telur yang dijual dipasaran juga turut diperkaya dengan asid lemak Omega-3 (Omega-3) yang turut bermanfaat untuk kesuburan.
Selain itu, telur turut mengandungi kolina (choline) iaitu nutrien yang turut diperlukan dalam tumbesaran janin dan mengurangkan risiko kecacatan kelahiran. [8]
8. Kayu Manis
Pengambilan suplemen kayu manis dilaporkan boleh membantu menambah baik kitaran haid yang tidak teratur dalam kalangan penghidap PCOS iaitu keadaan yang lazimnya menyebabkan ketidaksuburan wanita. [9]
Kitaran haid yang teratur boleh meningkatkan peluang untuk seseorang wanita untuk mengandung.
9. Bijian Penuh
Pemakanan yang terdiri daripada bijian penuh seperti beras perang, gandum penuh, barli penuh atau quinoa boleh membantu meningkatkan kesuburan.
Pemakanan makanan yang terdiri daripada bijian diproses boleh mendatangkan impak negatif terhadap kesuburan. Hal ini demikian kerana makanan yang terdiri daripada bijian diproses boleh meningkatkan rintangan insulin, tekanan oksidatif dan paras lemak yang tinggi dalam darah. [10]
10. Susu Berlemak
Susu berlemak juga boleh membantu meningkatkan kesuburan berbanding susu rendah lemak.
Ini dibuktikan dalam satu kajian besar yang melibatkan 18,555 wanita yang mendapati wanita yang mengambil satu atau lebih hidangan susu berlemak atau produk susu berlemak (high-fat dairy) setiap hari adalah 27% lebih rendah untuk mengalami ketidaksuburan. [11]
Ringkasan
Senarai 10 makanan ini adalah antara makanan yang baik untuk kesuburan wanita. Secara asasnya, wanita boleh meningkatkan kesuburan mereka dengan memakan makanan yang terdiri daripada bijian penuh, asid lemak Omega-3, ikan, tiram atau kerang, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Selain pemakanan yang sihat, mempunyai gaya hidup yang aktif juga boleh membantu kesihatan wanita secara keseluruhannya termasuklah sistem reproduktif.
Rujukan
- Chavarro, J. E. et al. (2008). Protein intake and ovulatory infertility. American journal of obstetrics and gynecology.
- Grajecki, D. et al. (2012). The effect of micronutrient supplements on female fertility: a systematic review. Archives of gynecology and obstetrics.
- Moran, L. J. et al. (2016). Altered Preconception Fatty Acid Intake Is Associated with Improved Pregnancy Rates in Overweight and Obese Women Undertaking in Vitro Fertilisation. Nutrients.
- Lerchbaum, E., & Obermayer-Pietsch, B. (2012). Vitamin D and fertility: a systematic review. European journal of endocrinology.
- Lefèvre, P. L. et al. (2011). Polyamines on the reproductive landscape. Endocrine reviews.
- La Vecchia, I. et al. (2017). Folate, homocysteine and selected vitamins and minerals status in infertile women. The European journal of contraception & reproductive health care.
- Bennett M. (2001). Vitamin B12 deficiency, infertility and recurrent fetal loss. The Journal of reproductive medicine.
- Korsmo, H. W. et al. (2019). Choline: Exploring the Growing Science on Its Benefits for Moms and Babies. Nutrients.
- Kort, D. H., & Lobo, R. A. (2014). Preliminary evidence that cinnamon improves menstrual cyclicity in women with polycystic ovary syndrome: a randomized controlled trial. American journal of obstetrics and gynecology,.
- Skoracka, K. et al. (2021). Female Fertility and the Nutritional Approach: The Most Essential Aspects. Advances in nutrition.
- Chavarro, J. E. et al. (2007). A prospective study of dairy foods intake and anovulatory infertility. Human reproduction.