Sesetengah makanan mungkin bahaya untuk penghidap ekzema kerana makanan ini boleh mencetuskan gejala-gejala ekzema. Sesetengah orang mungkin lebih sensitif berbanding yang lain.
Walau bagaimanapun, anda boleh mengurangkan gejala-gejala ekzema sekiranya anda tahu makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan.
Ekzema ialah sejenis penyakit keradangan kulit. Ia turut dikenali sebagai dematitis atopik. Ia boleh menyebabkan gejala-gejala seperti iritasi, ruam yang gatal atau lepuh.

Ekzema biasanya berlaku semasa zaman kanak-kanak tetapi sesetengah orang mungkin masih mengalaminya ketika dewasa. Banyak faktor yang boleh menjadi punca kepada penyakit ini, antara adalah faktor keturunan dan persekitaran.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa ramai penghidap ekzema turut mempunyai alahan makanan atau sensitif terhadap makanan tertentu. [1]
Walau bagaimanapun, setiap orang adalah berbeza dan mengetahui keperluan makanan peribadi anda adalah penting untuk meminimumkan isu alahan dan ekzema.
Makanan yang Bahaya untuk Penghidap Ekzema
Bagi anda atau anak anda yang menghidap ekzema dan turut mengalami alahan makanan, makanan-makanan berikut mungkin perlu diberi perhatian kerana boleh mencetuskan tindak balas alahan:
- Susu lembu
- Kerang-kerangan
- Kacang tanah
- Telur
- Gandum
- Kekacang
- Kacang soya
- Ikan
- Bijan
Harus diingat bahawa tidak semua orang mempunyai tindak balas yang sama. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengenal pasti makanan yang sesuai untuk anda dan anak anda.
Makanan Mengandungi Nikel
Terdapat sejenis ekzema yang dikenali sebagai dyshidrotic eczema yang boleh menjadi lebih teruk sekiranya anda memakan makanan yang tinggi dengan kandungan nikel. [2]
Dyshidrotic eczema boleh menyebabkan gejala-gejala seperti lepuh-lepuh kecil pada tangan dan kaki.
Nikel turut terkandungan dalam sesetengah makanan seperti:
- Kacang soya
- Kicap
- Tauhu
- Kerang-kerangan
- Coklat
- Serbuk koko
- Kacang gajus
- Akar manis
- Buah ara (buah tin)
Menurut American Academy of Dermatology Association, bagi anda yang sangat sensitif terhadap nikel harus mengelakkan daripada memakan makanan yang mengandungi nikel.
Pemekaan Terhadap Debunga Birch
Sesetengah orang mungkin sensitif terhadap debunga daripada pokok Birch. Golongan ini mungkin memberikan tindak balas terhadap makanan tertentu.
Tindak balas ini dikenali sebagai sindrom alahan mulut dan bagi penghidap ekzema ia boleh memburukkan lagi gejala-gejala yang dialami. [3]
Kepekaan jenis ini lebih cenderung berlaku kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.
Golongan yang mempunyai pemekaan terhadap debunga birch mungkin bertindak balas terhadap makanan seperti:
- Saderi
- Lobak merah
- Buah pir
- Buah epal
- Kacang hazel
Makanan yang Menyebabkan Keradangan
Terdapat makanan-makanan yang boleh mencetuskan keradangan di dalam badan. Makanan-makanan seperti ini boleh mencetuskan gejala-gejala ekzema.
Antaranya adalah:
- Gula dan sirap jagung
- Makanan bergoreng
- Karbohidrat bertapis
- Alkohol
- Daging yang dimasak pada suhu yang tinggi
Diet Penyingkiran (Elimination Diet)
Diet penyingkiran ialah teknik yang boleh membantu menentukan makanan yang mungkin menyebabkan tindak balas.
Diet ini melibatkan pengelakan makanan atau kumpulan makanan tertentu buat sementara waktu iaitu selama beberapa minggu.
Sebelum memulakan diet penyingkiran, anda harus berbincang dengan doktor tentang gejala-gejala ekzema dan makanan yang boleh menyebabkan masalah.
Anda mungkin boleh membuat senarai kemungkinan “makanan pencetus” dengan nasihat doktor.
Sambil mengelak makanan tertentu, anda perlu memantau gejala-gejala untuk menentukan sama ada ia mereda.
Kemudian, anda perlu memperkenalkan semula makanan tersebut satu demi satu untuk menentukan sama ada gejala-gejala itu kembali atau tidak.
Ini boleh membantu anda mengetahui makanan pencetus yang mungkin menyebabkan masalah.
Rumusan
Walaupun pemakanan tidak selalu menjadi pencetus untuk ekzema, sesetengah orang mungkin mendapati bahawa gejala-gejala mereka semakin berkurangan apabila membuat perubahan dari segi pemakanan mereka.
Membuat perubahan ini dan memantau keputusan boleh membantu anda menentukan sama ada mengubah diet anda boleh membantu anda mengurangkan gejala-gejala ekzema yang dialami.
Rujukan
- Tsakok, T. et al. (2016). Does atopic dermatitis cause food allergy? A systematic review. The Journal of allergy and clinical immunology.
- Nishizawa A. (2016). Dyshidrotic Eczema and Its Relationship to Metal Allergy. Current problems in dermatology.
- Kim, K. I. et al. (2019). Clinical Characteristics of Oral Allergy Syndrome in Children with Atopic Dermatitis and Birch Sensitization: a Single Center Study. Journal of Korean medical science.
- Whelan, C. (2023). How To Create an Eczema-Friendly Diet. Healthline.