Apa itu Leukemia?
Leukemia adalah kanser darah dan tulang sumsum. Jenis leukemia bergantung kepada jenis sel darah yang menjadi kanser dan sama ada ia tumbuh dengan cepat atau perlahan.
Kanser boleh didefinasikan sebagai pertumbuhan tidak terkawal sel-sel yang abnormal. Kanser boleh terbentuk dimana-mana bahagian badan.
Bagi leukemia, pertumbuhan tidak terkawal sel-sel abnormal ini berlaku di dalam tulang sumsum. Sel-sel abnormal ini kemudiannya mengalir ke dalam salur darah.
Leukemia sedikit berbeza dengan kebanyakan kanser yang lain kerana ia tidak membentuk tumor (jisim) yang lazimnya boleh dilihat dalam ujian pengimejan.
Terdapat beberapa jenis leukemia. Sesetengah leukemia lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan sesetengah yang lain lebih lazim berlaku dalam kalangan orang dewasa.
Bagi orang dewasa, kanser ini lazim berlaku bagi mereka yang berumur 55 tahun ke atas. Kanser ini juga turut lazim berlaku dalam kanak-kanak yang berusia lebih muda daripada 15 tahun.
Jenis-jenis Leukemia
Leukimia boleh dikelaskan beberapa jenis mengikut berapa cepat penyakit tersebut memburuk dan jenis sel-sel darah yang terlibat.
Mengikut perkembangan penyakit:
- Leukemia akut: Sel-sel leukemia membahagi dengan cepat dan penyakit itu berkembang dengan cepat.
- Leukemia kronik: Sel-sel leukemia ini mempunyai ciri-ciri sel yang tidak matang dan matang. Penyakit bagi jenis ini biasanya akan memburuk perlahan-lahan berbanding dengan leukemia akut.
Mengikut jenis sel:
- Leukemia mielogenus atau mieloid: Ini bermakna leukemia ini telah berkembang pada garis sel mieloid. Sel-sel mieloid normal berkembang ke dalam sel-sel darah merah, putih dan platelet.
- Leukemia limfosit: Ini bermakna telah berkembang daripada garis sel limfoid. Sel-sel limfoid normal berkembang ke dalam sel-sel darah putih yang merupakan bahagian penting sistem pertahanan badan.
Terdapat 4 jenis leukemia yang utama iaitu:
- Leukemia mieloid akut (LMA): LMA adalah jenis leukemia akut yang paling lazim berlaku. Ia biasanya berlaku dalam kalangan populasi dewasa (dengan purata umur 65 tahun) dan lelaki.
- Leukemia limfosit akut (LLA): LLA ialah jenis leukemia yang paling lazim berlaku kepada kanak-kanak, remaja, belia dan mereka yang berumur hingga 39 tahun.
- Leukemia mielogenus kronik (LMK): Leukemia jenis ini lebih lazim berlaku bagi individu berusia iaitu berumur lebih 65 tahun dan lelaki. Amat jarang berlaku kepada kepada kanak-kanak.
- Leukemia limfosit kronik (LLK): LLK biasanya berlaku dalam kalangan individu dewasa. Ia juga lebih lazim berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala leukemia berbeza-beza bergantung kepada jenis leukimia yang dihidapi. Antara simptom-simptom atau gejala yang lazim berlaku adalah:
- Demam atau mengigil
- Kelesuan yang berterusan
- Kehilangan berat badan (walaupun tidak mencuba untuk kurus)
- Mudah berdarah atau lebam
- Jangkitan yang kerap atau teruk
- Nodus limfa bengkak, hati atau limpa membesar
- Hidung berdarah yang kerap
- Bintik-bintik merah pada kulit
- Peluh berlebihan (terutamanya pada waktu malam)
- Sakit tulang atau sendi
- Sakit kepala
- Sawan
- Sesak nafas
Punca atau Penyebab
Secara umumnya, leukemia berlaku apabila DNA daripada satu sel darah bermutasi dan tidak berkembang dan berfungsi dengan normal. DNA adalah “kod arahan” yang memberitahu sel tersebut apa yang perlu dilakukan.
Biasanya, DNA memberitahu sel untuk membesar pada kadar yang ditetapkan dan mati pada masa yang ditetapkan. Bagi leukemia, mutasi memberitahu sel darah untuk terus membesar dan membahagi.
Akibatnya, penghasilan sel darah menjadi tidak terkawal. Lama-kelamaan, sel-sel abnormal ini akan mengerumuni sel darah yang sihat dalam tulang sumsum. Keadaan ini akan menjurus kepada kurangnya sel darah putih, sel darah merah dan platelet yang sihat menyebabkan simptom dan gejala leukemia.
Faktor risiko
Sesetengah orang mungkin lebih berisiko berbanding mereka yang lain. Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap leukemia:
- Pernah menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi atau radiasi
- Merokok atau pernah bekerja di kilang kimia
- Menghidap gangguan genetik seperti neurofibromatosis, sindrom Down, sindrom Klinefelter atau sindrom Schwachman-Diamond
Leukemia boleh berlaku kepada semua orang walaupun tidak mempunyai faktor risiko ini.
Bagaimana Leukemia Dikesan?
Doktor akan menjalankan beberapa pemeriksaan atau ujian untuk mengesan leukemia, antaranya adalah:
- Pemeriksaan fizikal: Doktor akan bertanyakan mengenai simptom-simptom yang dialami oleh pesakit dan memeriksa nodus limfa yang membengkak.
- Kiraan darah lengkap: Ujian darah ini akan memberikan maklumat lengkap mengenai sel-sel darah merah, sel-sel darah putih dan platelet.
- Pemeriksaan sel darah: Sampel darah diambil dan diperiksa bentuk dan jenisnya. Pemeriksaan turut dijalankan sekiranya terdapat bahan lain yang dirembeskan oleh organ dan tisu yang boleh menjadi petanda kepada penyakit.
- Biopsi tulang sumsum: Sekiranya jumlah sel darah putih pesakit adalah tidak normal. Doktor akan mengambil sampel sel-sel daripada tulang sumsum.
- Pengimejan dan ujian lain: Doktor mungkin mengarahkan untuk pesakit menjalani ujian pengimejan seperti sinar-X, imbasan CT atau pengimejan resonans magnetik. Tebukan lumbar mungkin diarahkan sekiranya kanser telah tersebar ke dalam bendalir tulang belakang mengelilingi otak dan saraf tunjang.
Rawatan
Rawatan untuk leukimia bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, kesihatan keseluruhan pesakit, jenis leukemia yang dihidapi dan sama ada kanser ini telah merebak ke bahagian badan yang lain atau tidak. Doktor akan menyarankan rawatan yang sesuai dengan keadaan pesakit.
Antara rawatan yang selalunya diberikan untuk melawan leukemia adalah:
- Kemoterapi: Rawatan ini menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel kanser.
- Terapi radiasi: Rawatan ini menggunakan pancaran tenaga yang kuat untuk membunuh sel-sel kanser atau menghalangnya daripada membesar.
- Terapi bersasar: Rawatan ini menggunakan ubat-ubatan yang tertumpu pada ciri khusus sel-sel leukemia. Terapi yang disasarkan berfungsi dengan menyekat keupayaan sel-sel kanser tersebut daripada membiak dan membahagi, memotong bekalan darah yang diperlukan untuk sel hidup atau membunuh sel secara langsung.
- Transplan sumsum tulang: Rawatan ini membantu membina semula sel-sel stem yang sihat dengan menggantikan sumsum tulang yang tidak sihat dengan sel-sel stem bebas leukemia yang akan menjana semula sumsum tulang yang sihat.
Rujukan
- Cleveland Clinic Professional. (2019). Leukemia. Cleveland Clinic [pautan]
- Mayo Clinic Staff. (2021). Leukemia. MayoClinic [pautan]
- Vakiti A, Mewawalla P. Acute Myeloid Leukemia. [Updated 2021 Aug 17]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI