Kenapa perlu larang anak anda daripada minum minuman tenaga? Ketahui sebab-sebab kenapa perlu larang anak anda daripada minum minuman tenaga dalam artikel ini.
Pertama sekali harus diketahui perbezaan antara minuman tenaga dan minuman sukan. Minuman tenaga ialah minuman yang bertujuan untuk meningkatkan tenaga, kepekaan dan tumpuan peminumnya.
Minuman ini lazimnya mengandungi kafein (caffeine), gula, asid amino seperti taurina dan vitamin B. Pada umumnya, minuman ini boleh membantu mereka yang bekerja sebagai pemandu lori atau pekerja syif yang memerlukan tumpuan lebih dan perlu untuk mengatasi rasa mengantuk.
Walau bagaimanapun, minuman tenaga tidak digalakkan diminum oleh remaja dan kanak-kanak.
Terdapat beberapa faktor yang menjadi kebimbangan kepada pakar-pakar kesihatan dan diet akan kesan minuman tenaga ini kepada remaja dan kanak-kanak. Antaranya adalah:
1. Gangguan Tidur
Kandungan kafein yang tinggi dalam minuman tenaga boleh mengganggu tidur kanak-kanak atau remaja.
Seorang remaja berusia 13-18 tahun memerlukan tidur sekitar 8 hingga 10 jam sehari manakala kanak-kanak sekolah rendah yang berusia 6-12 tahun memerlukan tidur sekitar 9 hingga 12 jam sehari. [1]
Terdapat kajian semula yang melibatkan 76 kajian yang mengkaji kesan gangguan tidur terhadap remaja melaporkan bahawa gangguan tidur boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan psikososial, prestasi di sekolah dan berisiko untuk terjebak dengan penggunaan barang terlarang. [2]
2. Gelisah atau Gementar
Kandungan kafein yang tinggi juga boleh menyebabkan anak anda mengalami kesan tindak balas seperti kegelisahan, gementar atau keresahan (anxiety).
Ini kerana kafein ialah bahan perangsang yang boleh menyebabkan badan sentiasa berada dalam keadaan tekanan yang tinggi.
Kegelisahan, gementar atau keresahan juga turut merujuk kepada simptom-simptom keracunan kafein. [3]
3. Ketagihan Kafein (Caffeine)
Sebab yang seterusnya mengapa perlu larang anak anda daripada minum minuman tenaga adalah kerana kafein juga boleh menyebabkan ketagihan.
Ketagihan kepada kafein ini boleh membawa kepada dua masalah utama iaitu pengambilan kafein yang berlebihan dan simptom penarikan (withdrawal symptom) sekiranya ingin berhenti.
Sekiranya kanak-kanak atau remaja minum minuman berkafein pada kadar yang banyak dan lama, kemudian berhenti. Mereka boleh mengalami simptom-simptom penarikan seperti:
- Sakit kepala
- Kegelisahan
- Sakit otot
- Kelesuan
- Sukar untuk memberi tumpuan
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap 26 orang kanak-kanak yang berusia 9 hingga 11 tahun melaporkan bahawa kanak-kanak yang mengambil kafein sebagai makanan atau minuman harian (purata kafein harian 109 mg/hari) mengalami simptom penarikan apabila berhenti mengambil kafein ini semalaman. [4]
4. Boleh Menyebabkan Kegemukan
Salah satu kekurangan atau keburukan minuman tenaga yang lain ialah tinggi dengan kandungan gula.
Kandungan gula yang tinggi dalam minuman tenaga boleh menjurus kepada masalah yang lebih kritikal seperti kegemukan (obesiti) atau diabetes.
Selain itu, gabungan antara gula dan kafein juga boleh bersama-sama menyebabkan peningkatan paras gula darah selepas makan. Keadaan ini amat membimbangkan terutamanya bagi kanak-kanak yang menghidap diabetes. [5]
5. Boleh Menyebabkan Serangan Jantung
Sebab ke-5 mengapa harus larang anak anda daripada minum minuman tenaga adalah minuman seperti ini boleh menyebabkan serangan jantung.
Terdapat satu laporan kes pada tahun 2012, dimana seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami serangan jantung akibat pengambilan kafein yang berlebihan. [6]
Selain itu, keracunan kafein juga turut boleh menyebabkan denyutan jantung yang tidak sekata (boleh jadi berdenyut terlalu perlahan atau terlalu laju). [7]
6. Menyebabkan Kerosakan Gigi
Minuman bergula dan berasid seperti minuman tenaga ini juga boleh meningkatkan risiko kerosakan enamel (lapisan luar) gigi bagi remaja dan kanak-kanak.
Kajian makmal menunjukkan minuman-minuman tenaga boleh menyebabkan hakisan pada enamel gigi. [8]
Tambahan lagi, kebanyakan minuman tenaga adalah berasid dengan nilai pH pada julat 3-4. Nilai pH yang rendah ini dikaitkan dengan penyahmineralan enamel.
Lebih membimbangkan, asid sitrik sering kali ditambah dalam minuman tenaga. Asid ini didapati sangat menghakis kerana kesan penyahmineralan enamel yang berlaku berterusan walaupun nilai pH telah dineautralkan. [7]
Rumusan
Minuman tenaga pada asasnya mempunyai kebaikan kepada golongan tertentu. Namun dalam konteks kepada remaja dan kanak-kanak, minuman tenaga mempunyai banyak keburukan daripada kebaikan.
Ibu bapa dan penjaga harus melarang anak-anak mereka daripada minum minuman tenaga bagi mengelakkan mereka daripada mengalami kesan-kesan negatif daripada pengambilan minuman ini.
Rujukan
- Center for Disease Control and Prevention.(2017). How Much Sleep Do I Need?
- Shochat, T. et al. (2014). Functional consequences of inadequate sleep in adolescents: a systematic review. Sleep medicine reviews.
- Reissig, C. J. et al. (2009). Caffeinated energy drinks–a growing problem. Drug and alcohol dependence.
- Heatherley, S. V. et al. (2006). Psychostimulant and other effects of caffeine in 9- to 11-year-old children. Journal of child psychology and psychiatry, and allied disciplines.
- Seifert, S. M. et al. (2011). Health effects of energy drinks on children, adolescents, and young adults. Pediatrics.
- Wilson, R. E. et al. (2012). A case of caffeine-induced coronary artery vasospasm of a 17-year-old male. Cardiovascular toxicology.
- De Sanctis, V. et al. (2017). Caffeinated energy drink consumption among adolescents and potential health consequences associated with their use: a significant public health hazard. Acta bio-medica : Atenei Parmensis.
- Kitchens, M., & Owens, B. M. (2007). Effect of carbonated beverages, coffee, sports and high energy drinks, and bottled water on the in vitro erosion characteristics of dental enamel. The Journal of clinical pediatric dentistry.