Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengelakkan daripada memakan kupang di Port Dickson buat masa ini.
Ini berikutan hasil analisis sampel kedua kupang yang diambil daripada perairan Port Dickson masih menunjukkan kehadiran biotoksin yang melebihi paras selamat.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe memaklumkan bahawa hasil analisis sampel kedua ini menunjukkan nilai biotoksin yang lebih rendah berbanding sampel pertama namun ia masih tidak selamat untuk manusia kerana kadarnya yang masih tinggi iaitu 800 bahagian per bilion (ppb).

“Kami memerlukan tiga ujian untuk mengenal pasti sama ada akan meneruskan atau membatalkan larangan mengambil dan menjual kerang dari lokasi. Sampel ketiga diambil hari ini dan keputusannya dijangka Jumaat ini.”
“Jadi buat masa ini, kupang di kawasan itu masih belum selamat untuk dimakan dan larangan menjualnya oleh peruncit atau nelayan masih dikuatkuasakan,” tambah beliau.
Katanya, kehadiran biotoksin di perairan tersebut berlaku secara semula jadi dan berkemungkinan dipercepatkan dengan perubahan cuaca atau kandungan nutrien air laut di perairan terbabit.
Pada 4 April lalu, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Wan Aznan Abdullah dilaporkan berkata analisis makmal di Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson tercemar dan tidak selamat untuk dimakan.
Sampel air dan kupang didapati tercemar dengan biotoksin dan alga daripada spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
Sebelum ini media melaporkan 8 orang yang memakan kupang di Port Dickson mengalami keracunan makanan dan 2 daripadanya di rawat di ICU.