Apa itu Kuersetin?
Kuersetin (quercetin) ialah pigmen dalam kumpulan sebatian tumbuhan yang dikenali sebagai flavonoid.
Flavonoid ini terdapat di dalam banyak sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin dan teh.
Kebaikan atau kelebihan flavonoid seperti kuersetin ini adalah kerana keupayaannya untuk berfungsi sebagai antioksidan di dalam badan manusia.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas ialah molekul yang tidak stabil yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat apabila jumlahnya terlalu banyak.
Kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas telah dikaitkan dengan pelbagai keadaan kronik seperti kanser, penyakit jantung, sakit sendi, asma dan diabetes
Kuersetin ialah antioksidan yang paling banyak dalam diet harian. Dianggarkan bahawa purata setiap orang mengambil kira-kira 10-100 mg setiap hari melalui pelbagai sumber makanan. [1]
Khasiat dan Kebaikan Kuersetin
Penyelidikan telah mengaitkan sifat antioksidan kuersetin dengan pelbagai potensi manfaat kesihatan.
Berikut adalah beberapa khasiat dan kebaikan kuersetin yang disokong oleh kajian-kajian:
1. Boleh Mengurangkan Keradangan
Radikal bebas boleh melakukan lebih daripada sekadar merosakkan sel-sel badan anda.
Kajian menunjukkan bahawa tahap radikal bebas yang tinggi boleh membantu mengaktifkan gen yang menggalakkan keradangan. Oleh itu, tahap radikal bebas yang tinggi boleh membawa kepada peningkatan tindak balas keradangan. [2]
Kajian juga turut mendapati bahawa kuersetin boleh membantu mengurangkan keradangan.
Kajian terhadap 50 wanita dengan artritis reumatoid (sakit sendi) menunjukkan bahawa peserta yang mengambil 500 mg kuersetin mengalami pengurangan kekakuan awal pagi, sakit pagi dan kesakitan selepas aktiviti. [3]
2. Boleh Membantu Melawan Kanser
Ciri-ciri antioksidan kuersetin turut menyumbang kepada ciri-ciri antikanser sebatian flavonoid ini.
Dalam kajian tabung uji dan haiwan, kuersetin didapati boleh menyekat pertumbuhan sel dan mendorong kematian sel dalam sel-sel kanser prostat. [4]
Terdapat juga kajian tabung uji yang lain yang mendapati kuersetin boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser hati dengan mencetuskan kematian sel. [5]
3. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Kuersetin juga didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Dalam kajian tabung uji, sebatian ini kelihatan mempunyai kesan pengenduran pada saluran darah. [6]
Kajian semula yang melibatkan 9 kajian terhadap manusia mendapati bahawa mengambil lebih daripada 500 mg kuersetin dalam bentuk suplemen setiap hari mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik masing-masing sebanyak 5.8 mmHg dan 2.6 mmHg. [7]
4. Mungkin Boleh Mengurangkan Gejala Alahan
Ciri-ciri antiradang kuersetin juga mungkin boleh membantu mengurangkan atau melegakan gejala-gejala alahan.
Kajian tabung uji dan haiwan mendapati sebatian ini boleh menyekat enzim yang terlibat dalam keradangan dan menyekat bahan kimia yang menggalakkan keradangan, seperti histamin. [8, 9]
Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa mengambil suplemen kuersetin melemahkan tindak balas anafilaksis yang berkaitan dengan kacang pada tikus. [10]
5. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Kuersetin juga didapati boleh membantu mengawal paras gula darah.
Kajian makmal dan terhadap manusia melaporkan bahawa kuersetin boleh membantu mengurangkan paras gula darah puasa dan melindungi daripada komplikasi akibat diabetes. [11, 12]
6. Boleh Membantu Meningkatkan Prestasi Senaman
Terdapat juga kajian yang mendapati sebatian antioksidan ini turut bermanfaat kepada atlet atau ahli sukan.
Satu kajian yang melibatkan 11 kajian terhadap manusia mendapati pengambilan kuersetin boleh meningkatkan sedikit prestasi senaman ketahanan. [13]
Sumber Makanan dan Dos
Quercetin boleh ditemui secara semula jadi dalam banyak makanan berasaskan tumbuhan, terutamanya dalam lapisan luar atau kulit.
Antaranya adalah:
- Brokoli
- Bawang merah
- Lada hijau dan kuning
- Asparagus
- Kailan
- Salad berdaun merah
- Buah tomato
- Buah ceri
- Buah epal merah
- Buah anggur merah
- Buah beri biru
- Buah kranberi
- Buah raspberi
- Teh hijau
- Teh hitam
Suplemen
Kuersetin juga boleh diperolehi dalam bentuk suplemen (makanan tambahan) dalam bentuk serbuk atau kapsul.
Dos biasa yang diambil adalah antara 500–1,000 mg sehari. [14]
Secara sendirinya, kuersetin mempunyai bioavailabiliti yang rendah, yang bermaksud badan anda menyerapnya dengan kurang baik.
Sebab itu suplemen mungkin mengabungkannya dengan sebatian lain, seperti vitamin C atau enzim pencernaan seperti bromelain, kerana ia boleh meningkatkan penyerapan.
Keselamatan dan Kesan Sampingan
Kuersetin terdapat dalam banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan selamat untuk dimakan.
Apabila dimakan dalam makanan, kuersetin juga selamat untuk wanita hamil dan menyusu.
Jika diambil sebagai suplemen atau makanan tambahan, ia secara umumnya selamat dengan sedikit atau tiada kesan sampingan.
Dalam sesetengah keadaan, mengambil lebih daripada 1,000 mg kuersetin setiap hari boleh menyebabkan kesan sampingan ringan seperti sakit kepala, sakit perut atau rasa kesemutan. [15]
Kajian terhadap keselamatan suplemen kuersetin terhadap wanita hamil atau menyusukan anak masih terhad, maka mengelak daripada mengambil suplemen ini adalah langkah terbaik.
Rumusan
Kuersetin ialah antioksidan yang boleh diperolehi melalui banyak makanan.
Sebatian antioksidan ini didapati boleh membantu mengurangkan keradangan, membantu melawan kanser, menurunkan tekanan darah dan lain-lain.
Amalkan pemakanan yang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan untuk memastikan anda mendapatkan kuersetin dalam diet harian anda.
Rujukan
- Bischoff S. C. (2008). Quercetin: potentials in the prevention and therapy of disease. Current opinion in clinical nutrition and metabolic care.
- Boots, A. W. et al. (2008). Health effects of quercetin: from antioxidant to nutraceutical. European journal of pharmacology.
- Javadi, F. et al. (2017). The Effect of Quercetin on Inflammatory Factors and Clinical Symptoms in Women with Rheumatoid Arthritis: A Double-Blind, Randomized Controlled Trial. Journal of the American College of Nutrition.
- Yang, F. et al. (2015). Quercetin in prostate cancer: Chemotherapeutic and chemopreventive effects, mechanisms and clinical application potential (Review). Oncology reports.
- Hisaka, T. et al. (2020). Quercetin Suppresses Proliferation of Liver Cancer Cell Lines In Vitro. Anticancer research.
- Pérez-Vizcaíno, F. et al. (2002). Endothelium-independent vasodilator effects of the flavonoid quercetin and its methylated metabolites in rat conductance and resistance arteries. The Journal of pharmacology and experimental therapeutics.
- Serban, M. C. et al. (2016). Effects of Quercetin on Blood Pressure: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Journal of the American Heart Association.
- Mlcek, J. et al. (2016). Quercetin and Its Anti-Allergic Immune Response. Molecules.
- Shaik, Y. B. et al. (2006). Role of quercetin (a natural herbal compound) in allergy and inflammation. Journal of biological regulators and homeostatic agents.
- Shishehbor, F. et al. (2010). Quercetin effectively quells peanut-induced anaphylactic reactions in the peanut sensitized rats. Iranian journal of allergy, asthma, and immunology.
- Shi, G. J. et al. (2019). In vitro and in vivo evidence that quercetin protects against diabetes and its complications: A systematic review of the literature. Biomedicine & pharmacotherapy.
- Ostadmohammadi, V. et al. (2019). Effects of quercetin supplementation on glycemic control among patients with metabolic syndrome and related disorders: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Phytotherapy research.
- Kressler, J. et al. (2011). Quercetin and endurance exercise capacity: a systematic review and meta-analysis. Medicine and science in sports and exercise.
- Jin, F. et al. (2010). The variable plasma quercetin response to 12-week quercetin supplementation in humans. European journal of clinical nutrition.
- Andres, S. et al. (2018). Safety Aspects of the Use of Quercetin as a Dietary Supplement. Molecular nutrition & food research.