Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan media mendedahkan bahawa hasil tindakan penguatkuasaan terkini yang dijalankan oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati produk Kopi Pejuang mengandungi tadalafil iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk.
Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers yang serius seperti:
- Pengurangan atau kehilangan penglihatan
- Penurunan tekanan darah mendadak
- Strok
- Serangan jantung
Di samping itu juga, produk Kopi Pejuang ini tidak melabelkan nama dan alamat pengilang / pembungkus / pengedar / empunya hak untuk mengilang / pengimport.
Tindakan ini melanggar kehendak pelabelan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985. Sehubungan itu, produk tersebut tidak boleh diiklankan untuk dijual dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
Selain itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan produk tersebut.