Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) hari ini meminta orang ramai untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana mengandungi racun berjadual:
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual Yang Dikesan |
---|---|---|
1. | Beaute Treatment Cream | Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate |
2. | Beaute Nite Cream | Merkuri dan Betamethasone 17-Valerate |
Susulan itu, notifikasi produk-produk kosmetik ini telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.
Perihal Bahan Beracun Berjadual
Merkuri adalah bahan yang dilarang digunakan dalam produk kosmetik kerana boleh membahayakan kesihatan.
Merkuri boleh diserap ke dalam badan melalui kulit dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.
Selain itu, ia juga boleh memberi kesan mudarat kepada wanita hamil dan bayi. Merkuri boleh mengganggu perkembagan otak bayi atau kanak-kanak.
Di samping itu, anda juga boleh memerhatikan beberapa gejala atau kesan penggunaan merkuri pada kulit seperti ruam, iritasi dan menyebabkan perubahan warna kulit.
Manakala, hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-velerate pula adalah ubat yang perlu didaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat ahli profesional kesihatan.
Penggunaan bahan-bahan tersebut secara tidak terkawal boleh mendatangkan kesan sampingan pada kulit seperti kemerahan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, pedih, tidak selesa, depigmentasi dan lain-lain.
Peringtan Kepada Penjual dan Pengedar Produk
Penjual dan pengedar produk kosmetik yang dinyatakan ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau
penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan
pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.