Susulan isu pencemaran ethylene oxide dalam produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Mi Segera Indomie Perisa Ayam Spesial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan pihak syarikat yang terbabit untuk membuatkan penarikan balik secara sukarela produk yang terlibat.
Bagi Mi Kari Putih Penang Ah Lai, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk mi kari mereka bagi batch berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan.
Pihak KKM juga telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran Indonesia di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik produk terlibat secara sukarela.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata KKM mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mengenai isu pencemaran ethylene oxide dalam produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai dari Malaysia dan mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial.
Mengulas lanjut mengenai Mi Kari Putih Penang Ah Lai, Dr. Muhammad Radzi berkata persampelan produk berkenaan di Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan.
“Meskipun begitu, bagi memastikan keselamatan makanan, pihak KKM mengarahkan pihak syarikat untuk melakukan penarikan secara sukarela produk berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada,” katanya.
Mengenai produk mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial pula, beliau mengesahkan terdapat kemasukan produk tersebut ke negara ini.
“Dalam hal ini, pihak KKM mengeluarkan arahan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat melakukan penarikan balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran,” katanya.
Perihal Ethylene Oxide
Ethylene oxide adalah sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik iaitu bahan yang cenderung menyebabkan berlakunya kanser.
Ethylene oxide sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga. Ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan dengan makanan.
Pemantauan Berterusan
Hasil pemantauan dari tahun 2022 sehingga kini terhadap 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, 11 sampel produk Mi Sedaap telah mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.
Tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan penarikan balik produk dari pasaran.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat,” katanya.
Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.