Wasabi adalah sinonim dengan sushi. Sekiranya anda menyukai sushi, adakah anda tahu akan khasiat wasabi yang selalunya dimakan bersama-sama sushi? Sekiranya belum, teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui khasiat-khasiat wasabi untuk kesihatan berdasarkan kajian.
Wasabi atau nama saintifiknya Wasabia japonica adalah sayur daripada keluarga Brassicaceae iaitu keluarga yang sama dengan sayur kubis, brokoli, kubis bunga, sawi bunga atau lobak kuda.
Secara semula jadinya, wasabi tumbuh di sepanjang aliran sungai di lembah pergunungan Jepun. Menanam wasabi adalah sukar. Ini menjadikan wasabi yang asli sukar untuk diperolehi dan mahal.

Di sebalik rasanya yang kuat, wasabi sebenarnya turut mengandungi pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan. Antaranya adalah:
1. Mempunyai Ciri-ciri Antiradang
Wasabi mempunyai ciri-ciri antiradang yang kuat.
Keradangan adalah proses semula jadi badan apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Tindak balas ini bertujuan untuk melindungi dan menyembuhkan badan.
Namun, sekiranya keradangan ini menjadi tidak terkawal dan berpanjangan, ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kanser dan diabetes.
Kajian makmal mendapati sebatian aktif dalam wasabi iaitu isotiosianat boleh menekan sel-sel dan enzim-enzim yang menggalakkan keradangan. Mekanisme ini menunjukkan wasabi boleh membantu mencegah atau mengurangkan keradangan. [1]
2. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Daun wasabi juga didapati boleh membantu mengurangkan berat badan dengan menyekat pertumbuhan dan pembentukan sel-sel lemak.
Khasiat wasabi ini dapat dilihat melalui kajian terhadap haiwan yang mendedahkan bahawa sebatian 5-Hydroxyferulic acid methyl ester (5-HFA ester) daripada daun wasabi boleh merencatkan pertumbuhan dan pembentukan sel-sel lemak dengan mematikan gen yang terlibat dalam pembentukan lemak. [2]
Selain itu, satu kajian lain turut mendapati pengambilan ekstrak daun wasabi boleh mencegah kenaikan berat badan dalam kalangan tikus yang diberikan diet tinggi lemak dan kalori. [3]
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Sebatian aktif dalam wasabi iaitu isotiosianat turut didapati mempunyai ciri-ciri antikanser dan berpotensi digunakan untuk mencegah kanser.
Satu kajian mendapati isotiosianat yang diekstrak daripada akar wasabi boleh menghalang pembentukan akrilamid sehingga 90% semasa tindak balas Maillard. [4]
Tindak balas Maillard adalah tindak balas kimia antara protein dan gula dengan kehadiran haba yang berlaku sewaktu anda memasak makanan.
Akrilamid ini pula adalah bahan kimia yang terbentuk akibat daripada anda memasak makanan berkanji pada suhu yang tinggi seperti menggoreng atau mengril. Akrilamid ini berpotensi menyebabkan kanser kepada manusia.
Tambahan daripada itu juga, kajian lain turut mendapati sebatian isotiosianat daripada wasabi boleh membunuh atau merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser usus besar, kanser mulut dan kanser pankreas. [5, 6, 7]
4. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Ekstrak wasabi juga dilihat mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria jenis E.coli dan Staphylococcus aureus iaitu dua jenis bakteria yang biasanya menyebabkan keracunan makanan. [8]
Di samping itu, kajian-kajian awal juga turut mendapati wasabi turut boleh membantu merawat ulser usus yang disebabkan oleh bakteria H.pylori. [9, 10]
Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk melihat kesan wasabi terhadap bakteria H.pylori dalam usus manusia.
5. Boleh Mencegah Kaviti Gigi
Sifat antibakteria wasabi turut didapati boleh mencegah kaviti gigi.
Khasiat ini disumbang oleh sebatian isotiosianat yang boleh mencegah pertumbuhan bakteria Streptococcus mutans yang boleh menyebabkan pereputan dan kaviti gigi. [11]
6. Baik untuk Kesihatan Tulang
Wasabi juga turut boleh membantu menguatkan tulang anda.
Kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa sebatian dalam wasabi iaitu p-hydroxycinnamic acid (HCA) boleh meningkatkan pembentukan tulang dan mengurangkan kerosakan tulang. [12]
Kajian lain turut melaporkan bahawa HCA berpotensi untuk digunakan dalam merawat osteoporosis (penyakit tulang rapuh) dan menunjukkan kesan pemulihan terhadap kelesapan tulang yang diakibatkan oleh diabetes dan pembedahan pembuangan ovari. [13]
7. Baik untuk Kesihatan Otak
Sebatian isotiosianat dalam wasabi juga turut berkhasiat kepada otak.
Kajian terhadap haiwan mendapati sebatian isotiosianat ini boleh membantu meningkatkan pengaktifan sistem antioksidan dalam otak yang seterusnya mengurangkan keradangan. Kajian ini menunjukkan sebatian ini berpotensi digunakan dalam perawatan penyakit Parkinson. [14]
8. Boleh Mencegah Tekanan Darah Tinggi
Pemakanan wasabi juga dilihat boleh membantu mencegah tekanan darah tinggi (hipertensi).
Khasiat wasabi ini dilaporkan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap hipertensi akibat diet tinggi lemak. Pengambilan suplemen wasabi didapati boleh mencegah daripada terbentuknya hipertensi dan juga turut meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus. [15]
Pengkaji percaya kesan kebaikan terhadap tekanan darah ini disumbang oleh perubahan terhadap komposisi bakteria dalam usus.
Rumusan
Wasabi adalah penambah rasa yang biasanya dimakan bersama-sama sushi.
Kajian-kajian moden mendapati wasabi turut mempunyai khasiat yang mendatangkan pelbagai manfaat kepada kesihatan. Kajian menunjukkan wasabi mempunyai ciri-ciri antiradang, boleh melawan jangkitan bakteria, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal terhadap kesan wasabi terhadap manusia adalah masih terhad dan perlu dibanyakkan lagi.
Rujukan
- Uto, T. et al. (2005). 6-(Methylsulfinyl)hexyl isothiocyanate suppresses inducible nitric oxide synthase expression through the inhibition of Janus kinase 2-mediated JNK pathway in lipopolysaccharide-activated murine macrophages. Biochemical pharmacology.
- Misawa, N. et al. (2018). 5-Hydroxyferulic acid methyl ester isolated from wasabi leaves inhibits 3T3-L1 adipocyte differentiation. Phytotherapy research.
- Yamasaki, M. et al. (2013). Anti-obesity effects of hot water extract from Wasabi (Wasabia japonica Matsum.) leaves in mice fed high-fat diets. Nutrition research and practice.
- Shimamura, Y. et al. (2017). Inhibitory effects of Japanese horseradish (Wasabia japonica) on the formation and genotoxicity of a potent carcinogen, acrylamide. Journal of the science of food and agriculture.
- Yano, S. et al. (2018). Wasabi 6-(methylsulfinyl)hexyl isothiocyanate induces apoptosis in human colorectal cancer cells through p53-independent mitochondrial dysfunction pathway. BioFactors.
- Lee, M. J. et al. (2018). Differential Pharmacological Activities of Oxygen Numbers on the Sulfoxide Moiety of Wasabi Compound 6-(Methylsulfinyl) Hexyl Isothiocyanate in Human Oral Cancer Cells. Molecules.
- Chen, Y. J. et al. (2014). Effect of Wasabi Component 6-(Methylsulfinyl)hexyl Isothiocyanate and Derivatives on Human Pancreatic Cancer Cells. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Lu, Z. et al. (2016). Antibacterial Activities of Wasabi against Escherichia coli O157:H7 and Staphylococcus aureus. Frontiers in microbiology.
- Masuda, S. et al. (2017). Improvement Effects of Wasabi (Wasabiajaponica) Leaves and Allyl Isothiocyanate on Stomach Lesions of Mongolian Gerbils Infected with Helicobacter pylori. Natural product communications.
- Shin, I. S. et al. (2004). Bactericidal activity of wasabi (Wasabia japonica) against Helicobacter pylori. International journal of food microbiology.
- American Chemical Society. (2000). Wasabi! Sushi Condiment May Prevent Cavities. ScienceDaily.
- Yamaguchi M. (2006). Regulatory mechanism of food factors in bone metabolism and prevention of osteoporosis. Yakugaku zasshi.
- Yamaguchi M. (2016). The botanical molecule p-hydroxycinnamic acid as a new osteogenic agent: insight into the treatment of cancer bone metastases. Molecular and cellular biochemistry.
- Morroni, F. et al. (2014). Neuroprotection by 6-(methylsulfinyl)hexyl isothiocyanate in a 6-hydroxydopamine mouse model of Parkinson׳s disease. Brain research.
- Thomaz, F. S. et al. (2021). The influence of wasabi on the gut microbiota of high-carbohydrate, high-fat diet-induced hypertensive Wistar rats. Journal of human hypertension.