Ubi keladi merupakan sumber makanan orang Melayu sejak zaman-berzaman lagi. Khasiat ubi keladi mungkin tidak diketahui sepenuhnya oleh kebanyakan kita. Oleh itu, artikel ini akan menyenaraikan beberapa khasiat ubi keladi berdasarkan hasil-hasil kajian.
Ubi keladi atau dalam bahasa Inggerisnya “Taro” adalah tumbuhan daripada spesies Colocasia iaitu salah satu daripada keluarga Araceae. Walaupun sesetengah orang menganggap “yam” itu sebagai ubi keladi. Tetapi lebih tepatnya “yam” ini merujuk kepada ubi tiang iaitu daripada spesies Dioscorea iaitu keluarga Dioscoreaceae .
Ubi keladi berasal dari negara-negara Asia Tenggara. Ia menjadi makanan ruji bagi kebanyakan penduduk di kepulauan Pasifik Selatan seperti Tonga, Samoa dan Papua New Guinea. Bagi penduduk negara ini pula, ubi keladi selalunya dimasak lemak, digoreng, dijadikan pengat dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, tidak semua ubi keladi atau batang keladi (sulur keladi) yang boleh dimakan kerana sesetengahnya beracun dan menyebabkan gatal-gatal.

Kajian-kajian turut mendapati bahawa ubi keladi mempunyai khasiat yang tersendiri. Berikut adalah khasiat-khasiat ubi keladi untuk kesihatan:
1. Mengandungi Nutrien Penting
Sebagai salah satu daripada sumber makanan, ubi keladi turut boleh membekalkan nutrien tertentu yang berguna untuk fungsi badan.
Bagi 100 gram ubi keladi yang mentah, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 112 kcal
- Protein: 1.5 gram
- Karbohidrat: 26.5 gram
- Serat: 4.1 gram
- Kalsium: 43 miligram
- Zat besi: 0.6 miligram
- Magnesium: 33 miligram
- Fosforus: 84 miligram
- Kalium: 591 miligram
- Zink: 0.2 miligram
- Tembaga: 0.2 miligram
- Mangan: 0.4 miligram
- Vitamin C: 4.5 miligram
- Folat: 22 mikrogram
- Vitamin A: 4 mikrogram
- Vitamin E: 2.4 miligram
Selain itu, ubi keladi turut mengandungi sedikit vitamin B1, B2, B3, B5 B6 dan vitamin K.
Profil nutrisi ini menunjukkan ubi keladi tinggi dengan vitamin E. Vitamin E merupakan vitamin larut lemak yang turut bertindak sebagai antioksidan. Vitamin E boleh menguatkan sistem imun badan untuk melawan jangkitan bakteria atau virus.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh membantu melindungi badan daripada radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Antioksidan ini boleh dihasilkan oleh badan dan juga diperolehi daripada makanan. Ubi keladi adalah salah satu makanan yang boleh membekalkan antioksidan.
Selain vitamin C dan E, ubi keladi turut mengandungi: [2]
- Asid klorogenik
- Katekin
- Epikatekin
- Asid galik
- Proantosianidin
- Kuersetin
3. Baik untuk Sistem Penghadaman
Ubi keladi juga berkhasiat terhadap sistem penghadaman kerana tinggi dengan kandungan serat dan kanji resistan.
Badan manusia tidak boleh mencernakan atau menyerap serat dan kanji resistan. Oleh itu, serap dan kanji ini akan kekal di dalam usus. Apabila mereka sampai ke bahagian usus besar, mereka akan menjadi makanan kepada bakteria baik dan menggalakkan pertumbuhan bakteria ini.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa serat dan kanji resistan boleh meningkatkan paras asid lemak rantaian pendek dalam usus seterusnya membantu melindungi sistem penghadaman daripada penyakit keradangan usus dan kanser usus. [3]
4. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah
Khasiat ubi keladi yang seterusnya adalah boleh membantu mengawal paras gula darah. Khasiat ini berguna untuk mereka yang sihat atau penghidap penyakit kencing manis.
Karbohidrat dalam ubi keladi terdiri daripada kanji resistan dan serat. Serat tidak diserap dalam usus, maka ia tidak mendatangkan impak terhadap paras gula darah.
Manakala, kanji resistan juga tidak dapat dihadamkan oleh manusia. Oleh itu, ia juga tidak menyebabkan kenaikan paras gula darah.
Kira-kira 33% daripada jumlah kanji dalam ubi keladi yang telah dimasak adalah kanji resistan dan kanji yang lambat dicernakan. Ini menjadikan ubi keladi makanan yang mempunyai impak sederhana terhadap paras gula darah. [4]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Ubi keladi juga dilihat berkhasiat dalam membantu menurunkan paras koelsterol dalam darah.
Khasiat ubi keladi ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melaporkan bahawa makanan tradisional Indonesia (tiwul) yang dihasilkan daripada ubi keladi boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan tersebut mendapati pengambilan tiwul boleh mengurangkan paras kolesterol total. [5]
Satu kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes turut melaporkan bahawa pengambilan ubi keladi boleh menurunkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat), kolesterol VLDL , trigliserida (lemak dalam darah) dan meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik). [6]
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Ubi keladi juga turut berpotensi untuk mencegah kanser. Kesan antikanser ini disumbang oleh kandungan lektin dalam ubi keladi yang dikenali sebagai “tarin”.
Terdapat kajian makmal yang melaporkan bahawa ekstrak ubi keladi boleh merencatkan perkembangan sel-sel kanser payudara. Kesan antikanser ini disumbang oleh sebatian protein dalam ekstrak ubi keladi termasuklah tarin. [7]
Kandungan kuersetin dalam ubi keladi juga turut boleh menyumbang kepada ciri-ciri antikansernya. Kajian-kajian melaporkan bahawa kuersetin boleh membunuh sel kanser dan memperlahankan pertumbuhan sesetengah kanser. [8]
7. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Kandungan serat yang tinggi bagi ubi keladi ini juga boleh membantu mengurangkan berat badan.
Kajian mendapati mereka yang makan lebih banyak serat cenderung untuk mempunyai berat badan dan mempunyai lemak badan yang lebih rendah. [9]
Selain serat, kandungan kanji resistan dalam ubi keladi juga boleh memberikan kesan kekenyangan yang lebih lama buat pemakannya.
Buktinya dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap lelaki yang mengambil suplemen yang mengandungi 24 gram kanji resistan sebelum makan. Kumpulan yang mengambil kanji resistan ini makan 6% kurang kalori dan mempunyai paras insulin lebih rendah selepas makan. [10]
8. Menguatkan Sistem Imun
Kandungan vitamin E turut menyumbang kepada khasiat ubi keladi dalam menguatkan sistem imun badan dalam melawan sebarang jangkitan bakteria atau virus.
Di samping itu juga, kandungan sebatian tarin juga boleh meningkatkan sistem imun bagi individu yang sihat dan mempercepatkan penyembuhan bagi pesakit yang mengalami kekurangan sel-sel darah putih termasuklah mereka yang sedang menjalani rawatan kemoterapi. [11]
9. Mempunyai Indeks Glisemik Sederhana dan Muatan Glisemik Rendah
Ubi keladi juga mempunyai indeks glisemik yang sederhana dan muatan glisemik yang rendah.
Ini bermakna pemakanan ubi keladi tidak akan menyebabkan lonjakan paras gula darah yang ketara.
Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 30 orang dewasa yang tidak menghidap penyakit diabetes mendapati pengambilan ubi keladi menunjukkan tindak balas glisemik yang sederhana, indek glisemik yang sederhana dan muatan glisemik yang rendah. [12]
Cara Menghilangkan Kesan Racun dan Gatal-gatal Pada Daun dan Batang Ubi Keladi
Bahagian daun dan batang ubi keladi mengandungi antinutrien yang dikenali sebagai oksalat. Oksalat ini jika pada kadar yang tinggi adalah beracun dan boleh meningkatkan risiko kepada penyakit batu karang.
Oleh itu, pemakanan daun atau batang ubi keladi boleh menyebabkan keracunan atau ketoksikan jika tidak diuruskan dengan betul.
Daun dan batang ubi keladi adalah racun jika dimakan mentah.
Untuk menyahaktif kesan racun ini, daun atau batang keladi ini mestilah direndam dalam air sekurang-kurangnya selama 30 minit atau semalaman sebelum dimasak.
Selain itu, kaedah merebus daun atau batang ubi keladi ini juga boleh mengurangkan jumlah oksalat pada bahagian-bahagian ubi keladi ini.
Kajian menunjukkan bahawa kaedah merendam dan merebus daun atau batang ubi keladi ini adalah kaedah yang lebih baik untuk menyingkirkan oksalat berbanding membakarnya. [13]
Rumusan
Ubi keladi adalah salah satu sumber makanan yang berkhasiat.
Kajian-kajian mendapati ubi keladi berkhasiat dalam membekalkan nutrien-nutrien penting kepada badan. Selain itu, pemakanan ubi keladi juga tinggi dengan antioksidan, baik untuk sistem penghadaman, membantu mengawal paras gula darah dan lain-lain lagi.
Anda juga harus tahu bahawa daun dan batang ubi keladi mengandungi racun. Keadah rendaman dan merebus daun atau batang ubi keladi ini boleh menawarkan racun tersebut.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Agbor-Egbe, T. & Rickard, J.E. (1990), Identification of phenolic compounds in edible aroids. J. Sci. Food Agric.
- McNabney, S. M., & Henagan, T. M. (2017). Short Chain Fatty Acids in the Colon and Peripheral Tissues: A Focus on Butyrate, Colon Cancer, Obesity and Insulin Resistance. Nutrients.
- Simsek, S., & Nehir El, S. (2015). In vitro starch digestibility, estimated glycemic index and antioxidant potential of taro (Colocasia esculenta L. Schott) corm. Food chemistry.
- Fidyasari A. et al. (2016). Instant Tiwul Made of Colocasia esculenta (L.) Schott as A Current Functional Food Development for Hypercholesterolemic Patients. Proceedings of the Innovation of Food Technology to Improve Food Security and Health. pp. 57–64.
- Eleazu, C. O. et al. (2016). Effect of cocoyam (Colocasia esculenta), unripe plantain (Musa paradisiaca) or their combination on glycated hemoglobin, lipogenic enzymes, and lipid metabolism of streptozotocin-induced diabetic rats. Pharmaceutical biology.
- Kundu, N. et al. (2012). Antimetastatic activity isolated from Colocasia esculenta (taro). Anti-cancer drugs.
- Gibellini, L. et al. (2011). Quercetin and cancer chemoprevention. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Slavin, J.L. (2005). Dietary fiber and body weight. Nutrition.
- Bodinham, C. L. et al. (2010). Acute ingestion of resistant starch reduces food intake in healthy adults. The British journal of nutrition.
- Mérida, L., et al. (2018). Tarin stimulates granulocyte growth in bone marrow cell cultures and minimizes immunosuppression by cyclo-phosphamide in mice. PloS one.
- Joy Amadi, A.C. (2017). Glycaemic index of three cocoyam varieties consumed in Imo State, Nigeria. Journal of Dietitians Association of Nigeria.
- Savage, G. P., & Dubois, M. (2006). The effect of soaking and cooking on the oxalate content of taro leaves. International journal of food sciences and nutrition.