Ubi badak adalah sejenis ubi daripada tumbuhan memanjat yang secara saintifiknya dikenali sebagai Dioscorea alata. Selain menjadi sumber tenaga, ubi badak sebenarnya menyimpan pelbagai khasiat yang mungkin ramai tidak mengetahuinya.
Justeru itu, artikel ini akan merungkai khasiat-khasiat ubi badak yang bermanfaat untuk kesihatan pemakannya.
Ubi badak mungkin lebih popular bagi masyarakat di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Masyarakat di negeri lain mungkin mengenali ubi ini dengan nama lain seperti ubi jawa, ubi kelapa, ubi keledang, ubi kenduduk, ubi kipas, ubi manis, ubi menjangan, ubi merah, ubi nasi, ubi teropong, ubi tiang atau ubi ular. Kesemua nama ubi ini merujuk kepada spesies yang sama iaitu Dioscorea alata.
Dalam bahasa Inggeris pula, ubi badak atau ubi dari spesies Dioscorea alata dipanggil dengan beberapa nama seperti water yam, winged yam, greater yam atau purple yam. Ubi jenis ini sering disalah anggap sebagai ubi keledek. Walau bagaimanapun, ubi jenis ini kurang manis dan lebih berkanji.
Ubi badak mula-mula ditanam dan diusahakan di negara-negara Asia Tenggara. Kemudiannya, ubi ini telah tersebar ke merata tempat dan telah ditanam di seluruh Afrika. Ubi badak menjadi makanan ruji bagi penduduk di Barat Afrika, Asia Tenggara dan wilayah Caribbean.
Berikut adalah beberapa khasiat ubi badak untuk kesihatan yang disokong oleh kajian.
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Ubi badak mengandungi pelbagai sebatian bioaktif seperti musin, dioscin, dioscorin, kolina, alantoin, polifenol, diosgenin dan vitamin.
Bagi 100 gram ubi badak yang telah direbus atau dibakar tanpa garam, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 116 kcal
- Protein: 1.49 gram
- Lemak: 0.14 gram
- Karbohdirat: 27.5 gram
- Serat: 3.9 gram
- Kalsium: 14 miligram
- Zat besi: 0.52 miligram
- Magnesium: 18 miligram
- Fosforus: 49 miligram
- Kalium: 670 miligram
- Zink: 0.2 miligram
- Tembaga: 0.15 miligram
- Mangan: 0.37 miligram
- Selenium: 0.7 mikrogram
- Vitamin C: 12.1 miligram
- Folate: 16 mikrogram
- Vitamin A: 6 mikrogram
- Vitamin E: 0.34 miligram
- Vitamin K: 2.3 mikrogram
Ubi badak juga turut mengandungi kumpulan vitamin B seperti vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6 yang mempunyai pelbagai fungsi kepada badan seperti membantu menukarkan makanan kepada tenaga.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Ubi badak tinggi dengan kandungan antioksidan seperti vitamin C, vitamin E (tokoferol) dan vitamin A (beta-karotena). Bagi ubi badak yang mempunyai warna ungu pula, ubi ini mempunyai antioksidan yang dikenali sebagai antosianin.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh membantu melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat daripada molekul berbahaya yang dikenali sebagai radikal bebas.
Kerosakan yang disebabkan radikal bebas banyak dikaitkan dengan penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan gangguan neurodegenerasi.
3. Boleh Mengurangkan Keradangan
Kandungan antioksidan dalam ubi badak turut boleh membantu mengurangakn keradangan. Keradangan yang berpanjangan (kronik) akan memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan.
Keradangan kronik dikaitkan dengan peningkatan risiko kepada pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, obesiti dan penyakit jantung.
Kajian terhadap ekstrak ubi badak menunjukkan aktiviti antiradang dengan merencatkan pengekspresan protein atau neurotransmiter yang prokeradangan. [2]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Ubi badak yang mempunyai pigmen berwarna ungu (antosianin) turut berkhasiat dalam membantu mencegah kanser. Potensi mencegah kanser ini dapat dilihat dalam beberapa kajian.
Kandungan antosianin dalam ubi badak iaitu sianidin dan peonidin boleh membantu merencatkan pertumbuhan sesetengah jenis kanser.
Sebagai contoh, kajian terhadap haiwan mendapati rawatan menggunakan sianidin boleh mengurangkan tumor sebanyak 45% bagi haiwan yang menghidap kanser usus.[3]
Kajian tabung uji turut mendapati peonidin memperlahankan pertumbuhan sel-sel kanser paru.[4]
Kajian-kajian lanjutan terutamanya kajian klinikal masih banyak diperlukan untuk mengetahui potensi sebenar ubi badak dalam mencegah kanser.
5. Boleh Membantu Menurunkan Gula Darah
Penyakit kencing manis atau diabetes ialah penyakit kronik yang disebabkan oleh peningkatan paras gula dalam darah.
Ubi badak juga turut mempunyai khasiat dalam membantu menurunkan paras gula darah yang bermanfaat kepada mereka yang menghidap diabetes atau pradiabetes.
Kajian terhadap haiwan turut mendapati ekstrak ubi badak menunjukkan aktiviti antidiabetes dengan menurunkan paras gula darah sebanyak 47% hingga 52% mengikut dos selepas 21 hari rawatan. Malah, haiwan yang menghidap diabetes ini juga turut mengalami penurunan berat badan bagi haiwan yang diberikan ekstrak ubi badak ini.[5]
6. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Ubi badak juga berkhasiat dalam membantu menurunkan paras kolesterol bagi pemakannya. Kolesterol yang tinggi dalam darah meningkatkan risiko kepada penyakit jantung dan strok.
Khasiat ubi badak dalam membantu menurunkan paras kolesterol ini dipercayai disumbang oleh kandungan sebatian bioaktif di dalam ubi ini iaitu diosgenin.
Kajian terhadap haiwan yang diberi makan dengan diet tinggi kolesterol dan suplemen diosgenin selama 6 minggu mendapati diosgenin menunjukkan perlindungan terhadap hati, mengurangkan paras kolesterol total dan perlindungan terhadap kerosakan oksidatif.[6]
Terdapat juga kajian-kajian lain yang menunjukkan bahawa diosgenin boleh mengurangkan penyerapan kolesterol, meningkatkan sistesis kolesterol dalam hati dan meningkatkan penyingkiran kolesterol dari badan tanpa menjejaskan paras kolesterol dalam darah.[7, 8]
7. Boleh Membantu Penghadaman
Kandungan serat dalam ubi badak boleh membantu melancarkan penghadaman dan mencegah masalah sembelit.
Selain itu, kajian turut mendapati kanji resistan dalam ubi badak boleh meningkatkan enzim penghadaman dengan membantu mencernakan makanan dan meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus. [9]
8. Boleh Membantu Mengurangkan Simptom-simptom Menopaus
Ubi badak juga berkhasiat dalam membantu mengurangkan simptom-simptom menopaus.
Kajian melibatkan 50 orang wanita mendapati rawatan menggunakan ubi badak boleh mengurangkan simptom-simptom menopaus seperti gementar, rasa tegang, insomnia, sakit pada otot dan tulang serta menunjukkan kesan yang positif pada profil hormon. [10]
Kajian lain yang melibatkan 24 orang wanita pascamenopaus yang menukar makanan ruji mereka daripada nasi kepada ubi badak selama 30 hari mendapati paras hormon estron dan estradiol masing-masing meningkat sebanyak 26% dan 27%. [11]
Hormon estron dan estradiol adalah hormon estrogen yang lazimnya berkurangan apabila seseorang wanita mengalami menopaus.
9. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Ubi badak juga boleh membantu mencegah jangkitan bakteria.
Kesan antibakteria ubi badak dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati ekstrak ubi badak menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Salmonella typhimurium, Vibrio cholerae, Shiegella flexneri, Streptococcus mutans dan Streptococcus pyogenes. [12]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan, penyakit kolera, jangkitan di mulut, tonsilitis dan penyakit syigelosis.
10. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Ubi badak juga didapati boleh membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan mereka.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak ubi badak boleh membantu mengurangkan pengambilan makanan. Ini menunjukkan ekstrak ubi badak berpotensi untuk membantu menurunkan berat badan mereka yang memakannya. [13]
Di samping itu, kandungan serat yang tinggi di dalam ubi ini juga boleh membantu menurunkan berat badan pemakannya.
Rumusan
Ubi badak ialah salah satu sayuran berubi yang padat dengan nutrien dan khasiat tertentu.
Selain panggilan ubi badak, terdapat beberapa panggilan lain untuk ubi ini yang merujuk kepada spesies yang sama iaitu Dioscorea alata.
Kajian-kajian yang dijalankan terhadap spesies ubi badak ini menunjukkan ubi badak berkhasiat dalam meningkatkan kandungan antioksidan dalam badan, mencegah keradangan, menurunkan paras gula darah, menurunkan paras kolesterol dan lain-lain lagi.
Ubi badak juga mudah untuk dimakan dan boleh direbus, dikukus, dijadikan kuih dan lain-lain lagi.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Dey, P. et al. (2016). Evaluation of anti-inflammatory activity and standardisation of hydro-methanol extract of underground tuber of Dioscorea alata. Pharmaceutical biology.
- Cooke, D. et al. (2006). Effect of cyanidin-3-glucoside and an anthocyanin mixture from bilberry on adenoma development in the ApcMin mouse model of intestinal carcinogenesis–relationship with tissue anthocyanin levels. International journal of cancer.
- Ho, M. L. et al. (2010). Peonidin 3-glucoside inhibits lung cancer metastasis by downregulation of proteinases activities and MAPK pathway. Nutrition and cancer.
- Maithili, V. et al. (2011). Antidiabetic activity of ethanolic extract of tubers of Dioscorea alata in alloxan induced diabetic rats. Indian journal of pharmacology.
- Son, I. S. et al. (2007). Antioxidative and hypolipidemic effects of diosgenin, a steroidal saponin of yam (Dioscorea spp.), on high-cholesterol fed rats. Bioscience, biotechnology, and biochemistry.
- Uchida, K. et al. (1984). Changes in biliary and fecal bile acids in mice after treatments with diosgenin and beta-sitosterol. Journal of lipid research.
- Thewles, A. et al. (1993). Effect of diosgenin on biliary cholesterol transport in the rat. The Biochemical journal.
- Li, T. et al. (2019). The beneficial effects of purple yam (Dioscorea alata L.) resistant starch on hyperlipidemia in high-fat-fed hamsters. Food & function.
- Hsu, C. C. et al. (2011). The assessment of efficacy of Diascorea alata for menopausal symptom treatment in Taiwanese women. Climacteric.
- Wu, W. H. et al. (2005). Estrogenic effect of yam ingestion in healthy postmenopausal women. Journal of the American College of Nutrition.
- Kumar, Sanjeet. et al. (2017). Qualitative Phytochemical Analysis and Antibacterial Activity of Dioscorea alata L.: A Nutraceutical Tuber Crops of Rural Odisha. Journal of Alternative Medical Research.
- Helen, O.T. et al. (2013). Dioscorea alata L. Reduces Body Weight by Reducing Food Intake and Fasting Blood Glucose Level. British journal of medicine and medical research.