Timun jepun adalah sejenis timun batang yang berwarna hijau gelap, mempunyai saiz batang yang lebih langsing dan mempunyai panjang sekitar 15 cm hingga 30 cm. Terdapat benjolan-benjolan kecil di lapisan kulitnya. Sebenarnya, terdapat banyak khasiat timun Jepun yang boleh dimanfaatkan melalui pemakanannya atau penggunaan luaran.
Secara umumnya, timun Jepun adalah dalam keluarga yang sama seperti timun batang yang lain. Bezanya, timun Jepun ini mempunyai isi yang lebih rangup, kurang atau tidak pahit dan mempunyai saiz batang yang lebih langsing. Timun Jepun dikenali dengan nama “kyuri” oleh masyarakat Jepun.
Mungkin ramai yang menganggap timun batang atau timun Jepun adalah sayur. Sebenarnya tidak, timun batang adalah buah.
Timun Jepun juga boleh dimakan dalam pelbagai bentuk sama ada dimakan segar, dibuat jeruk, dicampur dalam salad sayur, dicampurkan ke dalam sushi, dibuat acar atau bermacam-macam menu lain lagi.
Perubatan tradisional menggunakan timun batang serta bahagian lain tumbuhan ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Contohnya seperti untuk merawat jangkitan di kerongkong, pendarahan, ruam panas,luka, melecur dan anuria (kegagalan untuk menghasilkan air kencing).
Berikut ialah beberapa khasiat timun Jepun (timun batang) untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
1. Menghidratkan
Timun Jepun mengandungi kira-kira 95% air bagi setiap 100 gram buah ini. Ini bermakna bagi setiap 100 gram timun Jepun yang dimakan, terdapat kira-kira 95 mililiter air.
Ini menjadikan timun Jepun atau timun batang sangat sesuai dimakan ketika cuaca panas dan membantu mengelakkan berlakunya dehidrasi.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah molekul yang boleh meneutralkan radikal bebas yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif.
Tekana oksidatif dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit Alzheimer dan penyakit autoimun. [1]
Satu kajian yang mengukur kesan timun batang terhadap fungsi antioksidan bagi golongan berusia menunjukkan timun batang boleh membantu meningkatkan beberapa aktiviti antioksidan dan meningkatkan status antioksidan. [2]
Kajian makmal mendapati timun batang (timun jepun) mengandungi antioksidan yang terdiri daripada flavonoid dan tanin. Dua kumpulan sebatian ini dipercayai bertanggungjawab meneutralkan atau menghalang radikal bebas atau aktiviti antioksidan bagi buah ini. [3]
3. Baik Untuk Penyakit Diabetes
Timun Jepun berkhasiat buat mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Terdapat kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak kulit timun ini boleh mengurangkan paras gula dalam darah dan menterbalikkan perubahan-perubahan yang berlaku akibat daripada penyakit diabetes. [4]
Kajian lain turut mendapati timun batang termasuklah timun Jepun berkesan untuk menurun dan mengawal paras gula dalam darah. [5]
Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa timun batang mempunyai kesan perlindungan daripada penyakit kencing manis melalui pengurangan tekanan oksidatif dan komplikasi yang berkaitan dengan penyakit diabetes. [6]
4. Melambatkan Penuaan Kulit dan Kedutan
Timun batang termasuklah timun Jepun juga sinonim dengan bidang kecantikan. Buah ini selalunya digunakan untuk kecantikan kulit.
Penuaan kulit dan kedutan boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- peningkatan usia
- terdedah kepada sinaran UV
- merokok
- ekspresi muka yang berulang-ulang
Satu kajian yang dijalankan terhadap timun batang mendapati ekstrak timun batang menunjukkan aktiviti perlindungan terhadap sinaran UV. Malah, ekstrak timun batang segar mempunyai nilai faktor perlindungan matahari (SPF) yang lebih tinggi berbanding nilai SPF bagi losyen timun batang di pasaran. [7]
Semasa proses penuaan, keanjalan kulit berkurang akibat enzim elastase dan dalam masa yang sama asid hialuronik dalam kulit juga turut berkurang. Ini menyebabkan kulit menjadi kering dan berkedut.
Kajian mendapati jus timun batang turut menunjukkan aktiviti anti-hialuronidase dan anti-elastase yang menjadikan buah ini sesuai untuk mencegah atau melambatkan kedutan kulit. [8]
5. Baik Untuk Penghadaman
Pemakanan timun batang juga boleh membantu melancarkan pencernaan kerana kandungan air dan seratnya.
Kandungan air dalam timun batang seperti timun Jepun boleh mencegah daripada berlakunya dehidrasi yang boleh membawa kepada sembelit.
Di samping itu juga, timun Jepun turut mengandungi pektin iaitu serat larut yang berguna untuk meningkatkan kekerapan pergerakan usus.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 80 orang pesakit yang menghidap sembelit mendapati pengambilan pektin boleh membantu mempercepatkan pergerakan otot usus serta meningkatkan populasi bakteria baik dalam usus. [9]
6. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Timun jepun tergolong dalam kategori makanan yang boleh membantu menurunkan berat badan.
Hal ini kerana timun jepun mempunyai kalori yang rendah dan kadar air yang tinggi. Terdapat kira-kira 15 kcal kalori bagi setiap 100 gram timun Jepun.
Ini bermakna walaupun timun Jepun ini dimakan pada kadar yang banyak, ia tidak akan memberi kesan yang ketara terhadap nilai kalori. Secara tidak langsung, ia dapat mengelakkan kita daripada mengambil kalori berlebihan yang boleh membawa kepada kegemukan.
Satu analisis yang dijalankan terhadap 13 kajian yang melibatkan 3628 individu obes melaporkan bahawa pemakanan makanan yang tinggi dengan kandungan air dan rendah kalori mempunyai kaitan dengan pengurangan berat badan. [10]
Selain itu, timun Jepun juga mudah untuk ditambah dalam pelbagai menu dan resepi. Kesegarannya juga boleh menambah keenakan sesuatu hidangan.
Khasiat-khasiat lain
Selain itu, terdapat juga beberapa kajian terhad yang menunjukkan khasiat-khasiat lain bagi timun Jepun.
7. Boleh Membantu Mengurangkan Sakit Sendi Lutut
Satu kajian yang dijalankan terhadap 122 orang pesakit sendi lutut (osteoartritis) melaporkan bahawa ekstrak timun batang boleh membantu mengurangkan kesakitan sendi lutut.
Pengambilan ekstrak ini sebanyak 10 miligram, 2 kali sehari berjaya mengurangkan kesakitan sebanyak 22% selepas 30 hari pengambilannya dan 70% selepas 180 hari pengambilannya. [11]
8. Boleh Melawan Keradangan
Khasiat timun Jepun yang seterusnya ialah kemampuannya untuk melawan keradangan dalam badan. Keradangan yang berterusan (kronik) adalah tidak baik untuk badan kerana ia boleh merosakkan sel-sel, tisu-tisu dan organ yang sihat.
Keradangan kronik boleh membawa kepada penyakit-penyakit yang serius seperti kanser, penyakit jantung, obesiti, diabetes dan lain-lain.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan sebatian kukurbitasin dalam timun batang yang boleh merencatkan fungsi sel-sel yang terlibat dengan keradangan.
Sebatian ini juga boleh mencetuskan kematian sel terancang terhadap sel-sel yang terlibat dengan tindak balas keradangan. [12]
9. Membantu Mencegah Kerosakan Otak
Timun batang mengandungi sebatian yang dikenali sebagai fisetin. Terdapat kajian yang mendapati fisetin ini boleh membantu mencegah kerosakan fungsi otak. Fisetin ini juga turut berupaya untuk melindungi neuron otak daripada kesan penuaan. [13]
10. Membantu dalam Penyembuhan Luka
Satu kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa krim formulasi yang mengandungi ekstrak timun batang boleh membantu mengurangkan kawasan luka, mengurangkan kelebaran luka dan meningkatkan kadar pengecutan luka.
Kesan penyembuhan luka ini dipercayai disumbang oleh kandungan flavanoid fan antioksidan dalam timun batang ini. [14]
Rumusan
Timun Jepun adalah sejenis timun batang yang segar, berkhasiat dan mudah untuk dimakan. Timun ini mempunyai kalori yang rendah serta mengandungi vitamin, mineral dan sebatian antioksidan yang baik untuk kesihatan kita.
Secara ringkasnya, timun Jepun berkhasiat untuk mengawal selia penyakit kencing manis, melambatkan penuaan dan kedutan kulit, menghidratkan badan, memudahkan penghadaman, membantu menurunkan berat badan, mengurangkan sakit sendi lutut, melawan keradangan dan mencegah kerosakan otak.
Manfaatkan khasiat dan kebaikan timun Jepun dalam diet harian anda.
Rujukan
- Pham-Huy, L. A. et al. (2008). Free radicals, antioxidants in disease and health. International journal of biomedical science.
- Ji, L., et al. (2015). In Vivo Antioxidant Properties of Lotus Root and Cucumber: A Pilot Comparative Study in Aged Subjects. The journal of nutrition, health & aging.
- Kumar, D., et al. (2010). Free Radical Scavenging and Analgesic Activities of Cucumis sativus L. Fruit Extract. Journal of young pharmacists.
- Dixit, Y., & Kar, A. (2010). Protective role of three vegetable peels in alloxan induced diabetes mellitus in male mice. Plant foods for human nutrition.
- Roman-Ramos, R., et al. (1995). Anti-hyperglycemic effect of some edible plants. Journal of ethnopharmacology.
- Heidari, H., et al. (2016). Protective mechanisms of Cucumis sativus in diabetes-related modelsof oxidative stress and carbonyl stress. BioImpacts.
- Maheshwar, G.H. et al (2010). Comparative sun protection factor determination of fresh fruits extract of cucumber vs marketed cosmetic formulation. Reserch Journal of Pharmaceutical Biological and Chemical Sciences 1 (3): 55-59.
- Nema NK, et al (2011). Cucumis sativus fruit potential antioxidant, anti-hyaluronidase, and anti-elastase agent. Arch Dermatol Res (303):247-52.
- Xu, L., Yu, W., Jiang, J., & Li, N. (2014). [Clinical benefits after soluble dietary fiber supplementation: a randomized clinical trial in adults with slow-transit constipation].Zhonghua yi xue za zhi.
- Stelmach-Mardas, M. et al. (2016). Link between Food Energy Density and Body Weight Changes in Obese Adults. Nutrients.
- Nash, R. J. et al. (2018). Effectiveness of Cucumis sativus extract versus glucosamine-chondroitin in the management of moderate osteoarthritis: a randomized controlled trial. Clinical interventions in aging.
- Ríos, J. L. et al. (2009). Inhibition of transcription factors by plant-derived compounds and their implications in inflammation and cancer. Current pharmaceutical design.
- Currais, A. et al. (2014). Modulation of p25 and inflammatory pathways by fisetin maintains cognitive function in Alzheimer’s disease transgenic mice. Aging Cell.
- Patil, M., et al. (2011). Pharmacological evaluation of ameliorative effect of aqueous extract of Cucumis sativus L. fruit formulation on wound healing in Wistar rats. Chronicles of Young Scientists, 2, 207.