Thyme adalah tumbuhan herba yang banyak tersebar di kawasan Mediterranean seperti Eropah, Asia dan Utara Afrika. Aroma dan khasiat thyme menjadikan herba ini banyak digunakan dalam masakan, kosmetik atau perubatan.
Thyme adalah tumbuhan daripada keluarga pudina (Lamiaceae) iaitu keluarga yang sama dengan herba seperti oregano, rosemary, selasih atau marjoram. Terdapat kira-kira lebih 500 spesies thyme yang direkodkan di dunia.
Thyme atau nama saintifiknya Thymus vulgaris turut dimanfaatkan untuk menghasilkan minyak pati. Minyak pati thyme turut digunakan dalam perubatan.
Perubatan tradisional menggunakan thyme untuk merawat sakit otot dan sendi, penyakit kulit, melawan jangkitan, melegakan batuk, melegakan sakit tekak dan keradangan.
Berikut adalah beberapa khasiat thyme berdasarkan kajian-kajian sains moden.
1. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Herba thyme ini biasanya boleh didapati di pasaran dalam bentuk kering.
Pemakanan yang sihat yang padat dengan pelbagai vitamin dan mineral boleh membantu menguatkan sistem imun. Thyme juga turut kaya dengan vitamin C, vitamin A, vitamin E, zink, folat dan selenium yang boleh menguatkan sistem imun.
2. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Thyme juga didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Khasiat thyme ini dapat dilihat dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi. Ekstrak thyme didapati boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan tekanan darah diastolik dengan ketara. [1]
3. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Minyak pati thyme juga dilaporkan boleh mencegah jangkitan bakteria.
Minyak pati thyme didapati mempunyai kesan antibakteria yang kuat terhadap bakteria jenis Staphylococcus, E. coli, Enterococcus dan Pseudomonas iaitu bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan dan jangkitan pada kulit. [2]
Kajian lain turut melaporkan bahawa minyak pati thyme turut mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria bawaan makanan seperti Salmonella, Staphylococcus, E. coli dan Bacillus. [3]
4. Bersifat Antivirus
Tambahan daripada itu juga, minyak pati thyme turut menunjukkan aktiviti antivirus terhadap virus influenza, virus herpes simpleks (HSV-1 dan HSV-2) dan virus kurang daya tahan manusia (HIV-1).
Selain itu, kajian melalui simulasi komputer turut menunjukkan bahawa sebatian aktif dalam thyme iaitu timol (thymol) mempunyai potensi untuk melawan virus COVID-19 (Sars-CoV-2). Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk membuktikannya. [4]
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Herba thyme juga turut berpotensi untuk digunakan dalam mencegah kanser.
Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak mastic thyme (Thymus mastichina) boleh melindungi mereka yang memakannya daripada kanser usus. [5]
Terdapat juga kajian oleh pengkaji dari Turki yang melihat kesan antikanser oleh thyme liar dari spesies Thymus serpyllum. Ekstrak thyme ini didapati boleh membunuh sel-sel kanser payudara. [6]
6. Boleh Membantu Mengurangkan Batuk
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, minyak pati thyme yang dihasilkan daripada daunnya juga boleh digunakan untuk merawat batuk.
Menurut satu kajian, gabungan antara herba thyme dan daun ivy boleh membantu melegakan batuk dan simptom-simptom lain yang berkaitan dengan bronkitis akut. [7]
7. Boleh Membantu Meningkatkan Mood
Aromaterapi adalah satu kaedah terapi yang berkesan untuk menambah baik angin (mood) dan emosi.
Thyme atau minyak pati thyme juga boleh digunakan sebagai aromaterapi dan terbukti secara saintifik boleh membantu meningkatkan mood atau mendatangkan kesan positif kepada emosi.
Kajian oleh pengkaji dari Itali mendapati sebatian karvakrol dalam minyak pati thyme boleh meningkatkan paras hormon dopamina dan serotonin iaitu hormon-hormon yang boleh meningkatkan rasa gembira dan menstabilkan perasaan dan mood. [8]
8. Boleh Menghalau Nyamuk Aedes
Herba thyme juga berpotensi digunakan sebagai penghalau serangga seperti nyamuk.
Kajian oleh pengkaji dari Korea mendapati sebatian aktif dalam thyme iaitu timol, karvakrol dan alfa-terpinena berkesan dalam membunuh larva nyamuk aedes.
Selain itu, timol juga turut boleh menghalau nyamuk aedes betina. [9]
9. Boleh Memanjangkan Kestabilan Minyak Masak
Pengoksidaan lipid (lemak) adalah masalah utama semasa pemprosesan, penyimpanan dan penggunaan makanan akibat daripada kehilangan kualiti, kestabilan, keselamatan dan nilai nutrisi.
Minyak masak yang digunakan secara berulang-ulang kali terdedah kepada pengoksidaan lipid. Akibatnya, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan.
Saintis dari Poland mengkaji sama ada herba thyme boleh atau tidak membantu memanjangkan kestabilan minyak masak (minyak bunga matahari). Kajian tersebut mendapati ekstrak thyme boleh memanjangkan kestabilan minyak bunga matahari dan ia dipercayai disumbang oleh ciri-ciri antioksidannya. [10]
10. Boleh Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan manusia apabila berlakunya jangkitan atau kecederaan. Meskipun begitu, keradangan yang berterusan boleh mendatangkan kesan negatif kepada badan seperti penyakit jantung, diabetes, sakit sendi atau asma.
Ekstrak thyme juga turut mempunyai ciri-ciri antiradang. Kesan antiradang ini dapat dilihat dalam satu kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak thyme mungkin berkesan dalam merawat penyakit kronik yang melibatkan proses keradangan. [11]
Rumusan
Thyme adalah herba yang mempunyai pelbagai kegunaan dan khasiatnya.
Khasiat thyme didapati bermanfaat untuk menguatkan sistem imun, menurunkan tekanan darah tinggi, mencegah jangkitan bakteria, berpotensi mencegah kanser, bersifat antivirus dan lain-lain lagi. Thyme juga boleh dijadikan minyak pati yang turut mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaannya.
Anda boleh memanfaatkan khasiat thyme ini dengan menggunakannya dalam masakan seperti pasta, makaroni atau digunakan semasa menggril daging atau ikan.
Rujukan
- Alamgeer, Akhtar, M. S. et al. (2014). Pharmacological evaluation of antihypertensive effect of aerial parts of Thymus linearis benth. Acta poloniae pharmaceutica.
- Sienkiewicz, M. et al. (2011). Antibacterial activity of thyme and lavender essential oils. Medicinal chemistry.
- Boskovic, M. et al. (2015). Antimicrobial Activity of Thyme (Tymus vulgaris) and Oregano (Origanum vulgare) Essential Oils against Some Food-borne Microorganisms. Procedia Food Science.
- Kowalczyk, A. et al. (2020). Thymol and Thyme Essential Oil-New Insights into Selected Therapeutic Applications. Molecules.
- Gordo, J. et al. (2012). Thymus mastichina: chemical constituents and their anti-cancer activity. Natural product communications.
- Emir Bozkurt. et al. (2012). Effects of Thymus serpyllum Extract on Cell Proliferation, Apoptosis and Epigenetic Events in Human Breast Cancer Cells. Nutrition and Cancer.
- Kemmerich, B. et al. (2006). Efficacy and tolerability of a fluid extract combination of thyme herb and ivy leaves and matched placebo in adults suffering from acute bronchitis with productive cough. A prospective, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Arzneimittel-Forschung.
- Zotti, M. et al. (2013). Carvacrol: from ancient flavoring to neuromodulatory agent. Molecules.
- Park, Y. U. et al. (2012). Chemical composition, larvicidal action, and adult repellency of Thymus magnus against Aedes albopictus. Journal of the American Mosquito Control Association.
- Zaborowska, Z. et al. (2012). Antioxidative effect of thyme (Thymus vulgaris) in sunflower oil. Acta scientiarum polonorum. Technologia alimentaria.
- Oliviero, M. et al. (2016). Evaluations of thyme extract effects in human normal bronchial and tracheal epithelial cell lines and in human lung cancer cell line. Chemico-biological interactions.