Sekiranya anda pernah melihat di rak-rak jualan serbuk atau uncang teh di pasaraya, anda mungkin pernah terserempak dengan teh kamomil (chamomile). Teh ini adalah salah satu teh herba yang mengandungi banyak khasiat. Artikel ini akan menerangkan tentang khasiat-khasiat teh kamomil berdasarkan kajian.
Teh kamomil ini dihasilkan daripada bunga tumbuhan herba daripada spesies Matricaria. Tumbuhan ini tergolong dalam keluarga daisi. Kamomil adalah antara tumbuhan herba tertua dan paling banyak digunakan dalam perubatan dan perawatan.
Terdapat dua jenis kamomil yang terkenal iaitu Kamomil Jerman (Matricaria chamomilla) dan Kamomil Roman (Chamaemelum nobile).
Perubatan tradisional telah menggunakan kamomil berabad lamanya untuk merawat luka, ekzema, gout, iritasi kulit, lebam, luka melecuh, kanker, buasir, sakit saraf dan lain-lain lagi.
Berikut adalah 10 khasiat teh kamomil yang bermanfaat untuk kesihatan anda.
1. Boleh Mengurangkan Senggugut
Teh kamomil berkhasiat dalam membantu mengurangkan keterukan senggugut yang dialami oleh wanita ketika haid.
Khasiat ini dapat dibuktikan dalam satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Iran. Kajian tersebut mendapati pengambilan teh kamomil seminggu sebelum haid dan 5 hari pertama haid boleh mengurangkan kesakitan akibat senggugut.
Peserta kajian itu juga turut dilaporkan kurang mengalami keresahan atau kebimbangan berkaitan dengan senggugut. [1]
2. Boleh Mengurangkan Keradangan
Teh kamomil juga boleh membantu mengurangkan keradangan.
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan terhadap kecederaan atau jangkitan. Tetapi, keradangan yang berpanjangan boleh mendatangkan kesan negatif kepada badan.
Penyakit-penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, kanser, penyakit jantung atau hipertensi adalah antara penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan keradangan berpanjangan (kronik).
Bunga kamomil mengandungi minyak meruap yang lazimnya ditukarkan kepada sebatian kimia dan flavonoid yang mempunyai ciri-ciri antiradang. [2]
3. Baik untuk Kesihatan Jantung
Pengambilan flavonoid dalam makanan dikatakan boleh mengurangkan risiko kematian akibat daripada penyakit jantung koronari.
Kajian yang dijalankan terhadap 805 lelaki berusia 65-84 tahun selama 5 tahun mendapati pengambilan flavanoid mengurangkan kematian akibat penyakit jantung koronari dan mengurangkan insiden serangan jantung. [3]
Teh kamomil kaya dengan flavonoid ini.
Selain itu, satu kajian yang dijalankan terhadap 64 orang pesakit diabetes mendapati pengambilan teh kamomil boleh menyebabkan penurunan terhadap paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida (lemak dalam darah) berbanding mereka yang hanya minum air. [4]
Paras kolesterol yang tinggi juga adalah salah satu faktor risiko kepada penyakit jantung.
4. Boleh Mencegah Osteoporosis
Osteoporosis adalah penyakit yang menyebabkan kelesapan ketumpatan tulang secara berperingkat-peringkat. Pelesapan tulang ini meningkatkan risiko tulang patah atau bongkok.
Wanita pascamenopaus adalah golongan berisiko tinggi untuk mengalami osteoporosis akibat daripada perubahan hormon estrogen.
Teh kamomil didapati boleh mencegah pelesapan tulang dengan membantu merangsang peningkatan ketumpatan tulang. [5]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian ini.
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Khasiat teh kamomil yang seterusnya adalah berpotensi mencegah tumor atau kanser.
Kebanyakan penilaian yang melibatkan kamomil dan pencegahan tumbesaran tumor melibatkan kajian terhadap apigenin iaitu salah satu sebatian bioaktif yang terkandung dalam kamomil.
Dalam satu kajian yang terkini, ekstrak kamomil menyebabkan pengurangan ketara terhadap daya maju sel-sel kanser manusia. Ekstrak kamomil ini juga dilihat boleh mencetuskan kematian terancang terhadap sel-sel kanser tersebut. [6]
6. Boleh Membantu Mengatasi Insomnia
Teh kamomil telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat insomnia atau untuk mencetuskan rasa tenang.
Kamomil sememangnya dikenali sebagai pencetus tidur atau penenang. Kesan ini mungkin disumbang oleh kandungan flavonoidnya.
Kesan teh kamomil ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melaporkan bahawa 10 daripada 12 orang pesakit jantung yang meminum teh kamomil tidur dengan lena selama 90 minit. [7]
7. Berpotensi Mengawal Gula Darah
Khasiat teh kamomil dilihat boleh membantu mengawal paras gula darah.
Satu kajian yang melibatkan 64 orang pesakit diabetes mendapati pengambilan teh kamomil secara harian selama 8 minggu menyebabkan penurunan paras gula darah yang ketara berbanding mereka yang hanya meminum air. [4]
Kajian terhadap haiwan juga mendapati teh kamomil yang diberikan secara harian juga boleh menurunkan paras gula darah bagi haiwan yang menghidap diabetes. [8]
8. Boleh Merawat Masalah Kembung & Cirit-birit
Teh kamomil juga turut boleh membantu merawat masalah kembung dan cirit-birit.
Khasiat teh kamomil ini dapat dilihat dalam satu kajian klinikal yang melibatkan 68 orang bayi yang mengalami kolik (kembung). Bayi-bayi ini diberikan teh herba yang mengandungi teh kamomil. Selepas 7 hari rawatan, 57% daripada bayi tersebut berjaya pulih daripada kolik tersebut.[9]
Satu kajian lain yang melibatkan 79 orang kanak-kanak kecil yang mengalami cirit-birit akut mendapati kumpulan kanak-kanak yang menerima ekstrak kamomil atau pektin epal (serat epal) pulih lebih cepat berbanding kumpulan yang menerima plasebo. [10]
9. Boleh Mengurangkan Kemurungan
Teh kamomil juga boleh membantu mengurangkan kemurungan.
Khasiat teh kamomil ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap wanita selepas bersalin yang mengalami masalah tidur dan kemurungan. Hasil kajian ini mendapati wanita yang mengambil teh kamomil menunjukkan pengurangan terhadap simptom-simptom kemurungan. [11]
10. Mungkin Boleh Melindungi Hati
Teh kamomil juga mungkin boleh melindungi hati daripada tekanan oksidatif.
Khasiat ini berdasarkan kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak rebusan kamomil boleh melindungi hati daripada ketoksikan akibat daripada alkohol.[12]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan untuk mengesahkan khasiat teh kamomil dalam perlindungan hati.
Rumusan
Teh kamomil adalah salah satu teh herba yang mempunyai banyak khasiat dan manfaat kepada peminumnya.
Selain tinggi dengan kandungan antioksidan, teh kamomil turut boleh membantu mengurangkan sakit senggugut, mengurangkan keradangan, baik untuk kesihatan jantung dan lain-lain lagi.
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden juga mendapati teh kamomil atau ekstrak kamomil mempunyai banyak nilai perubatan. Meskipun begitu, kajian-kajian terutamanya terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian yang sedia ada.
Rujukan
- Jenabi, Ensiyeh & Ebrahimzadeh, Samira. (2010). Chamomile tea for relief of primary dysmenorrhea. Iranian Journal of Obstetrics, Gynecology and Infertility.
- Lemberkovics, E. et al. (1998). [Phytochemical evaluation of essential oils, medicinal plants and their preparations]. Acta pharmaceutica Hungarica.
- Hertog, M. G. et al. (1993). Dietary antioxidant flavonoids and risk of coronary heart disease: the Zutphen Elderly Study. Lancet.
- Rafraf, M. et al. (2015). Effectiveness of chamomile tea on glycemic control and serum lipid profile in patients with type 2 diabetes. Journal of endocrinological investigation.
- Kassi, E. et al. (2004). Greek plant extracts exhibit selective estrogen receptor modulator (SERM)-like properties. Journal of agricultural and food chemistry.
- Srivastava, J. K., & Gupta, S. (2007). Antiproliferative and apoptotic effects of chamomile extract in various human cancer cells. Journal of agricultural and food chemistry.
- Gould, L. et al. (1973). Cardiac effects of chamomile tea. Journal of clinical pharmacology.
- Khan, S. S. et al. (2014). Chamomile tea: herbal hypoglycemic alternative for conventional medicine. Pakistan journal of pharmaceutical sciences.
- Gardiner P. (2007). Complementary, holistic, and integrative medicine: chamomile. Pediatrics in review.
- Kell T. (1997). More on infant colic. The Birth gazette.
- Chang, S. M., & Chen, C. H. (2016). Effects of an intervention with drinking chamomile tea on sleep quality and depression in sleep disturbed postnatal women: a randomized controlled trial. Journal of advanced nursing.
- Sebai, H. et al. (2015). Chemical composition, antioxidant properties and hepatoprotective effects of chamomile (Matricaria recutita L.) decoction extract against alcohol-induced oxidative stress in rat. General physiology and biophysics.