Ramai yang tidak menyukai tauge, ada yang mengasingkannya semasa makan. Ada juga yang memesan agar tidak dimasukkan tauge bagi makanan mereka. Tetapi, ramai yang tidak tahu akan khasiat tauge yang tidak kurang hebatnya.
Artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat tauge untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian. Teruskan membaca.
Terdapat banyak jenis kecambahan kacang dan tauge adalah salah satu daripadanya. Tauge pada asasnya adalah kecambahan daripada kacang hijau atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai “mung bean sprout“.
Di Malaysia, tauge banyak digunakan dalam masakan Melayu dan Cina, tidak kira sama ada digunakan secara segar atau dimasak. Dalam perubatan tradisional Cina, tauge dianggap “yin” atau makanan bernutrisi yang menyejukkan.
Paras nutrien bagi tumbuhan adalah berbeza-beza mengikut peringkat pertumbuhannya. Dalam konteks kacang hijau iaitu asalan kepada tauge, peringkat percambahan adalah peringkat yang mempunyai nilai nutrisi yang tinggi.
Selain itu, peringkat percambahan boleh mengaktifkan enzim-enzim yang boleh mengurangkan atau menyingkirkan sebatian-sebatian antinutrien seperti asid fitik, stakiosa dan rafinosa. [1]
Sebatian antinutrien adalah sebatian yang boleh menghalang atau mengurangkan keupayaan badan untuk menyerap nutrien perlu (essential nutrient).
Berikut adalah khasiat-khasiat tauge yang bermanfaat untuk kesihatan anda.
1. Padat dengan Pelbagai Nutrien
Tauge padat dengan nutrien-nutrien yang diperlukan badan untuk berfungsi dengan baik dan kekal sihat.
Bagi 100 gram tauge, anda boleh mendapatkan nutrien-nutrien berikut: [2]
- Kalori/Tenaga: 30 kcal
- Protein: 3.0 gram
- Karbohidrat: 5.9 gram
- Serat: 1.8 gram
- Kalsium: 13 miligram
- Zat besi: 0.9 miligram
- Magnesium: 21 miligram
- Fosforus: 54 miligram
- Kalium: 149miligram
- Zink: 0.4 miligram
- Tembaga: 0.16 miligram
- Mangan: 0.19 miligram
- Selenium: 0.6 mikrogram
- Vitamin C: 13.2 miligram
- Folat: 61 mikrogram
- Vitamin A: 1 mikrogram
- Vitamin E: 0.1 miligram
- Vitamin K: 33 mikrogram
Tauge juga turut mengandungi kumpulan vitamin B seperti vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6 yang mempunyai peranan untuk menukar makanan kepada tenaga, menghasilkan DNA dan lain-lain lagi.
2. Tinggi dengan Kandungan Antioksidan
Tauge juga turut tinggi dengan kandungan antioksidan. Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi badan daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dikawal, ia akan membawa kepada keadaan yang dipanggil tekanan oksidatif yang dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Kajian menunjukkan tauge mengandungi sebatian bioaktif yang bertindak sebagai antioksidan seperti:[3]
- Katekin
- Epikatekin
- Asid p-kumarik
- Asid ferulik
- Asid galik
- Kuersetin
- Asid sinapik
- Vitexin
- Isovitexin
Selain itu, vitamin C, E, A dan selenium di dalam tauge juga turut bertindak sebagai antioksidan.
3. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Khasiat tauge juga boleh dimanfaatkan oleh mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian terhadap haiwan mendapati tauge mempunyai kesan hipoglisemik (kesan yang boleh menurunkan paras gula darah) melalui aktiviti perencatan enzim α-amylase dan α-glucosidase. Kedua-dua enzim ini bertanggungjawab mencernakan karbohidrat yang dimakan kepada gula ringkas (seperti glukosa). Kesannya, lebih banyak karbohidrat yang disingkirkan berbanding dicernakan.[4]
Terdapat juga kajian lain yang dijalankan terhadap tikus yang menghidap diabetes jenis 2. Kajian ini mendapati selepas 5 minggu diberi makan ekstrak tauge, bacaan paras gula darah haiwan tersebut adalah lebih rendah dan menunjukkan penambahbaikan terhadap tolerans glukosa.[5]
Bukti-bukti ini menunjukkan tauge mempunyai ciri-ciri antidiabetes.
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Tauge juga boleh membantu menurunkan paras kolesterol bagi sesiapa yang memakannya.
Paras kolesterol dalam darah yang tinggi boleh mendatangkan banyak masalah kesihatan. Contohnya seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan hipertensi.
Pemakanan makanan seperti tauge dapat membantu mengawal paras kolesterol dalam darah. Khasiat tauge ini disokong oleh kajian yang mendapati pemakanan tauge boleh menyebabkan pengurangan yang ketara terhadap kepekatan kolesterol jahat dalam darah.[6]
Selain itu, terdapat juga kajian lain yang melaporkan bahawa serbuk tauge turut boleh membantu menurunkan paras kolesterol total dalam darah dengan ketara.[7]
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Tauge juga turut didapati berpotensi untuk mencegah kanser.
Kajian makmal oleh pengkaji dari Universiti Baghdad mendapati ekstrak tauge mempunyai kesan antikanser yang kuat terhadap sel-sel kanser serviks dan hati.[8]
Walau bagaimanapun, kajian berterusan masih diperlukan untuk mengukuhkan lagi dapatan kajian tersebut.
6. Baik untuk Sistem Penghadaman
Kandungan serat dalam tauge boleh membantu melancarkan sistem penghadaman dan mencegah daripada sembelit.
Di samping itu juga, kandungan polifenol yang diasingkan daripada tauge didapati mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria Helicobacter pylori (H.pylori) iaitu bakteria yang boleh menyebabkan gangguan perut dan usus seperti ulser usus.[9]
7. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Kandungan vitamin C bagi 100 gram tauge adalah lebih tinggi daripada 100 gram buah epal.
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam tauge boleh membantu menguatkan sistem imun (sistem pertahanan badan).
Kekurangan vitamin C boleh melemahkan keimunan badan dan mendedahkan badan kepada jangkitan. Malah, pengambilan makanan tambahan vitamin C turut didapati boleh mencegah jangkitan di saluran pernafasan dan jangkitan sistemik.[10]
Kandungan vitamin E dalam tauge (walaupun tidak ketara) juga boleh membantu menggalakkan sistem imun badan dalam melawan sebarang jangkitan daripada bakteria atau virus.
8. Baik untuk Wanita Mengandung
Tauge juga berkhasiat untuk dimakan oleh wanita mengandung. Ini kerana kandungan nutrien dalam tauge terutamanya zat besi dan folat (vitamin B9).
Folat adalah vitamin yang penting semasa awal kehamilan kerana pengambilan folat yang mencukupi boleh mencegah daripada kecacatan tiub saraf bagi bayi dalam kandungan.[11]
Mineral seperti zat besi juga turut penting semasa kehamilan. Wanita mengandung memerlukan dua kali ganda zat besi berbanding wanita yang tidak mengandung. Badan wanita hamil memerlukan zat besi untuk menghasilkan lebih darah untuk dibekalkan oksigen kepada bayi.
Rumusan
Kajian-kajian telah membuktikan bahawa tauge adalah makanan yang berkhasiat yang mungkin disukai oleh sesetengah daripada kita.
Selain kaya dengan pelbagai nutrien penting, tauge turut didapati baik untuk menurunkan paras kolesterol dan paras gula dalam darah yang baik untuk kesihatan jantung dan diabetes. Khasiat tauge turut disumbang oleh kandungan sebatian bioaktifnya yang bertindak sebagai antioksidan.
Bagi anda yang mungkin sebelum ini tidak menyukai sayur tauge ini, anda mungkin boleh mengubah persepsi anda tersebut.
Rujukan
- Ebert, A.W. et al. (2017). Nutritional composition of mungbean and soybean sprouts compared to their adult growth stage. Food Chemistry.
- Ganesan, K. et al. (2018). A critical review on phytochemical profile and health promoting effects of mung bean (Vigna radiata). Food Science and Human Wellness.
- Liyanage, R. et al. (2018). Hypolipidemic and hypoglycemic potential of raw, boiled, and sprouted mung beans (Vigna radiata L. Wilczek) in rats. J Food Biochem.
- Yao, Y. et al. (2008). Antidiabetic activity of Mung bean extracts in diabetic KK-Ay mice. Journal of agricultural and food chemistry.
- Lopes, L. et al. (2018). Cholesterol-Lowering and Liver-Protective Effects of Cooked and Germinated Mung Beans (Vigna radiata L.). Nutrients.
- Nakamura, K. et al. (2016). Characterization of bioactive agents in five types of marketed sprouts and comparison of their antihypertensive, antihyperlipidemic, and antidiabetic effects in fructose-loaded SHRs. Journal of food science and technology.
- Hafidh, R. R. et al. (2012). Novel molecular, cytotoxical, and immunological study on promising and selective anticancer activity of mung bean sprouts. BMC complementary and alternative medicine.
- Randhir, R. et al. (2004). Stimulation of phenolics, antioxidant and antimicrobial activities in dark germinated mung bean sprouts in response to peptide and phytochemical elicitors. Process Biochemistry.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Pitkin R. M. (2007). Folate and neural tube defects. The American journal of clinical nutrition.