Susu unta adalah produk tenusu yang mempunyai sejarah dan keistimewaan yang tersendiri. Khasiat susu unta mempunyai sejarah yang panjang dalam perawatan.
Terdapat kira-kira 19 juta populasi unta di seluruh dunia dan 15 juta daripadanya adalah berada di Afrika dan 4 juta berada di Asia.
Unta adalah haiwan yang mempunyai pelbagai kegunaan dan sinonim dengan masyarakat Arab. Unta juga adalah haiwan yang istimewa kerana kemampuannya untuk bertahan dalam cuaca yang panas kering dan persekitaran yang kekurangan air.
Masyarakat terdahulu menggunakan susu unta dalam perubatan tradisional untuk merawat malaria, jaundis (penyakit kuning), gangguan usus dan batuk yang teruk.
Beberapa dekad ini, kajian moden menemui banyak khasiat dan kegunaan susu unta yang bermanfaat kepada manusia. Artikel ini akan menyenaraikan khasiat-khasiat susu unta berdasarkan kajian-kajian sains.
1. Mengandungi Komposisi Kimia yang Menarik
Susu unta tinggi dengan kandungan insulin, protein wei (whey protein), B-lactose albumin, casein micelles, Omega-7 dan peptidoglycon recognition protein berbanding susu lembu. [1,2]
Terdapat laporan kajian yang mendapati peptidoglycon recognition protein mempunyai aktiviti-aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser payudara melalui kawalan metastasis. [3]
Selain itu, susu unta juga lebih rendah kandungan lemak berbanding susu lembu dan susu manusia. Lemak susu unta ini terdiri daripada lemak sihat iaitu lemak politaktepu rantaian panjang dan asid linoleik yang baik untuk kesihatan otak dan jantung.
2. Mengandungi Mineral dan Vitamin Penting
Susu unta juga mengandungi mineral dan vitamin penting yang diperlukan oleh badan. Susu unta mengandungi:
- Kalsium
- Magnesium
- Fosforus
- Kalium
- Zat besi
- Zink
- Tembaga.
Susu unta juga turut mengandungi kedua-dua jenis vitamin iaitu vitamin larut air dan vitamin larut lemak iaitu:
- Vitamin C
- Vitamin A
- Vitamin E
- Vitamin B1
- Vitamin B3
- Vitamin B5
Mineral dan vitamin ini mempunyai pelbagai peranan terhadap fungsi badan.
3. Boleh Menguatkan Sistem Imun Badan
Susu unta juga didapati boleh menguatkan sistem imun badan (sistem pertahanan badan). Khasiat susu unta ini disumbang oleh kandungan laktoferin dan immunoglobulin.
Laktoferin mempunyai ciri-ciri antibakteria, antikulat, antivirus, antiradang dan antioksidan. Kajian mendapati laktoferin boleh merencatkan pertumbuhan bakteria dan kulat jenis E.coli, H.pylori, K. pneumoniae, S. aureus, Clostridium dan C. albicans. [4]
Bakteria dan kulat ini boleh menyebabkan pelbagai jangkitan seperti keracunan makanan, ulser usus dan lain-lain lagi.
Immunoglobulin turut mempunyai nilai perubatannya tersendiri. Immunoglobulin seperti mana yang terkandung dalam susu unta digunakan dalam terapi imun bagi pesakit kanser, sklerosis dan Alzheimer. [4]
4. Baik untuk Pesakit Diabetes
Susu unta juga turut dikenali dengan kandungan lemak dan kolesterol yang rendah. Susu unta juga mengandungi insulin yang berguna dalam merawat diabetes.
Satu kajian semula yang dijalankan terhadap 22 kajian merumuskan bahawa pengambilan susu unta sebanyak 500 ml sehari boleh menambah baik petanda-petanda diabetes seperti mengurangkan gula darah, mengurangkan rintangan insulin dan memperbaik profil lipid (lemak). [5]
Terdapat juga kajian yang menemui potensi susu unta untuk dijadikan terapi sokongan kepada pesakit yang menghidap diabetes jenis 1.
Kajian klinikal selama 2 tahun mendapati pengambilan susu unta dalam kalangan pesakit diabetes jenis 1 boleh merendahkan paras gula darah puasa, merendahkan purata gula darah dalam 2 -3 bulan (HbA1c) dan mengurangkan purata pengambilan insulin. [6]
Ini menunjukkan susu unta boleh mengurangkan keperluan kepada dos insulin bagi pesakit diabetes jenis 1.
5. Berpotensi untuk Mencegah Kanser
Susu unta juga berpotensi dalam membantu mencegah kanser. Khasiat susu unta ini dipercayai disumbang oleh kandungan laktoferin, immunoglobulin dan zat besi yang mengikat glikoprotein.
Kajian makmal mendapati susu unta boleh merencatkan perkembangan sel-sel kanser hati dan kanser payudara melalui pembunuhan terhadap sel-sel kanser ini. [7]
Kajian yang lebih terkini turut melaporkan bahawa susu unta boleh mengurangkan pembiakan, daya maju dan migrasi sel-sel kanser kolorektal (usus) dan kanser payudara. [8]
Kajian-kajian ini menunjukkan potensi susu unta dalam membantu mencegah kanser. Kajian-kajian lanjut masih diperlukan.
6. Boleh Merawat Cirit-birit
Susu unta juga didapati boleh digunakan sebagai ubat cirit-birit.
Kajian yang dijalankan untuk mengkaji peranan susu unta dalam merawat cirit-birit mendapati susu unta mempunyai laktoferin, lisozim, peptidoglikan, dan laktoperoksida.
Protein-protein ini bekerjasama dengan antibodi dalam melawan rotavirus iaitu virus yang lazimnya menyebabkan cirit-birit. [9]
7. Berpotensi Merawat Autisme
Seterusnya, khasiat susu unta juga didapati berpotensi dalam merawat austisme. Autisme ialah gangguan mental yang mula muncul pada peringkat kanak-kanak yang menyebabkan seseorang berkelakuan tidak normal dan sukar berkomunikasi dengan masyarakat.
Susu unta boleh merawat pesakit autistik dengan mengurangkan tekanan oksidatif melalui kandungan antioksidannya yang tinggi seperti vitamin A,vitamin C, vitamin E, magnesium dan zink.
Kajian terhadap 65 orang kanak-kanak autistik mendapati pengambilan susu unta selama 2 minggu menunjukkan penambahbaikkan ketara terhadap simptom-simptom autisme. [10]
8. Baik untuk Kesihatan Kulit
Susu unta juga berkhasiat kepada kesihatan kulit.
Kandungan vitamin C dalam susu unta memainkan peranan penting dalam membantu penghasilan kolagen, melindungi kulit daripada radikal bebas yang boleh menyebabkan masalah kulit seperti kekeringan dan kedutan.
Kajian turut mendapati susu unta mempunyai agen antipenuaan dan mesra kulit. Agen-agen ini akan membuatkan kulit berasa lebih selesa. [11]
9. Pilihan yang Lebih Baik untuk Mereka yang Mengalami Tak Tolerans Susu atau Alahan Susu
Susu unta juga mungkin pilihan yang lebih baik bagi mereka yang mengalami tak tolerans susu atau alahan susu.
Hal ini kerana susu unta mempunyai laktosa yang lebih rendah berbanding susu lembu. Ini menjadikan susu unta lebih tolerans kepada mereka yang tak tolerans susu atau mempunyai alahan susu.
Dalam kajian terhadap 25 orang pesakit tak tolerans laktosa, hanya 2 orang pesakit yang mengalami tindak balas ringan apabila diberikan susu unta sebanyak 250 ml. [12]
Manakala kajian terhadap 35 orang kanak-kanak berusia 4 hingga 10.5 tahun yang menghidap alahan susu lembu pula mendapati hanya 20% daripada kanak-kanak ini yang mengalami alahan terhadap susu unta. [13]
10. Berpotensi Merawat Penyakit Crohn
Penyakit Crohn adalah sejenis penyakit keradangan usus. Ia menyebabkan keradangan pada saluran pencernaan yang menyebabkan simptom-simptom seperti cirit-birit yang teruk, kelesuan, kehilangan berat badan dan malnutrisi.
Penyakit ini boleh disebabkan oleh persekitaran, sistem imun dan bakteria. Bakteria yang menyebabkan penyakit ini dikenali sebagai Mycobacterium avium – subspecies paratuberculosis (MAP). Bakteria ini boleh tersebar melalui susu lembu kerana ia tidak terkesan akibat pempasteuran.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa susu unta menunjukkan kesan yang baik dalam merawat penyakit Crohn. Ini berkemungkinan kerana bakteria ini adalah daripada keluarga bakteria tubekulosis dan susu unta boleh digunakan untuk merawat tuberkulosis. [1]
Rumusan
Susu unta adalah susu yang disebutkan dalam Al-Quran dan hadith sebagai satu keajaiban dan susunya boleh merawat pelbagai penyakit.
Kajian-kajian moden turut mendapati dan mengesahkan bahawa susu unta mempunyai banyak khasiat termasuklah menguatkan sistem imun badan, berpotensi mencegah kanser, boleh merendahkan paras gula darah dan lain-lain lagi.
Susu unta juga sesuai buat mereka yang mengalami tak tolerans laktosa atau alahan susu.
Rujukan
- Mal, G. et al. (2006). Therapeutic value of camel milk as a nutritional supplement for multiple drug resistant (MDR) tuberculosis patients. Israel Journal of Veterinary Medicine. 61. 88-91.
- Mal, G. & Dande, Suchitra sena & Sahani, M.S.. (2007). Changes in chemical and macro-minerals content of dromedary milk during lactation. Journal of Camel Practice and Research. 14. 195-197.
- Kiselev, S. L. et al. (1998). Molecular cloning and characterization of the mouse tag7 gene encoding a novel cytokine. The Journal of biological chemistry.
- Rasheed Z. (2017). Medicinal values of bioactive constituents of camel milk: A concise report. International journal of health sciences.
- Mirmiran, P. et al. (2017). Camel Milk Has Beneficial Effects on Diabetes Mellitus: A Systematic Review. International journal of endocrinology and metabolism.
- Agrawal, R. P. et al. (2011). Effect of camel milk on glycemic control and insulin requirement in patients with type 1 diabetes: 2-years randomized controlled trial. European journal of clinical nutrition.
- Korashy, H. M. et al. (2012). Camel milk triggers apoptotic signaling pathways in human hepatoma HepG2 and breast cancer MCF7 cell lines through transcriptional mechanism. Journal of biomedicine & biotechnology.
- Krishnankutty, R. et al. (2018). Anticancer Activity of Camel Milk via Induction of Autophagic Death in Human Colorectal and Breast Cancer Cells. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Yagil R. (2013). Camel milk and its unique anti-diarrheal properties. The Israel Medical Association journal.
- Al-Ayadhi, L. Y. et al. (2015). Behavioral Benefits of Camel Milk in Subjects with Autism Spectrum Disorder. Journal of the College of Physicians and Surgeons–Pakistan .
- Yagil, R. (2017). Cosmeceuticals: Camel and Other Milk – Natural Skin Maintenance. In R. Keservani, A. Sharma, & R. Kesharwani (Eds.), Recent Advances in Drug Delivery Technology (pp. 309-338). IGI Global. http://doi:10.4018/978-1-5225-0754-3.ch011
- Cardoso, R. R. et al. (2010). Consumption of camel’s milk by patients intolerant to lactose. A preliminary study. Revista alergia Mexico .
- Ehlayel, M. S. et al. (2011). Camel milk: an alternative for cow’s milk allergy in children. Allergy and asthma proceedings.