Sumac adalah rempah yang popular digunakan oleh masyarakat Arab. Baru-baru ini, rempah ini menjadi tular kerana dikatakan boleh merawat COVID-19. Adakah benar? Oleh itu, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat Sumac dan melihat keberkesanannya dalam merawat COVID-19 dari sudut kajian saintifik.
Apa itu Sumac?
Sumac adalah tumbuhan renek daripada keluarga Anacardiaceae iaitu keluarga yang sama dengan pokok gajus dan mangga. Nama saintifik bagi Sumac pula adalah Rhus coriaria.
Perkataan Sumac ini dipercayai berasal daripada perkataan “summaq” yang bermaksud “merah gelap” dalam bahasa Arab. Ada juga yang percaya bahawa ia berasal dari perkataan Syria “sumaga” yang bermaksud “merah”.
Pokok Sumac boleh ditemui di kawasan subtropika dan kawasan beriklim sederhana seperti Afrika, Mediterranean dan Asia Barat. Di Timur Tengah seperti Lubnan, Syria, Palestin dan Jordan, Sumac di sana dikenali sebagai Sumac Syria.
Sumac selalunya digunakan dalam bentuk rempah atau serbuk. Serbuk ini dihasilkan daripada buahnya yang berwarna merah dan bergugus dalam berbentuk kon.
Khasiat dan Kebaikan Sumac
Khasiat Sumac sebenarnya telah lama dimanfaatkan oleh masyarakat terdahulu. Dalam perubatan tradisional, Sumac digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit hati, cirit-birit, ulser, masalah sistem kencing, mengurangkan kolesterol dan merangsang peluh.
Kajian-kajian moden juga turut mendapati bahawa Sumac mempunyai khasiat-khasiat seperti berikut:
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Sumac juga didapati kaya dengan pelbagai sebatian antioksidan seperti antosianin, asid galik, kuersetin, dan tanin.
Kandungan-kandungan antioksidan di dalam Sumac ini dipercayai menjadi penyumbang kepada pelbagai khasiat rempah ini.
2. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan manusia apabila berlaku kecederaan atau jangkitan.
Namun, keradangan yang berlaku secara berpanjangan (kronik) menjadi masalah kepada badan kerana ia terlibat dalam banyak penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, kanser dan penyakit kardiovaskular.
Selain kandungan antioksidan yang tinggi, Sumac juga didapati mempunyai khasiat dalam mengurangkan keradangan.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa ekstrak Sumac boleh mempercepatkan penyembuhan luka dengan meningkatkan pembentukan kolagen, asid amino dan mengurangkan aktiviti keradangan. [1]
3. Boleh Mencegah Jangkitan Virus
Sumac juga didapati berkhasiat dalam membantu mencegah jangkitan virus.
Khasiat Sumac dalam mencegah atau melawan jangkitan virus ini ada dilaporkan di dalam beberapa kajian.
Contohnya, satu kajian melaporkan bahawa sebatian-sebatian bioflavonoid sepertimana yang terdapat dalam Sumac mempunyai kesan antivirus terhadap virus yang menjangkiti saluran pernafasan iaitu virus influenza A dan B serta virus yang menjangkiti mulut dan kemaluan iaitu virus herpes (HSV-1 dan HSV-2). [2]
4. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Tambahan daripada itu juga, Sumac juga didapati boleh mencegah jangkitan bakteria dan kulat.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa ekstrak air panas Sumac dan ekstrak etanol Sumac menunjukkan kesan antibakteria terhadap bakteria Pseudomonas aeruginosa dan Escherichia coli. [3]
Bakteria Pseudomonas aeruginosa boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing, jangkitan saluran pernafasan, dermatitis dan jangkitan dalam usus. Bakteria Escherichia coli pula boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing, keracunan makanan dan jangkitan saluran pernafasan.
Kajian menggunakan minyak pati Sumac pula mendapati minyak pati tersebut berkesan dalam mencegah pertumbuhan bakteria Pseudomonas aeruginosa, Escherichia coli, Staphylococcus aureus dan Bacillus subtilis. [4]
Bakteria Staphylococcus aureus dan Bacillus subtilis adalah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Sumac juga didapati mempunyai khasiat dalam membantu menurunkan paras gula darah. Khasiat ini bermanfaat kepada pesakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Kajian terhadap 41 orang penghidap diabetes jenis 2 mendapati pengambilan 3 gram serbuk Sumac setiap hari selama 3 bulan menunjukkan kesan positif terhadap gula darah.
Pengambilan Sumac ini berjaya menurunkan paras gula darah, purata gula darah, kolesterol dan lemak dan meningkatkan paras antioksidan dalam darah. [5]
6. Boleh Mengurangkan Kesakitan Otot
Sumac juga boleh membantu mengurangkan kesakitan otot.
Khasiat Sumac ini dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 40 individu sihat yang diberikan jus Sumac dan plasebo. Hasil kajian ini mendapati kumpulan yang menerima jus Sumac dilaporkan mengalami kesakitan otot akibat senaman yang lebih rendah berbanding mereka yang menerima plasebo. [6]
Kumpulan yang meminum jus Sumac juga mempunyai paras antioksidan yang lebih tinggi. Pengkaji menyimpulkan bahawa kandungan antioksidan ini membantu mengurangkan kesakitan yang dialami.
7. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Terdapat juga kajian-kajian yang menunjukkan bahawa Sumac berpotensi membantu mencegah atau merawat kanser.
Kajian terhadap kanser payudara mendapati ekstrak etanol Sumac boleh mengurangkan kebolehhidupan pelbagai sel kanser payudara. [7]
Kajian lain turut mendapati ekstrak etanol Sumac turut mempunyai kesan antikanser terhadap kanser usus besar. Ekstrak ini mengurangkan kebolehhidupan dan merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser usus besar tersebut. [8]
Selain itu, kajian lain turut mendapati ekstrak etanol Sumac menunjukkan aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser serviks dengan mengurangkan migrasi sel-sel kanser tersebut. [9]
8. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Pengambilan Sumac juga bermanfaat bagi mereka yang menghidap kolesterol tinggi.
Kajian terhadap 80 orang penghidap kolesterol tinggi (hiperlipidemia) mendapati pengambilan Sumac boleh meningkatkan paras kolesterol HDL iaitu kolesterol baik. [10]
Satu kajian lain mendapati ubat hiperlipidemia yang digabungkan dengan Sumac menyebabkan penurunan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) yang lebih banyak berbanding ubat hiperlipidemia sahaja. [11]
9. Boleh Membantu Mengurangkan Kesakitan Kronik
Terdapat juga kajian yang mendapati ekstrak daun Sumac boleh membantu mengurangkan kesakitan terutamanya kesakitan kronik.
Berdasarkan beberapa ujian yang dijalankan, dapat diketahui bahawa ekstrak daun Sumac ini mempunyai kesan antinosiseptif terhadap sistem saraf pusat. [12]
10. Baik untuk Kesihatan Mata
Degenerasi retina diketahui boleh menyebabkan kecacatan penglihatan dan buta. Ia boleh berlaku apabila sel-sel retina ini mati secara berperingkat-peringkat.
Terdapat kajian yang mendapati ekstrak etanol Sumac boleh mengurangkan kematian sel-sel retina dan mengurangkan tekanan oksidatif dengan meningkatkan paras glutation. [13]
Ciri-ciri ini menunjukkan ekstrak Sumac berpotensi digunakan untuk melindungi mata daripada degenerasi retina.
11. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Pengambilan Sumac juga mungkin boleh membantu mengurangkan berat badan terutamanya bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Satu kajian yang dijalankan terhadap wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes mendapati pengambilan Sumac sebanyak 3 gram sehari selama 12 minggu bersama-sama diet terhad kalori menyebabkan penurunan yang ketara terhadap: [14]
- Berat badan
- Indeks jisim tubuh (BMI)
- Lemak badan
- Lemak visera
- Ukurlilit pinggang dan pinggul
- Paras keradangan
Keputusan ini menunjukkan sekiranya Sumac digabungkan dengan diet terhad kalori boleh memberi kesan terhadap pengurusan berat badan.
Bagaimana Cara Makan Sumac?
Sumac boleh dimakan dalam bentuk rempah, suplemen atau jus.
Rempah ini boleh ditaburkan atas salad atau pencuci mulut. Ia juga boleh digunakan dalam perapan ayam atau daging.
Adakah Berkesan Merawat COVID-19?
Dalam konteks merawat COVID-19 pula, Sumac mempunyai khasiat-khasiat yang mungkin bermanfaat dalam membantu merawat COVID-19.
Jangkitan COVID-19 atau SARS-CoV2 adalah jangkitan virus dan menyebabkan keradangan kepada pesakit.
Ciri-ciri antiradang dan antivirus Sumac mungkin boleh membantu mencegah jangkitan atau mengurangkan keradangan yang berlaku. Sifat antivirus Sumac terhadap virus yang menjangkiti saluran pernafasan perlu diuji dengan virus COVID-19.
Kajian awal ada mencadangkan bahawa sebatian fenolik Sumac berpotensi untuk mencegah enzim yang memecahkan protein virus COVID-19 yang seterusnya boleh memperlahankan pemerebakan virus tersebut. [15]
Walau bagaimanapun, kajian terhadap haiwan dan kajian klinikal yang khusus terhadap pesakit COVID-19 dengan menggunakan Sumac masih diperlukan.
Justeru itu, pada asasnya anda boleh memakan Sumac untuk mendapatkan pelbagai khasiatnya. Namun, bagi merawat jangkitan COVID-19, masih belum ada bukti yang kukuh yang boleh membuktikan keberkesanannya.
Rujukan
- Gabr, S. A., & Alghadir, A. H. (2019). Evaluation of the Biological Effects of Lyophilized Hydrophilic Extract of Rhus coriaria on Myeloperoxidase (MPO) Activity, Wound Healing, and Microbial Infections of Skin Wound Tissues. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Lin, Y. M. et al. (1999). Antiviral activities of biflavonoids. Planta medica.
- Alwan, B. et al. (2009). Effect of Rhus coriaria crude extract on inhibition and adhesion of pseudomonas aeruginosa and E. coli clinically isolated from patients infected with acute urinary tract inflammation. Prim. Educ. College J.
- Mohsen Z. et al. (2018). Chemical Composition and Antibacterial Effects of Essential Oil of Rhus coriaria Fruits in the West of Iran (Kermanshah). Journal of Essential Oil Bearing Plants.
- Shidfar, F. et al. (2014). The Effect of Sumac (Rhus coriaria L.)Powder on Serum Glycemic Status, ApoB, ApoA-I and Total Antioxidant Capacity in Type 2 Diabetic Patients. Iranian journal of pharmaceutical research .
- Alghadir, A. H., & Gabr, S. A. (2016). Efficacy of Rhus coriaria (sumac) juice in reducing muscle pain during aerobic exercise. Physiology international.
- El Hasasna, H. et al. (2015). Rhus coriaria induces senescence and autophagic cell death in breast cancer cells through a mechanism involving p38 and ERK1/2 activation. Scientific reports.
- Athamneh, K. et al. (2017). Rhus coriaria increases protein ubiquitination, proteasomal degradation and triggers non-canonical Beclin-1-independent autophagy and apoptotic cell death in colon cancer cells. Scientific reports.
- Samer, A. et al. (2019). Rhus coriaria (sumac) extract reduces migration capacity of uterus cervix cancer cells. Revista Brasileira de Farmacognosia.
- Hajmohammadi, Z. et al. (2016). Rhus Coriaria L. (Sumac) in Patients with Hyperlipidemia; A Double Blind Randomized Clinical Trial. Iranian journal of medical sciences.
- Rouhi-Boroujeni, H. et al. (2016). Antihyperelipidemic effects of sumac (Rhus coriaria L.): Can sumac strengthen anti-hyperlipidemic effect of statins. Der Pharm Lett.
- Mohammadi, S. et al. (2016). Effect of Hydroalcoholic Leaves Extract of Rhus Coriaria on Pain in Male Rats. Anesthesiology and pain medicine.
- Saba, K. et al. (2017). Assessment of neuroprotective properties of Rhus coriaria L. ethanol extract in an in vitro model of retinal degeneration. Journal of Herbal Medicine.
- Hariri, N. et al. (2020). The beneficial effects of sumac (Rhus coriaria L.) supplementation along with restricted calorie diet on anthropometric indices, oxidative stress, and inflammation in overweight or obese women with depression: A randomized clinical trial. Phytotherapy research.
- Sherif, Y. E. et al. (2021). Phytochemicals of Rhus spp. as Potential Inhibitors of the SARS-CoV-2 Main Protease: Molecular Docking and Drug-Likeness Study. Evidence-based complementary and alternative medicine.