Serai (Cymbopogon citratus) adalah tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan badan. Selain menjadi penambah rasa dalam masakan, khasiat serai boleh dimanfaatkan dalam perubatan.
Serai digunakan dan ditanam secara meluas di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand. Selain itu, ia turut ditanam di negara-negera tropika lain seperti Afrika, Amerika Tengah dan Selatan.
Dalam perubatan tradisional, serai digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan. Contohnya seperti sakit tekak, demam, sakit kepala, sedatif, sakit perut, melancarkan haid dan merawat luka.
Melihat khasiatnya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden juga turut dilakukan bagi membuktikan kebaikan atau khasiat serai dalam merawat pelbagai masalah kesihatan.
Antara khasiat serai yang dilaporkan dalam kajian-kajian adalah:
1. Boleh Membantu Merawat Cirit-birit
Cirit-birit atau diarea dicirikan dengan pembuangan air besar yang berulang-ulang secara kerap. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan cirit-birit. Antaranya adalah jangkitan virus, bakteria, parasit atau tak tolerans laktosa.
Serai juga didapati boleh membantu merawat cirit-birit. Air rebusan batang serai boleh membantu mengurangkan kekerapan pembuangan air besar (najis).
Kajian terhadap haiwan mendapati pada dos 800 mg/kg, ekstrak serai boleh mengurangkan penghasilan najis sehingga 53%. [1]
2. Bersifat Antiradang
Makanan yang bersifat antiradang adalah makanan yang boleh membantu mencegah dan merawat keradangan. Keradangan kronik (berpanjangan) akan memberikan kesan negatif terhadap tisu dan organ badan.
Akibatnya, ia mungkin boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, asma, obesiti dan diabetes.
Terdapat kajian yang dijalan terhadap haiwan yang melaporkan bahawa pengambilan air rebusan daun serai kering boleh mencegah sembab sehingga 18%. Walaupun ia tidak setinggi kesan pencegahan oleh ubat, namun ia menunjukkan serai mempunyai kesan antiradang. [2]
3. Mengandungi Antioksidan
Serai juga turut mengandungi antioksidan. Antioksidan di dalam serai dilaporkan terdiri daripada luteolin, isoorientin 2’-O-rhamnoside, kuersetin, kaempferol, apiginin, isoorientin, orientin, asid klorogenik dan asid kafeik.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Serai juga didapati berpotensi untuk digunakan dalam mencegah atau merawat kanser.
Khasiat atau potensi serai ini ada dilaporkan dalam beberapa kajian yang mendapati serai berpotensi digunakan untuk mencegah atau merawat kanser serviks, kanser kolorektal (usus besar) dan kanser prostat. [3, 4, 5]
5. Bersifat Antibakteria dan Antikulat
Serai juga didapati mempunyai aktiviti antibakteria dan antikulat yang menjadinya berpotensi digunakan sebagai agen untuk mencegah jangkitan bakteria dan kulat.
Satu kajian oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia mendapati ekstrak serai boleh merencatkan pengembangbiakan bakteria-bakteria yang menyebabkan keracunan makanan seperti Bacillus cereus (B. cereus), Escherichia coli (E.coli), Klebsiella pneumoniae (K. pneumoniae) dan Staphylococcus
aureus (S. aureus). [6]
Tambahan daripada itu juga, ekstrak serai turut didapati mempunyai aktiviti antikulat terhadap kulat Candida albicans. Candida albicans adalah kulat yang sering menyebabkan jangkitan di kemaluan, saluran kencing dan kulit.
6. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Serai juga berkhasiat bagi anda yang mempunyai masalah kolesterol yang tinggi. Kolesterol yang tinggi dalam darah boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung dan strok.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak daun serai segar boleh membantu menurunkan paras kolesterol bagi haiwan yang diberikan diet tinggi kolesterol. [7]
Terdapat juga kajian lain yang mendapati ekstrak daun serai segar turut menurunkan paras kolesterol total, trigliserida dan kolesterol jahat (kolesterol LDL) serta meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL). [8]
7. Boleh Membantu Merendahkan Paras Gula Darah
Selain membantu menurunkan paras kolesterol, serai juga didapati berkhasiat dalam membantu merendahkan paras gula darah.
Khasiat ini dapat dilihat dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati pengambilan ekstrak daun serai segar boleh menurunkan paras gula darah puasa. [8]
Khasiat serai ini menunjukkan bahawa ia boleh mendatangkan kesan positif kepada penghidap penyakit kencing manis (diabetes).
8. Boleh Mencegah dan Merawat Malaria
Minyak pati serai juga didapati boleh merencatkan pertumbuhan parasit Plasmodium berghei sehingga 86%. Jangkitan parasit ini boleh menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai malaria atau demam kura. [9]
Rumusan
Serai adalah tumbuhan yang lazimnya digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan. Meskipun begitu, khasiat atau kebaikan serai tidak terhad sebagai perasa dalam makanan sahaja. Amalan perubatan tradisional telah lama memanfaatkan serai dalam merawat pelbagai masalah kesihatan.
Kajian-kajian moden turut melaporkan bahawa serai berkhasiat dalam membantu merawat cirit-birit, berpotensi mencegah kanser, membantu mencegah jangkitan bakteria dan kulat, bersifat antiradang dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Tangpu, Vareishang & Yadav, Arun. (2006). Antidiarrhoeal activity of Cymbopogon citratus and its main constituent, citral. Pharmacologyonline.
- Carbajal, D. et al. (1989). Pharmacological study of Cymbopogon citratus leaves. Journal of ethnopharmacology.
- Pan, D. et al. (2022). In Vitro Evaluation of Antioxidant and Anticancer Activity of Lemongrass (Cymbopogon citratus (D.C.) Stapf). Nutrition and cancer.
- Ruvinov, I. et al. (2019). Lemongrass Extract Possesses Potent Anticancer Activity Against Human Colon Cancers, Inhibits Tumorigenesis, Enhances Efficacy of FOLFOX, and Reduces Its Adverse Effects. Integrative cancer therapies.
- Gomes, L. F. et al. (2021). Lemongrass (Cymbopogon citratus (D.C.) Stapf) Presents Antitumoral Effect and Improves Chemotherapy Activity in Prostate Cancer Cells. Anti-cancer agents in medicinal chemistry.
- Zulfa, Z. et al. (2016). In vitro antimicrobial activity of Cymbopogon citratus (lemongrass) extracts against selected foodborne pathogens. International Food Research Journal 23(3): 1262-1267.
- Agbafor,KN. & Akubugwo, EL. (2007). Hypocholesterolaemic effect of ethanolic extract of fresh leaves of Cymbopogon citratus (lemon grass). African J Biotechnol.
- Adeneye, A. A., & Agbaje, E. O. (2007). Hypoglycemic and hypolipidemic effects of fresh leaf aqueous extract of Cymbopogon citratus Stapf. in rats. Journal of ethnopharmacology.
- Tchoumbougnang, F. et al. (2005). In vivo antimalarial activity of essential oils from Cymbopogon citratus and Ocimum gratissimum on mice infected with Plasmodium berghei. Planta medica.