Daun selasih atau biji selasih lazimnya digunakan dalam masakan atau minuman. Selain menjadi penambah aroma rasa, selasih turut mempunyai khasiat yang tersendiri. Artikel kali ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat selasih berdasarkan kajian.
Selasih atau dalam bahasa Inggerisnya “basil” adalah tumbuhan herba daripada keluarga pudina seperti rosemary, thyme atau oregano. Selasih adalah herba berdaun hijau yang berasal dari Asia dan Afrika.
Perubatan tradisional telah menggunakan selasih untuk merawat pelbagai penyakit seperti keresahan, batuk, sakit kepala, jangkitan, sembelit, cirit-birit, ketuat dan kepincangan buah pinggang.
Secara saintifiknya selasih dikenali sebagai Ocimum basilicum. Terdapat banyak jenis atau varieti Ocimum basilicum yang dikenali dengan beberapa nama seperti:
- Sweet basil / Kemangi/ Selasih: Selasih jenis ini paling popular dan banyak digunakan dalam masakan terutamanya masakan ala Itali.
- Greek basil: Jenis selasih yang mempunyai aroma yang kuat tetapi perisa yang ringan. Ia boleh digunakan untuk menggantikan sweet basil.
- Thai basil: Jenis selasih yang biasanya digunakan di Thailand dan Asia Tenggara.
- Cinnamon basil: Berasal dari Mexico. Mempunyai bau dan perisa seperti kayu manis.
- Lettuce basil: Selasih yang mempunyai daun besar, lembut dan berkedut.
Selasih adalah herba yang baik untuk mendapatkan pelbagai nutrien seperti kalsium, zat besi, magnesium, vitamin B, vitamin A dan vitamin K. [1]
Beberapa khasiat selasih yang didapati dalam kajian-kajian adalah seperti berikut:
1. Padat dengan Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh diperolehi daripada buah-buahan, sayur-sayuran atau herba yang boleh melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas.
Selain itu, ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif dikaitkan dengan pelbagai penyakit seperti kanser, penyakit jantung, penyakit Alzheimer atau penyakit asma.
Kajian menunjukkan bahawa selasih atau minyak pati selasih kaya dengan kandungan antioksidan seperti: [2, 3]
- Antosianin
- Rosmarinic acid
- Eugenol
- Asid lenoleik
- α-cadinol
2. Boleh Mencegah Penyakit Mata
Selasih juga berkhasiat dalam membantu mencegah penyakit mata kerana kandungan sebatian lutein dan zeaxantin.
Lutein dan zeaxantin adalah sebatian dalam kumpulan vitamin A yang mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan mata. Lutein dan zeaxantin boleh melindungi mata daripada sinaran matahari yang berlebihan terutamanya daripada sinaran biru.
Kajian-kajian juga turut mendapati bahawa lutein dan zeaxantin boleh mencegah daripada penyakit degenerasi makular berkaitan usia (AMD) yang boleh berkembang kepada buta. [4]
Lutein dan zeaxantin juga boleh membantu memperlahankan pembentukan katarak iaitu penyakit yang menyebabkan kanta mata menjadi legap hingga mengaburkan pandangan. [5]
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Selasih juga didapati berpotensi digunakan untuk mencegah kanser.
Khasiat selasih ini dapat dilihat dengan beberapa kajian. Sebagai contoh, kajian makmal terhadap minyak pati selasih mendapati mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser serviks dan kanser larinks. [6]
Kandungan sebatian eugenol dalam selasih juga turut boleh membunuh sel-sel kanser kulit, kanser tulang, kanser leukimia, kanser perut dan kanser prostat. [7]
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Herba selasih ini juga boleh membantu menurunkan paras gula darah. Sesetengah pengamal perubatan tradisional juga menyarankan pengambilan selasih untuk menurunkan paras gula darah.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak daun selasih boleh membantu menurunkan paras gula darah dalam kalangan haiwan yang menghidap diabetes jenis 2. [8]
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa berlaku penurunan paras gula darah bagi haiwan yang dirawat dengan selasih. [9]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Selain boleh membantu menurunkan paras gula darah, selasih juga turut berkhasiat untuk menurunkan paras kolesterol dan trigliserida (lemak dalam darah).
Ekstrak selasih didapati boleh menurunkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida masing-masing sebanyak 56%, 63% dan 68%. [10]
Khasiat selasih ini juga turut bermanfaat kepada kesihatan jantung. Hal ini kerana, kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan pengumpulan lemak pada dinding salur darah seterusnya meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
6. Boleh Membantu Mengurangkan Kemurungan
Kemurungan dan keresahan adalah gangguan mental yang banyak memberi kesan kepada masyarakat pada masa ini. Pandemik COVID-19 turut memberikan impak yang besar kepada kesihatan mental masyarakat yang membawa kepada peningkatan kes bunuh diri.
Minyak pati selasih juga boleh membantu mengurangkan kemurungan akibat daripada tekanan yang berterusan. [11, 12]
Di samping itu, sekiranya digunakan sebagai aromaterapi, minyak pati selasih boleh meningkatkan kepekaan mental atau mengurangkan kelesuan mental. [13]
7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Khasiat selasih juga boleh dimanfaatkan untuk mencegah jangkitan bakteria.
Kajian menunjukkan bahawa minyak pati selasih berkesan digunakan untuk mencegah jangkitan daripada bakteria jenis Escherichia coli (E.coli) yang rintang kepada ubat-ubatan. [14]
Bakteria E. coli adalah bakteria yang sering menyebabkan keracunan makanan (cirit-birit), jangkitan pada saluran kencing atau penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan.
8. Boleh Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan manusia sekiranya berlaku kecederaan atau jangkitan. Keradangan ini menjadi masalah apabila ia berlaku secara berterusan (kronik).
Keradangan yang kronik dikaitkan dengan pelbagai penyakit yang serius seperti penyakit kencing manis (diabetes), penyakit jantung, sakit sendi,alahan atau penyakit penghalang pulmonari kronis.
Minyak pati selasih juga didapati bersifat antiradang. Ini bermakna minyak pati selasih boleh membantu mengurangkan keradangan. [15]
9. Boleh Melindungi Sistem Pencernaan
Penggunaan herba selasih dalam masakan juga mempunyai kesan yang positif kepada sistem pencernaan. Herba selasih ini dipercayai dapat melindungi sistem pencernaan termasuklah usus daripada luka atau ulser.
Khasiat selasih ini dibuktikan dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Ekstrak selasih didapati boleh melindungi usus daripada rosak akibat daripada ubat aspirin dan seterusnya mencegah daripada berlakunya ulser. [16]
10. Baik untuk Kesihatan Otak
Tidak terhenti di situ, khasiat selasih juga turut mempunyai kesan yang baik untuk kesihatan otak.
Ekstrak selasih boleh mengurangkan kehilangan ingatan (memori) yang disumbang oleh aktiviti antioksidan flavanoid, tanin dan terpenoid dalam ekstrak selasih ini. [17]
Tambahan daripada itu juga, minyak pati selasih didapati boleh mengurangkan kerosakan memori dan kemerosotan otak yang disebabkan oleh tekanan dan penuaan. [18]
11. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Selasih juga berkhasiat untuk mereka yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Ini kerana selasih boleh membantu menurunkan tekanan darah bagi mereka yang memakannya.
Kesan herba selasih ini terhadap tekanan darah dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Selasih boleh menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik. [19]
Rumusan
Selasih adalah herba yang mempunyai banyak khasiat dan kegunaan dalam masakan.
Terdapat banyak kajian diperingkat kajian terhadap haiwan yang mendapati herba selasih ini berkhasiat dalam merawat pelbagai masalah kesihatan seperti mencegah penyakit mata, mencegah kanser, menurunkan paras gula darah, menurunkan paras kolesterol dan lain-lain lagi.
Anda boleh memanfaatkan khasiat selasih ini dengan menggunakannya dalam masakan-masakan seperti sup, salad atau pizza.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Li, H. et al. (2017). Evaluation of the chemical composition, antioxidant and anti-inflammatory activities of distillate and residue fractions of sweet basil essential oil. Journal of food science and technology.
- Phippen, W.B. & Simon, J.E. (1998). Anthocyanins in Basil (Ocimum basilicum L.). J. Agric. Food Chem.
- Ma, L. et al. (2012). Lutein and zeaxanthin intake and the risk of age-related macular degeneration: a systematic review and meta-analysis. The British journal of nutrition.
- Vu, H. T. et al. (2006). Lutein and zeaxanthin and the risk of cataract: the Melbourne visual impairment project. Investigative ophthalmology & visual science.
- Tomson, A. M. et al. (1995). Characterization of human larynx carcinoma cell lines HLaC’79 and HLaC’82: a common origin but diverged malignancies. Clinical & experimental metastasis.
- Jaganathan, S. K., & Supriyanto, E. (2012). Antiproliferative and molecular mechanism of eugenol-induced apoptosis in cancer cells. Molecules.
- Widjaja, S. S. et al. (2019). Glucose Lowering Effect of Basil Leaves in Diabetic Rats. Open access Macedonian journal of medical sciences.
- Almalki D. A. (2019). Renoprotective Effect of Ocimum Basilicum (Basil) Against Diabetes-induced Renal Affection in Albino Rats. Materia socio-medica.
- Amrani, S. et al. (2006). Hypolipidaemic activity of aqueous Ocimum basilicum extract in acute hyperlipidaemia induced by triton WR-1339 in rats and its antioxidant property. Phytotherapy research.
- Ali, S. S. et al. (2017). The antidepressant-like effect of Ocimum basilicum in an animal model of depression. Biotechnic & histochemistry.
- Ayuob, N. N. et al. (2017). Can Ocimum basilicum relieve chronic unpredictable mild stress-induced depression in mice?. Experimental and molecular pathology.
- Varney, E., & Buckle, J. (2013). Effect of inhaled essential oils on mental exhaustion and moderate burnout: a small pilot study. Journal of alternative and complementary medicine.
- Sienkiewicz, M. et al. (2013). The potential of use basil and rosemary essential oils as effective antibacterial agents. Molecules.
- Li, H. et al. (2017). Evaluation of the chemical composition, antioxidant and anti-inflammatory activities of distillate and residue fractions of sweet basil essential oil. Journal of food science and technology.
- Abd El-Ghffar, E. A. et al. (2018). The protective role of Ocimum basilicum L. (Basil) against aspirin-induced gastric ulcer in mice: Impact on oxidative stress, inflammation, motor deficits and anxiety-like behavior. Food & function.
- Sarahroodi, S. et al. (2012). The effects of green Ocimum basilicum hydroalcoholic extract on retention and retrieval of memory in mice. Ancient science of life.
- Ayuob, N. N. et al. (2018). Ocimum basilicum improve chronic stress-induced neurodegenerative changes in mice hippocampus. Metabolic brain disease.
- Umar, A. et al. (2010). Antihypertensive effects of Ocimum basilicum L. (OBL) on blood pressure in renovascular hypertensive rats. Hypertension research.