Sejak kebelakangan ini, sacha inchi banyak mendapat perhatian rakyat di negara ini berikutan khasiatnya. Mungkin ada yang tertanya-tanya akan kesahihan tuntutan yang dilakukan. Oleh itu, sebagai satu panduan untuk anda, artikel ini menyenaraikan khasiat sacha inchi berdasarkan sokongan kajian-kajian.
Sacha inchi atau nama saintifiknya Plukenetia volubilis adalah tumbuhan malar yang berasal daripada hutan hujan Amazon yang meliputi Peru dan barat laut Brazil. Sacha inchi turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti sacha peanut, mountain peanut, Inca nut atau Inca peanut.
Buah sacha inchi lazimnya tidak dimakan tetapi bijinya dipanggang dan dimakan. Selain itu, biji sacha inchi ini juga turut dijadikan serbuk atau diekstrak untuk mendapatkan minyaknya.
Tambahan daripada itu, daun tumbuhan ini juga turut dimanfaatkan dengan dikeringkan dan dibancuh untuk dijadikan teh herba.
Sacha inchi adalah tumbuhan yang mempunyai banyak potensi kerana kandungan asid lemak Omega-3, Omega-6 dan Omega-9.
Bagi satu hidangan biji sacha inchi (10 gram) terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 70 kcal
- Protein: 3 gram
- Lemak: 5 gram
- Serat: 1 gram
- Kalsium: 20 miligram
- Zat besi: 0.4 miligram
Biji sacha inchi juga turut kaya dengan asid lemak seperti asid lemak tepu, asid lemak monotaktepu dan asid lemak politaktepu. Nutrien-nutrien ini menjadi penyumbang kepada khasiat sacha inchi ini.
Berikut adalah khasiat minyak, biji dan daun sacha inchi untuk kesihatan.
1. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Salah satu khasiat sacha inchi yang mempunyai sokongan kajian adalah boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Satu kajian kecil yang melibatkan 30 peserta mendapati pengambilan 10-15 ml minyak sacha inchi setiap hari selama 4 bulan boleh mengurangkan paras kolesterol total, kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL). [2]
Terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan minyak sacha inchi bersama-sama dengan makanan yang tinggi lemak boleh mencegah daripada peningkatan paras kolesterol dan keradangan. Walau bagaimanapun, kesan ini berbeza-beza mengikut tahap metabolisme individu. [3]
2. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Minyak sacha inchi juga didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah bagi mereka yang mengambilnya secara konsisten.
Menurut kajian, pengambilan 10-15 ml minyak sacha inchi setiap hari selama 4 bulan boleh membantu menurunkan paras tekanan darah. [2]
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan turut mendapati ekstrak kulit buah sacha inchi boleh membantu menurunkan tekanan darah sistolik bagi haiwan yang menghidap hipertensi (tekanan darah tinggi). [4]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal dan berskala lebih besar masih perlu dijalankan untuk menguatkan lagi dapatan kajian-kajian awal ini.
3. Baik untuk Kesihatan Usus
Sacha inchi juga turut berkhasiat untuk kesihatan usus anda.
Meskipun kajian terhadap manusia adalah terhad, terdapat kajian terhadap haiwan yang mendapati sacha inchi boleh meningkatkan kesihatan usus.
Satu kajian terhadap tikus makmal mendapati pemberian minyak sacha inchi bersama-sama diet tinggi lemak boleh membantu mengimbangkan bakteria baik dalam usus tikus tersebut. [5]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Sacha inchi juga didapati berpotensi untuk membantu mencegah kanser.
Kesan antikanser sacha inchi dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati diet berasaskan minyak sacha inchi selama 4 minggu boleh mengurangkan jisim tumor,pembiakan sel-sel tumor dan mengurangkan keradangan. [6]
Daun sacha inchi juga berpotensi untuk digunakan dalam membantu mencegah kanser. Kajian tabung uji mendapati ekstrak daun sacha inchi boleh membunuh sel-sel kanser serviks dan kanser paru-paru. [7]
Kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat kesan antikanser sacha inchi terhadap manusia.
5. Boleh Melindungi Sel-sel Badan
Sacha inchi juga kaya dengan antioksidan iaitu sebatian yang boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas.
Kajian juga turut menunjukkan bahawa minyak sacha inchi turut mengandungi vitamin E. Vitamin E adalah antioksidan larut lemak yang boleh menghentikan penghasilan radikal bebas yang terbentuk apabila lemak mengalami pengoksidaan. [8]
6. Membantu Menurunkan Berat Badan
Khasiat sacha inchi juga mungkin boleh membantu menurunkan berat badan melalui pengawalan selera makan.
Khasiat ini dapat dibuktikan berdasarkan satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry yang mendapati serbuk sacha inchi sangat tinggi dengan kandungan triptofan iaitu sejenis asid amino yang penting untuk penghasilan serotonin. [9]
Serotonin adalah hormon yang turut berperanan untuk mengawal selera makan, menstabilkan emosi dan rasa gembira.
7. Baik untuk Kesihatan Kardiovaskular
Sistem kardiovaskular adalah sistem yang terdiri daripada jantung, saluran darah dan darah. Sebarang keabnormalan atau kecederaan kepada sistem ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok.
Sacha inchi dilihat mempunyai khasiat atau kebaikan kepada sistem kardiovaskular pemakannya. Hal ini kerana kandungan asid lemak Omega-3 iaitu asid alfa-linolenik (ALA) yang tinggi dalam minyaknya.
Kajian menunjukkan pengambilan minyak sacha inchi sebanyak 10-15 ml boleh meningkatkan kandungan asid alfa-linolenik (ALA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) pada tahap maksimum selepas 2 jam pengambilannya. [10]
Kesan ini menunjukkan pengambilan minyak sacha inchi boleh meningkatkan paras ALA dan DHA dalam darah yang bermanfaat kepada kesihatan kardiovaskular.
Risiko dan Kesan Sampingan
Sekiranya diambil secara bersederhana, sacha inchi adalah tidak berbahaya dan hanya menyebabkan kesan sampingan yang ringan sahaja.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa kesan sampingan yang diperhatikan adalah loya atau mual pada awal pengambilannya dan akan berkurangan dari semasa ke semasa. [2]
Terdapat juga laporan kes mengenai kejadian alahan terhadap biji sacha inchi. Walaupun ia amat jarang berlaku, namun sekiranya anda mengalami tindak balas alahan selepas mengambil sacha inchi ini berhenti memakannya dan sila mendapatkan rawatan. [11]
Daun dan biji sacha inchi yang mentah turut mengandungi antinutrien dan alkaloid. Antinutrien adalah sebatian yang boleh menghalang penyerapan mikronutrien ke dalam badan manusia. Alkaloid pula menjadi berbahaya sekiranya diambil secara banyak.
Mujurlah, kedua-dua sebatian ini boleh dikurangkan dengan ketara melalui proses pemanggangan. [12]
Kegunaan
Sacha inchi boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan.
Minyak sacha inchi boleh digunakan dalam masakan atau makanan. Minyak dan serbuk sacha inchi juga boleh dijadikan sebagai makanan tambahan (suplemen).
Selain itu, minyak dan protein daripada sacha inchi juga turut digunakan dalam bidang kosmetik dan farmaseutikal.
Rumusan
Sacha inchi adalah tumbuhan yang mempunyai banyak potensi sama ada dalam bidang kesihatan atau bidang-bidang yang lain.
Biji dan minyak sacha inchi mempunyai banyak khasiat kesihatan. Kajian-kajian buat masa ini menunjukkan sacha inchi bermanfaat untuk membantu menurunkan paras kolesterol, tekanan darah tinggi, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Kajian-kajian berterusan harus terus dijalankan bagi merungkai pelbagai khasiat sacha inchi ini.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Gonzales, G. F., & Gonzales, C. (2014). A randomized, double-blind placebo-controlled study on acceptability, safety and efficacy of oral administration of sacha inchi oil (Plukenetia volubilis L.) in adult human subjects. Food and chemical toxicology.
- AlayĆ³n, A. N. et al. (2019). Metabolic status is related to the effects of adding of sacha inchi (Plukenetia volubilis L.) oil on postprandial inflammation and lipid profile: Randomized, crossover clinical trial. Journal of food biochemistry.
- Li, P. et al. (2020). Sacha inchi (Plukenetia volubilis L.) shell extract alleviates hypertension in association with the regulation of gut microbiota. Food & function.
- Li, P. et al. (2020). Sacha inchi oil alleviates gut microbiota dysbiosis and improves hepatic lipid dysmetabolism in high-fat diet-fed rats. Food & function.
- Wang, S. et al. (2018). Sacha inchi (Plukenetia volubilis L.): Nutritional composition, biological activity, and uses. Food chemistry.
- Nascimento, A.K.L. et al. (2013). Antioxidant and Antiproliferative Activities of Leaf Extracts from Plukenetia volubilis Linneo (Euphorbiaceae). Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine.
- Chirinos, R. et al. (2015). Comparison of the physico-chemical and phytochemical characteristics of the oil of two Plukenetia species. Food chemistry.
- Sathe, S. K. et al. (2002). Isolation, purification, and biochemical characterization of a novel water soluble protein from Inca peanut (Plukenetia volubilis L.). Journal of agricultural and food chemistry.
- Gonzales, G. F. et al. (2014). Exposure of fatty acids after a single oral administration of sacha inchi (Plukenetia volubilis L.) and sunflower oil in human adult subjects. Toxicology mechanisms and methods.
- Bueso, A. et al. (2010). Occupational allergic rhinoconjunctivitis and bronchial asthma induced by Plukenetia volubilis seeds. Occupational and environmental medicine.
- Srichamnong, W. et al. (2018). Safety assessment of Plukenetia volubilis (Inca peanut) seeds, leaves, and their products. Food science & nutrition.