Rosemary adalah herba yang banyak digunakan dalam masakan. Khasiat rosemary telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional sejak dahulu lagi.
Rosemary digunakan untuk merawat demam, sakit perut, epilepsi (sawan), sakit sendi, kekejangan, senggugut, meningkatkan memori dan lain-lain lagi.
Rosemary atau nama saintifiknya Rosmarinus officinalis merupakan tumbuhan renek yang berasal dari Selatan Eropah dan Asia terutamanya kawasan Mediterranean. Kini, rosemary banyak ditanam di serata dunia.
Rosemary adalah dari keluarga pudina (Lamiaceae) iaitu keluarga yang sama bagi beberapa tumbuhan herba lain seperti thyme, oregano, basil (selasih) dan lavender. Herba rosemary banyak digunakan sebagai rempah dalam masakan, pengawet dalam industri makanan ataupun sebagai tumbuhan herba untuk rawatan.
Kajian-kajian saintifik mendapati rosemary mempunyai nilai-nilai perawatan yang banyak disumbang oleh sebatian-sebatian aktif yang terkandung di dalamnya seperti rosmarinic acid, carnosic acid, rosmanol, carnosol, ursolic acid dan betulinic acid.
Berikut adalah 10 khasiat rosemary untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang amat penting untuk kesihatan tubuh badan manusia. Antioksidan membantu mencegah atau meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Selain dihasilkan oleh badan, antioksidan boleh diperolehi melalui buah-buahan, sayur-sayuran dan herba seperti rosemary.
Kajian mendapati rosemary mempunyai banyak sebatian yang bertindak sebagai antioksidan seperti: [1]
- Rosmarinic acid
- Asid kafeik
- Asid klorogenik
- Oleanolic acid
- Carnosic acid
- Carnosol
- Ursolic acid
- Rosmanol
2. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan manusia apabila berlaku kecederaan atau luka.
Walau bagaimanapun, keradangan yang berterusan akan mengakibatkan masalah yang lebih serius seperti penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, artritis (sakit sendi) atau kanser.
Minyak pati rosemary didapati menunjukkan sifat antiradang dengan mengurangkan sembab dan keradangan pada tisu di paru-paru. [2]
3. Meningkatkan Tumpuan dan Memori
Rosemary juga boleh membantu meningkatkan tumpuan atau ingatan (memori).
Khasiat rosemary ini dilaporkan dalam Jurnal Therapeutic Advances in Psychopharmacology yang menunjukkan aroma rosemary boleh meningkatkan tumpuan, prestasi, kelajuan, ketepatan dan sedikit sebanyak “mood” mereka. [3]
Hipokampus adalah bahagian otak yang memainkan peranan penting dalam pembelajaran, memori, pengawalseliaan emosi (mood), kognitif dan tindak balas kepada tekanan.
Kajian terhadap hipokampus haiwan mendapati ekstrak rosemary boleh meningkatkan memori dan mengurangkan tekanan oksidatif. [4]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Rosemary juga berpotensi untuk digunakan dalam membantu mencegah kanser.
Kesan antikanser rosemary dilaporkan dalam kajian oleh pengkaji dari University of British Columbia, Kanada yang mendapati ekstrak rosemary boleh memperlahankan penularan sel-sel kanser leukimia dan payudara. [5]
Terdapat juga kajian lain yang melaporkan bahawa penggunaan ekstrak rosemary pada daging cincang boleh mengurangkan pembentukan agen penyebab kanser yang terbentuk semasa memasak pada suhu yang tinggi. [6]
5. Mengurangkan Risiko Penyakit Mata
Rosemary juga dilihat boleh meningkatkan kesihatan mata seterusnya mencegah daripada penyakit mata.
Kajian makmal mendapati sebatian carnosic acid dalam rosemary boleh membantu melindungi mata daripada penyakit degenerasi makular berkaitan usia yang boleh membawa kepada buta. [7]
6. Boleh Membantu Mengurangkan Sawan
Epilepsi adalah penyakit berkaitan otak yang menyebabkan sawan secara rawak dan kemerosotan memori dan pembelajaran.
Ekstrak rosemary didapati boleh mengurangkan keterukan sawan dan mengurangkan kerosakan memori dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan. [8]
7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Selain itu, minyak pati rosemary juga didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria.
Kajian menunjukkan bahawa minyak pati rosemary boleh mencegah atau melawan jangkitan bakteria E. coli, Bacillus cereus dan Staphylococcus aureus. [9]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan.
Penggunaan minyak pati rosemary pada daging juga boleh mencegah bakteria jenis Brochothrix thermosphacta dan Enterobacteriaceae yang selalunya menyebabkan kerosakan pada daging dan keracunan makanan. [10]
8. Baik untuk Kesihatan Jantung
Serangan jantung adalah antara penyebab utama kematian yang di seluruh dunia.
Pengambilan daun rosemary segar dilihat boleh meningkatkan kadar kemandirian bagi haiwan yang pernah mengalami serangan jantung. Daun rosemary juga boleh meningkatkan fungsi jantung, otot jantung dan fungsi diastolik. [11]
9. Boleh Mengurangkan Keresahan
Keresahan (anxiety) adalah antara penyakit mental yang banyak menyerang masyarakat pada masa kini.
Ekstrak rosemary juga didapati mempunyai kesan yang baik dalam mengurangkan keresahan. Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa ekstrak rosemary mempunyai kesan yang sama dengan ubat diazepam (ubat untuk merawat keresahan). [12]
Kesan antikeresahan ini dipercayai disumbang oleh kandungan flavonoid dan ciri-ciri antioksidan dalam rosemary.
10. Boleh Merawat Asma
Khasiat rosemary juga didapati bermanfaat bagi mereka yang mengalami asma.
Kajian terhadap pesakit asma yang rintang terhadap rawatan rutin mendapati ekstrak rosemary boleh mengurangkan asma. Penilaian klinikal mendapati ekstrak rosemary boleh membantu mengurangkan batuk, penghasilan kahak dan berdehit bagi pesakit asma. [13]
Hasil kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak rosemary berguna dalam membantu merawat penyakit asma.
Rumusan
Rosemary adalah tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan atau industri makanan.
Selain menjadi penambah rasa, rosemary atau minyak pati rosemary mempunyai banyak khasiat terhadap kesihatan manusia. Antaranya adalah seperti melawan keradangan, meningkatkan tumpuan dan memori, berpotensi mencegah kanser, mengurangkan risiko penyakit mata dan lain-lain lagi.
Anda boleh memanfaatkan khasiat rosemary ini dengan menggunakan semasa memanggang daging, membuat piza atau semasa menyediakan spageti.
Rujukan
- de Oliveira, J. R. (2019). Rosmarinus officinalis L. (rosemary) as therapeutic and prophylactic agent. Journal of biomedical science.
- Takaki, I. et al. (2008). Anti-inflammatory and antinociceptive effects of Rosmarinus officinalis L. essential oil in experimental animal models. Journal of medicinal food.
- Moss, M., & Oliver, L. (2012). Plasma 1,8-cineole correlates with cognitive performance following exposure to rosemary essential oil aroma. Therapeutic advances in psychopharmacology.
- Rasoolijazi, H. et al. (2015). The effect of rosemary extract on spatial memory, learning and antioxidant enzymes activities in the hippocampus of middle-aged rats. Medical journal of the Islamic Republic of Iran.
- Cheung, S., & Tai, J. (2007). Anti-proliferative and antioxidant properties of rosemary Rosmarinus officinalis. Oncology reports.
- Tsen, S. et al. (2006), Effects of Rosemary Extracts on the Reduction of Heterocyclic Amines in Beef Patties. Journal of Food Science.
- Lipton, S.A. et al. (2012). Compound found in rosemary protects against macular degeneration in laboratory model. Investigative Ophthalmology & Visual Science.
- Naderali, E. et al. (2018). The role of rosemary extract in degeneration of hippocampal neurons induced by kainic acid in the rat: A behavioral and histochemical approach. Journal of integrative neuroscience.
- Burt S. (2004). Essential oils: their antibacterial properties and potential applications in foods–a review. International journal of food microbiology.
- Sirocchi, V. et al. (2013). Biogenic amines as freshness index of meat wrapped in a new active packaging system formulated with essential oils of Rosmarinus officinalis. International journal of food sciences and nutrition.
- Murino Rafacho, B. P. et al. (2017). Rosemary supplementation (Rosmarinus oficinallis L.) attenuates cardiac remodeling after myocardial infarction in rats. PloS one.
- Noori Ahmad Abadi. et al. (2016). Effect of Hydroalcoholic Extract of Rosmarinus officinalis L. Leaf on Anxiety in Mice. Journal of evidence-based complementary & alternative medicine.
- Mirsadraee, M. et al. (2018). Effects of Rosmarinus officinalis and Platanus orientalis extracts on asthmatic subjects resistant to routine treatments. Avicenna journal of phytomedicine.