Bentuk buahnya seakan-akan strawberi tetapi berlainan dari segi tekstur. Buah raspberi atau dalam bahasa Inggerisnya “raspberry” adalah salah satu daripada kumpulan buah beri yang mempunyai pelbagai khasiat. Mungkin tidak ramai yang tahu akan khasiat raspberi kerana ia adalah buah yang diimport.
Raspberi terdiri daripada beberapa variasi, ada yang berwarna merah, hitam, ungu, kuning dan emas. Tetapi, variasi merah dan hitam adalah yang paling popular.
Setiap variasi ini mempunyai komposisi vitamin, mineral dan antioksidan yang unik. Raspberi merah semakin popular dan mendapat tempat dalam bidang masakan, kesihatan dan penggunaan yang lain.
Dalam artikel ini, kita akan melihat dengan lebih lanjut mengenai khasiat raspberi terutamanya raspberi merah.
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Salah satu cara untuk mengukur antioksidan atau sebatian aktif yang bermanfaat di dalam makanan adalah melalui pengukuran kapasiti antioksidan.
Raspberi adalah antara buah-buahan yang tinggi dengan antioksidan. Kajian mendapati raspberi mempunyai kapasiti antioksidan yang lebih tinggi daripada buah strawberi, kiwi, epal, tomato serta sayur brokoli dan daun bawang. [1]
Kapasiti antioksidan buah raspberi ini disumbang oleh kandungan elagitanin, antosianin dan vitamin C. [2]
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Penyakit jantung ialah penyakit kardiovaskular yang menyebabkan kematian kira-kira 17.5 juta orang di seluruh dunia setiap tahun.
Terdapat banyak faktor risiko kepada penyakit ini antaranya adalah keradangan, rintangan insulin, pengoksidaan kolesterol LDL dan perdarahan.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sebatian antosianin seperti yang terkandung di dalam buah raspberi merah boleh mengurangkan keradangan yang boleh menjurus kepada penyakit kardiovaskular. [3]
Aterosklerosis ialah pengumpulan lemak, kolesterol dan bahan lain di dalam dan pada dinding arteri. Pembentukan ini dipanggil plak. Plak tersebut boleh menyebabkan arteri menjadi sempit dan menghalang aliran darah.
Aterosklerosis boleh meningkatkan risiko kepada serangan jantung.
Kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan jus raspberi selama 12 minggu boleh merendahkan paras trigliserida dalam darah. Raspberi variasi Tulameen dan Cardinal pula boleh merendahkan kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dengan ketara. [4]
3. Mengurangkan Risiko Kepada Penyakit Kencing Manis
Penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2 adalah penyakit kronik yang membimbangkan dan turut menyumbang kepada penyakit kardiovaskular.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada tahun 2019.
Penjagaan makanan boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit ini. Buah raspberi adalah antara buah yang didapati boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis.
Khasiat raspberi dapat dibuktikan dalam kajian makmal dan kajian terhadap haiwan. Kajian-kajian tersebut mendapati bahawa sebatian-sebatian bioaktif seperti antosianin dan asid elagik boleh membantu mengawal gula (glukosa) dalam darah dan memperlahankan perkembangan penyakit melalui peningkatan perembesan insulin. [5, 6]
4. Baik untuk Penghadaman
Buah raspberi juga baik untuk penghadaman kerana kandungan seratnya yang tinggi. Terdapat kira-kira 6.5 gram serat bagi 100 gram buah ini.
Kandungan serat yang tinggi ini boleh membantu pemakannya berasa kenyang dan juga mencegah daripada berlakunya sembelit.
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Buah raspberi juga berpotensi untuk digunakan untuk mencegah kanser.
Satu kajian makmal mendapati ekstrak raspberi boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser hati yang bergantung kepada dos ekstrak tersebut. [7]
Satu kajian lain melaporkan bahawa buah raspberi hitam mempunyai kesan antikanser terhadap kanser mulut, esofagus dan usus besar. [8]
6. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Buah raspberi juga pernah mendapat liputan akan potensinya dalam membantu mengurangkan berat badan.
Khasiat raspberi ini dikatakan disumbang oleh sebatian kimia yang dikenali sebagai keton raspberi (raspberry ketone). Tarikan ini mungkin berpunca daripada kajian terhadap tikus yang melaporkan penurunan berat badan selepas mengambil suplemen keton raspberi. [9]
Kajian terkini melaporkan bahawa kesan antiobesiti keton raspberi tersebut disumbang oleh mekanisme seperti proses antioksidan, antiradang, mengimbangkan paras gula darah, mempercepatkan pemecahan lemak dan lain-lain. [10]
7. Baik untuk Kesihatan Otak
Buah raspberi juga turut berkhasiat kepada otak.
Satu kajian terhadap haiwan mendedahkan bahawa buah raspberi merah dapat melindungi otak daripada diet yang tinggi dengan lemak. Pengambilan buah raspberi merah boleh mengurangkan keradangan serta melindungi memori dan pengetahuan. [11]
8. Baik untuk Kesihatan Mata
Buah raspberi juga baik untuk kesihatan mata. Khasiat raspberi ini disumbang oleh kandungan nutrien yang dikenali sebagai lutien dan zeaxantin.
Lutein dan zeaxantin memainkan peranan penting dalam melindungi mata daripada penyakit-penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia (AMD), katarak, glaukoma dan retinopati diabetes. [12]
Rumusan
Buah raspberi adalah salah satu daripada kumpulan buah beri yang kaya dengan pelbagai nutrien dan khasiat.
Kajian-kajian menunjukkan raspberi kaya dengan antioksidan, baik untuk kesihatan jantung, mengurangkan risiko penyakit diabetes, baik untuk penghadaman dan lain-lain lagi.
Nada boleh menikmati buah raspberi ini secara segar, sejuk beku atau kering. Di samping itu, raspberi juga boleh dijadikan jeli, jem atau air manisan.
Rujukan
- Beekwilder, J. et al. (2005). Identification and dietary relevance of antioxidants from raspberry. BioFactors.
- Beekwilder, J. et al. (2005). Antioxidants in raspberry: on-line analysis links antioxidant activity to a diversity of individual metabolites. Journal of agricultural and food chemistry.
- Hui Teng. et al. (2017). Red raspberry and its anthocyanins: Bioactivity beyond antioxidant capacity. Trends in Food Science & Technology.
- Suh, J. H. et al. (2011). Raspberry juice consumption, oxidative stress and reduction of atherosclerosis risk factors in hypercholesterolemic golden Syrian hamsters. Food & function.
- Chao, P. C. et al. (2009). Anti-inflammatory and anti-coagulatory activities of caffeic acid and ellagic acid in cardiac tissue of diabetic mice. Nutrition & metabolism.
- Jayaprakasam, B. et al. (2005). Insulin secretion by bioactive anthocyanins and anthocyanidins present in fruits. Journal of agricultural and food chemistry.
- Liu, M. et al.. (2002). Antioxidant and antiproliferative activities of raspberries. Journal of agricultural and food chemistry.
- Kresty, L. A. et al. (2016). Black raspberries in cancer clinical trials: Past, present and future. Journal of berry research.
- Morimoto, C. et al. (2005). Anti-obese action of raspberry ketone. Life sciences.
- Li, X. et al. (2022). Potential metabolic activities of raspberry ketone. Journal of food biochemistry.
- Carey, A. N. et al. (2021). Red raspberry (Rubus ideaus) supplementation mitigates the effects of a high-fat diet on brain and behavior in mice. Nutritional neuroscience.
- Mares J. (2016). Lutein and Zeaxanthin Isomers in Eye Health and Disease. Annual review of nutrition.