Mungkin ramai yang tidak tahu akan khasiat pokok buah keras yang mempunyai banyak nilai perubatan. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat pokok buah keras serta bahagian-bahagiannya untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian.
Pokok buah keras yang secara saintifiknya dikenali sebagai Aleurites moluccana. Buahnya dikenali sebagai buah keras atau kemiri. Dalam Bahasa Inggerisnya pula, buah keras dikenali sebagai candle nut atau candleberry.
Pokok buah keras berasal dari Asia Tenggara, India, Taiwan, China, Sri Lanka dan Kepulauan Pasifik. Pokok buah keras ini juga turut tersebar ke banyak tempat lain di kawasan tropika.
Perubatan tradisional menggunakan daun dan buah keras untuk merawat demam, asma, sakit kepala, ulser, keradangan dan sakit sendi.
Berikut adalah beberapa khasiat pokok buah keras atau bahagian-bahagiannya berdasarkan kajian-kajian sains.
1. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Daun pokok buah keras boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah. Paras kolesterol dalam darah yang tinggi boleh mendatangkan masalah kesihatan seperti penyakit jantung.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati haiwan yang diberikan ekstrak daun pokok buah keras mengalami penurunan ketara terhadap paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida (lemak dalam darah). [1]
Khasiat daun pokok buah keras ini dipercayai disumbang oleh pengurangan terhadap penyerapan lemak dalam usus dan perencatan penghasilan kolesterol oleh hati.
2. Mempunyai Kesan Pelalian
Daun pokok buah keras juga didapati mempunyai kesan pelalian atau analgesik yang menjadikan daun ini berpotensi untuk digunakan dalam menghasilkan ubat analgesik yang berasaskan tumbuhan.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak daun pokok buah keras menunjukkan kesan pelalian sehingga 6 jam pada dos 500 mg/kg. Selain itu, sebatian flavanoid dalam daun ini turut menunjukkan kesan pelalian. [2]
3. Boleh Membantu Merawat Sakit Sendi
Osteoartritis dan artritis reumatoid adalah penyakit keradangan yang berlaku pada sendi yang menyebabkan sakit sendi, bengkak atau kekakuan pada sendi.
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian sains yang dijalankan terhadap haiwan turut mendapati ekstrak daun pokok buah keras menunjukkan kesan antiradang dengan mengurangkan sembab dan mengurangkan kehipersensitifan.[3]
Ciri-ciri ini menjadikan ekstrak daun ini berpotensi dijadikan produk herba yang boleh merawat sakit sendi seperti artritis reumatoid atau penyakit kronik yang lain.
4. Boleh Membantu Menyembuhkan Luka
Daun pokok buah keras juga turut didapati boleh membantu penyembuhan luka.
Satu kajian yang menggunakan ekstrak daun pokok buah keras dalam penghasilan ubat herba sapuan mendapati formulasi yang mengandungi ekstrak daun tersebut boleh mempercepatkan penyembuhan luka sehingga 50%. [4]
Hasil kajian ini bertepatan dengan penggunaan tumbuhan ini dalam perawatan luka.
5. Boleh Membantu Merawat Keradangan Kulit
Ekstrak daun pokok buah keras ini juga turut didapati berkhasiat dijadikan sebagai ubat herba sapuan untuk merawat keradangan kulit.
Kajian melaporkan bahawa produk sapuan yang mengandungi ekstrak daun pokok buah keras menunjukkan kesan antiradang dan mengurangkan bengkak apabila disapu pada kulit. Kajian ini turut mendapati produk ini turut mengurangkan parameter-parameter yang menunjukkan keradangan. [5]
6. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Kajian makmal juga turut mendapati ekstrak daun dan kulit pokok buah keras mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa. [6]
Bakteria Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa adalah bakteria yang sering menyebabkan keracunan makanan, pneumonia dan jangkitan darah.
7. Mempercepatkan Pertumbuhan dan Ketebalan Rambut
Minyak buah keras juga didapati boleh membantu mempercepatkan pertumbuhan dan ketebalan rambut.
Kajian daripada pengkaji dari Indonesia mendapati minyak buah keras terutamanya yang dihasilkan melalui sistem nanoemulsi boleh membantu mempercepatkan pertumbuhan dan ketebalan rambut jika dibandingkan dengan minyak buah keras konvensional. [7]
Risiko dan Kesan Sampingan
Buah keras lazimnya digunakan dalam masakan masyarakat tempatan sebagai penambah rasa.
Elakkan daripada membeli atau memakan produk suplemen daripada buah keras yang tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Terdapat laporan kes yang melaporkan seorang remaja lelaki dimasukkan ke wad ICU akibat halangan jantung yang berpunca daripada pemakanan suplemen menghilangkan berat badan (weight loss supplement) daripada buah keras. [8]
Remaja tersebut menunjukkan simptom-simptom seperti muntah-muntah, khayal, sakit dada dan halangan jantung.
Terdapat juga laporan kes yang melibatkan wanita berusia 44 tahun yang turut mengalami halangan jantung selepas mengambil suplemen buah keras. Wanita ini turut menunjukkan simptom-simptom seperti loya, muntah, keletihan dan denyutan jantung yang tidak normal. [9]
Rumusan
Kajian-kajian moden mendapati daun pokok buah keras mempunyai banyak khasiat dan nilai perubatan yang berpotensi digunakan sebagai ubat untuk merawat keradangan, menurunkan paras kolesterol, merawat sakit sendi, merawat luka dan lain-lain lagi.
Minyak buah keras juga turut didapati boleh menjadi tonik rambut yang boleh mempercepatkan pertumbuhan rambut dan menebalkan rambut.
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk melihat potensi sebenar pokok buah keras dan bahagian-bahagiannya.
Rujukan
- Pedrosa, R. C. et al. (2002). Hypolipidaemic activity of methanol extract of Aleurites moluccana. Phytotherapy research.
- Quintão, N. L. et al. (2011). Aleurites moluccana (L.) Willd. Leaves: Mechanical Antinociceptive Properties of a Standardized Dried Extract and Its Chemical Markers. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Quintão, N. et al. (2019). Aleurites moluccanus and its main active constituent, the flavonoid 2″-O-rhamnosylswertisin, in experimental model of rheumatoid arthritis. Journal of ethnopharmacology.
- Cesca, T. G. et al. (2012). Antinociceptive, anti-inflammatory and wound healing features in animal models treated with a semisolid herbal medicine based on Aleurites moluccana L. Willd. Euforbiaceae standardized leaf extract: semisolid herbal. Journal of ethnopharmacology.
- Mendes Hoepers, S. et al. (2015). Topical anti-inflammatory activity of semisolid containing standardized Aleurites moluccana L. Willd (Euphorbiaceae) leaves extract. Journal of ethnopharmacology.
- Locher, C. P. et al. (1995). Anti-microbial activity and anti-complement activity of extracts obtained from selected Hawaiian medicinal plants. Journal of ethnopharmacology.
- Fenita Shoviantari et al. (2020). Uji Aktivitas Tonik Rambut Nanoemulsi Minyak Kemiri (Aleurites moluccana L.). Jurnal Farmasi dan Ilmu Kefarmasian Indonesia.
- O’Brien, D. R. et al. (2020). Weight loss supplement causing acute heart block in a child. Cardiology in the young.
- Koons, A. L. et al. (2020). Mobitz Type II Atrioventricular Heart Block After Candlenut Ingestion. The Journal of the American Osteopathic Association.