Jika anda suka atau menggemari buah pisang kaki, anda harus mengetahui khasiat pisang kaki untuk kesihatan yang disenaraikan dalam artikel ini.
Buah pisang kaki atau persimmon adalah buah tropika yang berbentuk seperti tomato yang berasal dari negara-negara Asia. Pisang kaki banyak diusahakan di negara-negara seperti China, Korea, Jepun, Brazil, Turki dan Itali.
Secara umumnya, terdapat lebih 400 spesies pisang kaki yang ditanam di seluruh dunia. Antaranya adalah Diospyros kaki, Diospyros virginiana, Diospyros oleifera dan Diospyros lotus. Pisang kaki yang banyak dijual di pasaran adalah daripada spesies Diospyros kaki atau Japanese persimmon.
Terdapat dua jenis pisang kaki Jepun (Japanese persimmon) yang popular iaitu:
- Hachiya: Buah pisang kaki jenis ini berbentuk seperti buah ok dan mempunyai rasa yang pedar (astringen) kerana kandungan tanin yang tinggi. Buah ini mempunyai kulit berwarna oren-merah pekat.
- Fuyu: Buah pisang kaki jenis ini berbentuk seperti tomato dan tidak pedar. Buah ini mempunyai kulit berwarna oren pekat dan mempunyai sedikit atau tiada biji.
Buah pisang kaki boleh dimakan segar, kering atau dimasak. Buah ini juga turut dijadikan jeli, minuman, pai, kari dan puding.
Untuk mengetahui kebaikan sebenar pisang kaki, berikut disenaraikan beberapa khasiat pisang kaki yang disokong oleh kajian-kajian.
1. Padat dengan Pelbagai Nutrien
Bagi 100 gram pisang kaki Jepun yang segar, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 70 kcal
- Protein: 0.58 gram
- Lemak: 0.19 gram
- Karbohidrat: 18.6 gram
- Serat: 3.6 gram
- Kalsium: 8 miligram
- Zat besi: 0.15 miligram
- Magnesium: 9 miligram
- Fosforus: 17 miligram
- Kalium: 161 miligram
- Vitamin C: 7.5 miligram
- Folat: 8 mikrogram
- Vitamin A: 81 mikrogram
- Vitamin E: 0.73 miligram
- Vitamin K: 2.6 mikrogram
Selain itu, pisang kaki ini turut mengandungi sedikit mineral zink, tembaga, mangan, selenium serta vitamin B1, B2, B3 dan B6.
2. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat. Sekiranya radikal bebas ini tidak dikawal, ia boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif dikaitkan dengan pelbagai penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes dan lain-lain lagi.
Pisang kaki kaya dengan antioksidan yang dipanggil beta-karotena. Beta-karotena ini adalah pigmen yang dijumpai bagi buah yang berwarna terang.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa pemakanan yang tinggi dengan beta-karotena boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser usus besar, kanser paru-paru dan penyakit metabolik. [2]
Selain itu, buah dan daun pisang kaki turut mengandungi antioksidan seperti proantosianidin, asid fenolik, katekin, asid galik, asid ferulik, asid vanilik dan asid kumarik.
3. Baik untuk Kesihatan Mata
Buah pisang kaki juga turut bermanfaat untuk kesihatan mata.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan vitamin A dan juga antioksidan lutein dan zeaxantin dalam buah pisang kaki ini.
Pemakanan yang tinggi dengan lutein dan zeaxantin boleh mengurangkan risiko penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia dan katarak. [3]
Tambahan lagi, kandungan vitamin A dalam buah pisang kaki turut berperanan menyokong fungsi kornea dan selaput konjunktiva. Vitamin A juga merupakan komponen penting kepada rodopsin iaitu protein yang penting untuk penglihatan yang normal. [4]
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Buah pisang kaki juga baik untuk kesihatan jantung. Nutrien-nutrien yang terkandung dalam buah pisang kaki boleh mengurangkan risiko kepada penyakit jantung.
Buah pisang kaki turut mengandungi antioksidan yang dipanggil flavanoid seperti kuersetin dan kaempferol.
Pemakanan yang tinggi dengan flavanoid didapati boleh menyokong kesihatan jantung dengan mengurangkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL), menurunkan tekanan darah dan mengurangkan keradangan. [5]
Kajian terhadap haiwan juga turut mendapati asid galik boleh menurunkan tekanan darah, mengurangkan tekanan oksidatif dan berpotensi untuk merawat pembesaran atau penebalan otot jantung. [6]
5. Mempunyai Ciri-ciri Antiradang
Keradangan adalah tindak balas normal badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan.
Walau bagaimanapun, keradangan yang berpanjangan (kronik) adalah keadaan yang tidak diingini kerana dikaitkan dengan pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kanser, obesiti atau diabetes.
Buah pisang kaki mempunyai ciri-ciri antiradang yang boleh mengurangkan keradangan. Khasiat pisang kaki dibuktikan dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati buah pisang kaki boleh mengurangkan keradangan dan kerosakan tisu badan. [7]
6. Baik untuk Sistem Penghadaman
Buah pisang kaki juga kaya dengan serat diet. Serat ini sangat baik untuk kelancaran sistem penghadaman bagi mengelakkan sembelit.
Selain itu, pengambilan makanan yang tinggi dengan serat juga sebenarnya boleh membantu merendahkan paras kolesterol jahat dalam badan.
Serat larut seperti yang terdapat dalam buah pisang kaki boleh mengikat dengan kolesterol dalam sistem penghadaman dan menyingkirkannya daripada badan. [8]
7. Berpotensi Membantu Mengurangkan Berat Badan
Buah pisang kaki yang difermentasi didapati berpotensi dijadikan makanan yang boleh membantu mengurangkan berat badan.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang diberikan diet tinggi lemak mendapati pengambilan ekstrak pisang kaki difermentasi membawa kepada penurunan berat badan sebanyak 15%, pengurangan lemak di perut dan hati dan pengurangan paras trigliserida (lemak dalam darah), kolesterol total dan glukosa (gula) dalam darah. [9]
8. Boleh Melindungi Kulit
Buah pisang kaki juga turut mengandungi sebatian likopena yang boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran matahari. Sebiji (168 g) buah pisang kaki mengandungi kira-kira 267 mikrogram likopena.
Satu kajian kecil yang melibatkan 20 orang peserta wanita mendapati pengambilan 16 mg likopena boleh mengurangkan keterukan tindak balas kulit akibat terdedah kepada sinaran UV. [10]
Satu kajian lain turut melaporkan bahawa pengambilan 8-16 mg likopena setiap hari dalam bentuk makanan atau suplemen boleh mengurangkan kemerahan kulit akibat terdedah kepada sinaran UV sebanyak 40-50%. [11]
Walau bagaimanapun, perlindungan likopena terhadap sinaran UV tidak dianggap pengganti yang baik terhadap penggunaan pelindung matahari (sunscreen/sunblock).
9. Berpotensi Mencegah Kanser
Selain buahnya, daun pisang kaki juga turut mempunyai khasiat terhadap kesihatan. Esktrak daun pisang kaki didapati berpotensi digunakan untuk mencegah kanser.
Kajian yang dijalankan mendapati ekstrak daun pisang kaki boleh membunuh sel kanser dan merencatkan pembiakan sel kanser. Kajian ini menunjukkan ekstrak daun pisang kaki berpotensi untuk dijadikan agen antikanser. [12]
10. Boleh Membantu Mengawal Penyakit Kencing Manis
Kandungan tanin yang tinggi dalam buah pisang kaki jenis Hachiya yang mempunyai rasa yang pedar dipercayai boleh membantu mengawal penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan tanin buah pisang kaki boleh mengurangkan penghadaman kanji serta mengurangkan penyerapan dan pengangkutan glukosa (gula) dalam usus. Ciri-ciri ini dilihat boleh membantu menurunkan paras gula darah selepas makan. [13]
Rumusan
Buah pisang kaki adalah buah yang popular di Jepun dan Korea. Buah ini juga turut boleh didapati di pasaran tempatan. Buah ini boleh dimakan segar, kering atau dijadikan jeli, minuman, puding atau lain-lain.
Berdasarkan kandungan nutrien dan antioksiannya, khasiat buah pisang kaki didapati bermanfaat kepada kesihatan mata, kesihatan jantung, boleh mengurangkan keradangan, baik untuk penghadaman dan lain-lain lagi.
Ekstrak daun pisang kaki juga dilihat berpotensi untuk digunakans sebagai agen antikanser.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Zhao, L. G. et al. (2016). Dietary, circulating beta-carotene and risk of all-cause mortality: a meta-analysis from prospective studies. Scientific reports.
- Abdel-Aal, e. et al. (2013). Dietary sources of lutein and zeaxanthin carotenoids and their role in eye health. Nutrients.
- Saari J. C. (2016). Vitamin A and Vision. Sub-cellular biochemistry.
- Salvamani, S. et al. (2014). Antiartherosclerotic effects of plant flavonoids. BioMed research international.
- Jin, L. et al.(2017). Gallic Acid Reduces Blood Pressure and Attenuates Oxidative Stress and Cardiac Hypertrophy in Spontaneously Hypertensive Rats. Scientific reports.
- Direito, R. et al. (2020). Anti-inflammatory Effects of Persimmon (Diospyros kaki L.) in Experimental Rodent Rheumatoid Arthritis. Journal of dietary supplements.
- Jesch, E. D., & Carr, T. P. (2017). Food Ingredients That Inhibit Cholesterol Absorption. Preventive nutrition and food science.
- Song, M. et al. (2020). Anti-obesity Effect of Fermented Persimmon Extracts via Activation of AMP-Activated Protein Kinase. Biological & pharmaceutical bulletin.
- Rizwan, M. et al. (2011). Tomato paste rich in lycopene protects against cutaneous photodamage in humans in vivo: a randomized controlled trial. The British journal of dermatology.
- Stahl, W. et al. (2006). Lycopene-rich products and dietary photoprotection. Photochemical & photobiological sciences.
- Kim, H. S. et al. (2020). Anti-cancer potential of persimmon (Diospyros kaki) leaves via the PDGFR-Rac-JNK pathway. Scientific reports.
- Li, K. et al. (2018). Persimmon Tannin Decreased the Glycemic Response through Decreasing the Digestibility of Starch and Inhibiting α-Amylase, α-Glucosidase, and Intestinal Glucose Uptake. Journal of agricultural and food chemistry.