Ramai yang mengatakan bahawa petai ini mempunyai banyak khasiat. Tetapi sejauh manakah kebenarannya? Adakah bukti yang menunjukkan khasiat petai ini? Menjawab persoalan-persoalan ini, artikel ini menyenaraikan khasiat petai berserta bukti sokongan daripada kajian-kajian yang telah dijalankan.
Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa adalah tumbuhan yang berasal daripada keluarga legum, Fabaceae iaitu satu keluarga dengan kacang botor, kacang soya dan kacang tanah.
Petai semestinya tidak asing lagi bagi rakyat di negara-negara tropika seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Petai lazimnya dimakan sebagai ulam, dimasak atau dijeruk.

Bau hancing selepas memakan petai mungkin menjadi faktor utama sesetengah orang menjauhi ulam ini. Bau ini disebabkan oleh kandungan sebatian sulfur (organosulfur) yang terkandung dalam legum ini.
Perubatan tradisional telah menggunakan biji, kulit, akar atau daun petai untuk merawat pelbagai penyakit atau masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, gangguan buah pinggang, sakit kepala, kurap, tekanan darah tinggi, batuk dan penyakit kulit.
Melihat potensi petai ini, kajian-kajian moden telah dijalankan untuk melihat khasiat petai dari sudut sains perubatan.
Antara khasiat petai adalah:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Petai mengandungi nutrien-nutrien yang penting untuk fungsi dan kesihatan tubuh badan. Pemakanan biji petai (100 gram) boleh membekalkan: [1, 2]
- Kalori: 124 kcal
- Protein: 10 gram
- Lemak: 1.8 gram
- Karbohidrat: 16.9 gram
- Serat: 1 gram
- Kalsium: 126 miligram
- Zat besi: 3.4 miligram
- Fosforus: 3 miligram
- Magnesium: 29 miligram
- Kalium: 376 miligram
- Vitamin C: 32.7 miligram
- Vitamin B1: 0.15 miligram
- Vitamin B2: 0.2 miligram
- Vitamin B3: 0.5 miligram
- Vitamin E: 4.15 miligram
Profil nutrisi ini menunjukkan biji petai tinggi dengan kandungan kalsium, zat besi, vitamin C dan vitamin E.
Mineral kalsium penting untuk tulang dan gigi yang sihat. Manakala zat besi pula penting untuk penghasilan sel-sel darah merah dan boleh mencegah penyakit kekurangan darah merah (anemia).
Vitamin C dan E pula merupakan antioksidan dan mempunyai banyak peranan lain terhadap fungsi badan.
2. Bersifat Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang penting untuk badan bagi mencegah radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Sekiranya jumlah antioksidan dalam badan kurang daripada jumlah radikal bebas, maka berlakunya ketidakseimbangan. Ketidakseimbangan ini akan menyebabkan tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan banyak penyakit kronik atau keradangan seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kanser dan penyakit jantung.
Biji, lenggai (kulit) dan daun petai mempunyai aktiviti-aktiviti antioksidan. Gabungan antara lenggai dan biji petai mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi.
Selain vitamin C dan E, petai juga mengandungi sebatian antioksidan yang lain seperti: [3]
- Asid galik
- Asid kafeik
- p-coumaric acid
- Asid ferulik
- Asid klorogenik
- Asid sinamik
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Petai juga didapati mempunyai potensi dalam mencegah kanser.
Ekstrak selaput biji petai menunjukkan ciri-ciri sitotoksik iaitu boleh membunuh sel-sel kanser terhadap kanser payudara, kanser usus dan kanser hati. [4]
Selain itu juga, ekstrak lenggai petai juga turut didapati mempunyai aktiviti antiangiogenik. Ini bermakna ekstrak ini boleh mencegah pembentukan salur darah baru yang membekalkan “makanan” kepada tumor untuk membesar. [5]
Ciri-ciri yang ada pada lenggai petai ini secara tidak langsung boleh mencegah tumbesaran tumor.
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk merungkai lebih banyak potensi petai terhadap pencegahan kanser.
4. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Biji petai telah digunakan oleh Orang Asli di Perak untuk merawat jangkitan saluran kencing.
Ekstrak metanol biji petai didapati berkesan mencegah tumbesaran bakteria jenis H. pylori manakala ekstrak etil asetat biji petai berkesan terhadap bakteria E. coli. [6]
Bakteria H.pylori adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan jangkitan dalam perut dan boleh menyebabkan ulser perut. Manakala bakteria E. coli adalah bakteria yang boleh menyebabkan karacunan makanan.
Air rendaman biji petai pula didapati boleh merencatkan pertumbuhan bakteria jenis Aeromonas hydrophila, Staphylococcus aureus, Streptococcus agalactiae, Streptococcus anginosus, dan Vibrio parahaemolyticus. [7]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan seperti jangkitan pada luka, jangkitan salur kencing, keracunan makanan, meningitis dan lain-lain lagi.
5. Berpotensi Menurunkan Paras Gula Darah
Khasiat petai juga mungkin bermanfaat untuk penghidap diabetes.
Lenggai (kulit) dan biji petai didapati mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu menurunkan paras gula darah.
Kajian oleh penyelidik dari Universiti Chulalongkom, Thailand mendapati lengai dan biji petai menunjukkan aktiviti pencegahan terhadap enzim yang bertanggungjawab menguraikan karbohidrat kepada gula. [8]
Aktiviti pencegahan ini boleh mengurangkan penyerapan gula ke dalam salur darah seterusnya membantu menurunkan paras gula dalam darah.
Kajian terhadap haiwan yang menghidap kencing manis juga turut mendapati pengambilan ekstrak lenggai dan biji petai boleh menurunkan paras gula selepas 2 jam pengambilannya dan kesan ini berpanjangan sehingga 24 jam. [9, 10]
Kandungan beta-sitosterol dan stigmasterol yang terkandung dalam biji petai bertanggungjawab terhadap khasiat petai ini.
6. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Bagi penghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi, pemakanan petai mungkin sedikit sebanyak boleh mendatangkan manfaat kepada tekanan darah tinggi yang dialami.
Kajian-kajian menunjukkan kesan penurunan tekanan darah oleh petai berkemungkinan besar disumbang oleh pengawalan nitrik oksida dan ciri-ciri perencatan ACE iaitu enzim yang mengawal tekanan darah. [11]
Perencatan ACE ini bermakna biji petai dan lenggai petai boleh mencegah enzim ini daripada menghasilkan sebatian yang boleh menyempitkan salur darah. Penyempitan salur darah ini akan menyebabkan tekanan darah tinggi.
7. Boleh Melindungi daripada Ulser Perut
Pemakanan petai juga boleh melindungi perut anda daripada ulser perut.
Kajian terhadap haiwan mendapati daun dan biji petai boleh melindungi perut daripada ulser perut akibat daripada alkohol dan ubat antiradang bukan steroid (NSAID). [12, 13]
Tambahan daripada itu juga, sifat antibakteria petai terhadap bakteria jenis H.pylori juga boleh mencegah ulser perut akibat jangkitan bakteria ini. [14]
8. Boleh Membantu Mencegah Anemia
Anemia adalah keadaan dimana seseorang itu tidak mempunyai sel-sel darah merah yang sihat yang mencukupi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan.
Anemia juga turut dirujuk sebagai rendah hemoglobin. Mengalami anemia membuatkan seseorang itu berasa letih dan lemah.
Biji petai juga boleh membantu mencegah anemia akibat kekurangan zat besi dengan membekalkan zat besi yang tinggi.
Kajian terhadap haiwan turut mendapati ekstrak biji petai boleh meningkatkan paras hemoglobin bagi haiwan yang diberikan ekstrak tersebut. [15]
9. Bersifat Antiradang
Petai juga bersifat antiradang. Ini bermakna petai boleh mengurang atau melawan keradangan yang berlaku dalam badan.
Keradangan adalah proses semula jadi badan apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Namun, keradangan boleh menjadi masalah sekiranya berlaku secara berpanjangan (kronik).
Ekstrak lenggai petai didapati mempunyai ciri-ciri antiradang terhadap keradangan yang dicetuskan oleh enzim yang dipanggil tumor necrosis factor alpha (TNF-α). [16]
Di samping itu, kandungan sebatian lupeol yang terdapat dalam biji petai juga turut mempunyai ciri-ciri antiradang. [17]
10. Tinggi dengan Protein
Biji petai juga tinggi dengan protein.
100 gram biji petai boleh membekalkan kira-kira 16% protein harian yang disarankan kepada individu dewasa di Malaysia.
Kandungan protein yang tinggi dalam biji petai ini bermanfaat kepada mereka yang mengamalkan diet vegan atau vegetarian.
Protein daripada tumbuhan ini boleh menampung keperluan protein daripada haiwan bagi golongan yang mengamalkan diet ini.
Walaupun bagaimanapun, protein daripada tumbuhan dikenali sebagai protein tidak lengkap. Ini bermakna protein ini tidak mempunyai kesemua asid amino perlu (essential amino acids).
Kesan Sampingan atau Ketoksikan
Secara umumnya, pemakanan petai adalah selamat dan tidak menyebabkan sebarang ketoksikan atau kesan sampingan.
Pengambilan 30 biji petai atau 2 papan petai hampir setiap hari juga tidak menyebabkan sebarang kesan buruk. [2]
Rumusan
Petai adalah legum yang sering dimakan sebagai sayur atau ulam. Petai sebenarnya mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.
Kajian-kajian peringkat awal mendapati petai mengandungi antioksidan, bersifat antiradang, boleh membantu mencegah kanser, melawan jangkitan bakteria dan lain-lain lagi. Meskipun begitu, kajian-kajian mengenai khasiat petai terhadap manusia masih terhad.
Justeru itu, kajian-kajian berterusan masih perlu dijalankan untuk meningkatkan lagi kefahaman terhadap khasiat petai untuk kesihatan awam.
Rujukan
- Malaysian Food Composition Database (MYFCD).
- Kamisah, Y. et al. (2013). Parkia speciosa Hassk.: A Potential Phytomedicine. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Pitchaon Maisuthisakul. et al. (2008). Relationship between antioxidant properties and chemical composition of some Thai plants. Journal of Food Composition and Analysis.
- Aisha AFA, et al. (2009). Screening of antiangiogenie activity of some tropical plants by rat aorta ring assay. International Journal of Pharmacology (6):370–376.
- Aisha, A. F. et al. (2012). Evaluation of antiangiogenic and antoxidant properties of Parkia speciosa Hassk extracts. Pakistan journal of pharmaceutical sciences.
- A. Sakunpak. et al. (2012). Antibacterial activity of Thai edible plants against gastrointestinal pathogenic bacteria and isolation of a new broad spectrum antibacterial polyisoprenylated benzophenone, chamuangone. Food Chemistry.
- Musa, Najiha. et al. (2008). Potential of Edible Plants as Remedies of Systemic Bacterial Disease Infection in Cultured Fish. Global Journal of Pharmacology 2 (2): 31-36.
- Tanasorn Tunsaringkarn et al. (2008). α-GLUCOSIDASE INHIBITORY ACTIVITY OF THAI MIMOSACEOUS PLANT EXTRACTS. J Health Res 22(1): 29-33.
- Jamaludin, Fathaiya & Mohamed, Suhaila. (1993). Hypoglycemic Effect of Extracts of Petai Papan (Parkia speciosa, Hassk).
- Fathaiya Jamaluddin. et al (1995). Hypoglycaemic effect of Stigmast-4-en-3-one, from Parkia speciosa empty pods. Food Chemistry.
- Saleh, M. et al. (2021). Genus Parkia: Phytochemical, Medicinal Uses, and Pharmacological Properties. International journal of molecular sciences.
- Maria, M et al. (2015). ANTI-ULCER ACTIVITY OF ETHANOL EXTRACT OF PARKIA SPECIOSA AGAINST INDOMETHACIN INDUCED PEPTIC ULCER IN ALBINO RATS. International Journal of Pharmaceutical Sciences and Research.
- Al Batran, R. et al. (2013). In vivo antioxidant and antiulcer activity of Parkia speciosa ethanolic leaf extract against ethanol-induced gastric ulcer in rats. PloS one.
- Yeo, S. H., & Yang, C. H. (2016).[Peptic Ulcer Disease Associated with Helicobacter pylori Infection]. Korean J Gastroenterol.
- Shella Nursucihta et al. (2014). ANTIANEMIA ACTIVITY OF Parkia speciosa Hassk SEED ETHANOLIC EXTRACT. Tradisional Medicine Journal.
- Gui, J. S. et al. (2019). Parkia speciosa empty pod extract exerts anti-inflammatory properties by modulating NFκB and MAPK pathways in cardiomyocytes exposed to tumor necrosis factor-α. Cytotechnology.
- Chen, Y. F. et al. (2012). Balanophora spicata and Lupeol Acetate Possess Antinociceptive and Anti-Inflammatory Activities In Vivo and In Vitro. Evidence-based complementary and alternative medicine.