Oregano atau daun oregano adalah herba yang berasal dari Mediterranean. Oregano mempunyai khasiat yang tersendiri yang menjadikannya sebagai bahan makanan sejak beribu tahun lamanya. Artikel ini akan berkongsi beberapa khasiat oregano berdasarkan kajian-kajian.
Oregano atau nama saintifiknya Origanum vulgare ialah tumbuhan herba dari keluarga Lamiaceae iaitu keluarga pokok pudina. Herba ini banyak digunakan dalam masakan di seluruh dunia.
Oregano atau daun oregano ini boleh didapati dalam bentuk segar, kering atau minyak pati. Lazimnya, oregano segar atau kering digunakan dalam masakan.

Masyarakat Eropah telah menggunakan oregano dalam perubatan tradisional mereka untuk melegakan kembung perut, kekejangan, batuk atau masalah kitaran haid.
Melihat khasiat yang terkandung dalam oregano ini, kajian-kajian moden telah mengkaji khasiat oregano ini dan mendapati herba ini mempunyai ciri-ciri terapeutik seperti antioksidan, antibakteria, antiradang dan lain-lain lagi.
Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat oregano yang bermanfaat untuk kesihatan badan atau dalam perubatan.
1. Tinggi dengan Antioksidan
Oregano merupakan herba yang tinggi dengan antioksidan. Analisis mendapati herba ini mengandungi sebatian fenolik dan flavonoid seperti kuarsetin, rutin, luteolin, rosmarinic acid dan asid klorogenik.
Antioksidan ialah sebatian yang sangat penting dalam membantu melawan atau mencegah kerosakan pada sel-sel badan akibat daripada radikal bebas.
Radikal bebas yang banyak dan tidak dibendung dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, diabetes dan lain-lain.
Kajian mendapati rosmarinic acid ialah sebatian antioxidan yang paling penting dalam herba ini disamping mempunyai kepekatan yang tinggi berbanding sebatian-sebatian fenolik yang lain. [1]
Herba oregano yang mempunyai aktiviti-aktiviti antioksidan yang kuat ini menunjukkan herba ini layak untuk diiktiraf sebagai makanan fungsian kerana manfaatnya dan khasiatnya dalam mengekalkan dan meningkatkan kesihatan.
2. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria & Kulat
Herba oregano juga turut dikenali dengan kebolehannya untuk membantu mencegah jangkitan bakteria dan kulat (fungus).
Kajian tabung uji mendapati ekstrak oregano adalah berkesan dalam melemahkan atau merencatkan pertumbuhan bakteria seperti E.coli, S. aureus, Salmonella dan Listeria monocytogenes. [1]
Bakteria-bakteria ini adalah antara bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan.
Di samping itu juga, ekstrak oregano turut menunjukkan kesan antikulat yang baik dalam ujian yang dijalankan terhadap kulat jenis Aspergillus niger. [1]
Kulat jenis ini ialah kulat hitam yang biasanya boleh dilihat pada buah-buahan atau sayur-sayuran yang rosak.
Terdapat juga kajian yang mendapati ekstrak oregano turut menunjukkan sifat antimikrob terhadap bakteria dan kulat jenis S. aureus, Bacillus subtilis (B. subtilis), E. coli, P. aeruginosa, C. albicans, dan Aspergillus niger. [2]
Bakteria P. aeruginosa ialah bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada salur kencing, jangkitan salur pernafasan, jangkitan pada sendi dan lain-lain lagi.
Candida albicans pula adalah yis yang lazimnya boleh menyebabkan jangkitan yis pada faraj wanita.
3. Baik untuk Penyakit Diabetes
Oregano juga didapati mempunyai manfaat kepada penghidap diabetes jenis 2.
Berdasarkan kajian, sebatian dalam herba ini boleh membantu mereka yang menghidap penyakit diabetes jenis 2 dengan cara: [3]
- Menambah baik rintangan insulin
- Memulihkan tisu-tisu hati dan buah pinggang yang rosak
- Mengawal selia penghantaran gen yang terlibat dengan metabolisme lemak dan karbohidrat
Selain itu, terdapat juga kajian terhdap haiwan yang mendapati herba oregano ini boleh menambah baik masalah diabetes jenis 1 yang merupakan penyakit autoimun melalui ciri-ciri antioksidan, antiradang dan mencegah kematian sel. [4]
4. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah tindak balas normal sistem imun badan akibat daripada penyakit atau kecederaan.
Tetapi, keradangan yang berpanjangan (kronik) dipercayai boleh menyumbang kepada berlakunya penyakit seperti penyakit jantung, diabetes dan autoimun.
Terdapat kajian yang dijalankan oleh Federal University of Piaui’, Brazil yang menunjukkan bahawa minyak pati oregano mengandungi sebatian carvacrol yang boleh mengurangkan bengkak sebanyak 57% dalam ujian terhadap kaki haiwan. [5]
Terdapat juga kajian haiwan yang lain yang mendapati campuran minyak pati oregano dan thyme boleh mengurangkan keradangan pada usus (kolon). [6]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan terutamanya kajian yang melibatkan manusia untuk melihat ciri-ciri antiradang ini terhadap manusia.
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Sifat antioksidan oregano adalah salah satu ciri-ciri yang menjadikan herba ini sebagai makanan yang berpotensi untuk mencegah kanser.
Kajian makmal terhadap sel-sel kanser usus manusia mendapati ekstrak oregano boleh merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser usus serta turut membantu membunuh sel-sel kanser ini. [7]
Selain itu, terdapat juga kajian lain yang melaporkan bahawa sebatian carvacrol dalam minyak pati oregano turut menunjukkan sifat antikanser terhadap sel-sel kanser payudara, hati dan paru-paru. [8]
Namun, kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
6. Berpotensi Mengurangkan Jangkitan Virus
Selain bersifat antibakteria, oregano juga didapati turut berpotensi untuk digunakan dalam mengurangkan risiko jangkitan virus.
Terdapat kajian semula yang dijalankan mendapati oregano turut digunakan dalam perubatan tradisional Turki untuk merawat jangkitan virus influenza (demam selesema). [9]
Selain itu, minyak oregano yang tinggi dengan sebatian carvacrol juga didapati berkesan untuk menyahaktifkan murine norovirus iaitu spesies virus yang menjangkiti tikus. [10]
Kajian ini menunjukkan minyak oregano dan carvacrol ini berpotensi digunakan sebagai pensanitasi semulajadi yang boleh membantu mengawal norovirus manusia.
Norovirus ialah virus yang mudah berjangkit yang boleh menyebabkan cirit-birit dan muntah-muntah kepada manusia.
7. Boleh Melindungi Hati
Herba oregano ini juga turut berpotensi dimanfaatkan dalam merawat kerosakan hati.
Kajian-kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa herba ini turut berkhasiat dalam melindungi hati daripada rosak akibat daripada ketoksikan. [11, 12, 13]
Ciri-ciri antioksidan dan antiradang dalam oregano dilihat menyumbang kepada kebaikan ini.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk melihat kesan herba ini terhadap hati manusia.
Rumusan
Oregano atau daun oregano adalah herba yang lazim digunakan dalam masakan yang turut berkhasiat untuk kesihatan badan.
Oregano atau minyak oregano dilihat berkhasiat untuk mencegah jangkitan bakteria, kulat dan virus, bersifat antioksidan dan antiradang, berpotensi untuk mencegah kanser dan kerosakan hati serta baik untuk penghidap diabetes.
Menariknya juga, oregano adalah herba yang bersifat serba boleh dan mudah untuk disertakan dalam pelbagai resepi atau menu.
Rujukan
- Oniga, I. et al. (2018). Origanum vulgare ssp. vulgare: Chemical Composition and Biological Studies. Molecules.
- Liu, Q. et al. (2017). Antibacterial and Antifungal Activities of Spices. International journal of molecular sciences.
- Soliman, M. M. et al. (2016). Origanum Majoranum Extract Modulates Gene Expression, Hepatic and Renal Changes in a Rat Model of Type 2 Diabetes. Iranian journal of pharmaceutical research : IJPR.
- Vujicic, M. et al. (2015). Methanolic extract of Origanum vulgare ameliorates type 1 diabetes through antioxidant, anti-inflammatory and anti-apoptotic activity. The British journal of nutrition.
- Silva, F. V. et al. (2012). Anti-inflammatory and anti-ulcer activities of carvacrol, a monoterpene present in the essential oil of oregano. Journal of medicinal food.
- Bukovská, A. et al. (2007). Effects of a combination of thyme and oregano essential oils on TNBS-induced colitis in mice. Mediators of inflammation.
- Savini, I. et al. (2009). Origanum vulgare induces apoptosis in human colon cancer caco2 cells. Nutrition and cancer.
- Sharifi-Rad, M. et al. (2018). Carvacrol and human health: A comprehensive review. Phytotherapy research : PTR.
- Sargin S. A. (2021). Potential anti-influenza effective plants used in Turkish folk medicine: A review. Journal of ethnopharmacology.
- Gilling, D. H. et al. (2014). Antiviral efficacy and mechanisms of action of oregano essential oil and its primary component carvacrol against murine norovirus. Journal of applied microbiology.
- Sharifi-Rigi, A. et al. (2019). Protective and anti-inflammatory effects of hydroalcoholic leaf extract of Origanum vulgare on oxidative stress, TNF-α gene expression and liver histological changes in paraquat-induced hepatotoxicity in rats. Archives of physiology and biochemistry.
- Sikander, M. et al. (2013). Hepatoprotective effect of Origanum vulgare in Wistar rats against carbon tetrachloride-induced hepatotoxicity. Protoplasma.
- Habibi, E. et al.(2015). Protective effects of Origanum vulgare ethanol extract against cyclophosphamide-induced liver toxicity in mice. Pharmaceutical biology.