Khasiat moringa semakin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini, sejak adanya pelbagai makanan tambahan (suplemen) yang berbentuk kapsul atau serbuk.
Apa itu Moringa?
Moringa adalah pokok yang secara saintifiknya dikenali sebagai Moringa oleifera. Daun, akar dan buahnya banyak digunakan sebagai makanan atau ubat tradisional.
Masyarakat tempatan di Malaysia mengenai tumbuhan ini dengan beberapa nama seperti kacang kelor, gemunggai, remunggai, emunggai, meringgai, lemunggai atau merunggai. Dalam bahasa Inggerisnya, pokok moringa dikenali sebagai ‘drumstick tree’ atau ‘horseradish tree‘.
Pokok moringa ini berasal dari Utara India tetapi kini ia telah banyak ditanam di merata tempat termasuklah di Malaysia.
Pokok moringa sememangnya terkenal dalam perubatan tradisional kerana kepelbagaian fungsinya dalam perawatan. Daun moringa digunakan dalam perubatan tradisional untuk membanyakkan susu badan, membantu menghentikan pengaliran susu dan membantu merawat masalah penghadaman.
Selain daripada daunnya, akar dan buah moringa atau kelor ini juga turut digunakan untuk menegangkan kulit perut, merawat masalah penghadaman, sakit kepala dan sakit sendi.
Melihat potensi ini, banyak kajian-kajian sains moden dijalankan untuk membuktikan khasiat moringa secara saintifik.
Berikut adalah khasiat-khasiat moringa berdasarkan kajian-kajian sains moden:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Daun moringa turut dimakan sebagai sayur oleh sesetengah masyarakat. Daun moringa atau gemunggai ini sebenarnya mengandungi nutrien tertentu yang bermanfaat kepada badan.
Bagi secawan daun moringa seberat 21 gram, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 13.4 kcal
- Protein: 1.97 gram
- Lemak: 0.29 gram
- Karbohidrat: 1.74 gram
- Serat: 0.42 gram
- Kalsium: 38.8 miligram
- Zat besi: 0.84 miligram
- Magnesium: 8.82 miligram
- Fosforus: 23.5 miligram
- Kalium: 70.8 miligram
- Vitamin C: 10.9 miligram
- Folat: 8.4 mikrogram
- Vitamin A: 79.4 mikrogram
Selain itu, daun moringa turut mengandungi nutrien seperti zink, mangan, selenium dan kumpulan vitamin B.
Profil nutrisi bagi daun moringa ini menunjukkan ia kaya dengan mineral kalsium, magnesium, fosforus, kalium, vitamin C dan vitamin A.
2. Boleh Membantu Membanyakkan Susu Badan
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, daun moringa boleh membantu membanyakkan susu badan bagi ibu yang baru bersalin dan menyusukan anak.
Bukti khasiat moringa ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan 68 ibu selepas bersalin dan melahirkan anak pramatang. Ibu yang mengambil kapsul moringa sebanyak 250 mg setiap 12 jam didapati berjaya meningkatkan penghasilan susu badan. [2]
3. Boleh Merawat Penyakit Kencing Manis
Moringa dipercayai boleh membantu merawat penyakit kencing manis atau diabetes termasuklah diabetes jenis 1 dan jenis 2.
Penyakit diabetes jenis 1 adalah keadaan dimana pesakit menderita akibat tiada penghasilan insulin. Penyakit diabetes jenis 2 pula berkaitan dengan rintangan insulin.
Satu kajian terhadap haiwan telah menunjukkan bahawa ekstrak moringa boleh menyembuhkan diabetes jenis 1 dan juga diabetes jenis 2. [3]
Kajian terhadap 30 wanita menunjukkan bahawa pengambilan 1.5 sudu teh (7 gram) serbuk daun moringa setiap hari selama tiga bulan mengurangkan paras gula darah puasa secara puratanya sebanyak 13.5%. [4]
4. Berpotensi untuk Mencegah Kanser
Ekstrak moringa mengandungi ciri-ciri yang boleh membantu mencegah kanser.
Kajian mendapati ekstrak daun moringa boleh digunakan sebagai ejen antikanser yang boleh merencatkan tumbesaran sel-sel kanser. Kajian juga mendapati ekstrak moringa boleh mencetuskan tekanan oksidatif terhadap sel-sel kanser yang seterusnya membawa kepada kematian sel-sel kanser tersebut. [5]
Selain itu, daun moringa juga mengandungi sebatian-sebatian yang bersifat antikanser seperti glukosinolat, niazimicin dan benzyl isothiocyanate. [6]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi dalam badan boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu terkena penyakit jantung.
Pemakanan yang sihat dan baik boleh membantu mencegah kenaikan paras kolesterol dan mengurangkan paras kolesterol yang tinggi.
Daun moringa atau gemunggai merupakan salah satu daripada makanan yang tersebut. Ekstrak daun moringa didapati boleh menurunkan paras kolesterol dan mengurangkan pembentukan plak pada dinding arteri (salur darah), masing-masing sebanyak 50% dan 86%. [7]
6. Boleh Melindungi daripada Kemerosotan Otak
Kemerosotan otak dan saraf berkaitan dengan usia adalah salah satu masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh golongan yang berumur. Keadaan ini meningkatkan risiko kepada berlakunya penyakit seperti demensia.
Kemerosotan otak dan saraf boleh berlaku akibat daripada tekanan oksidatif. Kandungan antioksidan dalam ekstrak daun moringa didapati boleh membantu meningkatkan memori, mengurangkan kemerosotan otak dan mengurangkan keradangan. [8]
7. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria dan Kulat
Ekstrak daun, biji dan bunga moringa juga didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat.
Khasiat atau kebaikan moringa ini dibuktikan dalam satu kajian yang menunjukkan bahawa daun, biji dan bunga moringa mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat terhadap bakteria jenis E. coli, P. aeruginosa, Enterobacter species, K. pneumoniae, S. aureus, Proteus mirabilis, Salmonella typhi A, Streptococcus dan kulat jenis Candida albicans. [9]
Bakteria dan kulat jenis ini biasanya menyebabkan jangkitan seperti keracunan makanan, jangkitan di faraj, pneumonia dan lain-lain lagi.
8. Boleh Mencegah Ulser Perut
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, ekstrak akar moringa juga turut boleh digunakan untuk mencegah ulser perut. Ulser perut adalah luka terbuka yang terbentuk pada pelapik perut.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak akar moringa boleh mengurangkan keasidan dalam ulser perut. Ekstrak moringa itu juga dilaporkan boleh melindungi pemakannya daripada ulser perut pada julat 82% hingga 86% bergantung kepada dos yang dimakan. [10]
Kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak akar moringa berpotensi digunakan sebagai ubat antiulser.
9. Boleh Melindungi Hati
Daun moringa juga boleh membantu melindungi hati daripada rosak. Hati adalah organ dalaman terbesar dalam badan manusia. Hati mempunyai banyak peranannya dan salah satu daripadanya membantu menyingkirkan toksin daripada badan.
Khasiat moringa ini dilaporkan dalam satu kajian yang mendapati ekstrak daun moringa boleh melindungi hati daripada kerosakan akibat daripada ubat antituberkulosis iaitu ubat untuk merawat penyakit tibi. [11]
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak biji moringa boleh mencegah daripada kecederaan hati dan fibrosis (pembentukan tisu berserat) dalam hati. [12]
10. Berpotensi Merawat Asma
Makanan yang bersifat antiradang sangat bermanfaat bagi mencegah atau merawat penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan keradangan seperti diabetes, asma, kanser, sakit sendi atau penyakit jantung.
Sifat antiradang moringa dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati ekstrak biji moringa boleh mencegah daripada berlakunya daripada keradangan pada saluran pernafasan. Khasiat moringa ini menunjukkan bahawa tumbuhan ini mempunyai ciri-ciri ubat antiasma. [13]
Adakah Moringa Selamat Dimakan?
Secara umumnya, moringa terutamanya daun moringa yang dijadikan serbuk adalah selamat dimakan pada satu dos 50 gram atau 8 gram sehari sehingga 40 hari.
Kajian-kajian yang dijalankan terhadap manusia dan haiwan mendapati pada dos yang lazim digunakan, tiada kesan sampingan dilaporkan.
Manakala, bagi ekstrak moringa terutamanya dalam bentuk ekstrak akueus (berair). Tiada kajian yang dijalankan terhadap manusia. Walau bagaimanapun, sekiranya serbuk daun moringa dicairkan ke dalam air, 4 gram serbuk ini mempunyai persamaan dengan 400 mg ekstrak tersebut. [14]
Bagi anda yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung atau kanser, mendapatkan nasihat doktor atau ahli profesional kesihatan adalah langkah terbaik sebelum mengambil suplemen moringa bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.
Rumusan
Moringa atau kelor atau gemunggai adalah tumbuhan yang kaya dengan pelbagai khasiat dan nilai perubatan.
Selain penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian sains moden turut mendapati bahawa bahagian-bahagian pokok moringa seperti daun, akar dan buahnya mempunyai banyak khasiat yang boleh dimanfaatkan oleh manusia.
Kajian-kajian ini mendapati moringa baik untuk membanyakkan susu badan bagi ibu baru bersalin, baik untuk penghidap kencing manis, berpotensi mencegah kanser, membantu menurunkan paras kolesterol dan lain-lain lagi.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Estrella, M.C.P. et al. (2000). A double-blind, randomized controlled trial on the use of malunggay (Moringa oleifera) for augmentation of the volume of breastmilk among non-nursing mothers of preterm infants. Philipp J Pediatr.
- Divi, S.M. et al. (2012). Evaluation of antidiabetic and antihyperlipedemic potential of aqueous extract of moringa oleifera in fructose fed insulin resistant and STZ induced diabetic wistar rats: A comparative study. Asian Journal of Pharmaceutical and Clinical Research.
- Kushwaha, S., et al. (2012). Effect of supplementation of drumstick (Moringa oleifera) and amaranth (Amaranthus tricolor) leaves powder on antioxidant profile and oxidative status among postmenopausal women. J Food Sci Technol
- Tiloke, C. et al. (2013). The antiproliferative effect of Moringa oleifera crude aqueous leaf extract on cancerous human alveolar epithelial cells. BMC complementary and alternative medicine.
- Hermawan, Adam. et al. (2012). Ethanolic Extract of Moringa oleifera Increased Cytotoxic Effect of Doxorubicin on HeLa Cancer Cells. Journal of Natural Remedies.
- Chumark, P. et al. (2008). The in vitro and ex vivo antioxidant properties, hypolipidaemic and antiatherosclerotic activities of water extract of Moringa oleifera Lam. leaves. Journal of ethnopharmacology.
- Sutalangka, C. et al. (2013). Moringa oleifera mitigates memory impairment and neurodegeneration in animal model of age-related dementia. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Nepolean, P. et al. (2009). Isolation, analysis and identification of phytochemicals of antimicrobial activity of Moringa oleifera Lam. Current biotica.
- Choudhary, M. K. et al. (2013). Assessment of the antiulcer potential of Moringa oleifera root-bark extract in rats. Journal of acupuncture and meridian studies.
- Pari, L., & Kumar, N. A. (2002). Hepatoprotective activity of Moringa oleifera on antitubercular drug-induced liver damage in rats. Journal of medicinal food.
- Hamza A. A. (2010). Ameliorative effects of Moringa oleifera Lam seed extract on liver fibrosis in rats. Food and chemical toxicology.
- Mahajan, S. G. et al. (2009). Inhibitory effect of n-butanol fraction of Moringa oleifera Lam. seeds on ovalbumin-induced airway inflammation in a guinea pig model of asthma. International journal of toxicology.
- Stohs, S. J., & Hartman, M. J. (2015). Review of the Safety and Efficacy of Moringa oleifera. Phytotherapy research.