Minyak tea tree adalah minyak pati yang disuling daripada daun pokok Melaleuca alternifolia. Minyak tea tree ini mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan termasuklah untuk penjagaan kulit, kuku dan rambut. Artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat minyak tea tree yang boleh dimanfaatkan dalam perubatan dan perawatan.
Walaupun pokok Melaleuca alternifolia dikenali sebagai tea tree, jangan terkeliru dengan pokok teh yang digunakan untuk menghasilkan teh hijau, teh hitam atau teh oolong.
Minyak tea tree telah digunakan sebagai ubat tradisional oleh Orang Asli Australia sejak berabad lamanya. Minyak tea tree digunakan untuk merawat batuk dan selesema atau digunakan terus pada kulit untuk penyembuhan.
Berikut adalah khasiat-khasiat minyak tea tree yang digunakan dalam perubatan dan perawatan yang turut disokong oleh kajian.
1. Boleh Merawat Jerawat
Minyak tea tree boleh digunakan untuk merawat jerawat kerana sifat antibakteria dan antiradangnya.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 18 orang peserta yang menghidap jerawat ringan hingga sederhana mendapati penggunaan gel minyak tea tree menunjukkan penambahbaikan yang ketara berbanding pencuci muka yang tidak mengandungi minyak tea tree. [1]
2. Boleh Digunakan untuk Menghalau Serangga
Minyak tea tree juga boleh digunakan sebagai bahan aktif untuk menghalau serangga seperti nyamuk dan lalat.
Satu kajian tabung uji mendedahkan bahawa minyak tea tree mempunyai keupayaan menghalau nyamuk yang lebih baik daripada DEET iaitu bahan aktif yang selalu digunakan dalam penghalau serangga komersial. [2]
Satu kajian lain turut melaporkan selepas 24 jam dirawat dengan minyak tea tree, lembu yang dirawat tersebut mempunyai 61% kurang lalat berbanding lembu yang tidak dirawat dengan minyak tea tree. Ini menunjukkan minyak tea tree boleh digunakan untuk menghalau lalat. [3]
3. Boleh Digunakan Sebagai “Hand Sanitizer”
Minyak tea tree juga sesuai untuk digunakan sebagai pensanitasi tangan (hand sanitizer) semula jadi.
Kajian menunjukkan bahawa minyak tea tree boleh membunuh beberapa jenis bakteria dan virus yang selalu menyebabkan penyakit seperti E. coli, S. pneumoniae dan H. influenzae. [4]
Terdapat juga kajian lain yang mendedahkan bahawa pencuci tangan yang ditambah dengan minyak tea tree mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi terhadap bakteria E. coli. [5]
4. Boleh Merawat Kutu Air
Kutu air atau athlete’s foot adalah sejenis jangkitan kulat yang selalunya terjadi antara jari kaki.
Minyak tea tree juga didapati berkesan dalam membantu merawat kutu air. Ini dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 158 individu yang mengalami kutu air. Selepas 4 minggu rawatan menggunakan minyak tea tree, didapati bahawa minyak tea tree lebih berkesan berbanding plasebo dalam merawat kutu air. [6]
5. Boleh Membantu Merawat Kelemumur
Minyak tea tree juga berkhasiat untuk digunakan bersama-sama syampu bagi membantu merawat kelemumur.
Keberkesanan minyak tea tree ini dapat dilihat dalam satu kajian yang menunjukkan syampu yang mengandungi 5% minyak tea tree berjaya mengurangkan simptom-simptom kelemumur dengan ketara berbanding plasebo. [7]
6. Boleh Mempercepatkan Penyembuhan Luka
Khasiat minyak tea tree juga turut dapat dilihat dalam perawatan luka. Selain melindungi luka daripada jangkitan, minyak tea tree juga menggalakkan penyembuhan luka.
Kajian menunjukkan bahawa minyak tea tree boleh membantu mengurangkan keradangan dan menggalakkan aktiviti sel-sel darah putih yang penting dalam proses penyembuhan luka. [8]
Satu kajian kecil yang melibatkan 10 orang yang terluka mendapati penambahan minyak tea tree pada rawatan luka konvensional berjaya mengurangkan masa penyembuhan luka tersebut. [9]
7. Boleh Merawat Kulat Kuku
Minyak tea tree juga turut didapati boleh membantu merawat kulat kuku, tidak kira jika digunakan minyak ini sahaja atau digabung dengan ubat-ubatan lain.
Dalam satu kajian terkawal, penghidap kulat kuku menggunakan minyak tea tree atau ubat antikulat selama 6 bulan. Pada akhir kajian, kira-kira 60% orang dalam setiap kumpulan mengalami penambahbaikan dari segi simptom-simptom dan penampilan kuku mereka. [10]
8. Boleh Digunakan Sebagai Pencuci Mulut
Minyak tea tree juga berkhasiat untuk digunakan sebagai pencuci mulut. Kebaikan ini disumbang oleh sifat antibakteria dan antiradangnya.
Satu kajian melaporkan bahawa minyak tea tree adalah lebih berkesan terhadap bakteria penyebab plak gigi berbanding pencuci mulut biasa. [11]
Kajian yang lebih terkini turut mendedahkan bahawa pencuci mulut yang mengandungi minyak tea tree adalah lebih berkesan untuk mengurangkan keradangan akibat gingivitis iaitu penyakit gusi. [12]
9. Boleh Digunakan untuk Menghapuskan Kutu
Selain kelemumur, minyak tea tree juga turut boleh digunakan untuk menghapuskan kutu di kepala.
Satu kajian mendapati minyak tea tree adalah berkesan untuk membunuh kutu, membasmi 100% kutu tersebut selepas 30 minit penggunaannya.
Tambahan itu juga, sekiranya minyak tea tree digabungkan dengan nerolidol iaitu sebatian yang boleh dijumpai dalam sesetengah minyak pati turut berkesan untuk memusnahkan kutu dan telurnya. [13]
10. Boleh Merawat Kudis Buta
Minyak tea tree juga berkesan untuk merawat kudis buta.
Khasiat minyak tea tree ini dibuktikan dalam satu kajian oleh pengkaji dari Australia. Penggunaan 5% minyak tea tree berserta sebatian aktifnya iaitu terpinen-4-ol adalah sangat berkesan untuk membunuh tungau kudis buta. [14]
11. Melegakan Iritasi Kulit
Minyak tea tree juga boleh digunakan untuk melegakan iritasi kulit seperti dermatitis sentuh. Dermatitis sentuh ialah salah satu bentuk ekzema yang disebabkan oleh alergen atau bahan iritasi.
Kajian menunjukkan minyak tea tree adalah lebih berkesan dalam membantu mengurangkan dermatitis sentuh berbanding rawatan menggunakan zink oksida dan clobetasone butyrate iaitu ubat yang selalu digunakan untuk merawat keradangan kulit. [15]
Peringatan
Secara umumnya, minyak tea tree adalah selamat untuk digunakan.
Walau bagaimanapun, minyak tea tree ini tidak boleh ditelan kerana ia boleh menjadi toksik jika ditelan.
Bagi penggunaan luaran, cuba terlebih dahulu setitis atau 2 titis di atas kulit anda dan biarkan selama 24 jam untuk melihat jika terdapat tindak balas. Sesetengah orang mungkin akan mengalami tindak balas seperti dermatitis sentuh.
Rumusan
Minyak tea tree adalah sejenis minyak pati yang mempunyai banyak khasiat dan manfaat dalam perawatan.
Kajian-kajian turut menyokong akan keberkesanan minyak tea tree untuk merawat penyakit berkaitan dengan kuku, rambut, kulit dan jangkitan bakteria.
Rujukan
- Malhi, H. K. et al. (2017). Tea tree oil gel for mild to moderate acne; a 12 week uncontrolled, open-label phase II pilot study. The Australasian journal of dermatology.
- Adams, T. F. et al. (2016). “Singing in the Tube”–audiovisual assay of plant oil repellent activity against mosquitoes (Culex pipiens). Parasitology research,.
- Klauck, V. et al. (2014). Insecticidal and repellent effects of tea tree and andiroba oils on flies associated with livestock. Medical and veterinary entomology.
- Carson, C. F. et al. (2006). Melaleuca alternifolia (Tea Tree) oil: a review of antimicrobial and other medicinal properties. Clinical microbiology reviews.
- Messager, S. et al. (2005). Effectiveness of hand-cleansing formulations containing tea tree oil assessed ex vivo on human skin and in vivo with volunteers using European standard EN 1499. The Journal of hospital infection.
- Satchell, A. C. et al. (2002). Treatment of interdigital tinea pedis with 25% and 50% tea tree oil solution: a randomized, placebo-controlled, blinded study. The Australasian journal of dermatology.
- Satchell, A. C. et al. (2002). Treatment of dandruff with 5% tea tree oil shampoo. Journal of the American Academy of Dermatology.
- Budhiraja, S. S. et al. (1999). Biological activity of Melaleuca alternifola (Tea Tree) oil component, terpinen-4-ol, in human myelocytic cell line HL-60. Journal of manipulative and physiological therapeutics.
- Chin, K. B., & Cordell, B. (2013). The effect of tea tree oil (Melaleuca alternifolia) on wound healing using a dressing model. Journal of alternative and complementary medicine.
- Buck, D. S. et al. (1994). Comparison of two topical preparations for the treatment of onychomycosis: Melaleuca alternifolia (tea tree) oil and clotrimazole. The Journal of family practice.
- Groppo, F. C. et al. (2002). Antimicrobial activity of garlic, tea tree oil, and chlorhexidine against oral microorganisms. International dental journal.
- Ripari, F. et al. (2020). Tea Tree Oil versus Chlorhexidine Mouthwash in Treatment of Gingivitis: A Pilot Randomized, Double Blinded Clinical Trial. European journal of dentistry.
- Di Campli, E. et al. (2012). Activity of tea tree oil and nerolidol alone or in combination against Pediculus capitis (head lice) and its eggs. Parasitology research.
- Walton, S. F. et al. (2004). Acaricidal activity of Melaleuca alternifolia (tea tree) oil: in vitro sensitivity of sarcoptes scabiei var hominis to terpinen-4-ol. Archives of dermatology.
- Wallengren J. (2011). Tea tree oil attenuates experimental contact dermatitis. Archives of dermatological research.