Serai atau nama saintifiknya Cymbopogon citratus adalah tumbuhan dalam kategori rumput yang banyak digunakan dalam masakan dan perubatan. Selain itu, minyak serai juga turut mempunyai khasiat-khasiat dalam perubatan yang tidak kurang hebatnya.
Dalama artikel ini, ketahui dengan lebih lanjut mengenai khasiat minyak serai atau minyak pati serai dalam perubatan serta risiko atau kesan sampingan yang mungkin berlaku bagi sesetengah orang.
Minyak pati serai dihasilkan melalui proses penyulingan wap daripada daun kering atau segar tumbuhan ini. Minyak pati serai dianggap mempunyai nilai komersial yang penting kerana ia digunakan dalam pembuatan wangian, perisa, minyak wangi, kosmetik, detergen dan farmaseutikal.
Berikut adalah beberapa khasiat minyak serai berdasarkan kajian.
1. Mempunyai Ciri-ciri Antibakteria
Minyak serai boleh digunakan untuk mencegah jangkitan daripada bakteria-bakteria tertentu.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari India mendapati minyak serai berkesan dalam mencegah bakteria yang tahan ubat seperti Staphylococcus aureus (S. aureus), Bacillus cereus (B. cereus), Bacillus subtilis (B. subtilis), Escherichia coli (E. coli) dan Klebsiella pneumoniae (K. pneumoniae). [1]
Bakteria-bakteria ini biasanya menyebabkan keracunan makanan, jangkitan kulit, pneumonia (radang paru-paru), jangkitan darah dan jangkitan usus.
2. Mempunyai Ciri-ciri Antikulat
Kulat juga boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia. Antara bentuk jangkitan kulat yang lazim berlaku adalah kurap, kulat air, kulat kuku dan jangkitan yis.
Kajian mendapati minyak serai mempunyai ciri-ciri antikulat yang boleh mencegah pembiakan kulat. Satu kajian lama pada tahun 1996 melaporkan bahawa minyak serai adalah penghalang yang berkesan terhadap 4 jenis kulat termasuklah kulat yang menyebabkan kulat air, kurap dan “jock itch“. [2]
Kajian yang lebih terkini turut mendedahkan bahawa minyak serai boleh mengurangkan pertumbuhan kulat Candida albicans. [3]
Candida albicans adalah kulat yang lazimnya menyebabkan jangkitan yis pada faraj, jangkitan di mulut, ruam lampin dan seriawan (thrush).
3. Mempunyai Ciri-ciri Antiradang
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan manusia apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Namun, keradangan yang tidak terkawal dan berpanjangan boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, diabetes atau artritis (sakit sendi).
Minyak serai didapati mempunyai ciri-ciri antiradang. Ini bermakna minyak ini boleh membantu mencegah dan mengurangkan keradangan yang berlaku.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati pemberian minyak serai secara oral (makan) menunjukkan kesan antiradang yang kuat bagi haiwan yang mengalami sembab (edema). Minyak serai turut menunjukkan kesan antiradang jika digunakan secara sapuan. [4]
4. Mempunyai Ciri-ciri Antioksidan
Antioksidan boleh membantu badan melawan radikal bebas yang berbahaya dan tekanan oksidatif, yang seterusnya boleh mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik dan tanda-tanda penuaan.
Satu kajian makmal mendapati minyak serai mempunyai ciri-ciri antioksidan yang kuat dan berkesan dalam memburu radikal bebas. [5]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Minyak serai juga didapati berpotensi dalam membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Khasiat minyak serai ini dapati dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap manusia dan haiwan. Kajian yang dijalankan terhadap 22 orang penghidap kolesterol tinggi mendapati pengambilan kapsul yang mengandungi 140 mg minyak serai sehari boleh menurunkan paras kolesterol. [6]
Kajian terhadap haiwan pula mendapati pada dos 100mg/kg, minyak serai boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam haiwan yang diuji. [7]
6. Boleh Membantu Melegakan Sakti Sendi
Oleh sebab minyak serai boleh melegakan keradangan, minyak serai juga boleh membantu melegakan sakit sendi.
Menurut satu kajian yang dijalankan terhadap penghidap artritis reumatoid, penggunaan minyak serai secara sapuan dapat mengurangkan kesakitan mereka. Secara puratanya, tahap kesakitan yang dialami beransur-ansur berkurangan daripada 80% hingga 50% dalam masa 30 hari. [8]
7. Boleh Digunakan Untuk Mengurut
Minyak serai yang telah dicairkan boleh digunakan untuk mengurut.
Satu kajian melihat kepada kesan minyak serai apabila digunakan sebagai minyak urut. Dalam kajian itu, penyelidik mengukur nadi dan tekanan darah peserta sebelum dan selepas mereka berurut dengan minyak serai. Setiap orang menerima urutan seminggu sekali selama 3 minggu.
Para penyelidik mendapati bahawa urutan minyak serai mengurangkan tekanan darah diastolik tetapi tidak memberi kesan kepada tekanan darah sistolik dan nadi individu yang diurut tersebut. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa minyak serai mempunyai “kesan harmoni” pada sistem saraf. [9]
8. Boleh Membantu Mengurangkan Stres dan Kebimbangan
Minyak serai juga merupakan salah satu daripada beberapa minyak pati yang boleh mengurangkan tekanan (stres) dan kebimbangan (anxiety).
Bau minyak serai yang menenangkan dan lembut diketahui dapat melegakan kebimbangan dan kerengsaan.
Satu kajian yang melibatkan 40 orang peserta mendedahkan bahawa individu yang didedahkan kepada bau minyak pati serai mengalami pengurangan terhadap kebimbangan dan tegangan yang dialami sebaik sahaja dirawat menggunakan minyak pati tersebut. [10]
Ini menunjukkan minyak serai boleh digunakan untuk mengurangkan stres dan kebimbangan.
9. Boleh Membantu Merawat Ulser Perut
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa minyak serai boleh membantu merawat masalah berkaitan perut seperti ulser perut.
Kajian terhadap haiwan pada tahun 2012 ada melaporkan bahawa minyak pati serai boleh melindungi perut daripada ulser perut yang diakibatkan oleh etanol dan aspirin. Ulser perut adalah luka pada pelapik perut yang menyebabkan sakit perut. [11]
10. Boleh Digunakan Sebagai Penyahbau
Minyak serai juga boleh digunakan sebagai penyahbau atau penyegar udara. Anda boleh meletakkan minyak ini ke dalam air dan gunakannya sebagai kabus atau gunakan peresap minyak (oil diffuser) atau pengewap (vaporizer).
Anda juga boleh menyesuaikan wangian semula jadi anda dengan menggabungkan minyak pati serai dengan minyak pati lain seperti lavender atau tea tree.
Risiko atau Kesan Sampingan
Minyak serai atau minyak pati serai biasanya mempunyai kepekatan yang tinggi. Bagi sesetengah orang, minyak pati ini boleh menyebabkan kerengsaan kulit dan ruam.
Untuk meminimumkan risiko kerengsaan kulit, seseorang harus mengelak daripada menggunakan minyak pati serai pada kulit jika:
- Mempunyai alahan atau masalah kulit seperti ekzema
- Mempunyai kulit yang luka atau rosak
- Tidak mencairkan dahulu minyak pati tersebut
Lakukan ujian pada bahagian kecil kulit terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Sekiranya selepas 24 jam tiada tindak balas yang berlaku, anda boleh menggunakan minyak pati yang telah dicairkan dengan bebas.
Minyak pati mungkin toksik apabila tertelan. Anda tidak sepatutnya menelan minyak pati serai melainkan anda berada di bawah penyeliaan doktor yang akan memantau rawatan anda.
Rumusan
Kajian-kajian menunjukkan minyak serai atau minyak pati serai mempunyai banyak khasiat yang boleh dimanfaatkan.
Minyak serai mempunyai ciri-ciri antibakteria, antikulat, antiradang, antioksidan dan lain-lain lagi. Anda juga boleh menggunakan minyak serai ini sebagai aromaterapi untuk menggurangkan keresahan atau kebimbangan.
Rujukan
- Naik, M.I. et al. (2010). Antibacterial activity of lemongrass (Cymbopogon citratus) oil against some selected pathogenic bacterias. Asian Pacific Journal of Tropical Medicine.
- Wannissorn, B. et al. (1996). Antifungal Activity of Lemon Grass Oil and Lemon Grass Oil Cream. Phytotherapy research.
- Abe, S. et al. (2003).[Anti-Candida albicans activity of essential oils including Lemongrass (Cymbopogon citratus) oil and its component, citral]. Japanese journal of medical mycology.
- Boukhatem, M. N. et al. (2014). Lemon grass (Cymbopogon citratus) essential oil as a potent anti-inflammatory and antifungal drugs. The Libyan journal of medicine.
- Lawrence, R. et al. (2015). Antioxidant activity of lemon grass ESSENTIAL OIL (Cympopogon citratus) grown in North Indian plains.
- Elson, C. E. et al. (1989). Impact of lemongrass oil, an essential oil, on serum cholesterol. Lipids.
- Costa, C. A. et al. (2011). Cholesterol reduction and lack of genotoxic or toxic effects in mice after repeated 21-day oral intake of lemongrass (Cymbopogon citratus) essential oil. Food and chemical toxicology.
- Meenapriya, M. & Priya, Jothi. (2017). Effect of lemongrass oil on rheumatoid arthritis. Journal of Pharmaceutical Sciences and Research.
- Kamkaen, N. et al. (2015). Physiological and Psychological Effects of Lemongrass and Sweet Almond Massage Oil.
- Goes, T. C. et al. (2015). Effect of Lemongrass Aroma on Experimental Anxiety in Humans. Journal of alternative and complementary medicine.
- Fernandes, C. et al. (2012). Investigation of the mechanisms underlying the gastroprotective effect of cymbopogon citratus essential oil. Journal of young pharmacists.