Minyak sawit atau minyak kelapa sawit adalah minyak masakan yang paling banyak digunakan di Malaysia dan juga di dunia. Minyak sawit mengalami banyak kontroversi akibat daripada persaingan ekonomi. Melihat dari aspek kesihatan, artikel kali ini akan membincangkan khasiat minyak sawit berdasarkan bukti sains.
Minyak sawit adalah minyak yang dihasilkan daripada buah sawit. Pokok sawit atau nama saintifiknya Elaies guineensis adalah pokok yang berasal dari negara Afrika. Tetapi kini, pokok ini banyak ditanam di negara-negara Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Kira-kira 85% minyak sawit di dunia digunakan sebagai makanan atau dalam produk makanan. Penerimaan global terhadap minyak sawit disumbang oleh harganya yang bersaing dan kesesuaiannya dalam penghasilan pelbagai produk makanan.
Terdapat dua jenis minyak yang diekstrak daripada buah sawit iaitu minyak isirong kelapa sawit (palm kernel oil) yang diekstrak daripada biji sawit dan minyak sawit (palm oil) yang diekstrak daripada mesokarpa (lapisan tengah perikarpa buah yang berisi, berair dan bersabut).
Minyak sawit mentah biasanya diproses dengan proses penyulingan fizikal yang menukar minyak ini kepada minyak bertapis yang berwarna kuning keemasan untuk kegunaan oleh pengguna.
Terdapat sejenis lagi minyak yang dihasilkan daripada proses yang sedikit berbeza daripada minyak sawit mentah iaitu minyak sawit merah (red palm oil).
Minyak sawit merah diperolehi melalui proses penyulingan yang diubahsuai. Pemprosesan minyak sawit merah ini dapat mengekalkan kira-kira 80% kandungan karotena dan vitamin yang terdapat dalam minyak sawit mentah.
Berikut adalah khasiat minyak sawit (termasuk minyak sawit merah) untuk kesihatan.
1. Mengandungi Nutrien Penting
Sebagai salah satu sumber lemak dan minyak, komposisi utama minyak sawit adalah asid lemak iaitu 50% asid lemak tepu, 39% asid lemak monotaktepu dan 11% asid lemak politaktepu.
Asid lemak tepu ini majoritinya terdiri daripada asid palmitik, manakala asid lemak monotaktepu terdiri daripada asid oleik dan asid lemak politaktepu terdiri daripada asid linoleik. [1]
Selain mempunyai komposisi asid lemak yang seimbang, minyak sawit turut mengandungi nutrien seperti: [1, 2]
- Vitamin E (tokoferol dan tokotrienol)
- Vitamin A (karotenoid)
- Fitosterol
- Coenzyme Q10 (CoQ10)
- Polifenol
- Fosfolipid
Nutrien-nutrien ini memainkan peranan penting terhadap kestabilan dan kualiti minyak sawit. Selain itu, ciri-ciri antioksidan nutrien-nutrien ini juga turut menyumbang kepada khasiat minyak sawit.
2. Mengandungi Antioksidan yang Kuat
Minyak sawit terutamanya minyak sawit merah mengandungi antioksidan yang kuat seperti vitamin E, vitamin A, skualena (squalene) dan CoQ10.
Antioksidan memainkan peranan penting dalam badan bagi mencegah atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas ini boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Vitamin E merupakan vitamin larut lemak yang turut bertindak sebagai antioksidan. Majoriti vitamin E yang terkandung dalam minyak sawit terdiri daripada tokoferol dan tokotrienol.
Tokotrienol ini mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan seperti melindungi otak, bersifat antikanser, bersifat antiradang dan boleh merendahkan paras kolesterol. [3]
Selain itu, minyak sawit juga tinggi dengan vitamin A iaitu dalam bentuk karotenoid. Majoriti karetonid dalam minyak sawit yang dijual dipasaran adalah terdiri daripada alfa-karotena dan beta-karotena.
Menariknya, kandungan karotenoid dalam minyak sawit merah adalah 300 kali lebih tinggi daripada tomato dan 15 kali lebih tinggi daripada lobak merah.
Skualena dan CoQ10 juga turut mempunyai ciri-ciri antioksidan dan mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan badan.
3. Tidak Meningkatkan Paras Kolesterol
Seperti minyak sayuran yang lain, minyak sawit juga bebas daripada kolesterol.
Apa yang lebih menarik adalah kandungan tokotrienol (vitamin E) dalam minyak sawit dilihat boleh merendahkan paras kolesterol dalam darah.
Satu kajian klinikal selama 8 minggu yang dijalankan terhadap pesakit yang menghidap kolesterol tinggi mendapati individu yang diberikan kapsul yang mengandungi minyak sawit yang diperkaya dengan tokotrienol mengalami penurunan yang ketara terhadap jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan paras gula dalam darah. [4]
Kajian ini juga mendapati 7 orang pesakit yang diberikan kapsul gama-tokotrienol mengalami penurunan paras kolesterol sebanyak 31% seawal 4 minggu kajian.
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Minyak sawit juga dilihat berpotensi dalam mencegah kanser. Khasiat minyak sawit ini dipercayai disumbang oleh kandungan antioksidan dalam minyak ini.
Potensi ini dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan terhadap individu dewasa di China. Kajian ini mendapati pengambilan karotena seperti alfa-karotena boleh mengurangkan risiko kanser usus dalam kalangan lelaki dan wanita dewasa. Manakala, pengambilan beta-karotena boleh mengurangkan risiko kanser usus hanya kepada lelaki dewasa. [5]
Terdapat juga kajian semula yang mendapati vitamin E boleh mengurangkan risiko kanser prostat dalam kalangan lelaki. [6]
Coenzyme Q10 (CoQ10) juga boleh membantu mencegah kanser melalui perlindungan kepada sel-sel badan daripada tekanan oksidatif dan menggalakkan penghasilan tenaga sel yang meningkatkan kesihatan dan kelangsungan hidup sel-sel tersebut.
Kajian juga mendapati mereka yang mempunyai paras CoQ10 yang rendah berisiko tinggi untuk menghidap kanser. [7]
5. Pengganti kepada Lemak Terhidrogen
Lemak terhidrogen atau lemak trans adalah lemak yang terhasil semasa proses penghidrogenan minyak terutamanya minyak yang tinggi dengan asid lemak politaktepu.
Lemak trans sememangnya diketahui mempunyai banyak keburukan kepada kesihatan seperti meningkatkan risiko penyakit jantung koronari dan penyakit yang berkaitan dengan kemerosotan kognitif seperti Alzheimer. [8]
Minyak sawit dilihat boleh menjadi pengganti kepada minyak atau lemak yang menyebabkan terhasilnya lemak trans ini. Hal ini kerana minyak sawit adalah separa pepejal pada suhu bilik.
Ini menjadinya minyak sawit sesuai digunakan sebagai pengganti kepada lemak terhidrogen dalam formulasi makanan.
6. Boleh Merawat Retinopati Diabetes
Retinopati diabetes adalah komplikasi yang berlaku akibat penyakit kencing manis (diabetes). Paras gula yang tinggi merosakkan belakang mata (retina). Penyakit ini boleh menyebabkan buta jika tidak didiagnosis dan dirawat.
Para pengkaji dari Malaysia menjalankan kajian terhadap manusia untuk membandingkan kesan vitamin E yang kaya dengan tokotrienol daripada minyak sawit dengan plasebo (ubat) dalam kalangan pesakit retinopati diabetes ini.
Kajian ini mendapati selepas 8 minggu pengambilan suplemen ini, pendarahan retina pada sebelah mata kanan pesakit semakin baik berbanding mereka yang tidak menerima vitamin tersebut. [9]
7. Pilihan Lebih Baik untuk Penggunaan Berulang
Majoriti pengguna di Malaysia menggunakan minyak sayuran (minyak masak) untuk menggoreng lebih daripada satu kali untuk menjimatkan kos.
Penggunaan minyak sayuran yang paling banyak di Malaysia terdiri daripada minyak sawit dan minyak kacang soya.
Apabila minyak sayuran ini dipanaskan semula pada suhu yang tinggi ia akan menghasilkan bahan kimia yang dipanggil hidroperoksida dan aldehid. Bahan kimia ini akan diserap oleh makanan yang digoreng dan memasuki badan selepas dicernakan.
Menurut American Oil Chemists Society (AOCS), nilai peroksida yang dibenarkan dalam minyak makan adalah sebanyak 10 meq/kg.
Kajian menunjukkan selepas 5 kali pemanasan semula minyak sawit, jumlah peroksida yang dihasilkan adalah sebanyak 9 meq/kg. Manakala, bagi minyak kacang soya pula, jumlah peroksida yang dihasilkan selepas 5 kali pemanasan semula adalah 11 meq/kg. [10]
Ini menunjukkan minyak sawit lebih stabil untuk penggunaan semula berbanding minyak kacang soya.
8. Baik untuk Kesihatan Kulit
Vitamin E kaya tokotrienol dalam minyak sawit turut didapati baik untuk kesihatan kulit. Penggunaan vitamin ini dalam krim sapuan pada kulit boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV.
Kajian menunjukkan bahawa penggunaan vitamin E kaya tokotrienol daripada minyak sawit boleh mengurangkan keradangan akibat daripada sinaran UV.
Selain itu, ujian terhadap manusia mendapati penggunaan vitamin E ini juga turut mengurangkan kemerahan dan pigmentasi pada kulit akibat sinaran UV. [11]
Rumusan
Sebenarnya, banyak khasiat minyak sawit yang boleh dinikmati oleh pengguna minyak ini walaupun ia sering digembar-gemburkan sebagai tidak berkhasiat dan memberi kesan yang buruk.
Kajian-kajian telah mendapati minyak sawit tinggi dengan kandungan vitamin E, vitamin A dan sebatian antioksidan yang lain. Antioksidan ini boleh mengimbangi kehadiran radikal bebas yang mungkin terhasil akibat pengoksidaan lemak politaktepu.
Minyak sawit juga sesuai digunakan oleh penduduk di Malaysia yang majoritinya mempunyai taraf ekonomi yang rendah. Kestabilannya dalam penggunaan berulang-kali menjadikan minyak ini sebagai pilihan yang lebih selamat.
Meskipun begitu, khasiat dan kelebihan ini tidak bermakna anda boleh menggunakannya tanpa kawalan. Penggunaan minyak ini masih perlu dikawal seiring dengan saranan Piramid Makanan Malaysia 2020.
Rujukan
- May, C. Y., & Nesaretnam, K. (2014). Research advancements in palm oil nutrition. European journal of lipid science and technology.
- Mancini, A. et al. (2015). Biological and Nutritional Properties of Palm Oil and Palmitic Acid: Effects on Health. Molecules .
- Ahsan, H. et al. (2014). Pharmacological potential of tocotrienols: a review. Nutrition & metabolism.
- Qureshi, A. A. et al. (1991). Lowering of serum cholesterol in hypercholesterolemic humans by tocotrienols (palmvitee). The American journal of clinical nutrition.
- Lu, M. S. et al. (2015). Higher intake of carotenoid is associated with a lower risk of colorectal cancer in Chinese adults: a case-control study. European journal of nutrition.
- Alkhenizan, A., & Hafez, K. (2007). The role of vitamin E in the prevention of cancer: a meta-analysis of randomized controlled trials. Annals of Saudi medicine.
- Cooney, R. V. et al. (2011). Low plasma coenzyme Q(10) levels and breast cancer risk in Chinese women. Cancer epidemiology, biomarkers & prevention.
- Ginter, E., & Simko, V. (2016). New data on harmful effects of trans-fatty acids. Bratislavske lekarske listy.
- Chiew, Y. et al. (2021). Tocotrienol-rich vitamin E from palm oil (Tocovid) and its effects in diabetes and diabetic retinopathy: a pilot phase II clinical trial. Asian Journal of Ophthalmology.
- Jaarin, Kamsiah & Kamisah, Yusof. (2012). Repeatedly Heated Vegetable Oils and Lipid Peroxidation. ResearchGate.
- Yap W. N. (2018). Tocotrienol-rich fraction attenuates UV-induced inflammaging: A bench to bedside study. Journal of cosmetic dermatology.