Minyak kayu putih adalah minyak yang dihasilkan daripada daun pokok kayu putih atau eucalyptus. Minyak kayu putih mempunyai banyak khasiat perubatan. Khasiat minyak kayu putih ini telah banyak dimanfaatkan dalam pelbagai produk penjagaan diri seperti syampu, sabun, ubat cuci mulut dan lain-lain.
Pokok kayu putih berasal dari Australia tetapi kini telah ditanam di banyak tempat di seluruh dunia. Terdapat kira-kira 900 spesies pokok kayu putih (eucalyptus) dan 300 daripadanya mengandungi minyak pati dalam daunnya.
Minyak kayu putih digunakan sejak berzaman lagi kerana sifat antibakteria, antiradang, analgesik dan kesan sedatif.

Orang asli Australia menggunakan minyak kayu putih ini untuk merawat luka dan keradangan.
Minyak kayu putih mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai cineole atau eucalyptol. Sebatian aktif ini adalah antara penyumbang terbesar kepada bau dan nilai-nilai perubatan minyak kayu putih ini.
Berikut adalah beberapa khasiat minyak kayu putih yang disokong oleh kajian-kajian sains.
1. Menyembuhkan Luka
Seperti yang digunakan dalam perubatan tradisional, minyak kayu putih boleh digunakan untuk menyembuhkan luka.
Khasiat minyak kayu putih ini disumbang oleh sifat antibakterianya.
Satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Algeria mendapati minyak kayu putih mempunyai aktiviti-aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Escherichia coli (E.coli) dan Staphyslococcus aureus (S.aureus). [1]
Bakteria jenis S. aureus adalah antara bakteria yang bertanggungjawab terhadap jangkitan pada luka selepas pembedahan, keracunan makanan dan sindrom kejutan toksik.
2. Membantu Merawat Batuk
Minyak kayu putih juga turut digunakan untuk membantu merawat atau melegakan batuk.
Terdapat juga ubat-ubatan belian kaunter untuk rawatan batuk turut mengandungi minyak kayu putih ini. Contohnya seperti Vicks VapoRub.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap 138 orang kanak-kanak mendapati penggunaan vapor rub berkesan untuk merawat batuk dan mengurangkan simptom-simptom berkaitan dengan selesema. [2]
Batuk juga boleh menjadi salah satu simptom kepada masalah pernafasan seperti bronkitis. Bronkitis ialah keradangan yang berlaku pada saluran-saluran bronkus dalam paru-paru.
Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 242 orang pesakit bronkitis akut mendapati rawatan menggunakan bahan aktif dalam minyak kayu putih (cineole) berkesan dalam mengurangkan kekerapan batuk. [3]
3. Membantu Menyingkirkan Kahak
Selain membantu melegakan batuk, minyak kayu putih juga boleh membantu menyingkirkan kahak.
Menyedut wap daripada minyak kayu putih boleh melonggarkan mukus. Keadaan ini boleh membantu anda untuk menyingkirkan kahak atau mukus dengan lebih mudah.
4. Melegakan Saluran Pernafasan
Penyakit asma dan sinusitis adalah antara penyakit yang mengganggu saluran pernafasan.
Sebatian aktif dalam minyak kayu putih iaitu cineole boleh membantu mempercepatkan penyembuhan sinusitis akut.
Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 150 orang penghidap sinusitis akut mendapati pesakit yang menerima 200mg Cineole sebanyak 3 kali sehari pulih lebih cepat berbanding mereka yang mengambil tidak menerima Cineole ini. [4]
Bagi mereka yang tidak mempunyai alahan terhadap minyak kayu putih, minyak kayu putih ini boleh mencegah simptom-simptom asma.
Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 247 orang pesakit asma melaporkan bahawa terapi menggunakan cineole boleh menambah baik fungsi paru-paru dan mengurangkan dispnea (kesukaran bernafas) dalam kalangan pesakit asma. [5]
5. Boleh Digunakan untuk Menghalau Serangga
Minyak kayu putih juga berkesan digunakan sebagai penghalau atau racun serangga.
Minyak kayu putih lemon (lemon eucalyptus) diiktiraf oleh Center for Disease Control and Prevention (CDC) sebagai penghalau serangga seperti nyamuk dan kutu. [6]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan campuran 32% minyak kayu putih lemon boleh memberikan perlindungan lebih daripada 95% terhadap nyamuk selama 3 jam. [7]
6. Membantu Meningkatkan Kesihatan Mulut
Minyak kayu putih juga banyak digunakan dalam produk-produk penjagaan mulut atau gigi.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Jepun melaporkan bahawa gula-gula getah yang mengandungi ekstrak kayu putih boleh meningkatkan kesihatan gusi (periodontal). [8]
Terdapat juga kajian yang mendapati penggunaan minyak kayu putih dalam ubat cuci mulut (mouthwash) turut mempunyai kesan yang hampir sama dengan ubat chlorhexidine dalam mengurangkan plak gigi. [9]
7. Mengurangkan Kesakitan Sendi
Minyak kayu putih juga berkhasiat dalam membantu mengurangkan kesakitan sendi seperti osteoartritis atau artritis reumatoid.
Satu kajian melaporkan bahawa menyedut wap minyak kayu putih boleh membantu mengurangkan kesakitan bagi pesakit yang baru sahaja menjalani pembedahan lutut. [10]
Terdapat juga kajian terhadap haiwan yang mendapati sebatian aktif dalam minyak kayu putih iaitu eucalyptol boleh mengurangkan simptom-simptom keradangan yang disebabkan oleh arthritis. [11]
Rumusan
Minyak kayu putih mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan terutamanya dalam merawat masalah berkaitan saluran pernafasan, merawat luka, kesihatan mulut dan melegakan kesakitan berkaitan dengan keradangan.
Minyak kayu putih (minyak pati) yang boleh didapati di pasaran haruslah dicairkan dahulu sebelum digunakan. Minyak pati kayu putih yang tidak dicairkan dahulu adalah berbahaya digunakan secara sapuan atau secara makan.
Terdapat banyak produk kesihatan yang menggunakan minyak kayu putih ini. Oleh itu, anda boleh mendapatkan manfaat minyak kayu putih ini melalui produk-produk ini.
Rujukan
- Bachir, R.G. et al. (2012). Antibacterial activity of the essential oils from the leaves of Eucalyptus globulus against Escherichia coli and Staphylococcus aureus. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine.
- Paul, I. M. et al. (2010). Vapor rub, petrolatum, and no treatment for children with nocturnal cough and cold symptoms. Pediatrics.
- Fischer, J., & Dethlefsen, U. (2013). Efficacy of cineole in patients suffering from acute bronchitis: a placebo-controlled double-blind trial. Cough.
- Kehrl, W. et al. (2004). Therapy for acute nonpurulent rhinosinusitis with cineole: results of a double-blind, randomized, placebo-controlled trial. The Laryngoscope.
- Worth, H., & Dethlefsen, U. (2012). Patients with asthma benefit from concomitant therapy with cineole: a placebo-controlled, double-blind trial. The Journal of asthma.
- Mutebi, J.P. (2019). Mosquitoes, Ticks & Other Arthropods. CDC.
- Frances, S. P. et al. (2014). Comparative laboratory and field evaluation of repellent formulations containing deet and lemon eucalyptus oil against mosquitoes in Queensland, Australia. Journal of the American Mosquito Control Association.
- Nagata, H. et al. (2008). Effect of eucalyptus extract chewing gum on periodontal health: a double-masked, randomized trial. Journal of periodontology.
- Ragul, P. et al. (2018). Efficacy of eucalyptus oil over chlorhexidine mouthwash in dental practice. Drug Invention Today.
- Jun, Y. S. et al. (2013). Effect of eucalyptus oil inhalation on pain and inflammatory responses after total knee replacement: a randomized clinical trial. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Marrelli, M. et al. (2020). Essential Oils and Bioactive Components against Arthritis: A Novel Perspective on Their Therapeutic Potential. Plants.