Apa itu Minyak Jojoba?
Minyak jojoba adalah minyak yang diekstrak daripada biji jojoba. Minyak jojoba mengandungi banyak khasiat dan khasiatnya banyak digunakan dalam produk-produk kosmetik dan penjagaan kulit.
Jojoba ialah sejenis pokok renek yang tumbuh di utara Mexico, California dan Arizona. Tumbuhan ini bukan sahaja tumbuh subur dalam iklim padang pasir yang boleh membunuh kebanyakan hidupan, tetapi ia juga menghasilkan biji dengan ciri-ciri penyembuhan.
Ramai orang menggunakan minyak jojoba sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kulit mereka. Terdapat banyak bukti yang menyokong penggunaan minyak jojoba tulen sebagai rawatan untuk jerawat, kulit kering, dan banyak lagi.
Minyak jojoba sangat pekat dengan asid lemak monotaktepu. Apabila dimakan dalam jumlah yang kecil, lemak monotaktepu membantu menurunkan paras kolesterol dan mencegah penyakit jantung.
Minyak jojoba juga mengandungi sejumlah besar vitamin E, yang turut menyumbang kepada pelbagai manfaat kesihatan.
Minyak jojoba dikatakan mempunyai sifat penyembuhan, mungkin kerana asid lemak penting dan vitamin E yang terkandung di dalamnya.
Kebiasaannya, minyak jojoba disapu ke atas kulit atau disapu pada bahagian badan tertentu untuk mendapat manfaat ini.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, berikut adalah beberapa khasiat minyak jojoba untuk penjagaan kulit:
1. Membantu Melembapkan Kulit
Minyak jojoba boleh membantu melembapkan kulit kerana ia bersifat humektan.
Ini bermakna ia berfungsi untuk menarik air ke lapisan atas kulit, membantu mengekalkan kelembapan kulit.
Ini boleh membantu mencegah jangkitan bakteria, jerawat dan kelemumur daripada terbentuk.
2. Bersifat Bukan Komedogenik
Minyak jojoba juga bersifat bukan komedogenik (noncomedogenic).
Ini bermakna penggunaan minyak jojoba tidak akan menyebabkan penyumbatan pada liang-liang roma. Seterusnya menyebabkan lebih sedikit jerawat atau jerawat yang kurang teruk.
3. Bersifat Antioksidan
Minyak jojoba mengandungi vitamin E. Vitamin E ini akan bertindak sebagai antioksidan yang boleh melindungi kulit daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh pencemaran dan toksin-toksin lain. [1]
4. Membantu Menghasilkan Kolagen
Ciri-ciri antioksidan dalam minyak jojoba boleh membantu badan menghasilkan kolagen. Kolagen ialah protein dalam kulit yang memberikan struktur pada kulit.
Paras kolagen akan berkurangan selari dengan peningkatan usia. Keadaan ini menyebabkan struktur muka anda berubah apabila anda meningkat usia.
Terdapat kajian yang mengaitkan antioksidan yang disapukan pada kulit dengan peningkatan penghasilan kolagen. [2]
5. Membantu Mengawal Penghasilan Sebum
Sebum ialah rembesan berlemak yang dihasilkan oleh kelenjar sebum pada kulit manusia.
Minyak jojoba boleh membantu mengawal penghasilan sebum kerana sifatnya yang hampir sama dengan sebum.
Apabila anda menyapu minyak jojoba pada kulit, kulit anda akan lembap dan nyaman. Keadaan ini akan menghantar isyarat kepada rambut dan folikel peluh bahawa kulit anda tidak memerlukan sebum tambahan untuk penghidratan.
Ini boleh membantu mencegah berlaku jerawat akibat daripada liang-liang roma yang tersumbat.
6. Membantu Mempercepatkan Penyembuhan Luka
Minyak jojoba juga boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka.
Kajian makmal menunjukkan bahawa minyak jojoba boleh menggalakkan sel-sel kulit untuk mengikat bersama-sama selepas sel-sel tersebut terpisah akibat luka atau cedera. [3]
7. Membantu Merawat Jerawat
Minyak jojoba juga turut berkhasiat dalam membantu merawat jerawat.
Ini dibuktikan dalam kajian klinikal yang menunjukkan minyak jojoba boleh mencegah jerawat. [4]
Ciri-ciri antiradang, pelembap dan penyembuhan luka menunjukkan minyak jojoba boleh mencegah jerawat dan menggalakkan penyembuhan bagi jerawat ringan.
8. Membantu Mengurangkan Garis Halus dan Kedutan
Minyak jojoba juga boleh membantu anda kelihatan lebih muda. Garis halus dan kedutan adalah tanda-tanda kepada penuaan kulit.
Minyak jojoba mempunyai ciri-ciri antiradang yang bermanfaat dalam membantu mengurangkan tanda-tanda penuaan kulit seperti garis halus dan kedutan. [5]
9. Membantu Merawat Ekzema
Ekzema atau turut dipanggil dermatitis atopik adalah keradangan pada kulit yang menyebabkan kulit kering, kegatalan dan lecur pada kulit.
Ciri-ciri antiradang minyak jojoba dipercayai boleh membantu merawat mengurangkan gejala-gejala ekzema.
10. Bersifat Hipoalergenik
Minyak jojoba juga bersifat hipoalergenik iaitu ia tidak menimbulkan alahan. Ini kerana minyak jojoba sebenarnya adalah lilin.
Walaupun ia boleh diserap ke dalam kulit, sifatnya yang berlilin membolehkannya mencipta lapisan pengedap yang menenangkan pada permukaan kulit.
Tidak seperti minyak pati botani yang lain, minyak jojoba biasanya tidak menyebabkan iritasi. Tindak balas alahan adalah jarang berlaku.
Cara Menggunakannya
Minyak jojoba boleh digunakan sama ada dengan mencairkan terlebih dahulu atau terus digunakan pada kulit.
Sebelum menggunakan minyak jojoba atau mana-mana produk kosmetik buat kali pertama, anda harus melakukan ujian tampalan untuk memastikan anda tidak mempunyai alahan terhadapnya.
Anda boleh melakukan ujian tampalan dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Titiskan 3 atau 4 titisan minyak jojoba pada lengan sebelah dalam.
- Tutup bahagian tersebut menggunakan pembalut selama 24 jam.
- Buka balutan dan periksa kulit anda. Sekiranya tiada tanda-tanda seperti ruam, kemerahan atau gatal-gatal, anda selamat boleh menggunakan minyak jojoba tersebut.
Cara menggunakan minyak jojoba bergantung pada hasil yang anda inginkan. Anda boleh menggunakannya sebagai pelembap bibir atau anda boleh sapukan pada seluruh muka sebelum tidur sebagai serum antipenuaan.
Anda juga boleh menggunakan minyak jojoba ini untuk merawat jerawat yang ringan.
Rumusan
Minyak jojoba mempunyai pelbagai khasiat atau manfaat kepada kesihatan kulit seperti melembapkan kulit, merawat jerawat, ekzema dan lain-lain lagi.
Seperti minyak argan, minyak jojoba juga turut boleh membantu meningkatkan keanjalan kulit melalui peningkatan penghasilan kolagen dan mengurangkan penuaan kulit.
Secara umumnya, minyak jojoba adalah selamat dan jarang-jarang menyebabkan tindak balas lahan.
Meskipun begitu, sekiranya anda mengalami tindak balas alahan seperti ruam, kemerahan atau gatal-gatal. Hentikan penggunaan minyak ini dengan segera.
Rujukan
- Evans, J. A., & Johnson, E. J. (2010). The role of phytonutrients in skin health. Nutrients.
- Han, B., & Nimni, M. E. (2005). Transdermal delivery of amino acids and antioxidants enhance collagen synthesis: in vivo and in vitro studies. Connective tissue research.
- Ranzato, E. et al. (2011). Wound healing properties of jojoba liquid wax: an in vitro study. Journal of ethnopharmacology.
- Meier, L. et al. (2012). Clay jojoba oil facial mask for lesioned skin and mild acne–results of a prospective, observational pilot study. Forschende Komplementarmedizin.
- Pazyar, N. et al. (2013). Jojoba in dermatology: a succinct review. Giornale italiano di dermatologia e venereologia.