Halia sememangnya tidak asing lagi dari segi khasiat dan kegunaannya dalam perubatan. Selain halia, minyak halia atau minyak pati halia juga turut mempunyai pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan.
Minyak halia atau minyak pati halia adalah minyak yang diekstrak daripada rizom halia melalui proses penyulingan wap. Selain digunakan dalam aromaterapi, minyak halia juga boleh digunakan dalam perawatan dan perubatan yang lain.
Artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat minyak halia untuk kesihatan badan berdasarkan kajian-kajian sains.
1. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah proses tindak balas semula jadi badan apabila berlakunya kecederaan atau jangkitan. Meskipun tindak balas ini pada mulanya baik, tetapi jika berlaku secara berterusan pada satu jangka masa yang lama (kronik), keradangan akan mendatangkan masalah.
Keradangan yang berpanjangan dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, asma dan sakit sendi (artritis).
Minyak halia didapati mempunyai ciri-ciri antiradang. Ini bermakna minyak halia boleh membantu mencegah atau merawat keradangan.
Khasiat minyak halia ini dibuktikan dalam kajian terhadap haiwan yang mendapati minyak halia boleh mengurangkan keradangan akut dan kronik. [1]
2. Boleh Membantu Mengurangkan Loya
Minyak halia juga boleh membantu mengurangkan loya melalui penyedutan aromanya.
Kajian pada tahun 2017 melaporkan bahawa minyak halia atau minyak pati halia berkesan dalam membantu mengurangkan loya dalam kalangan pesakit yang telah menjalani pembedahan abdomen (perut). [2]
3. Boleh Melindungi Perut
Minyak halia juga boleh digunakan dalam perawatan semula jadi terhadap masalah perut seperti ketidakhadaman, sakit perut, kekejangan perut atau ulser gaster.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati minyak halia boleh mencegah ulser gaster (luka pada pelapik perut) sebanyak 85% dan meningkatkan enzim-enzim antioksidan. [3]
4. Boleh Mencegah atau Merawat Jangkitan Bakteria
Minyak halia juga boleh membantu mencegah atau merawat jangkitan bakteria.
Khasiat ini dibuktikan dalam satu kajian yang mendapati minyak halia atau minyak pati halia menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria Staphylococcus aureus (S. aureus) dan Escherichia coli (E. coli). [4]
Staphylococcus aureus (S. aureus) dan Escherichia coli (E. coli) adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan. Khasiat ini juga menunjukkan minyak halia sesuai digunakan untuk melindungi makanan daripada tercemar dengan bakteria tersebut.
5. Berpotensi Mencegah atau Mengurangkan Kedutan Kulit
Minyak pati juga didapati berpotensi mencegah atau mengurangkan kedutan kulit.
Kajian oleh pengkaji dari Thailand pada tahun 2015 mendedahkan bahawa minyak pati halia dan beberapa minyak pati lain berpotensi digunakan untuk mencegah dan merawat penuaan kulit. [5]
Hal ini demikian kerana, minyak pati halia didapati tinggi dengan aktiviti antioksidan. Sekiranya minyak pati ini dicampurkan bersama-sama krim, campuran tersebut boleh mengurangkan kekasaran kulit.
6. Boleh Membantu Melegakan Sakit Sendi
Apabila digunakan sebagai minyak urut, minyak halia juga boleh digunakan untuk melegakan sakit sendi seperti sakit sendi lutut.
Kajian terhadap 68 orang peserta yang mengalami sakit sendi lutut mendapati mengurut menggunakan minyak halia sebanyak 2 kali sehari berjaya mengurangkan kesakitan yang dialami. [6]
7. Boleh Mengurangkan Kesakitan Senggugut
Minyak halia juga didapati boleh membantu mengurangkan kesakitan akibat senggugut.
Kajian yang melibatkan 64 orang pelajar sekolah menengah mendapati penggunaan minyak halia beberapa hari sebelum haid boleh mengurangkan kesakitan senggugut. [7]
8. Boleh Melindungi Hati
Kajian turut melaporkan bahawa minyak pati halia dan sebatian aktif di dalamnya iaitu sitral menunjukkan kesan-kesan perlindungan terhadap hati daripada penyakit hati berlemak yang dicetuskan oleh diet yang tinggi dengan lemak. [8]
Kajian tersebut turut mendapati minyak pati halia dan sitral turut membantu menurunkan asid lemak bebas dalam darah, trigliserida dan kolesterol total. Tambahan daripada itu juga, kajian turut mendapati minyak pati halia ini turut membantu mengurangkan pengumpulan lipid (lemak) di hati.
Walau bagaimanapun, kajian lanjut terutamanya kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian ini.
9. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi adalah berbahaya untuk jantung kerana boleh meningkatkan risiko kepada serangan jantung dan strok.
Minyak halia juga didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol seperti kolesterol total dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang obes. [8]
Kajian lain turut mendapati rawatan menggunakan minyak halia terhadap haiwan yang diberikan diet tinggi lemak berjaya menurunkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL), trigliserida, kolesterol total dan meningkatkan kolesterol baik (kolesterol HDL). [9]
10. Berpotensi Mencegah Kanser
Minyak halia juga didapati berpotensi dalam membantu mencegah kanser.
Ciri-ciri antikanser minyak halia dilaporkan dalam satu kajian yang mendapati minyak halia boleh menyekat dan membunuh pertumbuhan sel-sel kanser limfoma dan payudara. Selain itu juga, kajian ini turut mendapati rawatan menggunakan minyak halia boleh mengurangkan saiz tumor sehingga 62%. [10]
Namun, kajian-kajian lanjutan termasuklah kajian klinikal masih diperlukan.
Rumusan
Seperti halia, minyak halia atau turut dikenali sebagai minyak pati halia tidak kurang hebatnya.
Kajian-kajian sains menunjukkan minyak halia berkhasiat dalam mengurangkan keradangan, membantu mengurangkan loya, melindungi perut dan lain-lain lagi.
Anda boleh memanfaatkan minyak halia ini sebagai aromaterapi atau digunakan secara sapuan. Secara umumnya, minyak halia adalah dianggap selamat.
Rujukan
- Jeena, K. et al. (2013). Antioxidant, anti-inflammatory and antinociceptive activities of essential oil from ginger. Indian journal of physiology and pharmacology.
- Lee, Y. R., & Shin, H. S. (2017). Effectiveness of Ginger Essential Oil on Postoperative Nausea and Vomiting in Abdominal Surgery Patients. Journal of alternative and complementary medicine.
- Liju, V. B. et al. (2015). Gastroprotective activity of essential oils from turmeric and ginger. Journal of basic and clinical physiology and pharmacology.
- Wang, X. et al. (2020). Antibacterial Activity and Mechanism of Ginger Essential Oil against Escherichia coli and Staphylococcus aureus. Molecules.
- Leelapornpisid, P. et al. (2015). Potential of native Thai aromatic plant extracts in antiwrinkle body creams. Journal of cosmetic science.
- Tosun, B. et al. (2017). Effects of Self-Knee Massage With Ginger Oil in Patients With Osteoarthritis: An Experimental Study. Research and theory for nursing practice.
- Negara, N. et al. (2021). Effect of varash oil to decrease menstrual pain in primary dysmenorrhea of senior high school student at Palu City. Gaceta sanitaria.
- Lai, Y. S. et al. (2016). Ginger Essential Oil Ameliorates Hepatic Injury and Lipid Accumulation in High Fat Diet-Induced Nonalcoholic Fatty Liver Disease. Journal of agricultural and food chemistry.
- Eissa, F. A. et al. (2017). POSSIBLE HYPOCHOLESTEROLEMIC EFFECT OF GINGER AND ROSEMARY OILS IN RATS. African journal of traditional, complementary, and alternative medicines.
- Kottarapat, J. et al.(2015). Antitumor and cytotoxic activity of ginger essential oil (Zingiber officinale roscoe). International Journal of Pharmacy and Pharmaceutical Sciences.