Minyak evening primrose (EPO) dikatakan mempunyai banyak khasiat dan khasiat minyak evening primrose ini telah lama dimanfaatkan oleh orang asli Amerika.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat minyak evening primrose termasuklah cara penggunaan dan kesan sampingan yang ada.
Apa itu Minyak Evening Primrose?
Minyak evening primrose adalah minyak yang diekstrak daripada biji benih tumbuhan evening primrose atau nama saintifiknya Oenothera biennis.
Evening primrose adalah tumbuhan yang berasal dari Utara dan Selatan Amerika dan turut tumbuh di Eropah dan beberapa tempat di Asia.
Evening primrose mendapat namanya daripada bunga kuningnya yang mekar pada waktu senja dan tertutup pada siang hari.
Secara tradisionalnya, tumbuhan evening primrose ini dijadikan poultis untuk merawat lebam dan luka dan keradangan kulit.
Khasiat minyak evening primrose dipercayai disumbang oleh kandungan gamma-linolenic acid (GLA). GLA ialah sejenis asid lemak Omega-6 yang turut boleh dijumpai dalam kacang soya, kacang walnut, minyak kanola dan minyak linseed.
Minyak evening primrose biasanya diambil secara makanan tambahan (suplemen) atau digunakan secara sapuan.
Khasiat-khasiat Minyak Evening Primrose
Berikut adalah khasiat-khasiat minyak evening primrose berdasarkan sokongan kajian:
1. Membantu Melegakan Ekzema
Sesetengah orang ada menggunakan kapsul minyak evening primrose untuk membantu mengurangkan gejala-gejala ekzema seperti kegatalan, kulit kering dan kemerahan.
Walau bagaimanapun, kajian semula pada 2013 menyimpulkan bahawa pengambilan minyak evening primrose secara makan tidak berkesan untuk merawat ekzema. [1]
Meskipun begitu, kajian semula ini tidak melihat keberkesanan penggunaan minyak primrose dalam bentuk sapuan.
Sekiranya digunakan secara sapuan, minyak evening primrose boleh membantu melembapkan dan melembutkan kulit. [2]
2. Membantu Mengurangkan Jerawat
Kandungan GLA dalam minyak evening primrose dipercayai boleh membantu mengurangkan jerawat dengan mengurangkan keradangan kulit.
Satu kajian oleh pengkaji dari Korea Selatan mendapati minyak evening primrose boleh membantu melegakan keradangan dan kesakitan pada bibir yang disebabkan oleh ubat jerawat. [3]
Kajian lain turut mendapati bahawa pengambilan GLA boleh mengurangkan lesi jerawat yang melibatkan keradangan atau tidak. [4]
3. Membantu Melegakan Simptom Sindrom Pramenstruasi (PMS)
Minyak evening primrose juga bermanfaat kepada wanita bagi membantu melegakan simptom-simptom sindrom pramenstruasi (PMS).
Satu kajian lama menunjukkan bahawa minyak evening primrose ini berkesan dalam merawat simptom-simptom sindrom pramenstruasi seperti kembung, kerengsaan dan kemurungan. [5]
Satu kajian yang lebih terkini melaporkan bahawa pengambilan makanan tambahan yang mengandungi vitamin B6, vitamin E dan minyak evening primrose berkesan dalam melegakan PMS. [6]
4. Mengurangkan Kesakitan Payudara
Bagi wanita yang sering mengalami kesakitan pada payudara semasa datang haid, minyak evening primrose boleh membantu.
Satu kajian yang melibatkan 41 orang pesakit menunjukkan bahawa pengambilan vitamin E dan minyak evening primrose setiap hari selama 6 bulan boleh mengurangkan kesakitan payudara yang berkaitan dengan kitaran haid. [7]
5. Membantu Meningkatkan Kesihatan Kulit
Selain itu, pengambilan minyak evening primrose dalam bentuk suplemen juga boleh membantu meningkatkan kesihatan kulit secara keseluruhannya.
Menurut satu kajian, pengambilan minyak evening primrose boleh membantu melembutkan kulit dan menambah baik keanjalan, kelembapan, kepejalan dan kerintangan terhadap kelesuan. [8]
6. Membantu Mengurangkan Hot Flashes
Hot flashes adalah salah satu simptom menopaus yang lazim berlaku kepada wanita semasa peralihan kepada menopaus.
Kajian mendapati bahawa wanita yang mengambil 500 mg minyak evening primrose setiap hari selama enam minggu mengalami hot flashes yang kurang kerap, kurang teruk dan lebih pendek. [9]
7. Mengurangkan Sakit Saraf
Kerosakan saraf diluar otak dan saraf tunjang adalah salah satu kesan sampingan akibat daripada penyakit kencing manis (diabetes).
Ia selalunya menyebabkan kelemahan, kekebasan dan kesakitan pada tangan dan kaki.
Terdapat kajian yang mendapati mengambil GLA seperti yang terkandung dalam minyak evening primrose boleh mengurangkan gejala-gejala neuropati seperti: [10]
- Kelemahan
- Semut-semut
- Kebas
- Sensitif terhadap sejuk dan panas
8. Mengurangkan Sakit Sendi
Artritis reumatoid ialah sejenis penyakit autoimun yang menjejaskan sendi dan mengakibatkan sakit sendi.
Sesetengah kajian mencadangkan bahawa GLA boleh mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi pada penghidap artritis reumatoid ringan hingga sederhana.
Satu kajian semula pada 2011 melaporkan bahawa GLA yang dijumpai dalam minyak evening primrose boleh memberikan kelegaan sederhana terhadap kesakitan dan ketidakupayaan yang dialami oleh penghidap artritis reumatoid. [11]
Cara Penggunaan dan Kesan Sampingan
Minyak evening primrose secara amnya dianggap selamat untuk kebanyakan orang bagi penggunaan jangka pendek. Keselamatan penggunaan jangka panjang tidak diketahui.
Bagi makanan tambahan atau suplemen minyak evening primrose, dos yang disarankan adalah 8 hingga 12 kapsul sehari pada kadar 500 mg bagi setiap kapsul.
Bagi sesetengah orang, minyak evening primrose boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti:
- Sakit perut
- Sakit kepala
- Ketidakselesaan perut
- Najis lembut
Dalam kes-kes terpencil, minyak evening primrose boleh mengakibatkan tindak balas alahan seperti:
- Ruam
- Berdehit
- Keradangan pada tangan dan kaki
- Sukar bernafas
Interaksi dengan Ubat
Minyak evening primrose (EPO) boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan tertentu. Oleh itu, elakkan mengambil minyak ini bersama-sama ubat-ubatan berikut:
- Ubat pembekuan darah (antikoagulasi): Pengambilan EPO bersama-sama dengan ubat antikoagulasi boleh meningkatkan risiko perdarahan.
- Ubat epilepsi atau sawan (antikonvulsi): Pengambilan EPO bersama-sama dengan ubatantikonvulsi boleh mengurangkan keberkesanan ubat tersebut.
- Ubat antiplatelet: Pengambilan EPO bersama-sama dengan ubat antiplatelet boleh meningkatkan risiko perdarahan.
- Ubat skizofrenia (phenothiazine): Pengambilan EPO bersama-sama dengan phenothiazine dalam merawat pesakit skizofrenia meningkatkan risiko berlakunya epilepsi atau sawan.
Rumusan
Minyak evening primerose adalah minyak yang diekstrak daripada biji benih tumbuhan berbunga evening primrose.
Terdapat kajian-kajian yang menyokong kegunaan minyak evening primrose dalam terapi masalah kesihatan tertentu. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian-kajian lanjutan diperlukan.
Untuk mengurangkan risiko kesan sampingan, sentiasa gunakan dos yang rendah. Jika anda mula mengalami kesan sampingan yang luar biasa atau berterusan, hentikan penggunaan dan sila berjumpa doktor.
Rujukan
- Bamford, J. T. et al. (2013). Oral evening primrose oil and borage oil for eczema. The Cochrane database of systematic reviews.
- Muhammad,M. (2014). Evening Primrose Oil. MyHealth.
- Park, K. Y. et al. (2014). The effect of evening primrose oil for the prevention of xerotic cheilitis in acne patients being treated with isotretinoin: a pilot study. Annals of dermatology.
- Jung, J. Y. et al. (2014). Effect of dietary supplementation with omega-3 fatty acid and gamma-linolenic acid on acne vulgaris: a randomised, double-blind, controlled trial. Acta dermato-venereologica.
- Horrobin D. F. (1983). The role of essential fatty acids and prostaglandins in the premenstrual syndrome. The Journal of reproductive medicine.
- Kashani, L. et al. (2010). Femicomfort in the treatment of premenstrual syndromes: a double-blind, randomized and placebo controlled trial. Iranian journal of psychiatry.
- Pruthi, S. et al. (2010). Vitamin E and evening primrose oil for management of cyclical mastalgia: a randomized pilot study. Alternative medicine review.
- Muggli R. (2005). Systemic evening primrose oil improves the biophysical skin parameters of healthy adults. International journal of cosmetic science.
- Farzaneh, F. et al. (2013). The effect of oral evening primrose oil on menopausal hot flashes: a randomized clinical trial. Archives of gynecology and obstetrics.
- Jamal, G. A., & Carmichael, H. (1990). The effect of gamma-linolenic acid on human diabetic peripheral neuropathy: a double-blind placebo-controlled trial. Diabetic medicine.
- Cameron, M. et al. (2011). Herbal therapy for treating rheumatoid arthritis. The Cochrane database of systematic reviews.