Bawang putih adalah tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan dan perubatan. Perubatan tradisional China telah menggunakan bawang putih sejak lebih 3,000 tahun dahulu. Selain bawang putih segar, minyak bawang putih turut mempunyai khasiat yang tersendiri yang turut berguna dalam bidang perubatan.
Khasiat minyak bawang putih ini turut dikaji dalam pelbagai kajian moden. Komposisi kimia yang pelbagai dan kepekatan sebatian aktif yang tinggi menjadi ciri-ciri yang menyumbang kepada khasiat bawang putih.
Minyak bawang putih atau minyak pati bawang putih dihasilkan melalui proses penyulingan hidro berwap yang melibatkan bawang putih yang dijadikan pes atau ekstraknya.
Minyak bawang putih mengandungi sebahagian besar sebatian-sebatian kimia yang terhasil daripada sebatian alisin iaitu sebatian yang mempunyai banyak nilai terapeutik.
Terdapat banyak kajian mendapati pelbagai sebatian yang terdapat di dalam minyak bawang putih mempunyai pelbagai khasiat dan potensi dalam merawat pelbagai masalah kesihatan.
Berikut adalah beberapa khasiat minyak bawang putih untuk kesihatan berdasarkan kajian:
1. Mengurangkan Kedutan Kulit (Antipenuaan)
Pembentukan kedutan kulit mempunyai kaitan dengan tekanan oksidatif di dalam sel-sel dan keradangan yang kronik.
Sebatian-sebatian kimia yang mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antiradang dipercayai boleh mencegah atau melambatkan kedutan kulit. Sebatian-sebatian kimia tersebut ada di dalam minyak bawang putih.
Kajian terhadap haiwan mendapati minyak bawang putih boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan kerosakan akibat keradangan serta meningkatkan aktiviti antioksidan. [1]
Menurut satu kajian, bawang putih didapati mempunyai kesan yag baik terhadap tisu-tisu kulit untuk tumbuh atau tumbuh semula dengan cepat pada satu jangka masa panjang. Ciri-ciri menunjukkan bahawa bawang putih boleh memainkan peranan sebagai agen antipenuaan. [2]
2. Boleh Menurunkan Tekanan Darah
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa individu yang memakan lebih banyak bawang putih berkemungkinan besar mengalami tekanan darah rendah.
Satu kajian lama yang dijalankan di Zhejiang Institute of Traditional medicine melaporkan bahawa 47 daripada 70 orang pesakit hipertensi yang mengambil minyak bawang putih setiap hari mengalami penurunan tekanan darah.
Terdapat juga kajian yang mendapati ekstrak bawang putih bakar boleh mengendurkan arteri melalui penghasilan nitrik oksida yang seterusnya membantu menurunkan tekanan darah. [3]
Umumnya, bahan bioaktif dalam ekstrak bawang putih juga boleh terdapat dalam minyak bawang putih dan dengan itu ia mungkin akan menunjukkan kesan antihipertensi yang serupa.
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Minyak bawang putih juga dilihat berpotensi untuk mencegah pembentukan dan penularan kanser.
Kajian mendapati sebatian diallyl disulphide dalam minyak bawang putih boleh menyekat pembiakan, penghijrahan dan pencerobohan sel-sel kanser. [4]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa minyak bawang putih boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser pankreas dan menunjukkan kecenderungan untuk membunuh sel-sel kanser tersebut. [5]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan termasuklah kajian klinikal.
4. Boleh Mencegah Obesiti
Minyak bawang putih juga didapati berkhasiat dalam membantu mencegah atau mengurangkan obesiti.
Kajian terhadap haiwan mendedahkan bahawa minyak bawang putih boleh mengurangkan kenaikan berat badan dan lemak badan dengan ketara bagi haiwan yang diberikan diet tinggi lemak. [6]
Kajian lain turut mendapati minyak bawang putih boleh menyekat kenaikan berat badan akibat diet tinggi lemak dan mengurangkan tisu-tisu lemak.
Minyak bawang putih juga turut mengurangkan paras kolestrol total, trigliserida dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik) bagi haiwan yang diuji. [7]
5. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Pengambilan minyak bawang putih juga didapati boleh membantu menguatkan sistem imun badan (sistem pertahanan badan).
Pengambilan minyak bawang putih didapati boleh meningkatkan bilangan sel-sel darah putih yang menandakan potensi peningkatan terhadap sistem pertahanan badan. [8]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan rawatan menggunakan minyak bawang putih boleh mengurangkan keradangan. [9]
6. Boleh Mencegah atau Merawat Jangkitan Kulat
Minyak bawang putih juga mempunyai ciri-ciri antikulat yang boleh membantu mencegah atau merawat jangkitan kulat terhadap manusia.
Kajian mendapati minyak bawang putih mempunyai kesan antikulat terhadap kulat Candida albicans iaitu sejenis kulat yang sering menyebabkan jangkitan pada faraj wanita, mulut, kerongkong dan esofagus. [10]
Rumusan
Seperti bawang putih, minyak bawang putih juga tidak kurang hebat dari segi khasiatnya.
Minyak bawang putih didapati mempunyai banyak khasiat dalam membantu mengurangkan kedutan kulit, menurunkan tekanan darah, berpotensi mencegah kanser, membantu mencegah obesiti dan lain-lain lagi.
Walau bagaimanapun, pengambilan minyak bawang putih haruslah terkawal dan tidak berlebihan bagi mengelakkan ketoksikan.
Rujukan
- Khan, M.S. et al. (2020). The role of garlic oil in the amelioration of oxidative stress and tissue damage in rohu Labeo rohita treated with silver nanoparticles. Fish Sci.
- Svendsen, L. et al. (1994). Testing garlic for possible anti-ageing effects on long-term growth characteristics, morphology and macromolecular synthesis of human fibroblasts in culture. Journal of ethnopharmacology.
- Takashima, M. et al. (2017). Aged garlic extract exerts endothelium-dependent vasorelaxant effect on rat aorta by increasing nitric oxide production. Phytomedicine.
- Xiao, X. et al. (2014). Diallyl disulfide suppresses SRC/Ras/ERK signaling-mediated proliferation and metastasis in human breast cancer by up-regulating miR-34a. PloS one.
- Lan, X. et al. (2013). Effects of garlic oil on pancreatic cancer cells. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Kagawa, Y. et al. (2020). Garlic oil suppresses high-fat diet induced obesity in rats through the upregulation of UCP-1 and the enhancement of energy expenditure. Experimental and therapeutic medicine.
- Yang, C. et al. (2018). Anti-obesity and Hypolipidemic effects of garlic oil and onion oil in rats fed a high-fat diet. Nutrition & metabolism.
- Lestari, Sri & Rifai, Muhaimin. (2019). The effect of single-bulb garlic oil extract toward the hematology and histopathology of the liver and kidney in mice. Brazilian Journal of Pharmaceutical Sciences.
- Şen Tanrıkulu, C. et al. (2017). Beneficial effects of garlic (Allium sativum) oil in experimental corrosive esophageal burns effects of garlic oil in esophageal burns. Ulusal travma ve acil cerrahi dergisi.
- Li, W. R. et al. (2016). Antifungal activity, kinetics and molecular mechanism of action of garlic oil against Candida albicans. Scientific reports.