Sekiranya anda pernah terlihat perkataan “minyak argan” atau “argan oil” dilabel-label produk makanan, kosmetik atau ubat, mesti anda tertanya-tanya apakah khasiat dan kegunaan minyak ini. Oleh itu, artikel ini akan menyenaraikan beberapa khasiat atau kegunaan minyak argan yang bermanfaat untuk anda.
Minyak argan ialah minyak yang dihasilkan daripada isirong buah daripada pokok argan (Argania spinosa). Pokok argan ini hanya tumbuh di kawasan Barat Daya Morocco sahaja. Ia meliputi kawasan seluas 8,288 km persegi yang dipanggil “Hutan Argan”.
Di Morocco, hutan argan ini mempunyai peranan penting kepada ekonomi dan pertanian mereka. Selain itu, pokok argan juga turut mempunyai ketahanan terhadap kemarau dan menjadi benteng dalam melambatkan proses penggurunan.
Minyak argan dikatakan berkhasiat dalam melindungi hati, mengalakkan perembesan asid hempedu oleh hati dan juga bersifat antiradang.
Dalam bidang kosmetik pula, minyak argan dikatakan boleh merawat jerawat, menghidratkan kulit kering, meremajakan kulit, menyinarkan rambut dan lain-lain lagi.
Terdapat 4 jenis minyak argan iaitu:
- Minyak argan tradisional
- Minyak argan cold-pressed
- Minyak argan kosmetik cold-pressed
- Minyak argan industri kosmetik
Minyak argan cold-pressed, minyak argan kosmetik cold-pressed dan minyak argan indutri kosmetik adalah jenis-jenis yang berkualiti tinggi.
Berikut adalah beberapa khasiat minyak argan yang bermanfaat untuk kesihatan badan secara dalaman dan luaran.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian penting yang diperlukan badan untuk melawan radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Minyak argan kaya dengan vitamin E yang merupakan vitamin larut lemak yang turut bertindak sebagai antioksidan.
Selain itu, minyak argan turut mengandungi sebatian antioksidan yang lain seperti asid kafeik, vanillic acid, ferulic acid, resorcinol dan katekin .[1]
2. Bersifat Antiradang
Minyak argan juga bersifat antiradang. Ini bermakna minyak argan boleh membantu mengurangkan keradangan yang dialami oleh badan.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati minyak argan boleh mengurangkan penanda-penanda keradangan akibat daripada terdedah kepada toksin. [2]
Terdapat juga kajian yang mendapati sapuan minyak argan pada kulit boleh mengurangkan keradangan akibat kecederaan atau jangkitan. [3]
3. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kolesterol tinggi adalah salah satu faktor yang boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Satu kajian yang terhadap manusia mendapati minyak argan mempunyai kapasiti dalam mengurangkan risiko penyakit jantung melalui kesan terhadap paras antioksidan dalam darah. [4]
Selain itu juga, minyak argan turut didapati boleh mengurangkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan paras antioksidan. Ini dapat mengurangkan risiko kepada penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung. [5]
Kajian lain yang dijalankan terhadap 40 orang dewasa yang mendapati pengambilan 15 gram minyak argan setiap hari selama 30 hari boleh meningkatkan paras antioksidan, menurunkan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL dan trigliserida (lemak). [6]
4. Boleh Mengawal Paras Gula Darah
Minyak argan juga berkhasiat dalam mengawal paras gula darah. Khasiat ini amat bermanfaat kepada mereka yang menghidap diabetes atau berisiko menghidap diabetes (penyakit kencing manis).
Kesan minyak argan ini terhadap paras gula darah dapat dilihat dalam kajian yang melibatkan tikus yang diberikan diet tinggi gula. Pengambilan minyak argan menyebabkan penurunan ketara terhadap paras gula darah dan rintangan insulin. [7]
Kajian lain turut mendapati minyak argan boleh membantu menurunkan paras gula darah, insulin dan rintangan insulin yang merupakan petanda-petanda kepada penyakit kencing manis atau diabetes. [8]
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Minyak argan juga berpotensi dalam mencegah kanser.
Potensi ini dapat dilihat dalam satu kajian tabung uji yang mendapati minyak argan boleh mencegah pertumbuhan sel-sel kanser prostat sebanyak 50%. [9]
Kandungan gama-tokoferol yang tinggi dalam minyak argan juga berpotensi dalam mencegah kanser seperti kanser usus, kanser payudara, kanser prostat dan kanser paru-paru berdasarkan kajian-kajian awal. [10]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan bagi mendapatkan bukti yang kukuh mengenai khasiat minyak argan dalam mencegah kanser ini.
6. Boleh Membantu Menyembuhkan Luka
Minyak argan juga turut boleh membantu menyembuhkan luka.
Khasiat minyak argan ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati penyembuhan luka bagi haiwan yang diberikan minyak argan adalah lebih cepat berbanding haiwan yang tidak diberikan minyak ini. [11]
7. Boleh Melambatkan Penuaan Kulit
Minyak argan juga didapati boleh melambatkan penuaan kulit.
Pengambilan minyak ini secara makan boleh membantu melambatkan proses penuaan dengan mengurangkan keradangan dan tekanan oksidatif. [12]
Sekiranya diambil secara sapuan, minyak argan boleh membantu membaiki dan memelihara kulit yang sihat. Maka, secara tidak langsung dapat mengurangkan tanda-tanda penuaan kulit. [3]
Kajian yang dijalankan terhadap wanita pascamenopaus mendapati pengambilan minyak argan secara makan atau sapuan boleh meningkatkan keanjalan kulit. [13]
8. Membantu Melembapkan Kulit dan Rambut
Minyak argan juga berkhasiat dalam membantu melembapkan kulit dan rambut.
Asid oleik dan asid linoleik adalah dua asid lemak utama dalam minyak argan. Kedua-dua asid lemak ini penting dalam mengekalkan kulit dan rambut yang sihat.
Kajian terhadap wanita pascamenopaus telah menunjukkan bahawa penggunaan minyak argan secara sapuan atau makan boleh meningkatkan keanjalan kulit. [13]
Minyak ini juga digunakan untuk mencegah keguguran rambut dan rambut kering. [14]
9. Boleh Merawat Jerawat
Minyak argan juga mempunyai kesan antisebum yang boleh mengawal selia jumlah sebum pada kulit.
Ini secara tidak langsung boleh membantu mengawal atau merawat jerawat yang terhasil akibat daripada penghasilan sebum yang berlebihan.
10. Berpotensi Merawat Kecelaruan Neuropsikiatrik
Kecelaruan neuropsikiatrik adalah masalah kesihatan yang menyebabkan pesakit mengalami beberapa simptom seperti psikosis, kemurungan, mania dan kemerosotan kognitif.
Kajian-kajian praklinikal menunjukkan bahawa pengambilan minyak argan dalam diet atau makanan yang diperkaya dengan minyak argan boleh mencegah atau melambatkan perkembangan sesetengah penyakit berkaitan dengan kecelaruan neuropsikiatrik. [15]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan terutamanya kajian melibatkan manusia.
Rumusan
Minyak argan adalah salah satu komoditi penting buat negara Morocco. Minyak ini tersenarai sebagai antara minyak yang termahal.
Minyak argan mempunyai banyak khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan atau dalam bidang kosmetik. Berdasarkan sokongan kajian, minyak argan didapati berkhasiat dalam mengurangkan keradangan, mengurangkan risiko penyakit jantung, mengawal paras gula darah dan lain-lain lagi.
Menariknya, minyak argan boleh digunakan untuk tujuan masakan, kosmetik dan juga perubatan.
Rujukan
- Charrouf, Zoubida & D, Guillaume. (2007). Phenols and Polyphenols from Argania spinosa. American Journal of Food Technology.
- El Kamouni, S. et al. (2017). Protective Effect of Argan and Olive Oils against LPS-Induced Oxidative Stress and Inflammation in Mice Livers. International journal of molecular sciences.
- Lin, T. K. et al.(2017). Anti-Inflammatory and Skin Barrier Repair Effects of Topical Application of Some Plant Oils. International journal of molecular sciences.
- Cherki, M. et al. (2005). Consumption of argan oil may have an antiatherogenic effect by improving paraoxonase activities and antioxidant status: Intervention study in healthy men. Nutrition, metabolism, and cardiovascular diseases.
- Drissi, A. et al. (2004). Evidence of hypolipemiant and antioxidant properties of argan oil derived from the argan tree (Argania spinosa). Clinical nutrition.
- Sour, S. et al. (2012). Argan oil improves surrogate markers of CVD in humans. British Journal of Nutrition.
- El Midaoui, A. et al. (2016). Beneficial effects of argan oil on blood pressure, insulin resistance, and oxidative stress in rat. Nutrition.
- El Midaoui, A. et al. (2017). Argan Oil as an Effective Nutri-Therapeutic Agent in Metabolic Syndrome: A Preclinical Study. International journal of molecular sciences.
- Bennani, H. et al. (2007). Antiproliferative effect of polyphenols and sterols of virgin argan oil on human prostate cancer cell lines. Cancer detection and prevention.
- Ju, J. et al. (2010). Cancer-preventive activities of tocopherols and tocotrienols. Carcinogenesis.
- Avsar, U. et al. (2016). The Effects of Argan Oil in Second-degree Burn Wound Healing in Rats. Ostomy/wound management.
- Vamecq, J. et al. (2018). Peroxisomal Acyl-CoA Oxidase Type 1: Anti-Inflammatory and Anti-Aging Properties with a Special Emphasis on Studies with LPS and Argan Oil as a Model Transposable to Aging. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Boucetta, K. Q. et al. (2015). The effect of dietary and/or cosmetic argan oil on postmenopausal skin elasticity. Clinical interventions in aging.
- Villareal, M. O. et al. (2013). Activation of MITF by Argan Oil Leads to the Inhibition of the Tyrosinase and Dopachrome Tautomerase Expressions in B16 Murine Melanoma Cells. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Hicham ELMostafi. et al. (2020). Neuroprotective potential of Argan oil in neuropsychiatric disorders in rats: A review. Journal of Functional Foods.