Khasiat marjoram iaitu herba yang berasal dari wilayah Mediterranean ini mungkin tidak diketahui ramai. Herba ini banyak digunakan dalam masakan barat seperti piza, bebola daging, sosej, bolognaise atau sup. Artikel ini menyenaraikan khasiat marjoram yang bermanfaat untuk kesihatan.
Marjoram atau nama saintifiknya Origanum majorana adalah sejenis herba dalam keluarga pudina iaitu keluarga yang sama dengan herba taim (thyme), oregano dan selasih (basil). Walaupun kelihatan hampir sama dengan oregano, namun marjoram dan oregano adalah dua herba yang berbeza.
Marjoram juga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti oregano liar (wild oregano) dan marjoram manis (sweet marjoram).
Marjoram telah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Perubatan tradisional menggunakan daun dan minyak pati marjoram untuk merawat selesema, batuk, asma, sakit kepala, sakit gigi, sakit sendi, kembung perut dan migrain.
Kajian-kajian sains moden juga turut mendapati marjoram turut mengandungi pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan tubuh badan.
Antara khasiat marjoram tersebut adalah:
1. Mempunyai Ciri-ciri Antioksidan dan Antiradang
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Ekstrak marjoram dan minyak patinya juga turut menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi. Sebatian fenolik seperti flavonoid, ursolic acid, carnosic acid, carsonol, rosmarinic acid dan caffeic acid bertanggungjawab terhadap aktiviti antioksidan dalam herba ini. [1]
Selain itu, minyak pati marjoram juga turut mengandungi sebatian yang boleh merencatkan penghasilan protein-protein (sitokin) yang menjurus kepada keradangan. [2]
2. Baik untuk Kesihatan Hormon Wanita
Marjoram juga turut berkhasiat kepada kesihatan hormon terutamanya kepada wanita.
Satu kajian menunjukkan wanita yang menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS) yang mengambil teh marjoram dua kali sehari selama sebulan berjaya menambahbaik kepekaan insulin dan mengurangkan paras hormon androgen. [3]
3. Boleh Membantu Melawan Bakteria
Marjoram juga boleh membantu mencegah jangkitan bakteria.
Minyak pati marjoram didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus, Enterococcus faecalis, Klebsiella pneumoniae, Bacillus cereus, Bacillus subtilis, Bacillus pumilis, Pseudomonas aeruginosa, Salmonella poona, dan Escherichia coli. [4, 5]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan, jangkitan saluran pernafasan, jangkitan dalam darah dan pneumonia.
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Herba marjoram ini juga turut menunjukkan potensi dalam membantu mencegah kanser.
Satu kajian mendapati marjoram mempunyai ciri-ciri antikanser yang memberangsangkan kerana boleh mencegah perpindahan sel-sel kanser dan merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser payudara. [6]
Selain itu juga, terdapat kajian lain yang menunjukkan sebatian di dalam ekstrak marjoram iaitu hesperetin dan hidrokuinon menunjukkan aktiviti-aktiviti pencegahan pembiakan sel-sel kanser serviks. [7]
Kajian-kajian berterusan masih diperlukan untuk melihat potensi sebenar herba ini dalam membantu mencegah kanser.
5. Baik untuk Kesihatan Sistem Penghadaman
Majoram telah digunakan sejak dahulu lagi untuk mencegah masalah penghadaman seperti ulser perut atau keracunan makanan.
Satu kajian melaporkan bahawa marjoram boleh melawan bakteria Clostridium perfingens iaitu bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. [8]
Satu kajian lain yang dilakukan terhadap haiwan pula mendedahkan bahawa ekstrak marjoram boleh melindungi perut daripada ulser perut. [9]
Namun begitu, kajian terhadap manusia masih diperlukan.
6. Berpotensi Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Marjoram juga turut berpotensi mengurangkan risiko penyakit jantung seperti serangan jantung.
Khasiat marjoram ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melaporkan bahawa ekstrak marjoram boleh mengurangkan kerosakan jantung yang disebabkan oleh kerosakan tisu dan pengecutan arteri. [10]
Risiko Kesan Sampingan
Apabila digunakan dalam jumlah biasa untuk menyedapkan makanan, marjoram mungkin selamat untuk kebanyakan orang.
Namun, sekiranya diambil dalam bentuk suplemen, beberapa risiko kesan sampingan boleh berlaku seperti:
- Komplikasi kehamilan: Ibu mengandung dan menyusu perlu mengelak daripada mengambil suplemen marjoram. Hal ini demikian kerana herba ini boleh mempengaruhi hormon reproduktif dan kitaran haid.
- Menjejaskan pembekuan dadah: Suplemen marjoram boleh mencegah darah daripada membeku. Keadaan ini boleh menjejaskan sesiapa yang mengambil ubat pencair darah.
- Interaksi dengan ubat-ubatan tertentu: Marjoram boleh berinteraksi dengan ubat tertentu, seperti ubat pencair darah dan antikoagulan,seterusnya meningkatkan risiko pendarahan. Ia juga boleh berinteraksi dengan ubat kencing manis (diabetes) dengan merendah paras gula darah ke tahap yang berbahaya.
Rumusan
Marjoram ialah herba beraroma yang telah lama digunakan dalam masakan dan perubatan tradisional.
Kajian-kajian moden turut mendapati marjoram turut berkhasiat dalam mengurangkan keradangan, mengawal selia hormon wanita, mencegah kanser, melegakan masalah penghadaman dan mengurangkan risiko penyakit jantung.
Umumnya, marjoram selamat untuk dimakan. Namun, jika diambil dalam bentuk suplemen sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Rujukan
- Vági, E. et al. (2005). Phenolic and triterpenoid antioxidants from Origanum majorana L. herb and extracts obtained with different solvents. Journal of agricultural and food chemistry.
- E. Arranz. et al. (2015). Supercritical fluid extraction as an alternative process to obtain essential oils with anti-inflammatory properties from marjoram and sweet basil. Industrial Crops and Products.
- Haj-Husein, I. et al. (2016). The effect of marjoram (Origanum majorana) tea on the hormonal profile of women with polycystic ovary syndrome: a randomised controlled pilot study. Journal of human nutrition and dietetics.
- Ramos, S. et al. (2011). Chemical Composition and Antibacterial Activity of Origanum majorana L. Essential Oil from the Venezuelan Andes. Journal of Essential Oil Research.
- Hussain, A. et al. (2011). Composition, antioxidant and chemotherapeutic properties of the essential oils from two Origanum species growing in Pakistan. Revista Brasileira de Farmacognosia.
- Al Dhaheri, Y. et al. (2013). Anti-metastatic and anti-tumor growth effects of Origanum majorana on highly metastatic human breast cancer cells: inhibition of NFκB signaling and reduction of nitric oxide production. PloS one.
- Erenler, R. et al. (2016). Isolation and identification of chemical constituents from Origanum majorana and investigation of antiproliferative and antioxidant activities. Journal of the science of food and agriculture.
- Radaelli, M. et al. (2016). Antimicrobial activities of six essential oils commonly used as condiments in Brazil against Clostridium perfringens. Brazilian journal of microbiology.
- Al-Howiriny, T. et al. (2009). Protective Effect of Origanum majorana L. ‘Marjoram’ on various models of gastric mucosal injury in rats. The American journal of Chinese medicine.
- Granado, M. et al. (2022). Marjoram extract prevents ischemia reperfusion-induced myocardial damage and exerts anti-contractile effects in aorta segments of male wistar rats. Journal of ethnopharmacology.