Khasiat madu Tualang meletakkan madu ini setanding dengan madu dari luar negara seperti madu Manuka. Madu Tualang ialah madu yang berkualiti yang dihasilkan oleh lebah batu (Apis dorsata) yang membina sarangnya di dahan-dahan pokok Tualang (Kompassia excelsa).
Pokok Tualang atau nama lainnya Mengaris boleh dijumpai dalam hutan hujan tropika dan boleh membesar sehingga 250 kaki (76 meter) tinggi.
Sepohon pokok Tualang boleh dijumpai memiliki lebih 100 sarang lebah ini dan ia boleh menghasilkan kira-kira 450 kg madu. Madu Tualang dikelaskan sebagai madu “multifloral” kerana dihasilkan daripada pendebungaan pelbagai bunga-bungaan liar.
Madu Tualang mempunyai khasiat dan nilai perubatan yang tinggi kerana kandungan sebatian fenolik, flavonoid dan asid askorbiknya.
Artikel ini mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat madu Tualang untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian.
1. Membantu Mempercepat Penyembuhkan Luka
Secara umumnya, madu boleh menambah baik penyembuhan luka dengan meredakan bengkak, keradangan dan lelehan yang berlaku dalam semua jenis luka atau kecederaan.
Satu kajian mendapati madu Tualang boleh mengurangkan luka melecur yang dirawat kira-kira 32% lebih baik berbanding rawatan biasa. [1]
Selain itu, pesakit juga lebih menyukai rawatan yang menggunakan madu Tualang berbanding rawatan biasa kerana kaedah rawatan ini lebih menenangkan, kurang rasa sakit dan mempunyai bau yang menyenangkan.
Di samping itu, madu Tualang juga dilihat berkesan seperti mana madu Manuka dalam merawat luka di kaki diabetes. [2]
Kajian lain turut mendapati madu Tualang mempunyai kesan yang positif terhadap proses penyembuhan luka bagi pesakit yang baru menjalani pembedahan tonsil.
Kebolehan madu ini digunakan secara makan atau sapuan serta boleh diperolehi dengan harga yang lebih rendah juga menjadikannya sebagai terapi tambahan yang terbaik kepada pesakit pasca pembedahan. [3]
2. Bersifat Antiradang dan Antioksidan
Madu Tualang juga bersifat antiradang dan antioksidan. Dua sifat ini mempunyai impak yang besar dalam penyembuhan penyakit terutamanya yang melibatkan keradangan.
Kajian terhadap haiwan yang mengalami kecederaan mata akibat bahan kimia mendapati madu Tualang mempunyai kesan yang hampir sama dengan rawatan biasa dalam merawat kecederaan mata ini. Kesan penyembuhan ini disumbang oleh sifat antiradang dan antioksidannya [4].
Kajian lain yang turut dijalankan terhadap haiwan mendapati madu Tualang turut mempunyai kesan perlindungan terhadap kecacatan morfologi akibat ketoksikan kadmium dan tekanan oksidatif dalam rahim tikus. Madu Tualang didapati boleh mengurangkan kecacatan morfologi, mengembalikan paras hormon ovari kepada paras normal dan menstabilkan paras pemperoksidaan lipid. [5]
Dalam kajian yang melibatkan 20 orang atlet wanita pula, pengambilan madu Tualang pada dos tinggi dan rendah turut meningkatkan aktiviti antioksidan dan mengurangkan tekanan oksidatif dalam kalangan atlet tersebut. [6]
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Madu Tualang juga turut berpotensi dalam mencegah kanser.
Khasiat madu Tualang ini dapat dilihat dalam satu kajian makmal yang mendapati madu Tualang boleh mencegah pertumbuhan sel-sel kanser payudara dan kanser serviks. [7]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian lanjut termasuklah kajian klinikal untuk mengesahkan potensi madu Tualang ini.
4. Berpotensi Mengawal Paras Gula Darah
Madu tinggi dengan fruktosa dan mempunyai indeks glisemik yang rendah. Maka, ia boleh diambil oleh pesakit diabetes jenis 2.
Walau bagaimanapun, pengambilannya haruslah dikawal dan tidak dimakan secara berlebihan bagi mengelakkan kesan negatif.
Madu Tualang mempunyai indeks glisemik sederhana berdasarkan ujian terhadap individu sihat.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap diabetes menunjukkan bahawa madu Tualang boleh menjadi rawatan tambahan kepada ubat diabetes iaitu glibenclamide atau metformin.
Kajian ini mendapati madu Tualang boleh meningkatkan paras insulin, mengurangkan paras gula darah dan fruktosamina (gula protein).
Menariknya lagi, gabungan antara madu Tualang dengan ubat diabetes menyebabkan penurunan paras gula yang lebih ketara serta turut menurunkan paras lemak dan kolesterol jahat.
Ini menunjukkan madu Tualang boleh mendatangkan lebih banyak manfaat jika digabungkan dengan ubat diabetes. [8]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat khasiat ini terhadap manusia.
5. Baik untuk Kesihatan Jantung
Madu Tualang juga berkhasiat kepada kesihatan jantung. Khasiat madu Tualang ini disumbang oleh keupayaannya untuk menurunkan faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan penyakit jantung.
Antara faktor risiko kepada penyakit jantung adalah:
- kolesterol tinggi
- berat berlebihan atau obesiti
- tekanan darah tinggi
- diabetes
- tidak aktif
Kajian terhadap 55 orang pesakit berat berlebihan atau obesiti mendapati pengambilan madu Tualang sebanyak 70 gram sekali sehari boleh menyebabkan sedikit penurunan terhadap berat badan dan lemak badan.
Madu Tualang ini juga turut menyebabkan penurunan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat), lemak, paras gula darah puasa, meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik) dan mengurangkan keradangan. [9]
Ini menunjukkan madu Tualang berpotensi dijadikan makanan yang boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular termasuklah penyakit jantung.
6. Berpotensi Meningkatkan Kesuburan Lelaki
Madu Tualang juga turut berpotensi dalam meningkatkan kesuburan lelaki.
Khasiat ini berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati madu Tualang boleh meningkatkan jumlah sperma di tempat simpanan dan pematangan sperma. [10]
Khasiat madu Tualang ini juga boleh dilihat pada kajian yang menilai kesan pengambilan madu ini terhadap kesuburan haiwan yang terdedah kepada toksik daripada asap rokok.
Kajian ini mendapati pengambilan madu Tualang boleh meningkatkan jumlah sperma, penghasilan sperma, peratusan pergerakan sperma dan juga paras hormon testosteron. [11]
Ini menunjukkan madu Tualang mempunyai sifat perlindungan terhadap fungsi testis yang terkesan akibat daripada toksik asap rokok. [11]
7. Boleh Menguatkan Tulang
Osteoporosis adalah keadaan dimana jisim tulang adalah rendah dan tulang menjadi mudah patah.
Wanita pascamenopaus adalah golongan yang berisiko tinggi untuk mengalami osteoporosis kerana pengurangan hormon estrogen.
Kajian mendapati madu Tualang mempunyai khasiat dalam mengurangkan risiko berlaku osteoporosis kerana kandungan antioksidan dan antiradangnya. Ciri-ciri ini boleh mengurangkan pelesapan tulang. [12]
8. Membantu Meningkatkan Prestasi Otak
Madu Tualang juga didapati boleh membantu meningkatkan prestasi dan fungsi otak.
Pengambilan madu Tualang dalam kalangan pesakit skizofrenia selama 8 minggu mendapati madu Tualang boleh meningkatkan prestasi ingatan jangka pendek bagi pesakit skizofrenia. [13]
Skizofrenia ialah penyakit mental yang boleh menyebabkan kerosakan kepada fungsi otak.
Terdapat juga kajian yang mendapati madu Tualang turut boleh menambah baik ingatan jangka pendek bagi golongan wanita pascamenopaus. [14]
Rumusan
Madu Tualang adalah salah satu madu berkualiti tinggi yang boleh di dapati di negara ini. Madu Tualang mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan pengguna atau pemakannya.
Kajian-kajian perubatan moden mendapati madu Tualang berkhasiat dalam mempercepatkan penyembuhan luka, berpotensi mencegah kanser, berpotensi mengawal paras gula darah, meningkatkan kesihatan jantung, menguatkan tulang dan lain-lain lagi.
Anda boleh mendapatkan manfaat madu ini dengan mengamalkan pemakanannya setiap hari.
Rujukan
- Khoo, Y. T. et al. (2010). Wound contraction effects and antibacterial properties of Tualang honey on full-thickness burn wounds in rats in comparison to hydrofibre. BMC complementary and alternative medicine.
- Imran, F.H. et al. (2011). Tualang Honey Hydrogel in the Treatment of Split-Skin Graft Donor Sites. Journal of ApiProduct and ApiMedical Science.
- Mat Lazim, N. et al. (2013). The effect of Tualang honey in enhancing post tonsillectomy healing process. An open labelled prospective clinical trial. International journal of pediatric otorhinolaryngology.
- Bashkaran, K. et al. (2011). Anti-inflammatory and antioxidant effects of Tualang honey in alkali injury on the eyes of rabbits: experimental animal study. BMC complementary and alternative medicine.
- Ruslee, S. S. et al. (2020). Protective effect of Tualang honey against cadmium-induced morphological abnormalities and oxidative stress in the ovary of rats. BMC complementary medicine and therapies.
- Ahmad, N. S. et al. (2017). Dose-Response Effect of Tualang Honey on Postprandial Antioxidant Activity and Oxidative Stress in Female Athletes: A Pilot Study. Journal of alternative and complementary medicine.
- Fauzi, A. N. et al. (2011). Tualang honey induces apoptosis and disrupts the mitochondrial membrane potential of human breast and cervical cancer cell lines. Food and chemical toxicology.
- Erejuwa, O. O. et al. (2011). Glibenclamide or metformin combined with honey improves glycemic control in streptozotocin-induced diabetic rats. International journal of biological sciences.
- Yaghoobi, N. et al. (2008). Natural honey and cardiovascular risk factors; effects on blood glucose, cholesterol, triacylglycerole, CRP, and body weight compared with sucrose. TheScientificWorldJournal.
- Mohamed, M. et al. (2012). Effect of different doses of Malaysian honey on reproductive parameters in adult male rats. Andrologia.
- Mahaneem, M. (2011). Effect of honey on testicular functions in rats exposed to cigarette smoke. Journal of ApiProduct and ApiMedical Science.
- Mohd Effendy, N. et al. (2012). The effects of tualang honey on bone metabolism of postmenopausal women. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Yahaya, R. et al. (2020). Tualang honey supplementation as cognitive enhancer in patients with schizophrenia. Heliyon.
- Othman, Z. et al. (2011). Improvement in immediate memory after 16 weeks of tualang honey (Agro Mas) supplement in healthy postmenopausal women. Menopause.