Khasiat madu manuka – Terdapat banyak jenis madu di dunia ini dan salah satu yang popular adalah madu Manuka. Madu Manuka ini adalah sejenis madu yang berasal dari New Zealand.
Manuka (Leptospermum scorparium) adalah pokok yang berasal dari New Zealand dan Tenggara Australia. Pokok ini mengeluarkan bunga berwarna putih, merah dan merah jambu. Madu Manuka dihasilkan daripada pendebungaan oleh lebah terhadap bunga pokok ini.
Madu Manuka juga dikelaskan sebagai “mono-floral” di mana ia dihasilkan hanya melalui pendebungaan sejenis bunga saja iaitu bunga pokok Manuka.
Madu Manuka mempunyai banyak nilai-nilai perubatan yang disumbang oleh sebatian fitokimia terutamanya methylglyoxal. Terdapat juga sebatian-sebatian lain seperti hidrogen peroksida dan D-glucono-δ-lactone yang turut menyumbang kepada khasiatnya.
Perubatan tradisional menggunakan madu Manuka untuk menyembuhkan luka, melegakan sakit tekak, mencegah pereputan gigi dan menambah baik masalah penghadaman.
Artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat madu Manuka untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian perubatan moden.
1. Membantu Penyembuhan Luka
Salah satu khasiat madu Manuka adalah membantu mempercepatkan penyembuhan luka.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa madu Manuka boleh menambah baik penyembuhan luka dengan memperluas penjanaan semula tisu dan mengurangkan kesakitan akibat melecuh.
Kajian mendapati bahawa sebatian glyoxal dan methylglyoxal boleh mempercepatkan penyembuhan dan penjanaan semula tisu melalui perangsangan terhadap sistem imun. [1]
Dalam satu kajian klinikal yang melibatkan 59 orang pesakit diabetes yang mengalami luka pada kaki mendapati rawatan biasa yang digabung dengan madu Manuka menunjukkan pengurangan yang ketara terhadap masa untuk membasmi jangkitan dan masa untuk tinggal di hospital.
Selain itu, peratusan luka yang sembuh dengan sepenuhnya juga lebih tinggi bagi kumpulan pesakit yang dirawat dengan madu Manuka ini berbanding kaedah biasa. [2]
Ini menunjukkan kaedah rawatan konvensional yang digabungkan dengan madu Manuka boleh mengawal jangkitan, mempercepatkan menyembuhan luka kaki diabetes dan mengurangkan kadar pemotongan kaki.
2. Membantu Merawat Penyakit Gusi
Khasiat madu Manuka juga turut boleh dimanfaatkan untuk merawat penyakit gusi seperti periodontitis kerana sifat antimikrobialnya.
Satu kajian makmal mendapati 2% madu Manuka boleh merencatkan pertumbuhan 50% bakteria Porphyromonas gingivalis iaitu bakteria utama yang menyebabkan penyakit periodontitis. [3]
Kajian lain turut menguji sifat antibakteria madu Manuka terhadap bakteria-bakteria jenis S. mutans, P. gingivalis dan A. actinomycetemcomitans. Kajian ini mendapati madu Manuka berkesan dalam mencegah pertumbuhan bakteria P. gingivalis dan A. actinomycetemcomitans berbanding S. mutans. [4]
Ini menunjukkan madu Manuka berkesan dalam mencegah pertumbuhan bakteria yang menyebabkan penyakit gusi seperti periodontitis.
Satu kajian yang dijalankan terhadap manusia mendapati madu kunyah yang dihasilkan daripada madu Manuka boleh mengurangkan plak gigi dan pendarahan gusi berbanding kumpulan yang mengunyah gula-gula getah tanpa gula. [5]
3. Boleh Membantu Menguatkan Antibiotik
Madu Manuka juga didapati berkesan dalam merawat jangkitan luka yang disebabkan oleh bakteria yang tahan kepada antibiotik seperti Staphylococcus aureus (MRSA).
Kajian makmal menunjukkan bahawa madu boleh menterbalikkan ketahanan antibiotik. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk merawat jangkitan bakteria yang tahan antibiotik.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa gabungan antara antibiotik (oxacillin) dan madu Manuka boleh mencegah bakteria methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). Madu Manuka boleh menterbalikkan rintangan MRSA terhadap antibiotik oxacillin. [6]
Kajian lain turut mendapatkan hasil yang sama di mana madu Manuka digabungkan dengan antibiotik rifampicin di mana gabungan ini turut boleh mencegah bakteria MRSA. [7]
4. Membantu Melegakan Sakit Tekak
Perubatan tradisional menggunakan madu untuk melegakan sakit tekak. Saintis Greek yang terkemuka, Hippocrates menggunakan madu untuk merawat sakit tekak, batuk dan lain-lain lagi.
Kajian moden mendapati madu Manuka berkesan dalam merawat sakit tekak yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus mutans. Pengkaji mendapati bakteria ini berkurang dengan ketara selepas pesakit mengambil madu Manuka ini. [8]
5. Mengurangkan Masalah Penghadaman
Madu Manuka juga berkhasiat dalam mengurangkan masalah penghadaman seperti cirit-birit.
Clostridium difficile atau selalunya dipanggil C. diff adalah bakteria yang selalu menyebabkan cirit-birit yang teruk dan keradangan pada usus.
C. diff ini lazimnya dirawat dengan antibiotik. Tetapi baru-baru ini kajian mendapati madu Manuka juga berkesan terhadap bakteria jenis ini.
Madu Manuka boleh membunuh bakteria ini menjadikannya salah satu pilihan rawatan yang mujarab. [9]
Selain itu, madu Manuka juga turut didapati mempunyai sifat antibakteria terhadap bakteria yang selalunya menyebabkan keracunan makanan seperti E. coli, Salmonella dan Campylobacter. [10]
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Madu Manuka juga berpotensi dalam mencegah kanser. Khasiat madu Manuka ini dapat dilihat dalam beberapa kajian awal.
Madu Manuka dilihat boleh mencegah pertumbuhan sel-sel kanser usus, kanser payudara dan kanser kulit yang bergantung kepada dos dan masa. [11]
Kajian makmal yang lain turut mendapati madu Manuka berkesan dalam: [12]
- Mengurangkan isipadu tumor dan membunuh sel-sel tumor
- Mengurangkan keradangan bagi penyakit keradangan usus
- Memulihkan pemperoksidaan lipid (lemak)
- Meningkatkan parameter-parameter antioksidan
7. Berpotensi Digunakan untuk Merawat Kayap
Madu Manuka juga berpotensi digunakan untuk merawat kayap.
Khasiat madu Manuka ini dapat dilihat dalam satu kajian tabung uji yang dijalankan terhadap virus yang menyebabkan kayap dan cacar air iaitu virus Varicella zoster.
Kajian ini mendapati madu Manuka mempunyai kesan antivirus terhadap virus Varicella zoster ini. Ini menunjukkan madu Manuka berpotensi untuk digunakan sebagai rawatan kepada penyakit kayap serta lebih murah berbanding ubat antivirus terutamanya di negara-negara membangun. [13]
Rumusan
Sekiranya Malaysia mempunyai madu Tualang dan madu kelulut, New Zealand mempunyai madu Manuka yang mempunyai pelbagai khasiat dan nilai perubatan.
Kajian-kajian moden mendapati madu Manuka mempunyai banyak khasiat dan kebaikan dalam membantu mempercepatkan penyembuhan luka, merawat penyakit gusi, melawan bakteria yang tahan terhadap antibiotik, melegakan sakit tekak dan mengurangkan masalah penghadaman.
Di samping itu, madu Manuka turut berpotensi dalam mencegah kanser dan merawat penyakit kayap dan cacar air yang disebabkan virus Varicella zoster.
Rujukan
- Niaz, K. et al. (2017). Health Benefits of Manuka Honey as an Essential Constituent for Tissue Regeneration. Current drug metabolism.
- Al Saeed, M. (2013). Therapeutic Efficacy of Conventional Treatment Combined with Manuka Honey in the Treatment of Patients with Diabetic Foot Ulcers: A Randomized Controlled Study. The Egyptian Journal of Hospital Medicine.
- Eick, S. et al. (2014). Honey – a potential agent against Porphyromonas gingivalis: an in vitro study. BMC oral health.
- Schmidlin, P. R. et al. (2014). Antibacterial potential of Manuka honey against three oral bacteria in vitro. Swiss dental journal.
- English, H. K. et al. (2004). The effects of manuka honey on plaque and gingivitis: a pilot study. Journal of the International Academy of Periodontology.
- Jenkins, R. E., & Cooper, R. (2012). Synergy between oxacillin and manuka honey sensitizes methicillin-resistant Staphylococcus aureus to oxacillin. The Journal of antimicrobial chemotherapy.
- Müller, P. et al. (2013). Synergism between Medihoney and rifampicin against methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). PloS one.
- Sela, M. et al. (2000). Streptococcus mutans in saliva of normal subjects and neck and head irradiated cancer subjects after consumption of honey. Journal of oral rehabilitation.
- Hammond, E. N., & Donkor, E. S. (2013). Antibacterial effect of Manuka honey on Clostridium difficile. BMC research notes.
- Ahmed, S., & Othman, N. H. (2013). Review of the medicinal effects of tualang honey and a comparison with manuka honey. The Malaysian journal of medical sciences.
- Patel, S. & Cichello, S.(2013). Manuka honey: an emerging natural food with medicinal use. Nat. Prod. Bioprospect.
- Forbes-Hernández, T. Y. et al. (2014). The effects of bioactive compounds from plant foods on mitochondrial function: a focus on apoptotic mechanisms. Food and chemical toxicology.
- Shahzad, A., & Cohrs, R. J. (2012). In vitro antiviral activity of honey against varicella zoster virus (VZV): A translational medicine study for potential remedy for shingles. Translational biomedicine.