Ada yang mengatakan lobak putih baik untuk ibu berpantang, ada juga yang mengatakan lobak putih baik untuk menurunkan berat badan. Sejauh mana kebenaran akan khasiat lobak putih ini? Artikel ini akan menjelaskan kepada anda akan khasiat lobak putih berdasarkan sokongan kajian-kajian.
Lobak putih atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai Raphanus sativus. Ia merupakan sayuran daripada keluarga Brassicaceae iaitu keluarga yang sama dengan sayur kubis, brokoli, kubis bunga dan kailan.
Walaupun lobak putih kelihatan seperti lobak merah (carrot), namun kedua-duanya adalah daripada keluarga yang berbeza. Lobak putih turut dikenali dengan beberapa nama iaitu Radish dalam bahasa Inggeris, Daikon dalam bahasa Jepun dan Laifu atau Loubo dalam bahasa Cina.
Khasiat Lobak Putih dalam Perubatan Tradisional
Lobak putih telah lama ditanam di kebanyakan negara terutamanya China, Jepun, Korea dan Asia Tenggara. Bahagian akar, daun dan tunasnya dimakan dan dijadikan ubat.
Biasanya, lobak putih dimakan dalam bentuk segar (mentah), direbus, diasinkan atau dikeringkan.
Dalam perubatan tradisional Cina, biji benih lobak putih yang dikeringkan digunakan untuk merawat masalah penghadaman, melegakan kembung, dan mengeluarkan kahak. Ia juga turut digabungkan dengan herba lain untuk merawat sembelit, cirit-birit, berak berdarah, batuk berkahak dan sakit di bahagian abdomen. [1]
Khasiat Lobak Putih dalam Perubatan Moden
Selain perubatan tradisional, kajian-kajian perubatan moden juga turut mendapati lobak putih mempunyai khasiat-khasiat tertentu. Antaranya adalah:
1. Mengandungi Pelbagai Nutrien Penting
Lobak merah boleh membekalkan pelbagai nutrien atau zat-zat penting yang diperlukan oleh badan.
Bagi 100 gram lobak merah, terdapat nutrien-nutrien berikut: [2]
- Tenaga/Kalori: 14 kcal
- Protein: 1.1 gram
- Karbohidrat: 2.63 gram
- Serat: 1.4 gram
- Kalsium: 27 miligram
- Zat besi: 0.8 miligram
- Magnesium: 9 miligram
- Fosforus: 28 miligram
- Kalium: 280 miligram
- Zink: 0.13 miligram
- Selenium: 0.7 mikrogram
- Vitamin C: 29 miligram
- Vitamin B1: 0.03 miligram
- Vitamin B2: 0.02 miligram
- Vitamin B3: 0.3 miligram
- Vitamin B5: 0.18 miligram
- Vitamin B6: 0.08 miligram
- Folat: 14 mikrogram
2. Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Kencing Manis
Khasiat lobak putih turut didapati boleh mengurangkan risiko kepada penyakit kencing manis atau diabetes.
Tidak kira kepada lelaki atau wanita, pengambilan lobak putih boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit kencing manis kerana kandungan sebatian-sebatian aktif di dalamnya.
Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan pengambilan jus lobak putih boleh menurunkan paras gula darah sehingga 16% bagi haiwan yang normal, 23% dan 28% masing-masing bagi haiwan yang menghidap pradiabetes dan diabetes ringan. [3]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa ekstrak lobak putih boleh menghalang enzim-enzim α-amilase dan α-glukosidase. Kedua-dua enzim ini adalah enzim yang bertanggungjawab untuk memecahkan gula kompleks kepada gula ringkas sebelum diserap ke dalam darah. [4]
Pencegahan terhadap enzim-enzim ini boleh mengurangkan jumlah gula (glukosa) yang diserap ke dalam badan dan mengurangkan risiko kepada penyakit kencing manis atau diabetes.
3. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Lobak putih juga dipercayai boleh membantu anda menurunkan berat badan. Hal ini demikian kerana lobak putih adalah rendah dengan kalori dan tinggi dengan serat.
Selain itu juga, lobak putih juga rendah dengan karbohidrat kerana ia tidak berkanji. Pemakanan sayuran tidak berkanji boleh membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat.
4. Baik untuk Kesihatan Kardiovaskular
Sistem kardiovaskular adalah sistem yang melibatkan jantung, saluran darah dan darah. Keabnormalan atau kecederaan pada mana-mana bahagian sistem kardiovaskular boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius.
Penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok adalah antara penyakit yang boleh menjejaskan sistem kardiovaskular.
Pemakanan yang sihat boleh membantu mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular. Sebagai contoh, lobak putih adalah kaya dengan antioksidan dan mineral seperti kalsium dan kalium.
Nutrien-nutrien ini boleh membantu merendahkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko kepada penyakit jantung.
Selain itu, lobak putih juga turut kaya dengan sumber nitrat semula jadi. Nitrat ini ditukar menjadi nitrik oksida di dalam badan dan boleh membantu merendahkan tekanan darah.
5. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Lobak putih juga didapati berpotensi mencegah dan merawat kanser yang berlaku kepada lelaki dan wanita seperti kanser usus besar, kanser payudara, kanser prostat dan kanser serviks.
Khasiat lobak putih ini disumbang oleh kandungan sebatian kimianya seperti glukosinolat dan isotiosianat.
Sebagai contoh, satu kajian makmal pada tahun 2010 melaporkan bahawa ekstrak lobak putih boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser serviks, prostat, payudara dan paru-paru. [5]
Selain itu, kajian makmal juga turut mendapati ekstrak lobak putih turut mengandungi antioksidan seperti kuersetin dan asid ferulik yang mempunyai ciri-ciri antikanser, antiradang dan penggalak imun. [6]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan seperti kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat kesan lobak putih terhadap kanser di dalam badan manusia.
6. Boleh Melindungi Hati
Lobak putih juga terkenal dengan khasiatnya yang boleh melindungi hati daripada penyakit hati berlemak atau kecederaan hati.
Kandungan sebatian isotiosianat di dalam lobak putih boleh membantu hati menyahtoksik dan menyembuhkan hati daripada sebarang kecederaan atau kerosakan.
Satu kajian menunjukkan ekstrak enzim lobak putih boleh melindungi hati daripada ketoksikan dan mencegah kerosakan hati akibat daripada bahan kimia. [7]
7. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Lobak putih juga turut kaya dengan pelbagai antioksidan yang menyumbang kepada khasiat-khasiat sayur ini. Antaranya adalah antosianin, glukosinolat, asid ferulik, asid galik dan banyak lagi.
8. Baik untuk Ibu Berpantang
Lobak putih juga baik untuk ibu berpantang atau wanita selepas bersalin. Khasiat lobak putih ini disumbang oleh kandungan seratnya yang tinggi.
Bagi ibu berpantang, pemakanan makanan yang tinggi dengan serat adalah amat penting bagi melancarkan pembuangan najis bagi mencegah masalah sembelit yang sering kali dialami oleh ibu yang baru bersalin.
9. Boleh Merawat Sembelit
Biji benih lobak putih juga boleh digunakan untuk merawat atau melegakan sembelit.
Khasiat ini dibuktikan dalam kajian terhadap haiwan yang mendapati minyak biji lobak putih boleh meningkatkan kadar pembuangan najis (peninjaan). [8]
Kesan yang sama turut dilaporkan bagi ekstrak air biji lobak putih. Selain meningkatkan kadar peninjaan, ekstrak air ini turut memendekkan masa kependaman peninjaan. [8]
10. Bersifat Antibakteria
Lobak putih juga didapati boleh mencegah atau merawat jangkitan bakteria yang terdiri daripada bakteria yang sering menyebabkan keracunan makanan.
Kajian menunjukkan bahawa bahagian akar, batang dan daun lobak putih mempunyai aktiviti-aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Bacillus subtilis, Staphylococcus aureus, Staphylococcus epidermidis, Enterococcus faecalis, Salmonella typhimurium, Enterobacter aerogenes, Enterobacter cloacae dan Escherichia coli. [9]
Rumusan
Lobak putih adalah sayur yang berkhasiat dan berkalori rendah yang boleh meningkatkan kesihatan tidak kira kepada lelaki atau wanita.
Terdapat pelbagai khasiat lobak putih antaranya adalah mengurangkan risiko kepada penyakit kencing manis, boleh membantu menurunkan berat badan, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Sayur ini juga boleh dijadikan salad, digoreng, dibuat sup atau dimakan mentah (segar).
Rujukan
- SCHRAMM G. (1955). [Pharmacopeia of the People’s Republic of China, 1953 edition]. Pharmazeutische Zentralhalle fur Deutschland
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Radishes, white icicle, raw.
- Shukla, S. et al. (2011). Antidiabetic effect of Raphanus sativus root juice. Pharmaceutical biology.
- Banihani S. A. (2017). Radish (Raphanus sativus) and Diabetes. Nutrients.
- Beevi, S. S. et al. (2010). Hexane extract of Raphanus sativus L. roots inhibits cell proliferation and induces apoptosis in human cancer cells by modulating genes related to apoptotic pathway. Plant foods for human nutrition.
- Li, Z. et al. (2018). Profiling of Phenolic Compounds and Antioxidant Activity of 12 Cruciferous Vegetables. Molecules.
- Lee, S. W. et al. (2012). Effects of White Radish (Raphanus sativus) Enzyme Extract on Hepatotoxicity. Toxicological research.
- Sham, T. T. et al. (2013). A review of the phytochemistry and pharmacological activities of raphani semen. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Beevi, S. S. et al. (2009). Isothiocyanate profile and selective antibacterial activity of root, stem, and leaf extracts derived from Raphanus sativus L. Foodborne pathogens and disease.