Khasiat lobak merah menjadikan lobak merah sebagai sayuran yang sihat untuk dimakan. Selain sejarahnya yang agak unik, lobak merah adalah sayuran yang mudah untuk dihidangkan dan dimakan. Di Malaysia,jus karot susu adalah menu yang tidak asing lagi di kedai makan atau restauran.
Lobak merah atau nama saintifiknya Daucus carota ialah sayuran berakar yang telah ditanam sejak beribu tahun dahulu.
Berdasarkan sejarah, lobak ini pada asalnya tidak bewarna jingga seperti sekarang, ia berwarna kuning, putih, merah dan ungu. Lobak pada asalnya adalah tumbuhan liar. Lobak yang pertama ditanam dilaporkan di Afghanistan kira-kira 1,100 tahun dahulu.
Sayur yang terawal dikenali sebagai lobak merah direkodkan pada abad ke-10 di Persia (Iran) dan Asia Minor (Anatolia). Pada asalnya, lobak berwarna ungu atau putih. Kemudiannya mengalami mutasi yang menghasilkan lobak berwarna kuning. Dari lobak kuning inilah lobak berwarna jingga dihasilkan.
Berikut adalah beberapa khasiat lobak merah berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Bagi 100 gram lobak merah mentah, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):
- Kalori: 41 kcal
- Protein: 0.93 gram
- Lemak: 0.24 gram
- Karbohidrat: 9.58 gram
- Serat: 2.8 gram
- Kalsium: 4.74 miligram
- Zat besi: 0.3 miligram
- Magnesium: 12 miligram
- Fosforus: 35 miligram
- Kalium: 320 miligram
- Natrium: 69 miligram
- Vitamin C: 5.9 miligram
- Vitamin B1: 0.07 miligram
- Vitamin B2: 0.06 miligram
- Vitamin B3: 1.0 miligram
- Vitamin B6: 0.14 miligram
- Folat: 19 mikrogram
- Vitamin A: 835 mikrogram
- Vitamin E: 0.66 miligram
- Vitamin K: 13.2 mikrogram
Lobak merah turut mengandungi kuantiti karotenoid yang tinggi seperti
- Beta-karotena: 8285 mikrogram
- Alfa-karotena: 3477 mikrogram
- Likopena: 1 mikrogram
- Lutein dan zeaxantin: 256 mikrogram
Tambahan lagi, lobak merah turut mengandungi mineral seperti zink, tembaga dan selenium.
2. Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Kanser
Diet yang tinggi dengan karotenoid seperti beta-karotena dan poliasetilena boleh membantu mencegah beberapa jenis kanser.
Satu analisis yang dijalankan di China mendapati pengambilan lobak merah dalam diet harian dapat mengurangkan risiko kanser prostat. [1]
Selain itu, satu analisis lain mendapati pengambilan lobak ini dapat mengurangkan risiko kanser payudara, gastrik dan pundi kencing. [2, 3, 4]
Satu kajian mendapati ekstrak atau sari daripada lobak merah dapat membunuh dan mengekang perkembangan sel-sel leukimia. [5]
3. Baik untuk Kesihatan Mata
Lobak merah boleh membantu dalam kesihatan mata dan mencegah daripada rabun malam.
Kandungan lutein dan zeaxantin iaitu karatenoid dalam lobak dapat membantu melindungi mata daripada kerosakan akibat cahaya biru, menambah baik kerabunan, mengurangkan risiko degenerasi makula berkaitan usia dan juga katarak. [6]
Di samping itu, lobak merah juga kaya dengan vitamin A. Kekurangan vitamin A boleh membawa kepada rabun malam. [7]
4. Boleh Membantu Merendahkan Tahap Kolesterol
Satu kajian terhadap haiwan mendapati diet dengan lobak merah menunjukkan penurunan kadar kolesterol dalam hati yang signifikan dan turut diikuti dengan penurunan kadar trigliserida dalam hati. [8]
Pengambilan lobak merah mengubah penyerapan kolesterol dan perkumuhanan asid hempedu serta meningkatkan antioksidan.
Walau bagaimanapun, dapatan ini memerlukan lebih banyak kajian yang dilakukan terhadap manusia untuk mengesahkan khasiat lobak merah ini.
5. Kaya dengan Antioksidan
Lobak merah juga kaya dengan antioksidan iaitu sebatian karotenoid, fenolik, poliasetelina dan vitamin C. [9]
Antioksidan sememangnya terkenal dengan sifatnya yang boleh meneutralkan radikal bebas yang boleh membawa masalah kesihatan kepada kita seperti kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan penyakit mata.
6. Boleh Membantu Meningkatkan Kesihatan Kulit
Kandungan karotenoid dan vitamin C dalam lobak merah juga boleh membantu mengekal dan meningkatkan kesihatan kulit.
Karotenoid seperti beta-karotena melindungi kulit daripada sinaran UV yang boleh menyebabkan selaran matahari (sunburn) dengan meningkatkan pertahanan kulit terhadap sinaran ini. [10]
Di samping itu juga, vitamin C juga turut berperanan dalam pembentukan kolagen dan turut melindungi kulit daripada sinaran UV. Selain itu, vitamin C juga boleh membantu dalam masalah penuaan kulit dan kulit kering. [11]
7. Baik untuk Kesihatan Jantung
Tiga gabungan nutrien dalam lobak merah mempunyai fungsi yang bagus untuk kesihatan jantung.
Gabungan antioksidan, kalium dan serat dalam sayur ini mempunyai peranan masing-masing untuk mengekalkan jantung yang sihat.
Terdapat kajian yang mendapati antioksidan seperti vitamin C, vitamin E, folat dan beta karotena memainkan peranan dalam mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. [12]
Kalium pula berperanan untuk mengekalkan tekanan darah berada pada tahap yang normal serta mengimbangi kesan negatif garam (natrium).
Serat diet pula banyak dikaitkan dengan kesihatan kardiovaskular termasuklah kesihatan jantung. Individu yang mengambil serat diet yang tinggi boleh mengurangkan risiko terkena penyakit jantung koronari dan strok sebanyak 7%-24%. [13]
8. Boleh Meningkatkan Sistem Imun
Vitamin C juga berperanan dalam meningkatkan sistem imunisasi badan. Vitamin ini membantu badan membina antibodi dan meningkatkan penyerapan zat besi sekaligus mengelakkan jangkitan.
Peranan vitamin C dapat dilihat apabila vitamin ini mengalakkan penghasilan sel darah putih yang berfungsi sebagai pelindung kepada badan daripada jangkitan.
Vitamin C juga membantu sel-sel darah putih ini berfungsi dengan efektif disamping melindungi sel-sel ini daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas. [14, 15]
9. Boleh Mencegah Sembelit
Selain baik untuk kesihatan jantung, serat diet dalam lobak merah juga boleh mencegah masalah sembelit.
Oleh itu, sekiranya anda mengalami masalah sukar untuk membuang air besar atau sembelit, sertakan lobak merah dalam menu harian anda.
Risiko Berkaitan Lobak Merah
Secara umumnya, lobak merah adalah selamat untuk dimakan oleh semua orang.
Cuma bagi sesetengah individu seperti penghidap hipotiroidisme yang tidak dapat menukar beta-karotena kepada vitamin A, pengambilan lobak merah pada kadar yang banyak boleh mendatangkan masalah.
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa lobak merah boleh menyebabkan alahan bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap debunga. [16]
Rumusan
Lobak merah telah sekian lama popular dalam masyarakat tentang kebaikannya untuk mata. Kajian sains membuktikan khasiat lobak merah untuk kesihatan mata.
Selain itu, lobak merah mempunyai khasiat dan manfaat dalam mengurangkan risiko kanser, merendahkan kolesterol, tinggi dengan antioksidan , baik untuk kulit, baik untuk kesihatan jantung dan meningkatkan sistem imun.
Rujukan
- Xu, X. et al. (2014). Dietary carrot consumption and the risk of prostate cancer. European journal of nutrition.
- Chen, H. et al. (2018). Association between dietary carrot intake and breast cancer: A meta-analysis. Medicine.
- Fallahzadeh, H. et al. (2015). Effect of Carrot Intake in the Prevention of Gastric Cancer: A Meta-Analysis. Journal of gastric cancer.
- Luo, X. et al. (2017). Carrot intake and incidence of urothelial cancer: a systematic review and meta-analysis. Oncotarget.
- Zaini, R. et al. (2011). Bioactive chemicals from carrot (Daucus carota) juice extracts for the treatment of leukemia. Journal of medicinal food.
- Abdel-Aal. et al. (2013). Dietary sources of lutein and zeaxanthin carotenoids and their role in eye health. Nutrients.
- Lindeboom G. A. (1984). [Historical milestones in the treatment of night blindness]. Clio medica.
- Nicolle, C. et al. (2003). Effect of carrot intake on cholesterol metabolism and on antioxidant status in cholesterol-fed rat. European journal of nutrition.
- Ahmad, T. et al. (2019). Phytochemicals in Daucus carota and Their Health Benefits-Review Article. Foods.
- Stahl, W., & Sies, H. (2012). Photoprotection by dietary carotenoids: concept, mechanisms, evidence and future development. Molecular nutrition & food research.
- Pullar, J. M. et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients.
- Adams, A. K. et al. (1999). Antioxidant vitamins and the prevention of coronary heart disease. American family physician.
- McRae M. P. (2017). Dietary Fiber Is Beneficial for the Prevention of Cardiovascular Disease: An Umbrella Review of Meta-analyses. Journal of chiropractic medicine.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Huijskens, M. J. et al. (2014). Technical advance: ascorbic acid induces development of double-positive T cells from human hematopoietic stem cells in the absence of stromal cells. Journal of leukocyte biology.
- Ballmer-Weber, B. K. et al. (2001). Carrot allergy: double-blinded, placebo-controlled food challenge and identification of allergens. The Journal of allergy and clinical immunology.