Limau purut adalah buah dan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan. Selain digunakan dalam masakan, buah limau purut turut digunakan dalam perubatan. Bagi anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat limau purut termasuklah buah, daun dan minyak patinya.
Limau purut atau nama saintifiknya Citrus hystrix adalah tumbuhan renek dari keluarga Rutaceae iaitu keluarga yang sama dengan lemon, oren, limau gedang dan limau nipis.
Limau purut turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti kaffir lime dan makrut lime. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari negara-negara Asia Tenggara, Selatan China dan Timur Laut India.
Khasiat Limau Purut dalam Perubatan Tradisional
Buah limau purut dan daun limau purut sangat popular digunakan dalam masakan orang-orang Asia. Bagi Malaysia dan Thailand, daun limau purut sangat sinonim dengan masakan Tom Yam.
Selain menjadi penambah rasa dalam masakan, limau purut juga sebenarnya kaya dengan nilai-nilai perubatan.
Masyarakat terdahulu telah menggunakan buah, daun atau kulit buah limau purut untuk merawat pelbagai masalah kesihatan. Antaranya adalah:
- Kulit buah limau purut: Digunakan untuk merawat cacing dan sakit kepala.
- Jus buah limau purut: Digunakan untuk merawat penyakit kulit, kelemumur, rambut gugur dan kanser.
- Jus dan kulit buah limau purut: Dijadikan jamu untuk kesihatan secara umumnya.
- Buah limau purut: Digunakan untuk merawat sakit perut, mandian stim dan merangsang nafsu syahwat.
- Daun dan buah limau purut: Digunakan untuk merawat diabetes, demam, selesema, hipertensi, cirit-birit, pening, ketidakhadaman dan reumatisme.
- Daun limau purut: Digunakan untuk merawat sakit perut, skurvi dan mengekalkan kesihatan gigi serta gusi.
- Akar dan daun limau purut: Digunakan untuk merawat hipertensi (tekanan darah tinggi).
Selain itu, buah limau purut juga turut popular digunakan dalam perubatan Islam untuk merawat penyakit akibat gangguan jin.
Khasiat Daun Limau Purut
Daun limau purut mengandungi sebatian-sebatian bioaktif yang menyumbang kepada khasiat-khasiatnya.
Berdasarkan kajian-kajian, berikut adalah khasiat-khasiat daun limau purut:
1. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah Tinggi
Penyakit tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah penyakit kardiovaskular yang lazim berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.
Ekstrak daun limau purut didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi melalui aktiviti perencatan enzim penukar angiotensin (ACE) yang baik. [1]
Perencat enzim angiotensin (perencat ACE) mengembangkan salur darah dengan merencat penghasilan angiotensin iaitu sejenis agen yang berfungsi untuk mengecutkan salur darah.
Pengurangan penghasilan angiotensin akan membawa kepada pengembangan salur darah arteri dan vena, yang seterusnya menyebabkan penurunan tekanan darah.
2. Berpotensi Membantu Mengurangkan Berat Badan
Obesiti adalah salah satu masalah kesihatan yang banyak membelenggu masyarakat pada masa kini. Obesiti boleh mendedahkan penghidapnya kepada penyakit-penyakit kronik yang lain.
Salah satu strategi untuk mengurangkan obesiti adalah dengan meningkatkan aktiviti fizikal dan mengurangkan pengambilan kalori.
Walau bagaimanapun, pendekatan ini agak sukar untuk dicapai dalam jangka masa panjang. Oleh itu, para penyelidik mencari produk semula jadi yang boleh membantu mengatasi masalah obesiti.
Satu kajian mendapati ekstrak etanol daun limau purut berpotensi digunakan untuk membantu mengurangkan berat badan melalui perencatan lipase pankreas. [2]
Ini bermakna ekstrak daun limau purut boleh membantu mengurangkan penyerapan lemak dalam usus.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan.
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Daun limau purut juga didapati berpotensi untuk mencegah kanser.
Satu kajian pada tahun 2020 melaporkan bahawa ekstrak daun limau purut serta sebatian-sebatian bioaktif di dalamnya menunjukkan aktiviti-aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser payudara. [3]
Satu kajian lain turut melaporkan bahawa sebatian bioaktif dalam daun limau purut iaitu phytol dan lupeol menunjukkan aktiviti-aktiviti antikanser terhadap sel-sel leukimia (kanser darah). [4]
Khasiat Buah Limau Purut
Selain daunnya, buah limau purut juga mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan.
Antaranya adalah:
1. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Salah satu cara untuk mengukur antioksidan atau sebatian aktif yang bermanfaat di dalam makanan adalah melalui pengukuran kapasiti antioksidan.
Buah limau purut mengandungi antioksidan seperti kuersetin dan hesperidin dan menunjukkan kapasiti antioksidan yang tinggi. [5]
2. Boleh Membantu Mencegah dan Merawat Diabetes
Selain itu, buah limau purut juga boleh membantu mencegah dan merawat diabetes atau penyakit kencing manis.
Terdapat kajian yang mendapati buah limau purut mempunyai aktiviti perencatan enzim α-amilase dan α-glukosidase. Kedua-dua enzim ini bertanggungjawab mencernakan karbohidrat kepada gula ringkas (glukosa). [6, 7]
Perencatan enzim-enzim ini boleh menurunkan paras gula dalam darah.
3. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Buah limau purut juga berkhasiat dalam membantu menurunkan paras kolesterol. Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok.
Terdapat satu kajian yang melaporkan bahawa ekstrak kulit limau purut boleh menurunkan paras kolesterol total, kolesterol jahat (kolesterol LDL), trigliserida dan meningkatkan kolesterol baik (kolesterol HDL). [8]
Walau bagaimanapun, kajian ini mempunyai sedikit kekurangan apabila bacaan paras kolesterol pada awal kajian bagi setiap kumpulan kajian adalah berbeza.
4. Bersifat Antibakteria
Minyak pati daripada kulit dan daun limau purut juga didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap kuman yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan. [9]
Di samping itu, ekstrak kulit limau purut juga didapati turut menunjukkan aktiviti-aktiviti antibakteria terhadap bakteria-bakteria yang menyebabkan menyebabkan keracunan makanan. [10]
Rumusan
Limau purut mempunyai banyak khasiat yang boleh dimanfaatkan dalam perubatan tradisional mahupun perubatan moden.
Oleh itu, anda boleh memanfaatkan limau purut dalam kehidupan harian anda.
Rujukan
- Khalid, N.M & Babji, A.S. (2018). Antioxidative and Antihypertensive Activities of Selected Malaysian ulam (salad), Vegetables and Herbs. Journal of Food Research.
- Ishikawa,T. et al. (2009). Isolation of β-Sitosterol and Digalactopyranosyl-diacylglyceride from Citrus hystrix, a Thai Traditional Herb, as Pancreatic Lipase Inhibitors. Heterocycles.
- Ho, Y. et al. (2020). Anticancer Effect of Citrus hystrix DC. Leaf Extract and Its Bioactive Constituents Citronellol and, Citronellal on the Triple Negative Breast Cancer MDA-MB-231 Cell Line. Pharmaceuticals.
- Anuchapreeda, S. et al. (2020). Antileukemic Cell Proliferation of Active Compounds from Kaffir Lime (Citrus hystrix) Leaves. Molecules.
- Suttisansanee, U. et al. (2021). Phytochemicals and In Vitro Bioactivities of Aqueous Ethanolic Extracts from Common Vegetables in Thai Food. Plants.
- Irawaty, Wenny and Ayucitra, Aning. (2018). Assessment on antioxidant and in vitro antidiabetes activities of different fractions of Citrus hystrix peel. International Food Research Journal.
- Arumugam, A. et al. (2014). In vitro antioxidant, anti-diabetic, cholinesterase and tyrosinase inhibitory potential of fresh juice from Citrus hystrix and C. maxima fruits. Food Science and Human Wellness.
- Zajmi, A. et al. (2020). Anti-Hyperlipidemia Activity of Key Lime (Citrus Aurantifolia) And Kaffir Lime (Citrus Hystrix) Peel Extracts on High Fat Diet Induced Hyperlipidemic Rats.
- Srifuengfung, S. et al. (2019). Antibacterial oral sprays from kaffir lime (Citrus hystrix DC.) fruit peel oil and leaf oil and their activities against respiratory tract pathogens. Journal of traditional and complementary medicine.
- Sumonrat Chanthaphon et al. (2008). Antimicrobial activities of essential oils and crude extracts from tropical Citrus spp. against food-related microorganisms. Songklanakarin J. Sci. Technol