Limau gedang ialah buah sitrus yang mempunyai rasa manis dan masam. Buah ini kaya dengan pelbagai nutrien, antioksidan dan serat yang menjadikannya penuh dengan khasiat. Ketahui dengan lebih lanjut mengenai khasiat limau gedang dalam artikel ini.
Limau gedang atau nama saintifiknya Citrus paradisi adalah buah kacukan antara limau bali dan oren. Ia dipanggil “grapefruit” dalam bahasa Inggeris kerana pokok limau gedang ini berbuah secara bergugus seperti buah anggur.
Limau gedang dipercayai mempunyai banyak kebaikan kerana kandungan vitamin, mineral dan antioksidannya. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat limau gedang berdasarkan sokongan kajian sains.

1. Rendah Kalori dan Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Buah limau gedang adalah salah satu daripada buah-buahan yang rendah kalori. Selain itu, buah ini juga tinggi dengan pelbagai nutrien yang terdiri daripada vitamin dan mineral penting.
Ciri-ciri ini menjadikan limau gedang sebagai buah yang sesuai disertakan dalam diet yang seimbang.
Bagi 100 gram buah limau gedang, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 30 kcal
- Protein: 0.55 gram
- Karbohidrat: 7.5 gram
- Serat: 1.1 gram
- Kalsium: 15 miligram
- Zat besi: 0.12 miligram
- Magnesium: 8 miligram
- Fosforus: 9 miligram
- Kalium: 127 miligram
- Zink: 0.07 miligram
- Tembaga: 0.04 miligram
- Mangan: 0.01 miligram
- Selenium: 1.4 mikrogram
- Vitamin C: 37 miligram
- Vitamin B1: 0.04 miligram
- Vitamin B2: 0.02 miligram
- Vitamin B3: 0.2 miligram
- Vitamin B5: 0.28 miligram
- Vitamin B6: 0.04 miligram
- Folat: 9 mikrogram
- Vitamin A: 13 mikrogram
Selain makronutrien dan mikronutrien ini, buah limau gedang turut mengandungi antioksidan yang turut menyumbang kepada khasiatnya.
2. Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Diabetes
Memakan limau gedang boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis atau diabetes melalui pencegahan terhadap rintangan insulin.
Rintangan insulin boleh menyebabkan diabetes kerana ia membuatkan sel-sel badan anda berhenti bertindak balas terhadap insulin. Akibatnya, ia menyebabkan peningkatan paras insulin dan gula darah yang seterusnya meningkatkan risiko kepada penyakit diabetes jenis 2.
Memakan buah limau gedang didapati boleh mengawal paras insulin. Ini bermakna ia boleh membantu mengurangkan risiko untuk berlakunya rintangan insulin.
Kesan ini dibuktikan dalam satu kajian yang mendapati mereka yang memakan setengah biji limau gedang sebelum makan mengalami pengurangan ketara terhadap paras insulin dan rintangan insulin berbanding mereka yang tidak memakan buah ini. [2]
3. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah limau gedang turut berkhasiat dalam membantu menguatkan sistem imun badan.
Vitamin C mempunyai ciri-ciri antioksidan yang boleh membantu melindungi badan daripada jangkitan bakteria dan virus.
Malah, kajian turut menunjukkan bahawa vitamin C boleh mencegah dan merawat jangkitan saluran pernafasan dan jangkitan sistemik. [3]
Tambahan itu juga, kandungan vitamin A dalam buah limau gedang turut boleh melindungi badan daripada penyakit berjangkit dan keradangan. [4]
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Buah limau gedang juga didapati baik untuk kesihatan jantung.
Khasiat limau gedang ini dipercayai disumbang oleh keupayaannya untuk mengurangkan faktor risiko penyakit jantung seperti kolesterol dan tekanan darah tinggi.
Satu kajian mendedahkan mereka yang memakan buah limau gedang 3 kali sehari selama 6 minggu mengalami pengurangan ketara terhadap tekanan darah. Mereka juga turut mengalami penurunan terhadap paras kolesterol total dan kolesterol jahat (kolesterol LDL). [5]
5. Kaya dengan Pelbagai Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Buah limau gedang mempunyai beberapa antioksidan penting seperti vitamin C, beta-karotena, likopena dan flavanon.
Sebagai contoh, beta-karotena yang ditukarkan kepada vitamin A dalam badan boleh mengurangkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser dan penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia. [6]
6. Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Kanser
Pemakanan limau gedang juga boleh membantu mengurangkan risiko terhadap kanser. Khasiat limau gedang ini mungkin disumbang oleh kandungan antioksidannya seperti vitamin C dan likopena.
Vitamin C boleh melawan pembentukan radikal bebas yang boleh membawa kepada kanser.
Likopena juga merupakan antioksidan yang mempunyai keupayaan untuk mencegah kanser terutamanya kanser prostat.
Kajian populasi yang melibatkan hampir 47,000 lelaki mendapati terdapat perkaitan antara pengambilan sos tomato yang tinggi dengan pengurangan kanser prostat. Tomato adalah salah satu buah yang kaya dengan likopena. [7]
Satu analisis yang melibatkan 26 kajian turut melaporkan bahawa pengambilan likopena yang tinggi dikaitkan dengan pengurangan risiko terhadap kanser prostat. [8]
7. Boleh Mengurangkan Risiko Batu Karang
Batu karang terbentuk akibat daripada pengumpulan bahan buangan dalam buah pinggang anda. Bahan buangan ini biasanya ditapis di dalam buah pinggang dan dibuang melalui air kencing.
Namun, sekiranya bahan buangan ini menghablur di dalam buah pinggang, ia menjadi batu. Batu karang yang besar boleh menghalang saluran kencing yang menyebabkan kesakitan yang luar biasa.
Pengambilan buah limau gedang boleh mengurangkan risiko terhadap penyakit batu karang. Khasiat ini mungkin disumbang oleh kandungan asid sitrik dalam buah limau ini.
Kebanyakan batu karang terdiri daripada kalsium oksalat. Asid sitrik dalam buah limau gedang boleh mencegah pembentukan batu karang tersebut dengan mengikat dengan kalsium di dalam buah pinggang dan mengeluarkannya daripada badan anda. [9]
Risiko dan Interaksi dengan Ubat
Walaupun secara umumnya, buah limau gedang adalah baik untuk kesihatan. Namun, ia juga turut mendatangkan keburukan bagi golongan tertentu.
Bagi sesetengah orang, buah limau gedang boleh menyebabkan interaksi dengan ubat-ubatan yang diambil.
Hal ini demikian kerana, buah limau gedang mengandungi sebatian yang menghalang enzim sitokrom P450 iaitu enzim dalam badan yang digunakan untuk memetabolismekan ubat.
Sekiranya anda memakan buah limau gedang dan turut mengambil ubat-ubatan tersebut, badan tidak berupaya untuk menguraikan ubat tersebut. Ini boleh meningkatkan risiko kepada dos berlebihan dan kesan buruk. [10]
Antara ubat-ubatan yang boleh berinteraksi dengan limau gedang adalah:
- Imunosupresan (ubat untuk sistem imun)
- Benzodiazepina (ubat untuk merawat keresahan, sawan dan insomnia)
- Calcium channel blocker (ubat tekanan darah tinggi)
- Indinavir (ubat HIV/AIDS)
- Karbamazepina (ubat sawan)
- Sesetengah statin (ubat untuk menurunkan paras kolesterol)
Rumusan
Limau gedang adalah buah sitrus yang mempunyai banyak khasiat dan kaya dengan pelbagai nutrien.
Kajian-kajian menunjukkan pengambilan buah limau gedang baik untuk mengurangkan risiko penyakit kencing manis, kanser, penyakit jantung, menguatkan sistem imun badan dan lain-lain lagi.
Walau bagaimanapun, limau gedang boleh menyebabkan interaksi dengan ubat bagi mereka yang mengambil ubat tertentu.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Grapefruit, raw, pink and red, Florida
- Fujioka, K. et al. (2006). The effects of grapefruit on weight and insulin resistance: relationship to the metabolic syndrome. Journal of medicinal food.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Huang, Z. et al. (2018). Role of Vitamin A in the Immune System. Journal of clinical medicine.
- Dow, C. A. et al. (2012). The effects of daily consumption of grapefruit on body weight, lipids, and blood pressure in healthy, overweight adults. Metabolism: clinical and experimental.
- Fiedor, J., & Burda, K. (2014). Potential role of carotenoids as antioxidants in human health and disease. Nutrients.
- Graff, R. E. et al. (2016). Dietary lycopene intake and risk of prostate cancer defined by ERG protein expression. The American journal of clinical nutrition.
- Chen, P. et al. (2015). Lycopene and Risk of Prostate Cancer: A Systematic Review and Meta-Analysis. Medicine.
- Barghouthy, Y., & Somani, B. K. (2021). Role of Citrus Fruit Juices in Prevention of Kidney Stone Disease (KSD): A Narrative Review. Nutrients.
- Grapefruit and drug interactions. (2012). Prescrire international, 21(133), 294–298.