Terdapat persoalan-persoalan seperti apakah khasiat kismis untuk kita? Apakah kebaikan kismis untuk minda? Berapa bijikah perlu makan kismis sehari?
Artikel ini akan menjawab persoalan-persoalan yang mungkin bermain di minda kita.
Kismis ialah buah anggur yang dikeringkan. Dalam kebanyakan negara, kismis dibahagikan kepada tiga jenis iaitu raisin, sultana dan currant.
Raisin: Merujuk kepada kismis yang berwarna gelap yang dihasilkan daripada buah anggur yang bersaiz besar. Lebih besar dari kismis sultana.
Sultana: Merujuk kepada kismis yang berwarna kuning keemasan. Kebiasaannya dihasilkan daripada buah anggur hijau tanpa biji terutamanya dari jenis Thompson.
Currant: Merujuk kepada kismis yang dihasilkan daripada anggur tanpa biji bersaiz kecil yang dipanggil “Black Corinth” dan “Carina“.
Kismis juga adalah makanan sunnah yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w diberi hadiah berupa kismis. Ketika baginda meletakkan di hadapannya, kepada para sahabatnya baginda bersabda, “Makanlah (kismis) ini kerana kismis adalah sebaik-baik makanan yang dapat menghilangkan lelah, meredakan kemarahan, menguatkan urat saraf, mewangikan bau mulut, menghilangkan kahak dan menjernihkan warna.”
At-Tib An-Nabawi hal. 294
Berikut adalah khasiat kismis dan kebaikannya berdasarkan kajian sains:
1. Padat dengan Nutrien
Profil nutrien bagi jenis-jenis kismis ini pada dasarnya adalah sama kerana perbezaannya hanyalah sedikit. Dalam 100 gram kismis, terdapat nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 299 kcal
- Protein: 3.3 gram
- Lemak: 0.25 gram
- Karbohidrat: 79.32 gram
- Serat: 4.4 gram
- Gula (Glukosa & Fruktosa): 65.18 gram
- Kalsium: 62 miligram
- Zat Besi: 1.79 miligram
- Magnesium: 36 miligram
- Fosforus: 98 miligram
- Kalium: 744 miligram
- Vitamin C: 2.3 miligram
- Vitamin B6: 0.17 miligram
- Vitamin E: 0.12 miligram
Selain itu,kismis juga mempunyai mineral seperti zink, tembaga, mangan, selenium dan florida.
2. Baik untuk Kesihatan Mulut
Kismis mempunyai ciri-ciri antibakteria yang boleh mengurangkan bakteria dan virus dalam mulut.
Dalam satu kajian oleh University of Illinois, 8 sebatian telah diekstrak dari kismis (sultana) dan dikaji aktiviti antibakterianya terhadap bakteria dan virus dalam mulut.
Hasil kajian mendapati 2 sebatian dalam kismis ini mempunyai ciri-ciri antibakteria yang boleh mengekang pertumbuhan bakteria dalam mulut yang mempunyai perkaitan dengan penyakit gigi. [1]
3. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Penyakit kardiovaskular seperti strok,penyakit jantung, serangan jantung, dan kegagalan jantung merupakan antara pembunuh tertinggi di seluruh dunia.
Pengambilan kismis menunjukkan penambahbaikan terhadap gula darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
Kajian yang ketuai oleh Prof. (Emeritus) Dr. Anderson mendapati pengambilan kismis secara kerap boleh mengurangkan purata gula darah, merendahkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. [2]
4. Kaya dengan Antioksidan
Kismis juga merupakan sumber kepada sebatian semula jadi yang dikenali sebagai fitonutrien seperti fenol dan polifenol. Nutrien-nutrien ini dikaji mempunyai kapasiti antioksidan. [3]
Antioksidan boleh membantu menyingkirkan atau meneutralkan radikal bebas daripada darah dan menghalangnya daripada merosakkan sel-sel sihat dan DNA.
Kerosakan akibat radikal bebas ini boleh membawa kepada penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit jantung dan strok.
5. Baik untuk Minda
Kismis juga berkhasiat kepada ingatan atau minda. Khasiat kismis ini disumbang oleh sebatian polifenol yang dikenali sebagai flavonoid.
Flavonoid ini memainkan peranan dalam menghalang kemerosotan ingatan dan pembelajaran akibat peningkatan usia. [4]
Kajian lain terhadap kesan flavonoid terhadap daya ingatan dan kognisi (pembelajaran) mendapati flavonoid boleh melindungi neuron daripada kecederaan akibat daripada neurotoksin dan keradangan-neuro. [5]
Berapa Biji Perlu Makan Kismis Sehari?
Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang makan 21 buah kismis merah setiap hari maka dalam tubuhnya tidak akan terdapat hal yang tidak disukai.”
At-Tib An-Nabawi hal. 105
Hadis ini menjawab kepada persoalan berapa biji kismis perlu dimakan sehari. Maka, pengambilan yang disarankan menurut sunnah adalah 21 biji.
Akhir sekali, kismis adalah makanan yang sihat tidak kira daripada jenis raisin,sultana atau currant. Namun, harus diingat bahawa buah kering ini tinggi dengan kandungan gula dan kalori serta mudah untuk terlebih makan.
Rujukan
- J. Fausto Rivero-Cruz et al. (2008). Antimicrobial constituents of Thompson seedless raisins (Vitis vinifera) against selected oral pathogens. Phytochemistry Letters.
- Anderson, J. W. et al. (2014). Raisins compared with other snack effects on glycemia and blood pressure: a randomized, controlled trial. Postgraduate medicine.
- Kelebek, H. et al. (2013). Comparative evaluation of the phenolic content and antioxidant capacity of sun-dried raisins. Journal of the science of food and agriculture.
- Rendeiro, C. et al. (2009). The impact of flavonoids on spatial memory in rodents: from behaviour to underlying hippocampal mechanisms. Genes & nutrition.
- Spencer J. P. (2010). The impact of fruit flavonoids on memory and cognition. The British journal of nutrition.